Artikel "Semasa" Terkini
Ops Motosikal: Polis Hulu Terengganu Keluarkan 116 Saman
HULU TERENGGANU, 3 Jun - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, mengeluarkan 116 notis saman atas pelbagai kesalahan, pada Ops Motosikal yang dijalankan di kawasan Kuala Telemong dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata saman tersebut dikeluarkan terhadap 70 penunggang motosikal melibatkan pelbagai kesalahan.
"Daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, sebanyak 40 saman membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar.
“Antara kesalahan lain yang dilakukan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan, dalam operasi bermula dari jam 5.00 petang hingga 9.00 malam itu, diketuai Ketua BSPT IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail itu menyasarkan keselamatan penunggang motosikal.
Selain itu Hasmerra berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi motosikal dari semasa ke semasa bagi membenteras kegiatan samseng jalanan, lumba haram dan mat rempit.
03 Jun 23
147
Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dihentikan serta dihalang kerana pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh rakyat melihat kewibawaan parti itu sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri walaupun berhadapan kekangan kewangan.
"Saya lihat prestasi yang dicapai oleh kerajaan (tiga) negeri ini apabila kita (PAS) perintah sangat menarik walaupun dalam keadaan berhadapan masalah kewangan yang dinafikan.
"Kita pernah mengalami bertahun-tahun masalah ini, apa yang penting rakyat memahami masalah ini (kerana itu) kita melihat gelombang rakyat itu berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dengan menolak parti lain dan menyokong kita (PN),"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Terengganu internasional Summit (TIS) 2023, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berpandangan selain 'gelombang hijau' yang berlaku di tiga buah negeri diperintah PAS, akan turut berlaku di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
"Gelombang ini masih ada (berlaku) sehingga hari ini khususnya dalam kalangan pengundi-pengundi muda," katanya.
01 Jun 23
215
TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) dengan wahabi adalah sangat tidak tepat kerana menyalahi matlamat penganjuran program berkenaan bagi membincangkan 'kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran'.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam hari ini terutamanya daripada kalangan agamawan tidak perlu berkhilaf dalam masalah furuk dan berkelahi sesama sendiri hingga membiarkan musuh bermaharajalela.
"Wahabi adalah mazhab akidah, satu tajuk yang sangat luas (perbincanggannya), ada yang tidak reti (faham) termasuk ulama yang tidak 'tafaqquh' (memahami) dan tidak mengaji dalam agama secara menyeluruh.
"Itu yang menjadi masalahnya (perpecahan kalangan umat Islam) penjajah suka sangatlah, dia (golongan tidak faham seolahnya) dia kerja untuk penjajah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri program 'International Summit 2023', di dewan konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Sementara itu Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program berkenaan telah menampilkan lapan tokoh pemikir dari luar negara serta dalam negara.
Jelas beliau, antaranya ialah dari India, Dr.Zakir Abdul Karim Naik (India), Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohamed Ibrahim (Sudan), Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi (Oman), Dr.H.Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia), Dr. Mohamed Shahem Ali Saeed (Maldives).
Manakala tokoh dalam negara pula ialah, Dato' Seri. Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil menyatakan program tersebut mendapat sambutan luar jangka.
"Kita jangka 500 orang akan hadir, tetapi yang hadir dan berdaftar hampir 900 orang," ujarnya.
01 Jun 23
1028
36 Usahawan DUN Kuala Berang Terima Dana PUTERA
HULU TERENGGANU, 1 Jun - Seramai 36 usahawan di Dewan Undangan Negeri Kuala Berang menerima manfaat menerusi Dana Peniaga dan Usahawan Negeri Terengganu (PUTERA) dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu pada kali ini.
Adunnya, Dr Mamad Puteh berkata ia melibatkan peruntukan RM50,000 yang disalurkan ke DUN-DUN di seluruh Terengganu buat pertama kalinya bagi memudahkan pengurusan bantuan tersebut.
"Setiap penerima menerima bantuan peralatan maksimum RM1,500 bagi membantu meningkatkan produktiviti perniagaan mereka di samping meringankan beban.
“Saya berharap dengan bantuan ini semua usahawan dapat berniaga sebaiknya di samping mengembangkan lagi perusahaan melalui dana yang diperolehi," katanya ketika di Majlis Penyampaian Dana PUTERA Peringkat DUN Kuala Berang Bagi 2023 di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, usahawan pada hari ini perlu menggunakan peluang sedia ada dengan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
"Kita (usahawan) perlu berani mencuba untuk menceburi lapangan yang belum diterokai orang lain selaras pembangunan teknologi seperti jualan atas talian.
"Mereka yang mempunyai peribadi cekal, berani berusaha akan berjaya dalam apa yang dilakukan dari semasa ke semasa," ujarnya.
01 Jun 23
177
Terengganu Muliakan Ulama
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan negeri hari ini terus mempertahankan hubungan rapat dengan ulama yang telah bermula sejak dulu sebagaimana terpahat dalam sejarah.
Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, atas faktor itu Terengganu mempunyai sistem pengajian ilmu dengan pelbagai ulama bertaraf dunia sehingga pernah digelar serambi mekah setaraf Kelantan dan Acheh.
"Kita berbangga kerana masyarakat Terengganu amat kuat pegangan agama dan tradisi pengajian agama, dalam hal ini telah menjadikan Islam sebagai suatu dasar atau pegangan rakyat (sehingga) telah menimbulkan semangat perpaduan di kalangan umat Melayu.
"Bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka tauhid, ummah dan ukhwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi,"ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersama Terengganu International Summit (TIS) 2023 berkata demikian ketika berucap menyapaikan ucapan alu-aluan di program berkenaan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, penemuan Batu Bersurat telah membuktikan bahawa Terengganu telah lama berpegang teguh dengan ajaran Islam yang syumul.
"Ajaran Islam yang difahami oleh masyarakat Melayu Islam Terengganu sebagai 'ad-deen' atau 'way of life' dan bukannya terhad kepada persoalan ibadat semata-mata sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu selepas era penjajahan Brtish.
"Hal ini boleh diperhatikan melalui kandungan Islam yang terdapat dalam Batu Bersurat merangkumi seluruh kehidupan bermasyarakat sama ada dalam bidang pentadbiran, kekeluargaan, jenayah, muamalah, politik dan sebagainya.
"Begitu juga dalam Undang-undang Tubuh Negeri yang dinamakan sebagai Itqanul Muluk Bi Ta'diliis Suluk yang turut menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintah negeri,"katanya.
Dalam pada itu beliau menyifatkan TIS pada tahun ini sangat tepat pada masanya sebagai platform membincangkan ancaman global dalam bentuk serangan pemikiran yang semakin hebat dalam dunia hari ini dan kehadiran tokoh pemikir dari pelbagai negara ini sangat dialu-alukan oleh kerajaan negeri.
"Semoga dengan penganjuran persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu yang singnifikan ini, serta kerjasama semua pihak akan memberikan impak nasional kepada usaha memelihara kestabilan dan kesejahteraan negara berpandukan kepada ajaran Islam,"ujarnya.
01 Jun 23
455
512 Keluarga di Kota Putera Terima Bantuan Banjir RM512 Ribu
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Seramai 512 Ketua Isi Rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang menjadi mangsa banjir mengukirkan senyuman apabila menerima bantuan RM512,000 sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini berkata wang ehsan itu membabitkan mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Alhamdulillah semalam, jam 2.30 petang telah diadakan program sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Merdeka Kota Putera Square seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.
"Dalam program Himpunan Teguh Pertahan, Menteri Besar sudah berjanji untuk membayar kepada warga Besut sebelum berkakhir Mei yang membabitkan 5,391 KIR secara keseluruhan," ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, mangsa yang tercicir untuk mendapatkan bantuan terbabit diminta tampil dan memaklumkan perkara terbabit kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan segera.
"Tindakan seterusnya akan dilakukan secepat mungkin insya-Allah, kami dari kerajaan negeri akan terus komited dalam memastikan nasib rakyat Terengganyu sentiasa terjaga.
"Diharap supaya terus bersabar dan pihak kerajaan sedaya upaya akan ikhtiarkan untuk memastikan semua mangsa banjir menerima bayaran tersebut," katanya.
Sementara itu, mengenai bantuan daripada Kerajaan Persekutuan Nurkhuzaini memaklumkan setakat ini tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan.
31 May 23
175
Terengganu Peruntuk Lebih RM22 Juta Bantu 4,829 Usahawan
BESUT, 31 Mei - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan sebanyak RM22,880,130 kepada 4,829 orang usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga 30 Mei 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata dana TUGAS ini menunjukkan keperihatinan kerajaan negeri Terengganu dalam membantu dan menyokong golongan usahawan yang komited untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan.
“Saya merasa amat terharu menyanpaikan dana TUGAS ini kerana saya juga berasal daripada keluarga penjaja dan saya dapat memahami kerpeluan mereka.
“Semoga dengan pemberian Skim Pembiayaan TUGAS ini akan dapat membantu para usahawan bagi meningkatkan dan mengembangkan lagi operasi perniagaan mereka,” katanya.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, bagi tahun 2023, kerajaan negeri dalam pembentangan bajet 2022 telah memperuntukkan RM10 juta di bawah pembiayaan TUGAS.
”Bagi Tahun 2023 sahaja iaitu sehingga ke hari ini sebanyak RM4.4 Juta peruntukan TUGAS telah dikeluarkan bagi memberi manafaat kepada 1,428 orang usahawan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, bagi memastikan Skim TUGAS dapat dinikmati oleh semua golongan Usahawan maka selain daripada lapan Skim Pembiayaan yang sediada, YPU telah memperkenalkan satu skim baru pada Tahun ini iaitu Skim Pembiayaan Mudah Usahawan (SPMU).
”SPMU adalah merupakan salah satu usaha YPU untuk memudahkan usahawan kecil Terengganu untuk mendapatkan pembiayaan dengan had maksimum sehingga RM5,000 dan ia merupakan pembiayaan yang tidak memerlukan penjamin dengan kelulusan seawal 21 sehingga 30 hari sahaja,” ujar beliau.
31 May 23
384
Tasik Kenyir Kini Diisytihar Geopark Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sektor Pelancongan di Terengganu terus mendapat tumpuan setelah kawasan Tasik Kenyir kini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-9 di bawah Program Pembangunan Geopark Malaysia dengan nama ‘Kenyir Geopark’.
Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaaan Kali-1, Tahun 2023 semalam di Wisma Sumber Asli, Putrajaya.
Katanya, pengiktirafan tersebut diperoleh selepas melihat kepada nilai warisan geologi bertaraf antarabangsa dan pembangunan lestari dalam komponen pelancongan, warisan kebudayaan, pendidikan komuniti serta kebudayaan yang wujud di sana.
“Pengisytiharan tersebut sekaligus memberi dimensi baharu kepada Tasik Kenyir yang sememangnya menjadi tarikan utama pelancong ke daerah Hulu Terengganu.
“Ia juga memberi nilai tambah terutama kepada sektor pelancongan, selain mewujudkan peluang pekerjaan, penjanaan aktiviti ekonomi berkait pelancongan serta pembangunan sosial komuniti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan.
Katanya, status Taman Geo Kebangsaan akan melonjakkan lagi nilai pelancongan dan ekonomi Tasik Kenyir dan secara tidak langsung akan meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat yang terdiri daripada masyarakat luar bandar dan Orang Asli.
Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna.
Keluasan itu merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau, 15 kawasan geotapak antaranya penemuan fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah, penara Gunung Gagau.
Ini termasuk 11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi, serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah
Ia juga adalah lokasi di mana fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ - yang berusia 16,000 tahun dan fosil marin, Shikamaia Sp. (kerang gergasi) yang dianggarkan berusia 250 juta tahun di sekitar dinding gua berkenaan.
31 May 23
996
KPDN Jamin Bekalan Gula Cukup Menjelang Aidiladha
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi bagi keperluan pengguna di di seluruh negara menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha pada akhir bulan depan.
31 May 23
180
Yayasan Terengganu Jalin Kolaborasi Dengan UMP
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Yayasan Terengganu (YT) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) semalam memeterai memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian bersama (MoA) bagi menjalin kolaborasi dalam bidang akademik dan pengantarabangsaan.
Melalui perjanjian persefahaman yang dimeterai, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggariskan beberapa aktiviti kolaborasi akademik dan memberi khidmat nasihat bagi program seperti Program Asasi, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik.
Lain-lain, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Program STEM dan program-program pengajian kerjasama antarabangsa UMP yang boleh memberi impak kepada pembangunan modal insan Negeri Terengganu.
Kerjasama ini juga bakal menyaksikan Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berperanan sebagai institut bahasa Mandarin yang menyediakan silibus pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dengan pelancaran tapak pengajaran Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, MOU dan MOA yang dimeterai itu dijadikan platform untuk perkongsian ilmu khususnya program pendidikan yang berkait dengan bahasa antarabangsa.
“Pelaksanaannya menepati piawaian kerana menggunakan tenaga pengajar berkelayakan dari Republik Rakyat China supaya kaedah pembelajaran lebih sistematik, efektif, mudah dipelajari serta dikuasai oleh para pelajar.
“Ini secara langsung, bertindak sebagai strategi serampang dua mata di mana dengan mengambil penutur jati Bahasa Cina untuk meningkatkan penguasaan bahasa Cina di kalangan pelajar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Dan Memorandum Perjanjian (MoA) Antara Yayasan Terengganu Dan Universiti Malaysia Pahang Serta Perasmian Tapak Pengajaran Confucius Institute di Wisma Darul Iman.
Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman menandatangani memorandum bersama Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, Maliaman Kasim.
Hadir menyaksikan detik bersejarah ini, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu , Dato’ Yahaya Ali, Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao serta Attaché Kedutaan China di Malaysia, Zhang Tian.
Yahaya berkata, menerusi kolaborasi tersebut Negeri Terengganu turut mendapat kelebihan peluang pendidikan di universiti ternama di Republik Rakyat China serta akses kepada sokongan fasiliti dan kepakaran pendidikan di Universiti Malaysia Pahang.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa ini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.
Malah katanya, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.
“Dengan penubuhan tapak pengajaran ini, UMP menerima sokongan daripada Universiti Hebei bagi penyediaan tenaga pengajar bahasa Mandarin di sekolah menengah Imtiaz ini.
“Di samping peranan pengajaran bahasa, CI UMP juga berfungsi sebagai platform untuk pertukaran budaya antara Malaysia dan China, mengukuhkan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.
31 May 23
801