Artikel "Semasa" Terkini
TDM Berhad Sasar Pendapatan RM620 Juta Tahun 2023
KUALA TERENGGANU, 8 Jun- Anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan TDM Bhd. (TDM Berhad) mensasarkan untuk mengutip pendapatan sehingga RM620 juta untuk tahun 2023
Pengerusi TDM, Datuk Tengku Seri Bijaya berkata pada tahun 2022, TDM mencapai rekod tertinggi dengan hasil pendapatan RM614.4 juta iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus daripada tahun sebelumnya.
Katanya, beberapa inisiatif dalam bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan dijangka memberi impak positif kepada keuntungan kumpulan dan menyumbang kepada pertumbuhan berterusan bahagian perniagaan.
“Tumpuan kami pada inisiatif teknologi, memanfaatkan kuasa mekanisasi dan pendigitalan akan menjadi kunci untuk mencapai matlamat ini.
“Selain itu, kami secara aktif mempertimbangkan peluang untuk mengembangkan perniagaan kami, secara organik dan bukan organik, untuk mencipta nilai jangka panjang buat para pemegang saham kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Am Tahunan (AGM) kali ke-58 bertempat di Elysium Skybridge, Level 3, Menara B, KTCC di sini hari ini.
Tambahnya, TDM akan terus komited dalam usaha mengoptimumkan prospek perniagaan jangka panjang serta membina daya tahan bagi memastikan kemampanan segmen perniagaan utamanya.
Menurut beliau, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan utama adalah untuk meningkatkan pendapatan dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terutamanya dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan kesihatan.
Katanya, bahagian penjagaan kesihatan akan meningkatkan kapasitinya melalui penambahan katil dan meluaskan lagi perkhidmatan dengan menawarkan rawatan sub-kepakaran baharu.
“TDM turut merancang untuk mengguna pakai pendekatan 'asset-light' dengan mengembangkan rangkaian hospitalnya melalui pengaturan pajakan dan jualan-pajakan balik.
“Strategi ini juga akan sekaligus membantu dalam usaha mendapatkan tapak brownfield serta pembangunan kemudahan baharu. Melalui pelaksanaan pendigitalan, Kumpulan komited untuk menambah baik keseluruhan pengalaman pesakit dan mengoptimumkan prestasi operasi,” ujarnya.
Tambah Tengku Seri Bijaya lagi, pihaknya akan terus memanfaatkan rekod kejayaan syarikat dalam perniagaan minyak sawit mampan.
“Bahagian Perladangan secara aktif meneroka peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan kos melalui pelaksanaan teknik mekanisasi terkini,”jelasnya.
08 Jun 23
452
Cacat Penglihatan Bukan Penghalang Khairulanwar Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Seorang pelajar yang mengalami masalah penglihatan membuktikan kekurangan dirinya bukan halangan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Khairulanwar Zakaria, 19, yang merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) mendapat keputusan 7A (5A+, 2A) sekali gus membolehkannya dinobatkan anugerah pelajar cemerlang SPM bagi kategori kurang upaya penglihatan (buta) peringkat Negeri Terengganu .
Menurut Khairulanwar, dia mengalami masalah pada bahagian korteks otak yang telah disahkan sebagai 'both eyes cortical blindness' ketika berada di Tingkatan Satu.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, walaupun perubahan ke atas dirinya agak mengejutkan, kekurangan itu dijadikan pembakar semangat untuk lebih cemerlang dalam pelajaran.
“Dengan keadaan diri saya yang asalnya dapat melihat kemudian tidak nampak menguatkan lagi semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Waktu Tingkatan Satu hingga Tiga pencapaian saya dalam pelajaran agak sederhana dan biasa sehinggalah saya bertemu seorang rakan yang boleh dijadikan sumber inspirasi untuk bersaing secara sihat dalam pelajaran.
"Kami sama-sama bersaing untuk berjaya. Saya ada seorang kawan lama yang dapat 'straight A', saya pun semakin bersemangat nak cuba juga dapat 'straight A' dan hasilnya, berkat doa ibu bapa dan guru saya mendapat keputusan cemerlang hari ini," ujarnya yang bercita-cita untuk bergelar seorang pendidik dan berhasrat menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Cheras.
Khairulanwar ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi calon cemerlang SPM Terengganu, Nur Nadiatul Syakila Mohd Razif dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin yang mendapat 10 A+, dia bersyukur atas kejayaan yang diperoleh.
“Tidak pernah sangka pun dapat semua A+, semua datang daripada Allah, satu benda yang yang saya selalu buat adalah berpaut dengan niat sebelum mula belajar.
“Saya selalu bercakap dengan diri sendiri yang saya belajar kerana Allah, hendak bantu agama Allah, alhamdulillah dipermudahkan jalan,” ujarnya.
Anak keenam daripada tujuh beradik kepada pasangan guru itu berkata, kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah berkat doa kedua ibu bapa yang tidak putus-putus agar kesemua anak-anak berjaya dapat pelajaran.
“Disamping tunjuk ajar guru-guru yang tidak mengenal erti jemu mengajar dan mendidik saya dan rakan-rakan dari segi akademik mahupun sahsiah diri,” ujarnya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang asasi undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
08 Jun 23
434
Rakyat Terengganu Harap PM Tunai Janji
08 Jun 23
173
333 Calon SPM 2022 Terengganu Dapat Semua A
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.59 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional 4.74.
Berita baik itu diumumkan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Abdul Muie Ngah pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Abdul Muie berkata, seramai 18, 747 calon menduduki peperiksaan SPM 2022 di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 333 calon memperoleh keputusan semua A (A+, A dan A-).
“Daripada jumlah itu, enam pelajar mencatatkan keputusan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.
"Turut membanggakan apabila seorang calon berkeperluan khas (CBK) masalah penglihatan memperoleh 5A+ dan 2A dalam peperiksaan kali ini," katanya.
Menurut beliau, seramai 9,617 calon memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diambil.
Selain itu katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu muncul sekolah terbaik dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.31, kategori sekolah semua A terbaik serta peningkatan semua A terbaik.
Tambahnya, terdapat lima sekolah yang merekodkan kecemerlangan apabila semua calonnya lulus semua mata pelajaran.
“Lima sekolah itu ialah Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Setiu, SM Imtiaz Kemaman dan SM Imtiaz Dungun.
"SMK Chalok (Model Khas) di Setiu pula muncul sekolah dengan peningkatan GPS terbaik iaitu 5.48 berbanding 6.65 pada tahun lalu," katanya.
08 Jun 23
627
Himpunan 4x4 Terengganu Zahirkan Sokongan Pemilik Kepada Program Kebajikan
Kehadiran lebih 200 peserta dalam Himpunan 4x4 Negeri Terengganu 2023 semalam menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi pemilik pacuan empat roda itu terhadap program-program kebajikan.
08 Jun 23
92
Kenaikan Harga Barang, Salah Siapa?
KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Isu kenaikan harga barang tidak pernah lekang daripada meniti di bibir rakyat-rakyat Malaysia dan di laman-laman media sosial, apatah lagi masyarakat kini dihimpit dengan pelbagai masalah.
Perihal ini semakin berterusan dan siapa yang patut bertanggungjawab atas senario ini? Siapakah yang patut dipersalahkan dan mengambil tanggungjawab atas kesengsaraan rakyat menanggung bebanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat?
Adakah pihak kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani isu ini? Adakah peniaga-peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ketika Malaysia mengalami krisis sebegini?
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sekitar beberapa lokasi tumpuan penduduk mendapati masih ada peniaga berupaya menjual barangan jualan dengan harga yang sama meskipun hanya untung sedikit.
Di Pasar Payang misalnya masih ada peniaga menjual barangan jualan dengan harga terkawal kerana bagi mereka keuntungan sedikit itu lebih baik daripada kehilangan pelanggan setia.
Ibrahim Jusoh, 70, seorang peniaga kuih muih berkata isu peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati bukanlah perkara baru, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama.
“Saya masih jual kuih macam biasa dengan harga yang sama sejak dulu lagi sebab kadang-kadang harga jualan ni bergantung kepada peniaga itu sendiri.Kadang-kadang harga naik tak jejas pun tapi harga jualan tu naik sekali ganda.
“Sebenarnya boleh lagi jual murah…bukan tak boleh untung pun, masih lagi dapat tapi tak banyak berbanding jika jual mahal pelanggan takkan beli dah lepas tu,” katanya yang berniaga hampir 53 tahun.
Katanya lagi, peniaga-peniaga yang mengamalkan sikap jujur tidak akan kehilang¬an pelanggan mereka dengan mudah malah bilangan pelanggan akan bertambah dari semasa ke semasa.
Bagi peniaga batik dan songket, Nadia Hafizah Awang Yong, 34, kenaikan kos pembuatan batik sebanyak 80 peratus menyebabkan dia terpaksa menjual batik dengan harga yang lebih tinggi.
"Kos bahan mentah yang sentiasa meningkat selain permintaan terhadap kain batik itu yang sering turun naik pasti memberi tekanan kepada kami golongan peniaga yang terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi namun untung sedikit.
“Jualan agak perlahan dan menurun jika dibandingkan sebelum ini walaupun masih ada pelanggan setia yang mencari batik,” katanya yang mengharap kerajaan mampu mengawal harga bahan mentah supaya harga batik terkawal.
08 Jun 23
300
Rakyat Terengganu Harap PM Tunai Janji
KUALA TERENGGANU, 7 Jun- Rakyat Terengganu berharap agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya bertindak adil dan melunaskan semua pembayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti petroleum kepada kerajaan negeri menurut jadual yang telah ditetapkan.
Rata-rata yang ditemui berkata, sudah tiba masanya wang royalti diserahkan sepenuhnya kepada Terengganu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini.
Seorang peniaga rempah di Pasar Besar Kedai Payang , Nur Ahmad Muhammad, 35, berkata, apabila peruntukan yang sepatutnya disalurkan kerajaan pusat diterima oleh kerajaan negeri, sudah pasti pelbagai manfaat yang akan diperolehi rakyat.
Justeru katanya atas semangat federalisme, kerajaan Persekutuan dan negeri patut menyelesaikan isu DKKP dengan berhemah supaya tidak merugikan nasib rakyat dan Terengganu.
“Sebagai peniaga kita mengharapkan sesuatu yang baik dari pihak kerajaan, contohnya dengan naik taraf ruang-ruang niaga, tambah baik fasiliti dan sebagainya bagi membolehkan kami berniaga dengan selesa sekali gus meningkatkan ekonomi negeri.
“Sudah pasti, pembayaran DKKP oleh kerajaan pusat mengikut jadual yang telah ditetapkan sangat membantu untuk kemajuan rakyat dan Negeri Terengganu dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan, kebajikan, pendidikan, sukan dan lain-lain,” ujarnya kepada pemberita di premis perniagaannya, hari ini.
Sementara itu, Siti Maisarah Taib, 43, yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid meminta kerajaan Persekutuan memulangkan hak rakyat Terengganu.
“Bagi saya, sepatutnya DKKP dipulangkanlah kepada Negeri Terengganu demi untuk kepentingan rakyat.
“Royalti ini hasil Negeri Terengganu, jadi sewajarnya dikembalikan untuk rakyat.
“Kita tengok hari ini masih ada lagi pembayaran untuk kebajikan rakyat seperti bantuan banjir yang belum boleh disalurkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri disebabkan kekangan kewangan ekoran bayaran baki DKKP yang belum dilunaskan kerajaan pusat,” ujarnya.
07 Jun 23
1209
MB Tak Termakan ‘Game Plan’ Ahmad Said
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan beliau tidak termakan dengan permainan atau ‘game plan’ politik Pengerusi Umno Terengganu yang kini giat menimbulkan pelbagai isu.
07 Jun 23
194
Warga Emas 'Gagah' Demi Kecintaan Terhadap Wau
Mencipta wau yang bukan sahaja mampu menegak dan menongkah angin tetapi juga dengan hiasan yang indah serta berseni menuntut kemahiran yang tinggi.
06 Jun 23
184
Himpunan 4x4 Terengganu Zahirkan Sokongan Pemilik Kepada Program Kebajikan
KUALA NERUS, 6 Jun- Kehadiran lebih 200 peserta dalam Himpunan 4x4 Negeri Terengganu 2023 semalam menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi pemilik pacuan empat roda itu terhadap program-program kebajikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kehadiran mereka juga adalah satu mesej dan harapan agar parti PAS terus mantap mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat keseluruhannya.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan jawatankuasa dan ahli kelab 4x4 di daerah masing-masing yang sentiasa komited membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
“Pemilik pacuan empat roda ini bukan hanya menggunakan kenderaan mereka untuk tujuan peribadi sahaja tetapi berkhidmat untuk masyarakat, buktinya ketika berlaku bencana banjir kumpulan inilah antara yang menonjol menghulurkan bantuan bukan hanya di Terengganu tetapi di luar negeri.
“Inilah sebenarnya hasrat kita agar saling memberi manfaat kepada orang lain melalui sumbangan yang boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk,” ujarnya ketika berucap merasmikan Himpunan 4x4 Negeri Terengganu 2023 di Pantai Teluk Ketapang, disini.
Sementara itu, pengarah program tersebut Abdul Rahim Embong berkata, ianya bukan sahaja bertujuan mengumpulkan dan menyatukan pemilik kenderaan 4x4, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Program dibawah Lajnah Tarbiyyah PAS Negeri Terengganu kali ini melibatkan lebih 100 kenderaan 4x4 dan pesertanya terdiri daripada pemilik dan keluarga masing-masing.
“Antara pengisiannya termasuk gotong-royong membersihkan kawasan pantai, pertandingan memanah dan juga perarakan kenderaan 4x4 bermula dari Pasarnita ke Pantai Teluk Ketapang,” ujarnya.
Katanya, sebanyak 10 buah kelab 4x4 di negeri ini yang bernaung dibawah Terengganu Adventure Group (TAG) mengambil bahagian antaranya Ranggok, Padat, Evergreen dan lain-lain.
06 Jun 23
407