lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Konsert Tular : Kerajaan Minta Penjelasan Pengurusan UMT
Konsert Tular : Kerajaan Minta Penjelasan Pengurusan UMT
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kerajaan Terengganu akan meminta penjelasan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung video tular sekumpulan mahasiswa sedang rancak menari ketika berhibur.  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan kerana ternyata ia telah melanggar garis panduan hiburan yang ditetapkan kerajaan negeri. "Tidak patut perkara ini berlaku di sebuah universiti, lagipun ia masih tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri walaupun dilakukan dalam kawasan persendirian (universiti) masih lagi terikat dengan garis panduan dan dasar-dasar kerajaan negeri,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program 'Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri tidak menghalang sebarang acara hiburan ataupun konsert diadakan namun ia mestilah perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. "Kita telah mengedarkan  Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah kepada semua jabatan serta seluruh agensi kerajaan sebagai rujukan," ujarnya.
14 Jun 23
3074
SSL Beras Terengganu Meningkat, Exco Jawab 'Kerisauan' NGO P.Pinang
SSL Beras Terengganu Meningkat, Exco Jawab 'Kerisauan' NGO P.Pinang
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras berjaya ditingkatkan saban tahun, jawab Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri terhadap 'kerisauan' sebuah NGO dari Pulau Pinang. Kata Dr Azman Ibrahim, Kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk meningkatkan hasil padi negeri bersandarkan kepada Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023. “Pada tahun 2018 SSL beras mencatatkan 43 peratus dan meningkat kepada 48 peratus pada 2019, 53 peratus (2020), 58 peratus (2021) dan 60 peratus (2022),” ujarnya bagi mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa tanah sawah di Terengganu semakin susut disebabkan projek pembangunan dan komersial. Dalam kenyataan itu, CAP bimbang masalah tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah terbabit, tetapi juga berlaku kepupusan tanah pertanian serta menjejaskan sumber makanan untuk rakyat dan masa depan sektor pertanian negara. Justeru Dr Azman memaklumkan, mengekalkan kawasan padi sedia ada merupakan antara strategi kerajaan negeri untuk mempertingkatkan hasil padi Terengganu. “Kerajaan Negeri mempunyai prosedur ketat untuk tukar syarat guna tanah. Pandangan Jabatan Teknikal seperti Plan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan lain-lain akan dinilai. Tanah yang digunakan sebagai kawasan pertanian aktif pengeluaran makanan tidak akan diluluskan untuk kegunaan lain seperti perumahan atau komersial,” tegasnya. Tambah beliau, dari aspek pembangunan infra pula, Kerajaan Negeri memperuntukan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya. “Bagi tahun ini pula, lebih RM6 juta diperuntukan kepada JPS bagi tujuan menaik taraf dan menyelenggara sistem pengairan sawah padi,” ujarnya. Selain itu katanya, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang dalam proses perluasan jelapang padi Terengganu dari 5000 hektar kepada 10000 hektar.  “Kilang padi di Daerah Besut sebagai jelapang padi utama Terengganu yang dulunya hanya dua buah pada tahun 2018 sekarang telah menjadi empat buah kilang,” ujarnya.
14 Jun 23
292
Akademi DUAT Bantu Sempurnakan Ibadah Korban
Akademi DUAT Bantu Sempurnakan Ibadah Korban
KUALA NERUS, 13 Jun - Kerajaan negeri melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT)  memperkenalkan pendekatan secara menyeluruh bagi membantu rakyat Terengganu membuat persiapan Hari Raya Aidiladha secara lebih terancang dengan penganjuran program-program berkaitan Fiqh Ibadah Korban. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, inisiatif itu membolehkan rakyat negeri ini tanpa mengira latarbelakang menyertai mana-mana program Fiqh Ibadah Korban yang terdekat seterusnya membolehkan mereka membuat persiapan dengan rapi dengan ilmu yang disampaikan. "Saya yakin bahawa program sebegini memudahkan orang ramai mengulangkaji kembali modul Fiqh Ibadah Korban sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya pada Majlis Perasmian Diskusi Fiqh Korban bertempat di Masjid Seberang Takir, dekat sini, semalam.  Tambahnya lagi, variasi program disusun setiap kali tibanya hari kebesaran umat Islam dengan jemputan pakar-pakar dan figura agama yang tersohor, misalnya program kali ini menampilkan Ahli Panel Klinik Hukum Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Ustaz Abu Usamah Muhammad Hanafiah. Mohd Nor juga menyatakan hasratnya agar Akademi DUAT tampil sebagai platform Dakwah Islamiyyah yang kontemporari demi menyuburkan lagi syiar Islam di negeri ini.   "Akhirnya, diharapkan setiap peserta akan bijak merancang amalan-amalan sepanjang Hari Tasrik dan lebih menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan di dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita.  "Di samping itu, begitu juga dalam menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan tentang perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam," katanya.
14 Jun 23
310
YIT, PUSPEN Jalin Kerjasama Tambahbaik Darul Barakah
YIT, PUSPEN Jalin Kerjasama Tambahbaik Darul Barakah
Oleh : Suhaimi Taib BESUT, 13 Jun - Kerajaan negeri berusaha untuk menambahbaik Pusat Pemulihan Penagih Dadah secara holistik di  Perkampungan Darul Barakah Cador, Kampung Temala, Pengkalan Berangan Marang dengan mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Raja di sini pada Khamis. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata dengan adanya kunjungan tersebut hubungan antara kedua agensi penting itu dijalinkan dengan bertukar-tukar fikiran bagi mengatasi masalah penagihan dadah di negeri ini. “Pusat pemulihan dadah di bawah Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan dengan kerjasama erat antara kedua-dua agensi itu akan memberi impak yang baik untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika berucap dalam majlis taklimat di PUSPEN.  Turut serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Ustaz Mohd Soud Said dan beberapa pegawai dari YIT dan IMits. Untuk rekod lawatan tersebut merupakan lawatan kedua kerajaan negeri bertujuan memperkukuhkan hubungan dan menimba ilmu serta pengalaman mengurus pusat pemulihan dadah di Terengganu. Rombongan tersebut melawat asrama klien (pelatih), bengkel kerja besi, masjid dan pejabat pentadbiran PUSPEN. Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membenarkan masjid di PUSPEN didirikan solat jumaat sebagaimana masjid-masjid daerah yang lain.  
13 Jun 23
494
Lebih 100 Peserta Jayakan ‘Bidong Beach And Sea Cleanup 2023’
Lebih 100 Peserta Jayakan ‘Bidong Beach And Sea Cleanup 2023’
KUALA NERUS, 13 Jun- Lebih 100 peserta menjayakan program ‘Bidong Beach And Sea Cleanup 2023’ anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, di pesisir pulau tersebut, kelmarin.  Antara yang mengambil bahagian dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua jabatan itu termasuk kakitangan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Pejabat Daerah Setiu, Pejabat Perhilitan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Pengarah MPTNT, YM Tengku Mohd Arifin Tengku A.Rahman berkata, aktiviti berkenaan dilakukan sebagai usaha untuk meningkatkan semangat kesukarelawanan antara penjawat awam Kerajaan Terengganu, Pihak Berkuasa Tempatan serta warga universiti.  Tambah beliau, pada masa sama inisiatif berkenaan juga selari dengan kesedaran MPTNT terhadap kelestarian alam sekitar. “Aktiviti pembersihan itu membabitkan kawasan sekitar pantai Pulau Bidong sehingga ke tapak peninggalan pelarian Vietnam dan kawasan dasar laut meliputi Projek ‘First Asean Underwater Mini Landmark‘ (AUMIL), " katanya Katanya, Pulau Bidong yang terletak di Terengganu mempunyai pemandangan yang cukup indah dan sesuai dijadikan sebagai lokasi pilihan untuk individu yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi. “Selain itu, ia juga amat terkenal dalam kalangan pencinta sejarah yang mahu melihat sendiri tapak peninggalan orang hanyut Vietnam yang menghuni pulau berkenaan pada Ogos 1978 hingga 1991,” jelasnya.
13 Jun 23
218
PMINT Bangunkan Empat Projek Perumahan Komersial
PMINT Bangunkan Empat Projek Perumahan Komersial
KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) kini membangunkan empat projek perumahan komersial bernilai RM82.8 juta melibatkan 223 unit rumah di Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman, berkata, projek yang melibatkan pelbagai jenis rumah dibangunkan di empat daerah itu bagi menampung permintaan dan keperluan pasaran ketika ini. Menurutnya, empat projek tersebut ialah di Residensi Tembesu, Kuala Nerus melibatkan 96 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM38.3 juta. "Kita juga ada 68 unit rumah di Perumahan KP Perdana Fasa 7, Kuala Terengganu yang bernilai RM26.45 juta serta 36 unit rumah di Bandar Baru Kerteh, Kemaman bernilai RM9.4 juta. "Selain itu, kita turut membina 23 unit rumah bernilai RM8.6 juta di Seberang Paka, Dungun," katanya kepada pemberita. Dalam masa yang sama PMINT juga memainkan peranannya dalam meninjau potensi untuk memajukan hartanah di Terengganu. Tambah beliau, pihaknya melihat potensi dan peluang yang ada untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan komersial terutama yang bernilai lingkungan RM350,000 hingga RM500,000. "Permintaan sangat tinggi terutama di kawasan Kerteh yang terkenal dengan industri petroleum dan gas kerana penduduk di kawasan itu memiliki kuasa beli yang tinggi,”katanya lagi. Justeru itu, Wan Adnan yakin sekiranya projek perumahan komersial yang lengkap dengan infrastruktur akan melonjakkan permintaan hartanah di kawasan tersebut.
13 Jun 23
444
Terengganu, TNB Genco Kaji Potensi Bina Loji Solar Terapung
Terengganu, TNB Genco Kaji Potensi Bina Loji Solar Terapung
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bagi pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung di Tasik Kenyir. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, kajian kebolehlaksanaan tersebut penting untuk mengenalpasti beberapa aspek kritikal sebelum projek loji solar terapung berkapasiti 1,000 mega watt (MW) itu diputuskan sama ada boleh diteruskan atau tidak. “MoU ini perlu dibuat memandangkan projek yang dirancang itu besar, jadi TI buat MoU dengan TNB Genco iaitu pihak yang pakar dalam bidang ini. “Lepas kajian selesai, kita akan buat beberapa keputusan penting terhadap perlaksanaan seterusnya termasuk mencari dan menentukan rakan kongsi yang berminat samada Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita sendiri atau pelabur luar,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Affairs 2023) di Hotel Paya Bunga, hari ini. Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Terengganu Inc berkata, projek berkeluasan 2,000 hektar dan dijangka bakal menelan kos lebih RM1 bilion itu dirancang untuk dibina di Tasik Kenyir sebagai mengoptimumkan penggunaan kawasan tersebut yang berkeluasan satu per tiga Singapura. Sementara itu, Pengarah Eksekutif TI, Burhanuddin Hilmi berkata, kajian tersebut akan dimulakan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang dan dijangka bakal mengambil masa selama lapan hingga 12 bulan untuk disiapkan.  
12 Jun 23
475
Agihan Kerusi PN Selesai 97 peratus
Agihan Kerusi PN Selesai 97 peratus
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan agihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai 97 peratus setakat ini. Katanya, beberapa kerusi yang masih berbaki akan diputuskan dalam tempoh terdekat. “Selepas perbincangan akhir pada 5 Jun lalu, kita telah selesai (agihan) 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi. Ada lima atau enam kerusi yang tidak selesai lagi. Pilihanraya pun belum lagi, ada masa lagi untuk kita selesai. "Bakinya (agihan) akan siap sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Affairs 2023) di Hotel Paya Bunga, hari ini. Sementara itu, proses agihan kerusi di Terengganu pula katanya sudah mencapai 99 peratus. "Di Terengganu, agihan kerusi telah 99 peratus selesai. Satu kerusi je belum yang pastinya bukan kerusi DUN Rhu Rendang," katanya.  
12 Jun 23
153
Anak Muda Perlu Berani Teroka Bidang Keusahawanan
Anak Muda Perlu Berani Teroka Bidang Keusahawanan
KUALA NERUS, 12 Jun - Kerajaan negeri berharap lebih ramai golongan muda berani meneroka bidang keusahawanan serta menceburi bidang berkenaan dengan menggunakan segala peluang yang disediakan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, besar harapan pihak kerajaan negeri agar anak muda menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya yang diminati dan bukan pilihan terakhir setelah gagal mendapatkan sebarang pekerjaan. "Harapan saya agar akan lahir lebih ramai usahawan muda dan saya sangat berbesar hati apabila semua agensi-agensi melalui Sekretariat Pembangunan Ushawan Terengganu (PEUTER) bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengambil langkah bersama iaitu terus memburu usahawan-usahawan ini untuk dibantu. "Kita tidak mahu bidang keusahawanan ini dijadikan pilihan terakhir setelah gagal ditemuduga untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta mahupun kerajaan, kerana itu kita akan sentiasa berusaha bagi memastikan bidang ini diminati oleh rakyat khususnya anak-anak muda negeri kita," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2022, di Dewan Baiduri 1, Raia Hotel, di sini, baru-baru ini. Menurutnya majlis yang diadakan itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada agensi-agensi dibawah Peuter serta panel penilai yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan Anugerah Ushawan Terengganu 2022 yang diadakan baru-baru ini. Katanya, ia melibatkan 40 agensi antaranya Jabatan Kebudayaan & Keseniaan negara, Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tourism, Bank Negara Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), SIRIM, MARA, dan pelbagai agensi-agensi lainnya di bawa Peuter. "Alhamdulillah sehingga sekarang tidak ada yang mempertikaikan calon yang diisytiharkan pemenang, ini menandakan komitmen dan kerja kuat daripada semua agensi ini yang telah melahirkan keputusan yang tepat bagi setiap kategori yang dimenangi oleh calon-calon. "Dengan memastikan mereka yang benar-benar terbaik sahaja dinobarkan menjadi pemenang AUT 2022 baru-baru ini,"ujarnya.    
12 Jun 23
451
Perantau Gembira, Mahu Kerajaan Sedia Ada Kekal
Perantau Gembira, Mahu Kerajaan Sedia Ada Kekal
PASIR GUDANG, 10 Jun - Rata-rata anak perantau Terengganu berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri hari ini dan mahu ia dikekalkan. Perantau yang berasal dari Pulau Serai, Dungun Wan Mohd Syazwan Mohd Zamri mengakui dia berbangga dengan prestasi cemerlang dan pelbagai perubahan yang dibawa PAS.  "Saya sangat berpuas hati saya rasa sangat rugi jika rakyat sama ada yang berada dalam negeri ataupun yang merantau tidak mengundi atau memilih kerajaan sekarang. "Sebenarnya yang mendakwa tiada pembangunan ini dia ada masalah hati yang payah hendak diubati setelah dibuat pelbagai kebaikan pun masih kata 'dok molek' sedangkan banyak kebaikan telah dilakukan. "Kita ambil satu contoh mengenai manifesto menyediakan lesen motosikal percuma perkara itu sangat baik sehingga Kerajaan Persekutuan pun turut menawarkan perkara ini untuk dilaksanakan," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman dalam program Dialog dan Jamuan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, di Dewan Serbaguna Taman Nusa Damai, di sini, hari ini. Tambah Syazwan lagi kerajaan hari ini juga telah melakukan perubahan yang besar dari sudut mendidik rakyat melalui program-program keagamaan dan hiburan beeterakan agama. Hal ini jelasnya telah memberi impak perubahan cukup besar dalam kalangan rakyat. "Ini juga membezakan Terengganu dengan negeri yang lain misalnya ketika menghampiri waktu Solat Jumaat semua peniaga termasuk bangsa Cina dan India dah faham sehingga tiada masalah untuk menghentikan operasi perniagaan. "Sangat relevan dan sangat bersetuju kerajaan sekarang dikekalkan kerana telah membawa perubahan dari pelbagai sudut berteraskan agama sama ada dari segi ekonomi, pembangunan, pendidikan dan sebagainya," ujarnya. Seorang lagi perantau yang berasal dari Seberang Takir, Nazwanie Muda, 35, juga turut menzahirkan perasaan bangga dengan Kerajaan Terengganu hari ini di samping membawa perubahan juga turut mencaknai kebaikan rakyat. "Alhamdulillah, saya tengok kerajaan sekarang adalah pilihan yang baik untuk rakyat melalui semua manifesto yang dijanjikan telah ditunai serta sedang berjalan, ini menunjukkan pimpinan memberi komitmen yang tinggi, tiada istilah 'curi tulang' kerana membuat kerja masing-masing. "Lebih mengembirakan apa yang dinikmati oleh rakyat yang berada dalam negeri turut kami rasai antaranya Skim Permata Sejahtera, walaupun berada jauh dari negeri sendiri masih tetap merasai keistimewaan sebagai rakyat Terengganu, segala apa yang dilakukan telah cukup bagus," ujarnya. Dalam pada itu dia yang telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kota Masai II menyifatkan pertemuan bersama perantau pada hari sangat bermakna dan terasa dihargai.  "Nampak kerajaan sekarang bersungguh-sungguh seolahnya memberikan satu jawapan kenapa ia perlu dikekalkan untuk terus membawa agenda kebaikan, kebajikan dan pembangunan untuk diteruskan pada masa-masa mendatang," ujarnya.
10 Jun 23
267