Artikel "Semasa" Terkini
Penjara Dua Tahun Menanti Kaki Ponteng Solat Jumaat
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Lelaki Muslim di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat tanpa alasan munasabah berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata tindakan itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016, yang berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu.
Menurutnya, sebelum pindaan dibuat, hanya mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut akan dikenakan tindakan.
“Namun kini, kegagalan hadir walaupun sekali sahaja tanpa alasan munasabah sudah boleh diambil tindakan.
“Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar, tetapi lambang kekuatan umat. Hukuman hanya akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir sekiranya individu tetap culas selepas diberi peringatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagi memastikan kewajipan itu tidak diabaikan, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memasang kain rentang peringatan di perkarangan masjid setiap daerah.
Usaha itu jelas beliau bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam masa sama katanya, tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan hasil laporan orang awam, rondaan mahupun operasi bersepadu JHEAT bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Dr. Muhammad Khalil turut menyeru masyarakat melihat pelaksanaan undang-undang ini sebagai langkah mendidik dan menjaga martabat Islam, khususnya bagi membentuk kefahaman generasi muda.
Beliau menjelaskan, seksyen berkaitan sebenarnya telah wujud sejak Enakmen Jenayah Syariah 2001, sebelum diperkemaskan melalui pindaan pada tahun 2016.
18 Aug 25
657
Selamatkan Generasi Muda Daripada Terjebak LGBT, Dadah, Vape
Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat, khususnya golongan belia, daripada terjebak dalam gejala songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penyalahgunaan dadah serta penggunaan rokok elektronik (vape) berlandaskan panduan Islam.
17 Aug 25
67
TNEXT Strategi Kurangkan Kebergantungan Royalti Petroleum Terengganu
Pelaksanaan Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) bakal menjadi pemangkin utama kepada usaha negeri mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum melalui pembangunan sektor tenaga, teknologi hijau dan pelaburan strategik yang menjana pendapatan baharu.
17 Aug 25
66
Pelan Strategik Akan Direalisasi
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik negeri, khususnya di bawah Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) akan direalisasikan dengan tindakan konkrit.
17 Aug 25
42
Selamatkan Generasi Muda Daripada Terjebak LGBT, Dadah, Vape
KUALA NERUS, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat, khususnya golongan belia, daripada terjebak dalam gejala songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penyalahgunaan dadah serta penggunaan rokok elektronik (vape) berlandaskan panduan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata usaha pencegahan akan digiatkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat.
“Ini adalah tanggungjawab agama, dan Terengganu meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi. Kita melihat penyelesaian kepada masalah ini tidak lain dan tidak bukan adalah melalui agama.
Dalam konteks kerajaan, fokus kita bukan sekadar membincangkan masalah, tetapi mencari penyelesaiannya melalui undang-undang Islam. Kita telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah (EJS) walaupun belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, namun kita laksanakan setakat yang mampu.
Selain itu, kita turut mengambil langkah-langkah kesedaran melalui program seperti hari ini, yang melibatkan ceramah dan penerangan kepada seluruh rakyat, khususnya golongan muda termasuk pelajar sekolah dan universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Cakna Sosial Terengganu: Cegah Sebelum Parah di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil memaklumkan bahawa program tersebut merupakan kali pertama dianjurkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha merancakkan penerangan mengenai bahaya gejala LGBT, penyalahgunaan dadah dan vape.
“Insya-Allah, program ini akan diperluas ke daerah-daerah lain mengikut pembahagian zon – tengah, utara dan selatan.
“Fokus utama adalah kepada remaja dan belia, khususnya pelajar sekolah menengah serta mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi berhampiran,” ujarnya.
14 Aug 25
93
Hamil Anak Luar Nikah, Kes Pertama Selepas Pindaan Pelihara Keturunan
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Kes pertama melibatkan Seksyen 29A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang baru dipinda pada 2022 telah direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menandakan langkah tegas kerajaan negeri dalam menjaga maslahah keturunan dan kehormatan nasab.
Seorang lelaki berusia 22 tahun dan pasangannya, 20 tahun, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Nazri Yusof atas kesalahan berkaitan hamil dan melahirkan anak luar nikah.
Tertuduh wanita didakwa di bawah Seksyen 29A(1) kerana melahirkan anak luar nikah pada Ogos tahun lalu, manakala tertuduh lelaki didakwa di bawah Seksyen 29A(2) kerana menyebabkan seorang perempuan melahirkan anak luar nikah berdasarkan hasil ujian DNA.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz memaklumkan, tertuduh wanita telah membayar denda RM2,300, manakala tertuduh lelaki dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman penjara selama 3 bulan kerana gagal melunaskan denda yang dikenakan.
“Kesalahan ini amat berat kerana bercanggah dengan Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga keturunan (hifz al-nasab). Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada pelbagai implikasi dalam isu pewalian, faraid dan keturunan,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini bukan sekadar hukuman, tetapi sebahagian daripada usaha pendidikan dan pencegahan yang dilaksanakan.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak remaja agar tidak terjebak dengan kesalahan ini. Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan juga telah melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi membendung gejala ini sebelum ia berlaku,” ujarnya lagi.
Dengan pelaksanaan pindaan ini, Terengganu menghantar mesej jelas bahawa isu menjaga maruah dan nasab bukan sekadar tanggungjawab peribadi, tetapi agenda penting dalam membina masyarakat yang bermoral dan berdisiplin.
14 Aug 25
10947
Pelan Strategik Akan Direalisasi
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik negeri, khususnya di bawah Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) akan direalisasikan dengan tindakan konkrit.
Beliau menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik itu bukanlah sekadar pelancaran tanpa hasil seperti yang disindir sesetengah pihak.
"Ada juga suara-suara kecil yang terpencil dengan sinis menyebut bahawa bermacam dasar dan perancangan strategik negeri telah dilancarkan. Tetapi, mananya pembangunan yang dibawa?.
"Tak apalah, mungkin makna sebuah pembangunan pun mereka keliru. Mungkin ini juga maksud peribahasa Melayu, 'agak lebih daripada agih' - iaitu banyak bicara tetapi sedikit kerja.
"Yang penting, kita dengan berjiwa besar menjadikan sindiran mereka sebagai kata semangat untuk kita terus bekerja.
"Yang nyata apa yang kita jadikan dasar dan pelan srategik ini, semuanya sedang dilaksanakan dengan cermat, insya-Allah," katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025, semalam.
Tambahnya lagi, pentadbiran negeri juga tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila projek-projek terbengkalai menjadi 'gajah putih' akibat perbalahan dan dendam politik.
Menteri Besar turut menyeru rakyat, penjawat awam dan pelabur untuk memainkan peranan dengan sepenuhnya demi memastikan masa depan Terengganu untuk generasi akan datang.
"Sehebat mana pun dasar dan pelan yang dirancang, tetapi tanpa sokongan penjawat awam yang cekap, pelabur yang yakin dan rakyat yang menyertainya, ianya hanya tinggal sebagai dokumen yang cantik dalam bentuk 'publication' semata-mata.
"Idea yang mulia tidak akan hidup tanpa tindakan. Gerakkan ia, hidupkan idea-idea ini dan biarkan geloranya membina masa depan kita yang diimpi-impikan.
"Oleh yang demikian marilah kita sama-sama merealisasikanya agar anak-anak dan generasi akan datang di negeri ini dapat berbangga dengan kita," pesannya.
14 Aug 25
93
TNEXT Strategi Kurangkan Kebergantungan Royalti Petroleum Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Pelaksanaan Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) bakal menjadi pemangkin utama kepada usaha negeri mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum melalui pembangunan sektor tenaga, teknologi hijau dan pelaburan strategik yang menjana pendapatan baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sebahagian besar pendapatan baharu negeri bakal disumbang daripada industri tenaga.
“Apabila pendapatan baharu ini diperoleh, ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada hasil petroleum.
"Kita menetapkan tempoh lima tahun, selari dengan dasar sehingga tahun 2030 dan meneruskan dasar sedia ada bagi mencapai matlamat yang telah digariskan.
"Pada tahun 2024, pendapatan baharu kita telah meningkat kepada RM77 juta. Sementara itu, setakat Jun tahun ini sahaja, kita telah berjaya mencatat RM62 juta, angka ini sudah mewakili pencapaian separuh tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.
Melihat kepada perkembangan positif tersebut, beliau yakin kerajaan negeri mampu menjana lebih RM100 juta pendapatan baharu sekali gus memperkukuh sumber hasil bukan cukai negeri bagi tahun 2025.
"Dan sekarang ini kita rasa kita optimis dengan sasaran kita kalau untuk 2030 nanti kita akan sasarkan berjumlah RM530 juta pendapatan baharu, bukan pendapatan keseluruhan," katanya.
Mengulas lebih lanjut, antara fokus lain TNEXT adalah memperkukuh industri tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menjadi sumber hasil utama negeri.
Menurutnya, negeri Terengganu menjadi antara penyumbang terbesar kepada tenaga di peringkat nasional berikutan penjanaan tenaga menjangkau keperluan negeri sendiri yang hanya berjumlah 365 megawatts (MW).
"Antaranya yang terkini, yang telah ada adalah daripada jana kuasa Tasik Kenyir berjumlah 665MW, solar hybrid di Marang berjumlah 100MW dan akan datang ke negeri Terengganu yang akan dikeluarkan melalui green hydrogen, 80MW.
"Yang paling baru yang telah diumumkan bulan lalu, 'floating' solar di Tasik Kenyir berjumlah 600MW dan keseluruhannya berjumlah 2.5 gigawatts (GW).
"Juga dimaklumkan akan berlaku adalah projek jana kuasa di Paka 1 dan 2 yang mempunyai kapasiti 1,400MW setiap satu. Maka, jika dicampurkan keseluruhan jumlah tenaga yang dikeluarkan oleh negeri Terengganu berjumlah 6.1 gigawatts," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif menjelaskan bahawa penjanaan 600MW di Tasik Kenyir berupaya memberikan pendapatan langsung sebanyak RM34 juta setahun kepada negeri melalui pembayaran balik berkanun.
"Tidak termasuk lagi kemungkinan dividen hasil daripada penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dalam projek berkenaan, melalui Terengganu Incorporated (TI).
"Yang saya sebut RM34 juta ini adalah 'statutory repayment' sahaja. Jadi kalau tuan-tuan bayangkan, 600MW sahaja kita dapat RM34 juta. 2.5GW, itu berganda," jelasnya.
14 Aug 25
762
TDM Salur RM1.16 Juta Untung Sawit Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – TDM Berhad hari ini mengumumkan pembayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, jumlah tersebut adalah hasil kejayaan Projek Tanaman Kelapa Sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman, yang diuruskan bersama sejak hampir tiga dekad lalu.
“Usaha sama strategik antara TDM dan LTAWNT adalah contoh terbaik bagaimana kolaborasi antara sektor korporat dan kerajaan negeri dapat memaksimumkan potensi industri perladangan negara.
“Kejayaan ini bukan sahaja memberi pulangan kewangan yang mampan kepada kedua-dua pihak, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, serta memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Penyerahan replika cek disempurnakan oleh Najman kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A. Rahman @ Yusof, dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham; dan Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja.
Najman menjelaskan, projek yang diusahakan TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) itu melibatkan pengurusan kawasan seluas 1,336 hektar milik LTAWNT di Ladang Air Puteh sejak perjanjian dimeterai pada tahun 1996.
“Kejayaan berterusan ini membuktikan kekuatan model perniagaan TDM yang mampu mengekalkan prestasi positif walaupun berdepan cabaran harga komoditi global yang tidak menentu.
“Selain memberi pulangan kewangan yang signifikan, TDM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri meningkatkan produktiviti tanah terbiar, memacu kelestarian pertanian melalui amalan perladangan mampan, dan memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar.
“Sebagai kumpulan berteraskan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM kekal komited meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu, dan memastikan setiap projek memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat.
“Dengan asas yang kukuh, TDM yakin kerjasama bersama LTAWNT akan terus berkembang menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi negeri Terengganu pada masa hadapan,” ujarnya.
13 Aug 25
161
Terengganu Jangka Wujudkan Hingga 3,000 Peluang Kerja Sektor Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Terengganu menyasarkan penciptaan antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga hijau menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelan Terengganu New Economy Transformation (T-Next).
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata, potensi sektor tenaga hijau jauh melangkaui penghasilan tenaga semata-mata, dengan rantaian pertengahan (midstream) dijangka menjadi pemacu utama pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Kalau hanya menjual tenaga elektrik kepada grid, peluang pekerjaan yang diwujudkan sangat kecil, satu ladang solar mungkin hanya memerlukan tiga hingga empat orang pekerja. Tetapi apabila kita kembangkan kepada ‘midstream’ tenaga hijau dan sektor berkaitan lain, unjuran kita menunjukkan sehingga 2,000 hingga 3,000 pekerjaan baharu dapat diwujudkan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif.
Menurut Dr. Mohd Hanif, peralihan kepada tenaga hijau bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memberi kesan rantaian nilai yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
"Langkah ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, khususnya generasi muda," katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun peluang pekerjaan tersebut belum ketara pada masa ini, ia dijangka mula dirasai dalam tempoh dua tahun lagi apabila infrastruktur utama siap dibangunkan.
“Sekarang rakyat belum nampak kerana kita sedang membina infrastrukturnya. Dalam dua tahun, kita percaya peluang itu akan mula jelas. Malah, kita sudah berbincang dengan MIDA supaya projek-projek tenaga di Terengganu mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja diambil daripada rakyat negeri ini,” ujarnya.
13 Aug 25
1521