Artikel "Semasa" Terkini
KUTT Dilantik Agensi Hentian Setempat
Kerajaan negeri melantik Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) secara rasminya sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) untuk semua permohonan permit bagi kerja-kerja korek gali di seluruh Terengganu.
27 Dec 23
133
Mahkamah Utama Syariah Bakal Dibina di Terengganu
Kerajaan Negeri Terengganu berdasarkan belanjawan baru-baru ini telah mengumumkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah bagi membantu sistem kehakiman syariah di negeri ini.
27 Dec 23
98
Andartu Jaga Anak Angkat Tergolong Sebagai Ibu Tunggal
Andartu (golongan wanita lanjut usia) yang membesarkan anak angkat termasuk golongan ibu tunggal di negeri ini.
26 Dec 23
114
'Harta Boleh Dicari, Nyawa Tiada Pengganti'
HULU TERENGGANU, 26 Disember - "Harta bila-bila boleh dicari tetapi sekiranya hilang nyawa, tiada pengganti, pindahlah walaupun berpengalaman hadapi situasi banjir," ujar Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar.
Beliau berkata secara umumnya operasi menyelamat dan memindah mangsa terjejas banjir berjalan lancar di sepanjang berlakunya gelombang banjir ketiga sejak Sabtu lalu.
Bagaimanapun, terdapat cabaran besar yang dihadapi pihaknya termasuklah berdepan dengan mangsa yang enggan berpindah walaupun kawasan atau kediaman mereka telah dinaiki air.
Katanya, kebanyakan mereka akan memberikan pelbagai alasan terutama sekali keyakinan atas pengalaman mereka berdepan banjir sebelum ini.
"Ada antara mereka yang beritahu sudah 30 tahun tinggal di sini dan ikut pengalaman, banjir sebegini hanya bertahan satu malam.
"Keesokan paginya air akan surut macam biasa jadi tak perlu pindah ," katanya kepada pemberita selepas melawat Kampung Bukit Tok Bat di sini hari ini.
Tambah beliau, matlamat utama mereka adalah menyelamatkan mangsa walaupun terpaksa ‘menahan rasa’ ketika memujuk serta merayu supaya mangsa bersetuju berpindah segera jika situasi semakin tidak terkawal.
Sementara itu, Kuala Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir menjadi kesemua lapan daerah di negeri ini terjejas dengan bah gelombang ketiga bermula sejak Sabtu lalu.
Setakat jam 8 malam ini, seramai 10,258 mangsa daripada 2,871 keluarga berada di 118 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.
26 Dec 23
220
Dua PPS Dinaiki Air, lebih 400 Dipindahkan
HULU TERENGGANU, 26 Disember - Seramai 447 mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, terpaksa dipindahkan selepas PPS berkenaan turut dinaiki air, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, dua PPS tersebut adalah PPS Batu 23(146 mangsa) ke Sekolah Kebangsaan Seri Berang dan PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil (301 mangsa )ke SMK Menerong.
"Pemindahan semua mangsa banjir di PPS tersebut dilakukan pasukan penyelamat melibatkan anggota Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan di lokasi terjejas banjir di Kampung Bukit Tok Bat.
Sementara itu, beliau berkata hasil pemantauan setakat petang ini, paras air bertahan namun di Hulu Berang, keadaan air masih lagi tinggi.
"Saya difahamkan aliran air deras dan menuju ke arah Kuala Berang atau terus ke Kuala Terengganu.
"Di Besut dan Setiu, trend air sungai menurun jadi bilangan mangsa banjir pun statik namun berbeza di Kemaman.
"Di Kemaman menunjukkan trend air sungai utama menaik dan air dari hulu juga turun agak laju ke kawasan Kuala Kemaman," ujarnya.
Justeru itu, Hassan menasihatkan mereka yang tiggal di kawasan rendah yang sentiasa berwaspada dan sedia untuk berpindah jika diarahkan.
26 Dec 23
1397
Tiga Sekawan Ubahsuai Motosikal Guna Hos Mesin Basuh Redah Banjir
HULU TERENGGANU,26 Disember - Hebat dan kreatif, bermodalkan RM8, tiga anak muda di Kampung Pengkalan Ajal, berjaya mengubah suai motosikal milik mereka dengan memasang hos mesin basuh pada bahagian enjin karburator supaya dapat digerakkan ketika meredah banjir.
Muhammad Hanif Azhar Abdullah, 22 berkata, dia dan rakan-rakannya terfikir idea untuk mengubahsuai motosikal jenis Honda EX5 itu bagi memudahkan pergerakan untuk pemindahan ke lokasi selamat apabila kawasan kampung mula dinaiki air.
Menurutnya yang dibantu dua lagi rakan iaitu Mohd Rizuan Zailan, 22 dan Fakrol Hafizee Mazlan, 18, memasang hos pada enjin motosikal untuk membolehkan ia bergerak ketika meredah air banjir.
"Kami terfikir untuk pasang hos tu lagipun kosnya murah dan mudah didapati dalam masa dua hari sebelum banjir melanda bagi membantu penduduk angkat barangan penting ke tempat selamat.
"Lagipun kalau nak pindah dan bawa barang-barang ke PPS (pusat pemindahan sementara) dengan berjalan kaki redah air agak jauh bagi penduduk di kampung ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Tambahnya lagi, hasil selepas diubahsuai, motosikal tersebut boleh meredah banjir sehingga air ke paras bahagian 'handle' motor.
"Biasanya, kalau air dah naik motosikal lain tak boleh lalu, tapi kali ini boleh lepas dengan selamat,"ujarnya.
Setakat jam 2 petang pada Selasa, seramai 10,283 mangsa banjir dari 2,817 keluarga dipindahkan ke 130 buah PPS di tujuh daerah di Terengganu.
26 Dec 23
502
Lebih 10,000 Penduduk Terengganu Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Situasi banjir di negeri ini makin kritikal apabila jumlah mangsa melepasi angka 10,000.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 12 tengahari ini menyaksikan 10,643 mangsa daripada 2,913 keluarga berlindung di 134 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.
“Hulu Terengganu menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 3,133 mangsa daripada 895 keluarga terpaksa dipindahkan ke 34 PPS berbanding hanya 768 orang (257 keluarga) petang semalam.
“Banjir di daerah Dungun juga semakin buruk dengan mangsa terus bertambah kepada 2,357 orang (625 keluarga) di 27 PPS berbanding 1,220 orang (319 keluarga) sebelum ini,” katanya.
Di Besut katanya, mangsa terus meningkat dengan mendadak iaitu 1,712 orang (384 keluarga) di 27 PPS berbanding hanya 240 orang (53 keluarga) petang semalam.
Beliau berkata, banjir di Setiu juga semakin buruk apabila 2,280 mangsa (661 keluarga) kini dipindahkan ke 31 PPS berbanding hanya 302 orang (85 keluarga) sebelum ini.
“Begitu juga berlaku di daerah Kemaman apabila mangsa bertambah kepada 1,068 orang (322 keluarga) di 10 PPS berbanding hanya 361 orang (113 keluarga) petang semalam.
“Namun, banjir masih terkawal di daerah Marang kerana hanya 68 mangsa daripada 18 keluarga berada di dua PPS berbanding 12 orang daripada tiga keluarga di satu PPS sebelum ini manakala di Kuala Nerus, mangsa yang berpindah hanya 25 orang (lapan keluarga) di tiga PPS,” katanya.
26 Dec 23
191
Banjir: Patuhi SOP Covid-19 Ketika Berada di PPS
HULU TERENGGANU, 26 Disember - Polis menasihatkan mangsa-mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata setiap PPS ada menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan untuk pantau mangsa banjir.
"Jadi bila mangsa tiba untuk daftar, pegawai terbabit akan buat pemeriksaan lebih awal dan pemantauan ketat terhadap tahap kesihatan mereka.
"Kalau tahap kesihatan mangsa banjir kurang memuaskan kita cadangkan mereka dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut",katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemantauan ke PPS Kampung Bukit Tok Bat, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai yang sedang bercuti di luar kawasan dan rumah mereka terjejas dengan banjir, menghubungi pihak berkuasa supaya dapat memantau kediaman mereka.
"Mangsa banjir tidak perlu bimbang tentang keselamatan (harta benda) kerana kita beri jaminan pemantauan akan dilakukan setiap masa," ujarnya.
Banjir yang melanda Terengganu sejak empat hari lalu semakin buruk apabila 10,278 mangsa dipindahkan membabitkan 2,791 keluarga dan 134 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) buka setakat jam 12.00 tengahari tadi.
26 Dec 23
142
14 Stesen Aras Air Di Terengganu Lepasi Baras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Sebanyak 14 Stesen di 11 sungai Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi ini susulan hujan berterusan sejak Jumaat lepas.
Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan, di Daerah Besut stesen terlibat termasuk Sungai Besut di Jambatan Keruak yang mencapai paras 35.34 meter (m), Sungai Besut di Kampung La di paras 22.56m.
“Manakala di Daerah Setiu, Sungai Nerus di Kampung Langkap mencatat paras 21.76m, Sungai Nerus di Kampung Bukit di paras 13.84m sementara Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri mencatat paras 9.21m.
"Di Daerah Hulu Terengganu pula, Sungai Berang di Kampung Menerong telah mencapai paras 25.68m, Sungai Peneh di Felda Mengkawang (38.01m), Sungai Tersat di Kampung Sekayu (22.43m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping pula mencatat paras 21.06m," ujarnya.
Menurut laporan itu, tiga stesen di Daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak mencapai paras 18.68m, Sungai Kemaman di Jambatan Air putih di paras 14.40m dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman mencatat paras 4.24m.
"Sementara, Sungai Terengganu di Drawbridge Kuala Terengganu mencatat paras 2.27m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun mencatat di paras 13.88m," katanya.
26 Dec 23
484
Banjir Hulu Terengganu: TNB Tutup Bekalan Elektrik di Dua Lokasi
HULU TERENGGANU, 26 Disember - Susulan banjir buruk yang melanda Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik di kawasan tersebut pada Isnin.
TNB dalam satu kenyataan berkata, penutupan bekalan itu bermula jam 11.30 malam semalam.
"Manakala satu lagi lokasi melibatkan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah yang terpaksa ditutup bekalan elektrik awal pagi tadi.
"Langkah itu bagi memastikan keselamatan para pengguna," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Kua akan diberi bekalan elektrik menggunakan 'portable genset' 5kW.
26 Dec 23
655