Artikel "Semasa" Terkini
Bah di Terengganu Semakin Memburuk, Mangsa Meningkat
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding semalam.
Kuala Nerus menjadi daerah terbaru dilanda banjir gelombang ketiga kali ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di tujuh daerah meningkat kepada 8,808 orang daripada 2,402 keluarga setakat 8
pagi ini.
Menurutnya, Hulu Terengganu menjadi daerah paling terjejas dengan 3,005 mangsa daripada 874 keluarga ditempatkan di 34 PPS, diikuti Dungun melibatkan 1,725 mangsa (444 keluarga) berteduh di 25 PPS dan seramai 1,609 mangsa (364 keluarga) ditempatkan di 24 PPS di Besut.
Di Setiu, 1,432 mangsa (410 keluarga) berada di 30 PPS, di Kemaman, 964 mangsa (290 keluarga) berlindung di 10 PPS dan di Marang seramai 48 mangsa (12 keluarga) di dua PPS.
Manakala di Kuala Nerus hanya 25 mangsa daripada lapan keluarga di tiga PPS.
26 Dec 23
187
14 Jalan Terjejas Banjir Di Hulu Terengganu Ditutup
KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Sebanyak 14 jalan di daerah ini ditutup kepada kenderaan selepas tenggelam akibat banjir.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintenden Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, jalan-jalan yang ditutup itu ditenggelami air antara sedalam 0.25 hingga 1.25 meter (m).
Katanya, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 12 jalan ditutup kepada semua kenderaan manakala dua ditutup untuk kenderaan ringan.
“Ia membabitkan Jalan Kampung Jak yang dinaiki air sedalam 1.25m sepanjang 350m ditutup kepada semua kenderaan. Begitu juga dengan Jalan Kampung Pengkalan Ajal melibatkan laluan sejauh 300m dengan paras air 1.1m.
“Jalan yang ditutup bagi semua kenderaan turut melibatkan laluan sejauh 250 meter di Jalan Kampung Batu 24 serta Jalan Kampung Nibong dan Jalan Kampung Bukit Tadok-Paloh Nyior yang dinaiki air 0.5m sejauh 200m.
“Laluan lain yang turut ditutup kepada semua kenderaan juga ialah Jalan Kampung Tapah Felcra Bukit Kapah, Jalan Kampung Kepah-Kuala Ping, Jalan Kampung Felca Pasir Pelata, Jalan Kampung Pereh-Menerong, Jalan Kampung Felcra Bentong, Jalan Kampung Kua – Pengkalan Ajal serta Jalan Persimpangan Paya Besar, ” ujarnya.
Katanya, jalan ditutup kepada kenderaan ringan pula ialah Jalan Paya Besar yang dinaiki air sejauh 300 meter serta Jalan Kampung Lubuk Periuk-Kampung Felda Mengkawang membabitkan laluan sejauh 100m.
26 Dec 23
425
Ibu Dukung Bayi Redah Banjir 200 Meter Ke Pusat Pemindahan
HULU TERENGGANU, 25 Disember - Meredah air paras pinggang sejauh 200 meter ke pusat pemindahan sambil mendukung bayi yang berusia 3 bulan, itu antara detik cemas yang terpaksa diharungi seorang ibu muda apabila rumahnya dinaiki air semalam.
Fatin Noor Shahira Mohd Fadli, 26, dari Kampung Pengkalan Ajal berkata dia terpaksa meredah air banjir itu pada kira-kira 11 pagi sambil mendukung bayinya Bibi Afia Mohd Sabri.
Manakala anak sulung berusia 10 tahun memimpin adiknya berusia enam tahun meredah banjir sejauh 200 meter ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
"Melihat keadaan semakin membimbangkan, saya empat beranak nekad meredah banjir untuk ke PPS Kampung Pengkalan Ajal kerana kedudukan rumah berhampiran Sungai Berang, sememangnya berisiko untuk berlakunya limpahan air sungai secara mendadak.
"Mujur limpahan air berlaku pada waktu siang iaitu kira-kira 11 pagi semalam dan ia memudahkan saya untuk membawa tiga anak ke PPS dengan selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Tambahnya, paras air ketika itu mencecah 0.5 meter dan tidak mustahil untuk naik mendadak susulan hujan lebat yang masih tidak berhenti.
"Lebih baik pindah awal sebab jika malam air naik lagi tinggi, ia akan menyukarkan pergerakan kami sekeluarga...yang penting keselamatan anak-anak lebih diutamakan," katanya.
25 Dec 23
267
Rezeki Banjir, 4 Sekawan Dapat Ikan Kelah Merah Hampir RM3 Ribu
HULU TERENGGANU, 25 Disember - Bak kata orang, kalau sudah rezeki pasti tidak salah alamat. Itulah nasib yang menimpa seorang anak muda yang dikenali sebagai Mohammad Hafifi Abu Bakar yang berusia 32, berasal dari Kampung Pengkalan Ajil, di sini.
Dia dan tiga lagi rakannya berjaya mendapat Ikan Kelah merah atau nama saintifiknya, Tor putitora satu-satunya spesies liar di habitat sungai yang paling mahal di pasaran negara ini.
Katanya, banjir yang melanda kampung tersebut bulan ini membawa tuah di sebalik menanggung kesusahan yang menimpa dirinya serta penduduk di situ yang menjadi mangsa banjir akibat limpahan air Sungai Berang.
Berkongsi cerita, setiap kali banjir, dia dan rakan-rakanya, Khairuddin Hassan, Alias Hassan dan Lokman Abd Razak akan mengambil kesempatan untuk memasang pukat sambil berharap pada tuah untuk memperoleh ikan liar untuk dijual bagi menampung pendapatan dan perbelanjaan selepas ditimpa banjir.
"Dalam pukul 5 petang semalam, kami turun ke sungai Berang tidak jauh dari rumah untuk mencuba nasib sambil berharap ada rezeki ikan liar terperangkap dalam jaringnya.
"Pada mulanya tak perasan lehadiran ikan kelah dan bila tersedar, saya mula pasang pukat kembali. Alhamdulillah tak sangka dapat ikan Kelah Merah yang cukup bernilai di pasaran," katanya ketika ditemui pemberita .
Tambahnya, dia dan rakan-rakan terpegun melihat ikan kelah merah bersaiz besar itu seberat 19kg yang tidak pernah ditangkapnya sejak dia memulakan hobi memukat setiap kali banjir.
Berdasarkan pasaran semasa, harga sekilogram ikan kelah merah ialah RM150 hingga RM200 bagi ikan yang sudah mati dan menurutnya anggaran keuntungan yang diperolehnya adalah hampir RM3,000 seekor.
"Hasil yang akan diperolehi akan kami agih bersama termasuk peraih dan seorang lagi iaitu pemilik pukat.
"Berkongsi rezeki menjadi keutamaan disaat banjir melanda semoga dapat meringankan lagi beban bersama," katanya.
25 Dec 23
2331
Penduduk Lali Dengan Banjir
HULU TERENGGANU, 24 Disember - Penduduk Kampung Pengkalan Ajal di sini sudah lali dengan banjir yang melanda sehingga tiga kali dalam tempoh setahun dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS).
Setiap kali ditimpa musibah itu, penduduk bukan sahaja menanggung kerugian apabila banyak kelengkapan rumah dan harta benda rosak, malah terpaksa berkorban masa dan keringat membersihkan rumah.
Salah seorang mangsa banjir, Roslin Mohamad, 58, berkata, saban tahun mereka sekeluarga berdepan dengan banjir sejak dia kecil lagi.
"Memang setiap kali musim tengkujuh kami menjadi penghuni setia di PPS dan pernah berlindung di sini lebih dari lima hari.
"Walaupun agak memenatkan kami tidak serik untuk berpindah ke PPS kerana kami mungkin akan mengalami kesukaran jika tidak berpindah," katanya ketika ditemui di PPS Pengkalan Ajal, di sini, hari ini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia sudah serik dengan banjir yang besar tetapi apakan daya kerana ia adalah fenomena alam yang tidak boleh dihalang.
"Apa yang penting saya sekeluarga sudah berada di tempat selamat walaupun pusat pemindahan sementara ini juga mungkin terperangkap seperti tahun lepas," ujarnya.
Manakala Ruzita Sulong, 51, berkata setiap kali berlaku banjir mesti ada barang yang rosak tidak dapat diselamatkan.
"Bagaimanapun kali ini saya sekeluarga memindahkan barang ke tempat selamat dengan segera apabila hujan lebat berterusan.
"Apabila hujan lebat pada Sabtu, saya mula berkemas barang untuk dipindahkan," katanya.
Dalam kejadian banjir pagi ini seramai 139 penduduk daripada 74 keluarga di kampung itu dipindahkan ke PPS, selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat limpahan Sungai Berang.
24 Dec 23
95
Banjir Gelombang Ketiga Landa Terengganu, 340 Mangsa Dipindahkan Ke PPS
KUALA TERENGGANU, 24 Disember- Terengganu mula mengalami banjir gelombang ketiga dengan daerah Marang, Dungun dan Setiu mula terjejas berikutan hujan lebat tanpa henti selama hampir 24 jam sejak pagi semalam.
Setakat pukul 10 pagi ini, seramai 340 mangsa daripada 91 keluarga sudah berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga daerah terbabit.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 303 mangsa daripada 84 keluarga berada di empat PPS di Dungun manakala 12 mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS di Marang.
“PPS pertama dibuka ialah pada pukul 9.30 malam tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Dungun yang menempatkan 21 mangsa daripada lima keluarga.
“PPS kedua dibuka ialah di Dewan Sivik Wakaf Tapai, daerah Marang iaitu pada pukul 10 malam tadi (12 mangsa daripada tiga keluarga).
“Seterusnya PPS ketiga dibuka ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor pada pukul 12 tengah malam yang menempatkan 69 mangsa daripada 17 keluarga kemudian diikuti Balairaya Bembam yang menempatkan dua mangsa daripada sebuah keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang menempatkan 84 mangsa daripada 28 keluarga,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PPS terbaru dibuka adalah di Setiu iaitu Balai Raya Kampung Seladang yang menempatkan 25 mangsa daripada empat keluarga.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini.
24 Dec 23
427
Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya - JPS
KUALA TERENGGANU, 24 Disember Empat Sungai di Terengganu mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya, selepas hujan berterusan membabitkan dua di Setiu dan masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Kemaman.
Bacaan dicatatkan setakat jam 8.15 pagi tadi berdasarkan laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membabitkan Sungai Nerus di Kampung Langkap merekodkan bacaan 21.74 meter berbanding paras bahaya 21.00 meter.
Sungai Setiu di Kampung Besut pula mencatat bacaan 17.73 meter, berbanding paras bahaya 17.5 meter.
Manakala Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu pula merekodkan bacaan 20.11 meter berbanding 19.7 meter paras bahaya.
Di Kemaman, Sungai Tebak di Jambatan Tebak mencatat bacaan 18.66 meter berbanding 18.5 meter paras bahaya.
Sementara itu, tujuh sungai mencatatkan bacaan pada paras amaran iaitu dua di Besut membabitkan Sungai Besut di Jambatan Besut dan Sungai Besut di Kampung La.
Lima sungai lain termasuk Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun, Sungai Berang di Kg. Menerong, Hulu Terengganu,
Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.
24 Dec 23
1022
Amaran Banjir di Terengganu, Bermula Esok Hingga 26 Disember
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai di Terengganu bermula 24 hingga 26 Disember ini.
JPS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan jangkaan banjir tersebut berlaku di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai iaitu dalam lingkungan lima kilometer (5km).
Di Daerah Besut, jangkaan banjir adalah pada 2 pagi (24 Disember) hingga 2 pagi 26 Disember dengan Sungai Besut melibatkan sekitar Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Keruak dan Kampung Pengkalan Nangka.
Manakala di Kemaman pula membabitkan Sungai Kijing iaitu di sekitar Kampung Sungai Mas, Kampung Pelantuh, Padang Kubu, Kampung Paman dan Kampung Sungai Pinang.
Jangkaan banjir di daerah sama juga melibatkan Sungai Kemaman iaitu di sekitar Jambatan Air Putih, Kampung Teladas, Kampung Darat Air Putih, Rumah Pam Paya Paman, Kampung Binjai, Kampung Bukit Mentok, Kampung Kubang Kurus dan Kampung Fikri.
Amaran banjir itu turut melibatkan Sungai Tebak di daerah sama meliputi kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Jambatan Tebak.
Sementara Sungai Tersat di daerah Hulu Terengganu pula, membabitkan kawasan sekitar KM 8 Jalan Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting dan Kampung Bukit Gemuruh.
Menurut JPS, banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan dan daerah lain yang tidak termasuk dalam amaran banjir monsun ini turut diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
"Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu.
23 Dec 23
496
PMINT Dan Anak Syarikat Nadi Penggerak Ekonomi Negeri
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - PMINT dan anak-anak syarikat kumpulannya kini diberi kepercayaan tinggi sebagai salah satu nadi penggerak ekonomi negeri.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, anak syarikat kerajaan negeri itu diharap melipatgandakan usaha dan kerja untuk meningkatkan pembangunan negeri.
“Keuntungan anak syarikat (GLC) Terengganu telah memberi pelbagai manfaat dalam membantu rakyat.
“Urus tadbir anak syarikat yang baik akan mampu menterjemahkan Corporate Social Responsibility (CSR) yang lebih banyak kepada masyarakat di negeri ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023, di sini hari ini.
Katanya, PMINT dan anak-anak syarikat kumpulan PMINT melalui sektor pembangunan hartanah, perlombongan Mineral dan REE, pertanian, pembuatan, pelancongan, perhotelan dan pengangkutan awam telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif.
“Kali ini kita bergerak dengan misi yang lebih besar. Jika penggal pertama, kita bergerak dengan gear satu, kali ini terus gear tiga...tentunya lebih banyak perkara yang lebih agresif perlu kita laksanakan.
“Saya juga berharap PMINT dan Kumpulan Anak Syarikat akan terus memperkasakan peranan untuk membantu kerajaan negeri dalam usaha mengalakkan pertumbuhan ekonomi, industri dan perdagangan dengan mengendalikan peluang perniagaan dalam industri yang lebih kompetitif,”ujarnya.
21 Dec 23
342
Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023 Sasar Lebih 20 Ribu Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Festival Riuh Kumpulan PMINT 2023 mensasarkan lebih 20,000 pengunjung ke program yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 23 Disember 2023.
Pengarah Programnya, Tuan Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata penganjuran festival yang julung-julung kalinya diadakan melibatkan sembilan buah anak syarikat Kumpulan PMINT iaitu Pertima, Permint Mineral, Permint Granite, TADC, Taman Tamadun Islam, Cas Ligas, P-EXCELL, PMINT Urus dan Paya Bunga HOTEL.
“Sepanjang tiga hari ini orang ramai akan disajikan dengan pelbagai acara menarik yang telah disusun bagi meriuhkan suasana di tengah bandar dan ianya pasti akan menjadi tumpuan para pengunjung untuk hadir.
“Antara acara yang disusun adalah Hot Wheels Tournament, MonsoonFun Walk, Bicara Murabbi, Foodtruck dan Pesta Makan.
“Kumpulan PMINT sendiri juga akan menawarkan pelbagai pengisian menarik mengikut syarikat masing-masing,“ katanya ketika berucap di majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, di sini hari ini.
Dalam majlis yang sama , turut dilaksanakann pelancaran label baru PERTIMA yang telah lama bertapak sejak penubuhan syarikat pada tahun 1972 .
Beliau yang juga Pengurus Besar PERTIMA Trengganu Sdn Bhd, berkata dengan penglabelan baru tersebut, ia akan memberi nafas baru kepada PERTIMA untuk menjadi peneraju utama dalam sektor pembuatan produk makanan dalam tin di Malaysia dan membina pasaran yang baik di peringkat global.
21 Dec 23
357