Artikel "Semasa" Terkini
Hijab Bukan Sekadar Sehelai Kain
Hijab bukan sekadar sehelai kain tetapi merupakan maruah kaum wanita.
26 Feb 24
89
Ahad Diangkat Sebagai Hari Batik Terengganu
Kerajaan Negeri mengisytiharkan bahawa Ahad akan dikenali sebagai hari batik di negeri ini.
26 Feb 24
125
10,000 Peminat Skuter 'Gegar' Terengganu
KUALA NERUS, 25 Februari - 10,000 peminat skuter dari seluruh negara memeriahkan program Scooterian Mega Gathering 2.0 yang berlangsung di Taman Tasik Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program yang sudah memasuki penganjuran kedua itu telah memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.
"Membabitkan pengusaha rumah inap, kedai makan dan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini semuanya merasai kesan serta impak kedatangan pelancong, antara porgram yang diadakan pada SGM kali ini ialah aktiviti santai ke destinasi wajib singgah di Terengganu.
"Dengan pelbagai program dan karnival yang terus diadakan di negeri ini telah menjadikan Terengganu kini menerima kunjungan hampir satu juta pelancong hanya dalam masa dua bulan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program SGM2.0.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihak kerajaan negeri tidak ada masalah untuk terus membantu pihak penganjur mengadakan program itu pada setiap tahun.
"Kita dapat lihat program pada kali ini memang betul-betul meriah dengan disedikana hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utamanya ialah pakej mengerjakan umrah dan tiga buah skuter," katanya.
Dalam pada itu pengarah program, Wan Mohd. Zulhafeeza Wan Mohd Yusof berkata, program selama dua hari itu terus diadakan kerana kejayaan edisi pertama lalu yang menerima sambutan luar biasa.
"Pada kali ini program ini telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), serta telah mendapat penyertaan bukan hanya peserta dari dalam negara bahkan luar negara yang datang dari Thailand dan Singapura," ujarnya.
25 Feb 24
2925
Ambil Kesempatan Hasilkan Patung Penyu Sendiri
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Rakyat digesa merebut peluang menghasilkan patung penyu sendiri bagi menambah pendapatan dengan menjadikannya sebagai cenderahati.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, adalah satu kerugiaan jika tidak ramai rakyat yang berusaha menghasilkannya kerana akan menyebabkan berlaku lambakan patung penyu dari luar termasuk dari Thailand.
"Jadi usahawan, para pengusaha kena ambil inisiatif hasilkan patung penyu sendiri.
"Kita dah angkat penyu sebagai ikon, jadi berusahalah bagi memastikan patung penyu yang dibeli oleh pelancong adalah dihasilkan sendiri oleh rakyat negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas merasmikan Karnival Beutiful Terengganu Malaysia (KBTM), di Dataran Shahbandar, di sini, kelmarin.
Mengulas lebih lanjut Razali berkata kerajaan negeri melalui Yaysan Pembangunan Usahawan (YPU) sudah tentu akan membantu sehabis daya mana-mana rakyat yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan menghasilkan penyu sendiri.
"Rebut peluang kerana keadaani Terenganu sekarang ini 'dok rilek' memang sibuk dengan pelbagai karnival.
"Saya yakin dan percaya, angka sasaran 4.5 juta pengunjung akan dapat dicapai lebih awal tidak akan sampai setahun kehadirang orang ramai masuk ke Terengganu,' ujarnya.
25 Feb 24
511
KBTM Sasar 150,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) yang diadakan selama empat hari bermula 22 hingga 25 Februari di Dataran Shahbandari dijangka dihadiri lebih 150,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu.
KBTM yang dianjurkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu menyajikan puluhan aktiviti antaranya jualan pakej pelancongan, persembahan silat, dikir barat, demontrasi anyaman kercut, wayang kulit, cabutan bertuah dan pelbagai lagi acara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata rekod tiga tahun sebelum ini sangat cemerlang kerana ia dihadiri lautan manusia.
"Penganjuran ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri di samping dapat memperkenalkan seni budaya dan warisan yang terdapat di Terengganu.
"Karnival ini juga menjadi platform bagi memperkenalkan dan memasarkan pakej serta perkhidmatan berkaitan pelancongan yang disediakan oleh para pemain industri kepada pengunjung karnival," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan, KBTM 2024, di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata peluang penganjuran KBTM ini perlu diambil kesempatan oleh semua pengusaha dan penggiat pelancongan.
"Platform inu sebagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus menjadikan KBTN ini sebagai satu peluang untuk memasarkan dan menjual produk, pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata jumlah pengunjung yang disasarkan akan dapat dicapai kerana diadakan sempena cuti sekolah dan turut dimeriahkan dengan 'Havoc Food Festival 2024'.
"Dengan penganjuran KBTM ini diharap dapat menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.
"Daripada 3.6 juta pada tahun lalu kepada penetapan sasaran baharu kerajaan pada tahun ini iaitu seramai 4.5 juta pelancong," ujarnya.
24 Feb 24
354
Ahad Diangkat Sebagai Hari Batik Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan Negeri mengisytiharkan bahawa Ahad akan dikenali sebagai hari batik di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, untuk fasa pertama pihaknya mengalakkan penjawat awam, pekerja swasta, usahawan dan mereka yang bekerja sendiri untuk memakai batik.
Katanya, ia merupakan inisiatif bagi memajukan kembali industri Batik Terengganu.
"Bagi mengangkat kembali Batik Terengganu yang saya fikir industrinya kini malap kerana kemasukan batik dari Pakistan, India dan sebagainya.
"Fasa pertama ini kita galakkan dahulu rakyat Terengganu pakai batik, untuk fasa kedua kita tengok bagaiamana nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata adalah diharapkan dengan menjadikan hari Ahad sebagai hari batik ia menjadi medium promosi kepada penghasilan Batik Terengganu yang selama ini merupakan salah satu produk bermutu tinggi dan berkualiti.
"Kita pilih Ahad kerana ia merupakan hari cuti bagi pelancong dari luar Terengganu, jadi apabila mereka hadir melihat rakyat negeri ini ramai memakai batik jadi dengan sendirinya tertarik dan ada keinginan untuk membelinya," ujarnya.
Jelasnya lagi, pihaknya akan berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri untuk membantu pengusaha.
"Kita sarankan kepada pengusaha buat yang 'simple sahaja' tidak payah buat semak-semak (banyak corak) supaya dapat dijual dengan murah dan dapat dimiliki oleh semua orang termasuk golongan B40," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, dengan memperkenalkan Ahad sebagai hari batik di negeri ini tidak akan mengubah arahan Kerajaan Malaysia mengenai kewajipan memakai batik pada setiap Khamis sepertimana yang telah diarahkan.
24 Feb 24
916
Awang Nelang, Mek Ara Jadi Maskot Penyu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Maskot Terengganu iaitu penyu jantan dan betina kini telah memiliki nama iaitu Awang Nelang dan Mek Ara.
Melalui Pertandingan Mencipta Nama Maskot Penyu, dua nama tersebut telah dipilih dan Norasyikin Sulong, 32, dari Kemaman serta Suraya Hanum Zarudin, 34, dari Selangor telah dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 beserta pakej pelancongan di Primula Beach Resort.
Norasyikin berkata, dia tidak menyangka pemilihan nama Awang Nelang kepada penyu jantan telah membawa tuah kepadanya.
"Tertarik dengan nama Awang kerana ia sinonim dengan panggilan untuk orang lelaki Terengganu, saya percaya nama itu juga menjadi pilihan kepada peserta yang lain kerana nama itu dekat dengan masyarakat di negeri ini.
"Manakala meletakkan 'Nelang' di belakangnya kerana ia membawa maksud berani atau gagah, bagi mengekalkan identiti 'Terengganu' Awang Nelang dijadikan pilihan saya kepada penyu jantan ini," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut di Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di sini, semalam.
Sementara itu bagi pemenang Pertandingan Mencipta Nama Maskot kategori penyu betina, Suraya berkata dia mengetahui pertandingan berkenaan melalui Facebook dengan syarat yang begitu mudah dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Mendapat ilham menamakan penyu betina sebagai 'Mek Ara' melalui pencarian dan bacaan daripada artikel di internet berkaitan Penyu Karah di Terengganu yang jarang dapat dilihat," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pada asasnya pihaknya sendiri ingin memberikan nama kepada maskot penyu itu namun akhirnya dibuka kepada orang ramai dengan lebih 1,300 menghantar penyertaan.
"Maskot ini kita akan bawa ke setiap daerah melalui untuk perkenalkan kepada seluruh pelancong dimana penyu ini telah menjadi ikon sejak dahulu.
"Bila disebut sahaja Terengganu pastinya orang akan ingat dan tahu mengenai penyu yang begitu sinonim dengan negeri ini," ujarnya.
24 Feb 24
2071
Kaji Sebelum Laksana Beras Putih Madani
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - "Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji secara mendalam terlebih dahulu sebelum melaksanakan Beras Putih Malaysia Madani," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.
Beliau berkata, sebelum ini sudah berlaku beberapa kes yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak diputuskan dengan baik.
“Kita tahu kerajaan mungkin ada kumpulan yang berbincang tetapi apabila Presiden Persatuan Peruncitan Malaysia, bos Mydin kata sendiri beliau tidak dilibatkan sebagai orang pengimport beras, jadi beras tu jadi dilema.
"Sepatutnya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa mereka mesti turun ke bawah pergi ke negeri-negeri dan buat pertemuan dengan Bernas supaya istilah di sini ‘jejak sungguh’ baru buat keputusan," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Walkabout Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bertempat di Centre Atrium, KTCC Mall di sini baru-baru ini.
Tambah Ariffin, pihak kerajaan perlu membuat penguatkuasaan di negeri-negeri yang menghasilkan beras.
“Ini kerana masih ada penanaman padi di Jabi, Besut kalau di Terengganu walaupun tidak banyak tapi alhamdulillah di Kelantan, Kedah, Selangor dan beberapa negeri mereka banyak sebenarnya mengeluarkan tanam padi sendiri, hasil itu ada.
“Jadi soalannya di mana padi itu (beras) yang dihasilkan, jadi sepatutnya penguatkuasaan oleh pihak kerajaan memastikan beras tempatan itu kekal dengan harga murah atau sama dengan harga antara RM24 hingga RM26 dan tidak RM30," katanya.
Jelasnya lagi, bila dipantau oleh banyak pihak dan mereka tidak boleh jawab kalau betul RM30 dan dengan keputusan itu adakah boleh bertahan lama beras tu sebab pelbagai isu sebenarnya yang (berlaku).
“Kita juga rasa malang sekali, bila saya sebut sesetengah negara mereka bagi subsidi bukan RM30 sepatutnya RM10 sahaja untuk 10 kilogram atau RM20 bagi orang susah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, perkara itu boleh dilakukan dengan mengenal pasti rakyat yang miskin menggunakan rekod di setiap negeri.
“Negeri kita sudah ada senarai kerajaan negeri dan pusat ada yang kita sebut eKasih. Orang yang ada eKasih, kerajaan buat satu kad untuk beli beras dengan harga RM30 ditolak RM20, kita boleh buat macam tu, benda tidak susah untuk dibuat sekarang ini.
“Sistem dia keluarkan kad pengenalan, kalau kad Touch N Go pun boleh buat apatah lagi kita meletakkan cip dalam cip, dia (rakyat) tunjuk kad pengenalan automatik boleh tolak RM20,” katanya.
Mengambil contoh luar negara, kata Ariffin yang juga Adun Alur Limbat, negara miskin mereka memberi subsidi melalui makanan ruji.
“Contohnya Mesir, roti tempayan dulu pernah (dijual) 5 sen kita orang luar beli pun 5 sen, sebiji yang RM3, tapi kalau beli di kedai harga RM1, jadi orang miskin boleh hidup orang kaya boleh hidup,” ujarnya.
22 Feb 24
334
Hanya Satu Hari Lagi Peluang Rakyat Namakan Maskot Penyu
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Hanya berbaki satu hari sahaja lagi peluang untuk rakyat negeri ini menamakan dua ekor penyu, satu jantan dan satu betina yang akan menjadi maskot pelancongan Terengganu.
Pertandingan berkenaan layak disertai oleh semua rakyat Malaysia yang berumur tujuh tahun ke atas kecuali kakitangan pelancongan Terengganu dan ahli keluarga tidak boleh menyertainya.
Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, hadiah yang dijanjikan ialah wang tunai RM500 dan juga pakej percutian yang menarik dan tarikh tutup pada 22 Februari sebelum jam 5 petang.
"Kita mengangkat kembali penyu ini kerana ia melambangkan negeri Terengganu kali ini dengan imej beridentitikan rakyat negeri pakai kain batik, pakai tudung jadi kita ketengahkan kembali ikon ini supaya memberi daya tarikan.
"Walaupun sebelum ini kita telah memperkenalkan penyu sebagai simbol pelancongan negeri tetapi pada kali ini kita memperkenalkannya melalui konsep serta nafas baru yang lebih menarik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, di sini, baru-baru ini.
Katanya, langkah mengangkat kembali reptilia itu sebagai ikon sangat bersesuaian dengan usaha kerajaan negeri memulihara haiwan tersebut yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
"Kita akan jadikan juga aktiviti melepaskan anak penyu sebagai aktiviti yang ada dalam kalendar pelancongan pada tahun ini dengan mengajak pelancong-pelancong untuk bersama-sama melepakan anak penyu.
"Bagi memberikan kesedaran dan memupuk kecintaan kepada penyu yang kita tahu sekarang ini mengalami ancaman kepupusan jadi kita mengharapkan melalui usaha pelepasan anak penyu yang dijalankan pada tahun-tahun sebelum ini akan memastikan meningkatnya kedatangan penyu yang dilepaskan," ujarnya.
20 Feb 24
1080
Akademi Alfateh Tekad Perkukuh Jati Diri Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Februari -Akademi Kepimpinan Al Fateh sedia meneruskan Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) bagi memperkukuhkan jati diri anak Terengganu mengikut acuan Islam setiap tahun.
Pengurus Akademi Kepimpinan Al Fateh, Ahmad Mukrim Adnan berkata, program yang telah dimulakan sejak tahun 2022 itu telah disertai lebih 1500 orang yang mengikuti program melalui intipati modul yang berkesan serta pelbagai aktiviti lasak yang menarik telah menjadi sebutan dan mendapat sambutan ramai.
"Bagi tirai 2024 yang sudah dibuka, pihak kami sekali lagi akan menganjurkan program yang berimpak tinggi ini kepada semua belia-beliawanis di Terengganu sepanjang tahun.
"Pengisiannya adalah meliputi 'tarbiyyah Islamiyyah, kenegaraan dan lain-lain bakal bertandang dan nantikan pengumuman terdekat dari Akademi kepimpinan Al-Fateh," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Akademi Kepimpinan Al-Fateh , Mukrim berkata ia merupakan organisasi yang menjadi salah satu mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang mendokong misi dan visi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.
"Diasaskan melalui hasrat Menteri Besar Terengganu dan ditubuhkan sebagai anak syarikat di bawah Menteri Besar Terengganu (Incorporated).
"Penubuhannya adalah menekankan kepada lima tonggak utama belia iaitu pembenteng agama, menjadi pemimpin masyarakat, pembimbing, pemikir dan peduli ummah.
"Cetusan nama Sultan Muhammad Alfateh diabadikan dalam akademi ini merupakan semangat kerajaan Terengganu bagi melahirkan belia dan beliawanis yang berkualiti," ujarnya.
20 Feb 24
540