Artikel "Semasa" Terkini
Sultan Mizan 'Underwater Photography 2024' Bermula 1 Mac
Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2024 yang akan bermula 1 Mac ini dijangka menarik lebih 1,000 penyertaan dari penggemar fotografi seluruh negara.
29 Feb 24
232
Bahagian Penjagaan Kesihatan Sumbang Kejayaan TDM
KUALA TERENGGANU, 27 Februari- TDM Berhad mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2023 (4QTK2023).
Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM Berhad menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan terus komited menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan berpatutan untuk komuniti.
“Bahagian perladangan pula akan terus memberi tumpuan kepada membina asas operasi yang kukuh bagi memastikan kelestarian jangka panjang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut memaklumkan, pada suku keempat tahun lalu pendapatan Kumpulan untuk tempoh tiga bulan yang berakhir pada 31 Disember 2023 meningkat sebanyak 8 peratus berbanding suku sebelumnya.
"Terutamanya disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM14.1 juta atau peningkatan sebanyak 18 peratus.
“TDM telah mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM24.2 juta dalam suku tersebut, iaitu penurunan sebanyak RM2.8 juta berbanding PBT sebanyak RM27.0 juta dalam suku tahun sebelumnya,” ujarnya.
Kenyataan tersebut turut menjelaskan, pada 12MTK2023, pendapatan Kumpulan sedikit berkurang sebanyak 3 peratus berbanding suku sebelumnya disebabkan oleh penurunan pendapatan dari Bahagian Perladangan sebanyak 22 peratus dan sebahagiannya diselaras dengan pendapatan yang lebih tinggi dari Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak 19 peratus.
“Kumpulan telah mencatatkan PBT sebanyak RM15 juta dalam tempoh tahun tersebut, berbanding dengan RM36.2 juta dalam tempoh sebelumnya,” ujarnya.
28 Feb 24
193
Terengganu Inc Peruntuk RM11 Juta Laksana CSR Tahun 2023
KUALA TERENGGANU, 28 Februari- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun 2023.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun berkata, jumlah itu berjaya memberi manfaat kepada sektor pendidikan, sukan, komuniti, agama, dan pemuliharaan alam sekitar di Terengganu.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah bantuan banjir, sokongan kewangan kepada ibu tunggal di semua lapan daerah, bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang layak, serta bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Palestin.
"Kita turut memberi sumbangan kepada pendidikan dan sukan termasuk biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship (YT-TI) untuk pelajar B40,
penajaan sukan kepada Terengganu Football Club (TFC), Terengganu Cycling Team (TSG), dan pelumba motorsikal muda negara, Hakim Danish Ramli.
"Kumpulan ini tetap teguh dalam misinya untuk memperkasa komuniti melalui inisiatif strategik dalam menyokong usaha CSR yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan rakyat Terengganu," katanya kepada pemberita di program 'Back To School' di Hotel Permai, semalam.
Dalam majlis tersebut, selain meraikan media Terengganu, seramai 30 pelajar dari keluarga kurang bernasib baik daripada Sekolah Kebangsaan Chendering telah menerima kit sekolah dengan barangan yang diperlukan untuk mereka berjaya secara akademik.
"Back To School sepatutnya menjadi masa yang menyeronokkan buat kanak-kanak, tetapi ia boleh menyebabkan cabaran kos buat ibu bapa.
"Matlamat kami adalah untuk
mengurangkan beban ini buat seisi keluarga dan memastikan pelajar dapat memulakan sekolah dengan persediaan sepenuhnya," katanya.
Dalam masa sama, Kumpulan Terengganu Inc turut komited untuk terus memberi sumbangan yang memberi impak pada tahun 2024, dengan perancangan penajaan kepada TFC, TSG, dan Pasukan Hoki Terengganu (THT).
28 Feb 24
309
Gerakan Cabar Undang-Undang Syariah Bawa Ancaman Dalam Negara
KUALA NERUS, 28 Februari -Gerakan mencabar Undang-Undang Syariah boleh mendatangkan ancaman yang serius kepada akidah dan syariah umat Islam di negara ini.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fahaman kumpulan aliran pemikiran yang menolak dan meragukan keabsahan undang-undang Islam itu perlu diberi perhatian dan ditangani dengan sewajarnya.
"Mereka ini berusaha untuk mencabar Undang-Undang Syariah dengan pelbagai cara, antaranya menganjurkan fahaman pluralisme agama yang menganggap semua adalah sama dan benar.
"Golongan ini juga cuba mengubah metodologi ijtihad dengan menolak atau mengabaikan sumber-sumber syariah seperti ijmak, qiyas, dan maqasid Syariah.
"Seterusnya mereka menentang hukum-hukum syariah yang berkaitan dengan moral, keluarga dan jenayah seperti aurat, poligami, hudud dan qisas dengan alasan hukum-hukum ini melanggar hak asasi manusia, kesamarataan gender dan kebebasan agama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata dalam menghadapi cabaran yang melanda, umat Islam perlu mengukuhkan diri dengan mengamalkan Islam yang sebenar dan bersih dari sebarang penyelewengan berasaskan kefahaman yang tepat berpandukan al-Quran.
"Menyedari potensi kekuatan al-Quran dalam sanubari hati umat Islam (menyebabkan) musuh-musuh Islam sentiasa mencari jalan dengan mencari keraguan untuk melihat umat ini meninggalkan kitab suci itu dan terumbang ambing dalam jahiliah tanpa pedoman dan petunjuk.
"Kewujudan gerakan kristianisasi, Islam Liberal, ajaran-ajaran sesat, sekularisme dan pelbagai ideologi yang bercanggah dengan syariat Islam bakal memerangkap manusia-manusia yang tiada pedoman dan sumber pegangan," katanya.
28 Feb 24
386
Aedes: 200 Kompaun Dikeluarkan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Sebanyak 200 kompaun bernilai RM100,000 dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu membabitkan pembiakan nyamuk Aedes di premis-premis diperiksa sehingga minggu epidemiologi (ME) kelapan 2024.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, 168 kompaun telah dibayar membabitkan kutipan berjumlah RM17,490.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, jabatan telah memeriksa 31,337 premis dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 649 premis dikesan positif terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk.
"Bagi kes demam denggi di Terengganu, sebanyak 60 kes direkodkan dari Januari hingga 24 Februari berbanding hanya 49 kes dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Ia adalah peningkatan sebanyak 11 kes atau 22.4 peratus," katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambahnya, dalam tempoh sama juga, sebanyak dua episod wabak denggi dilaporkan di Terengganu iaitu di Kampung Gaung Lubuk Kawah di Besut dan Taman Bukit Indah di Marang.
"Bagaimanapun, kedua-dua wabak itu adalah terkawal dengan dua kes demam denggi bagi setiap wabak tersebut dilaporkan setakat ini," katanya.
Tambahnya, sebanyak 19,604 premis telah dibuat semburan kabus setakat ini manakala 29,514 premis pula terlibat dengan semburan larvasiding.
Tambah beliau, kurang kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan kebersihan kawasan sekeliling menjadi antara faktor peningkatan kes demam denggi di Terengganu.
"Oleh itu, kita berharap pihak berkuasa tempatan akan mengadakan program gotong-royong bersama-sama masyarakat setempat untuk mencegah kawasan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berisiko.
"Setakat ini, sebanyak 66 siri gotong royong telah pun diadakan untuk mencari dan memusnahkan sarang pembiakan tersebut," katanya.
28 Feb 24
184
Sambutan Penubuhan 30 Tahun YPU Bermula 7 Mac Ini
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal menganjurkan Sambutan 30 Tahun YPU Terengganu dari 7 hingga 9 Mac 2024 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Afnida Aini Alwi berkata sambutan penubuhan YPU 30 Tahun diadakan buat pertama kali bagi mengimbau kembali asal penubuhannya sejak tahun 1994.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan sempena tiga dekad penubuhan YPU Terengganu ini.
“Pada hari pertama, 7 Mac, kami adakan majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pada sebelah malamnya pula ceramah agama yang akan disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus.
“Pelbagai acara sampingan lain turut disajikan kepada orang ramai antaranya Karnival Usahawan melibatkan hampir 150 lot termasuk pameran agensi serta jualan produk usahawan tempatan, ‘Batik Fun Walk’, Bicara Usahawan, Pertandingan Menghias Donut, Pertandingan Pakaian Beragam Batik Kanak-Kanak dan banyak lagi,” katanya.
Tambahnya, penyertaan para usahawan dan agensi yang mencecah seramai hampir 150 lot yang akan dibuka sepanjang berlangsungnya sambutan itu, ianya dijangka akan dapat menarik pengunjung untuk hadir.
“Bagi Galeri A, kami akan menempatkan sebanyak 60 lot agensi dan usahawan, manakala Galeri B pula 75 lot dengan melibatkan pameran-pameran agensi serta produk jualan yang terdiri daripada usahawan-usahawan Terengganu.
“Dijangkakan lebih 10,000 pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan ini yang akan berlangsung bermula 7 hingan 9 Mac 2024,” katanya.
28 Feb 24
380
Kerjasama Baik Antara Agensi Persekutuan, Negeri Perlu Diteruskan
Kerjasama erat antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang sedia terjalin sebelum ini perlu diteruskan demi kepentingan rakyat keseluruhannya.
27 Feb 24
78
10,000 Peminat Skuter 'Gegar' Terengganu
10,000 peminat skuter dari seluruh negara memeriahkan program Scooterian Mega Gathering 2.0 yang berlangsung di Taman Tasik Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus.
27 Feb 24
116
Laluan Berbasikal Kini Dibuka Kepada Orang Ramai
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Laluan basikal pertama di Terengganu yang bernilai kira-kira RM4 juta sepanjang 18.6 kilometer dua hala mula dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata laluan basikal tersebut turut mempunyai empat mercu tanda bermula daripada Bulatan Teluk Ketapang dan tamat di Belakang Sekolah Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) (Mercu Tanda 4).
"Laluan basikal yang mempunyai panjang 9.3 kilometer sehala ini juga merangkumi pembinaan trek basikal, perabot jalan, pagar, lampu jalan dan papan tanda.
"Dengan adanya kemudahan tersebut diharap akan membudayakan aktiviti berbasikal dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, serta melahirkan lebih ramat atlet berprestasi tinggi dari Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan & Perasmian Cadangan Penyediaan Laluan Basikal Dari Kuala Ibai Daerah Kuala Terengganu ke Teluk Ketapang bertempat di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.
Tambah beliau, penyediaan laluan basikal itu turut dilihat salah satu usaha daya tarikan pelancong.
"MBKT atau pengusaha hotel yang berdekatan boleh mewujudkan basikal untuk disewa atau dibuat pakej-pakej hotel yang merangkumi sewaan basikal disamping menikmati pemandangan di sepanjang laluan pantai," katanya lagi.
Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif ketika diminta mengulas tentang penyalahgunaan laluan basikal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, beliau memandang serius tentang perkara tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Kita akan memasang papan tanda amaran termasuk meletakkan batu penghadang bagi menghalang kenderaan bermotor menggunakannya selain mengenakan tindakan undang-undang setelah diwartakan.
"Orang ramai juga diminta bersikap sewajarnya sebelum melakukan perkara yang boleh merosakkan laluan basikal tersebut," katanya.
27 Feb 24
1665
Kerjasama Baik Antara Agensi Persekutuan, Negeri Perlu Diteruskan
MARANG, 26 Februari- Kerjasama erat antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang sedia terjalin sebelum ini perlu diteruskan demi kepentingan rakyat keseluruhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pengukuhan hubungan antara kedua-duanya bukan hanya dapat memberi manfaat kepada rakyat malah dapat memudahkan urusan agensi terlibat.
“Sedikit sebanyak halangan kita akan cari jalan yang terbaik untuk mengharmonikan dan akhirnya rakyat dapat manfaat.
“Walau siapa yang memerintah di persekutuan dan kerajaan mana yang mentadbir di peringkat negeri, kita semua hendak berkhidmat kepada rakyat.
“Dan Terengganu salah sebuah negeri yang berada dalam Malaysia, kita bergerak seiring jangan ada pemisah, tidak akan berjaya mana-mana program yang terpisah antara negeri dan persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Anggota Bagi Bulan Februari Tahun 2024 Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu di Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Payong, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Hasmila Abas.
Menurut beliau, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu antara agensi kerajaan persekutuan yang memberikan kerjasama baik kepada kerajaan negeri.
“Antaranya, LPP Negeri Terengganu telah menguruskan Skim Bantuan Modal Tani kita sejak daripada 2019 lagi dengan peruntukan memcecah RM5 juta setahun.
“Kita ada senarai usahawan Skim bantuan Modal tani yang berjaya di seluruh negeri, sentiasa kita turun padang untuk melihat perkembangan projek-projek yang dilaksanakan samada projek perikanan, penternakan dan pertanian.
“LPP juga sentiasa menerajui Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu sebagai urusetia dan sangat banyak kolaborasi yang telah kita jalankan bersama,” ujarnya.
26 Feb 24
215