lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pelajar UniSZA Nikmati Juadah Berbuka Puasa Percuma Sepanjang Ramadan
Pelajar UniSZA Nikmati Juadah Berbuka Puasa Percuma Sepanjang Ramadan
KUALA NERUS, 18 Mac  - Lebih 1,000 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijamu dengan juadah berbuka puasa yang disediakan oleh pelajar dan warga kerja UniSZA setiap hari sepanjang bulan Ramadan berlangsung. Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, penyediaan juadah berbuka puasa itu dibiayai dana hasil sumbangan dan kutipan dalam kalangan kakitangan UniSZA dan pelbagai lapisan masyarakat dengan membabitkan kos sebanyak RM216,000. Katanya, program tersebut dilihat berjaya dan seiring dengan objektif untuk mengimarahkan Ramadan yang istimewa buat semua warga pelajar dan kakitangan UniSZA. “Setiap hari, pelajar akan menyediakan sebanyak 1200 pek juadah Iftar untuk diagihkan  kepada pelajar di kampus Gong Badak. “Juadah iftar ini kita turut agihkan secara berbungkus kepada pelajar di Kampus Besut, Kampus Perubatan, Petugas Keselamatan, Pelajar Tadarus, Petugas Hospital Pengajar UniSZA, Komuniti Luar di sekitar kampus” katanya. Menurutnya, program itu membabitkan lebih 50 sukarelawan pelajar setiap hari yang akan bergotong royong memasak seawal jam 11 pagi sehingga jam lapan malam. "Pada masa sama dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain dalam menjayakan program ini secara konsisten," katanya. Dr. Fadzli Adam berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyediakan juadah makanan secara percuma bukan sahaja kepada pelajar dan staf UniSZA, malah juga kepada komuniti di sekitar kampus.
18 Mar 24
317
Polis Tubuh ‘Task Force’ Cegah Kes Curi Tabung Masjid
Polis Tubuh ‘Task Force’ Cegah Kes Curi Tabung Masjid
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Polis Terengganu menubuhkan pasukan petugas khas (task force) bagi mencegah kegiatan pecah dan curi tabung masjid di Terengganu sepanjang Ramadan kali ini. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, usaha itu dibuat menerusi kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). Beliau berkata pengaktifan semula Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) akan membantu polis membuat rondaan untuk mengekang jenayah tersebut selain menjamin keselamatan penduduk. “Pasukan khas ini akan mengadakan rondaan terutamanya pada waktu malam, manakala pada waktu siang rondaan akan dijalankan pihaknya menerusi program 1 Masjid 1 Polis,” katanya. Sementara itu katanya, jawatankuasa rumah ibadah khususnya masjid dan surau dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya. “Seperti memasang CCTV di kawasan strategik, menggunakan tabung yang diperbuat daripada bahan yang kukuh dan sentiasa mengutip sumbangan secara harian dan menyimpan di tempat yang lebih selamat,” ujarnya.    
18 Mar 24
163
Polis Pantau Dakwaan Gerakan Hidupkan Semula Ajaran Sesat 'Ayah Pin'
Polis Pantau Dakwaan Gerakan Hidupkan Semula Ajaran Sesat 'Ayah Pin'
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Polis Terengganu sentiasa memantau berhubung dakwaan terdapat gerakan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ di daerah Besut. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata setakat ini aktiviti di perkampungan Ayah Pin di Kg. Batu 13, Besut masih terkawal dan tidak mendatangkan implikasi kepada keselamatan penduduk setempat “Polis sentiasa memantau ajaran Ayah Pin dan ajaran-ajaran sesat yang lain di negeri Terengganu. “Pihak kami menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan perkembangan ini dan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan boleh hadir ke mana-mana,”ujarnya dalam satu kenyataan. Media sebelum ini melaporkan, terdapat cubaan pihak tertentu menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan 'Kerajaan Langit'. Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada 1997 telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran berkenaan sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.
18 Mar 24
166
Elak Jual Makanan Basi di Bazar Ramadan
Elak Jual Makanan Basi di Bazar Ramadan
MARANG, 17 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu ini agar tidak menjual makanan dan kuih-muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan kesihatan pengguna. Justeru itu katanya, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuka kaunter aduan di kesemua 55 bazar Ramadan di seluruh Terengganu. "Orang ramai dinasihatkan membuat aduan samada mengenai makanan atau harga kepada petugas PBT yang ditempatkan di setiap bazar Ramadan untuk tindakan selanjutnya. "Kita (kerajaan) berharap peniaga bazar Ramadan menyediakan juadah yang bersih dan tidak menjual semua jualan yang tidak habis pada keesokan hari...dan tidak meninggalkan imej buruk kepada negeri," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kebersihan Dan Keselamatan Makanan, di Bazar Ramadan Kampung Binjai Rendah, di sini, hari ini. Menurut Wan Sukairi, pihaknya ada menerima aduan tidak rasmi melibatkan kes keracunan dan makanan basi membabitkan peniaga bazar Ramadan pada kali ini. "Satu kejadian di Marang dan satu lagi di Kuala Terengganu namun tiada aduan diterima sehingga kini dan kita akan menyiasat kes keracunan dan makanan basi tersebut walaupun laporan rasmi belum dibuat,"ujarnya. Tambah Wan Sukairi lagi, pihaknya juga mengadakan kempen keselamatan mengenai peralatan yang digunakan seperti bahaya ubat stapler yang kini banyak digunakan bagi menggantikan lidi untuk pembungkusan makanan. "Pernah terjadi kes ubat stapler tersangkut pada halkom, oleh sebab itu penggunaannya perlu diambil kira atas faktor keselamatan," jelasnya.  
17 Mar 24
167
Cacat Penglihatan Tidak Halang Raih Pahala Ramadan
Cacat Penglihatan Tidak Halang Raih Pahala Ramadan
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Tidak nampak di mata, tetapi terang di hati, golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan  turut tidak mensia-siakan kehadiran bulan Ramadan dengan bertadarus menggunakan al-Quran Braille. Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, tadarus dilakukan dengan bimbingan 10 orang guru al Quran di pejabat Pertis yang terletak di Seberang Takir, Kuala Nerus. "Selain mempelajari tajwid dan membaca al Quran dengan tartil, guru juga akan memberi penerangan tentang kisah di sebalik turunnya sesuatu ayat tersebut. "Ini penting untuk kita lebih memahami dan menghayati sirah Rasulullah SAW dan kisah nabi-nabi yang lain untuk diambil iktibar. "Kami berazam untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al Quran pada setiap Ramadan sebagai tanda kesyukuran dan mahu menyemarakkan lagi kesucian bulan mulia ini," katanya ketika ditemui pemberita hari ini. Menurutnya, Pertis Terengganu mempunyai 400 orang namun setakat ini, hanya 70 ahli sahaja yang menyertai program tadarus Ramadan tersebut. Tambah Mohd Fauzi lagi, kelas Tadarus diadakan tiga kali setiap minggu dan menghimpunkan semua peserta yang datang dari seluruh Terengganu. "Insya-Allah, Pertis Terengganu sentiasa istiqamah dalam memperkasakan penguasaan OKU cacat penglihatan membaca al Quran melalui kelas tadarus sepanjang Ramadan ini," katanya.  
17 Mar 24
122
KSN Dilantik Pro Canselor UMT Baharu
KSN Dilantik Pro Canselor UMT Baharu
KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Mac lalu hingga 28 Februari 2027. Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pelantikan anak jati Terengganu itu telah mendapat perkenan Canselor UMT yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Menurut Mazlan, pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran kerajaan telah melayakkan Mohd Zuki menerima pelbagai anugerah sehingga dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019. “Dari segi latar belakang perkhidmatan, beliau juga pernah dilantik menyandang jawatan Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari 2006 hingga 2011 dan kemudiannya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2015 hingga 2016.  “Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak pada 2016 dan Timbalan Setiausaha Kanan Kerajaan pada 2019,” ujarnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Katanya, UMT yakin dengan pengalaman dan ketokohan Mohd Zuki, pelantikan tersebut akan membantu dalam melonjak citra UMT sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin yang terunggul dalam negara dan disegani global. Tambah beliau, selain Mohd Zuki UMT turut mempunyai seorang lagi Pro Canselor iaitu Tan Sri Samsudin Osman. Mohd Zuki memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.  
17 Mar 24
260
'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu
'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Rata-rata rakyat di negeri ini mahu Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menghentikan penganiayaan yang sedang berlaku dengan mengembalikan sepenuhnya royalti minyak Terengganu. Seorang peniaga, Mohd Shafia Yusof, 56, berkata tindakan menangguhkan bayaran itu bukan satu tindakan bijak tetapi ia menzalimi dan menyusahkan masyarakat Terengganu yang menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri. Katanya, melalui wang royalti segala kebajikan untuk rakyat seperti i-Belia, i-Fitri, i-Perantau, bantuan kewangan untuk orang kurang upaya (OKU) dan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS) dapat dilakukan. "Sebenarnya tindakan melambat-lambatkan wang royalti ini seolah-olah sengaja mahu mencipta persepsi serta pandangan kalangan rakyat bahawa kerajaan negeri tidak mampu menjaga rakyat sedangkan mereka (Kerajan Persekutuan) yang menafikan hak rakyat. "KIta minta supaya Kerajaan Pusat melunaskan semua hak rakyat yang tertunggak termasuk duit royalti ini," ujarnya ketika ditemui di Pasar Tani, Padang Hiliran, di sini semalam. Bagi Md Rani Awang, 65, Kerajaan Persekutuan hari ini dilihat terus bermain politik dengan 'membuli' rakyat Terengganu sedangkan mereka juga merupakan warganegara yang sah dan hidup di negara demokrasi. "KIta minta supaya jangan abaikan orang Terengganu yang majoritinya merupakan Melayu Islam, kerana apabila terus bermain politik menyebabkan hasrat untuk memberikan kebaikan kepada rakyat tidak tercapai. "Apatah lagi ia akan mengakibatkan orang Terengganu dianaktirikan dan akan menjadi rakyat paling miskin, jangan cuba beri tuba kepada rakyat," ujarnya. Dalam pada itu, Ramlah Abdullah, 61, berkata rakyat tidak ada masalah untuk terus menyokong pemerintahan kerajaan hari ini ini sekiranya berlaku adil kepada seluruh rakyat. "Tindakan menangguhkan duit royaliti ini menekan kami, maka kesianlah rakyat Terengganu, pelbagai bantuan tidak dapat disalurkan. "Harapnya tunaikanlah segala apa yang telah dijanjikan sebelum ini, sekarang ini rakyat melihat bahawa Perdana Menteri hanya pandai berjanji sebagaimana janjinya jika menang hari ini, esok minyak akan turun," ujarnya. Sementara itu, Ahmad Zahid Awang, 60, berkata perbezaan parti antara kerajaan negeri dan persekutuan tidak sewajarnya dijadikan isu bagi menafikan hak rakyat Terengganu. "Walaupun berbeza parti kena mempunyai semangat federalisme, kita ini tinggal dalam satu bumbung (negara) jadi kena layan sama rata antara anak sendiri dan anak tiri. "Kembalikan hak rakyat Terengganu kerana itu merupakan duit Terengganu yang menjadi hak semua orang di negeri ini untuk mendapat kebaikan daripada royalti itu," katanya. Mohd Shah Abdul Ghani pula berharap Kerajaan Persekutuan memberikan hak itu terus kepada kerajaan negeri ini untuk diuruskan. "Setahu saya sepatutnya kita menerima RM1.5 bilion, tetapi yang diterima hanya lebih RM600 juta sahaja setakat ini, jadi kita minta supaya disalurkan mengikut jadual demi kebaikan semua pihak," katanya.  
15 Mar 24
426
JHEAT Awasi ‘Geng Plastik Hitam’
JHEAT Awasi ‘Geng Plastik Hitam’
KUALA TERENGGANU,14 Mac – “Hati-hati  'Geng plastik hitam' yang tidak berpuasa, anda kini dalam 'radar' Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sepanjang Ramadan ini,” ujar Pesuruhjayanya, M. Rozi Bidin. Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan, terutama terhadap mereka yang ponteng puasa dengan menggerakkan pasukan penguatkuasa syariah di seluruh Terengganu Menurutnya, individu khususnya beragama Islam yang sengaja makan dan minum secara terbuka di khalayak ramai akan diambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan Undang-Undang Kesalahan Syariah. "Kesalahan menjual makanan kepada golongan berpuasa adalah melanggar peraturan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 (Seksyen 19). "Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi pemberita. Beliau berkata, bahagian Penguatkuasaan JHEAT dan Unit Penguatkuasaan di setiap daerah juga sentiasa memantau kawasan-kawasan serta kedai-kedai makanan yang dilaporkan menjalankan aktiviti menjual makanan dan minuman kepada ‘geng plastik hitam’. Justeru itu, semua umat Islam di negeri Terengganu dinasihatkan untuk melipatgandakan ibadah pada bulan ini serta menjauhkan diri dari terjebak dengan jenayah syariah terutamanya dalam kesalahan tidak menghormati Ramadan. Tahun lalu, JHEAT merekodkan dua tangkapan membabitkan geng plastik hitam iaitu masing-masing satu kes di Besut dan di Kuala Nerus.
14 Mar 24
325
UMT Peruntuk RM7,000 Untuk Juadah Iftar Pelajar Setiap Hari
UMT Peruntuk RM7,000 Untuk Juadah Iftar Pelajar Setiap Hari
KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) tidak melepaskan peluang untuk menyediakan iftar kepada mahasiswa yang memerlukan setiap tahun. Timbalan Pengarah PISM, Faizah Ismail berkata, pihaknya memperuntukkan RM7,000 bagi menyediakan juadah iftar kepada 500 hingga 1000 pelajar setiap hari.  “Tahun ini PISM, UMT akan meneruskan tradisi iftar ramadan untuk semua pelajar yang memerlukan. ”Tajaan iftar adalah sumbangan warga UMT sendiri sama ada melalui potongan gaji ke Tabung Infaq Ramadhan, sumbangan individu dan sumbangan Pusat Tanggungjawab,” ujarnya dalam satu kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat, UMT, hari ini. Mengulas lanjut katanya, konsep makan bertalam (makan dalam dulang) yang dikongsi antara empat hingga lima orang turut dikekalkan semasa iftar di PISM.  “Konsep ini adalah untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan walaupun ia dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda,” ujarnya. Sementara itu katanya, bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa menunaikan solat tarawih di masjid UMT, pihak PISM turut menyediakan kemudahan nurseri untuk kanak-kanak berumur dua tahun hingga lima tahun.  “Nurseri ini dibuka kepada staf UMT dan komuniti setempat yang mengikuti tarawih di PISM. “Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk anak-anak disamping peralatan mainan yang disediakan pihak PISM sendiri.  “Jagaan kanak-kanak ini turut dibantu oleh sukarelawan asnaf pelajar UMT yang mendapat manfaat daripada bantuan zakat yang diagihkan oleh pihak PISM,” ujarnya. Justeru katanya, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang ke tabung Infaq Ramadhan, UMT untuk sama-sama membantu program pengimarahan masjid UMT.  
14 Mar 24
258
Madinah Ramadan Sedia Pusat Penjagaan Kanak-Kanak
Madinah Ramadan Sedia Pusat Penjagaan Kanak-Kanak
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Ibu bapa yang mahu untuk menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan tidak perlu bimbang untuk membawa anak-anak ruangan khas penjagaan kanak-kanak disediakan kerajaan negeri. Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah berkata, inisiatif itu bagi memastikan ibu bapa dapat menunaikan solat sunat tersebut dengan tenang dan selesa tanpa merasa bimbang mengenai keselamatan anak-anak. "Kita juga menyediakan petugas (sukarelawan) untuk menyelia dan mengawal kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa yang memiliki anak-anak yang masih kecil berpeluang untuk beribadat. "Ini antara pendekatan yang kita ambil bagi meningkatkan fungsi masjid  dan memastikan masyarakat mesra dan mengimarahkannya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual di konti Manis FM, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut, Ustaz Mohd Zulkhairi berkata apa yang akan menjadikan Madinah Ramadan pada kali ini lebih menarik adalah pihak penganjur dan pihak Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus ialah turut menyediakan Soopa Doopa yang akan menambah keseronokan anak-anak yang hadir. "Jadi ibu bapa yang selama ini terfikir jika hendak solat tarawih risau anak-anak akan menggangu para jemaah lain jika dibawa tidak perlu lagi bimbang dengan adanya ruang khas untuk anak-anak bermain ini," ujarnya.
13 Mar 24
173