lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

RM2.4 Bilion Pelaburan Masuk ke Terengganu Setakat Mac
RM2.4 Bilion Pelaburan Masuk ke Terengganu Setakat Mac
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merealisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion di Terengganu setakat Mac ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan itu termasuk dalam sektor pembuatan besi dan keluli, penanaman napier, kilang pulpa dan bekas makanan yang akan membuka 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. Katanya, pelaburan bernilai RM2.4 bilion itu mewakili 57 peratus daripada RM4.2 bilion sasaran pelaburan untuk Terengganu tahun ini. “ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta), dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac tahun ini berbanding sasaran tahunan bernilai RM5.8 bilion.  “Sebanyak 65 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), dengan pelaburan tertinggi dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Terengganu. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja;  Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Ishamudin Hashim; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, beliau percaya ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi.  “Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” katanya. Sementara itu, Baidzawi berkata, beliau yakin peranan dimainkan oleh ECERDC sebagai ‘one-stop agency’ yang memberikan khidmat memudahcara pelaburan secara ‘end-to-end’ adalah penting dalam merealisasikan pelaburan dan membuka pintu kepada aktiviti-aktiviti ekonomi di negeri Terengganu.  “Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh ECERDC untuk menarik pelaburan baharu termasuk sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau dan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) komitmen kerjasama dalam pembangunan, promosi dan penggunaan Tenaga Boleh Baharu di ECER bersama sebuah syarikat penjanaan kuasa terkemuka dari China,” ujarnya.  
24 Mar 24
1027
Zuraida Cipta Kelainan, Iftar di Rumah Rakyat
Zuraida Cipta Kelainan, Iftar di Rumah Rakyat
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Bulan Ramadan kali ini turut dimanfaatkan dengan aktiviti menyantuni masyarakat melalui Program Iftar Insani atau berbuka puasa di rumah penduduk. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata Iftar Insani adalah salah program di bawah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang bagi memenuhi taqwim Ihya' Ramadan DUN Ladang kali ini. "Iftar Insani adalah program anjuran PKM ADUN Ladang, di mana kami berbuka puasa di rumah penduduk yang terpilih, mereka ini terdiri daripada kalangan asnaf. "Kami bawakan juadah berbuka puasa dan berkongsi rezeki bersama-sama, pada masa yang sama kami turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf tersebut", ujarnya. Zuraida menyampaikan cenderahati kepada tuan rumah. Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. "Kami sudah masuk ke siri kedua Program Iftar Insani ini, sebelum ini kami berbuka puasa di Bukit Besar dan kali ini di Ladang Titian "Insya-Allah kami akan teruskan lagi program ini, menyantuni lebih ramai asnaf dalam DUN Ladang," tambahnya lagi. DUN Ladang telah merencana beberapa program di bawah program induk Ihya' Ramadan DUN Ladang 1445H, antaranya termasuklah Iftar Insani, Ladang Bertadarus, Zikir Munajat dan lain-lain. Zuraida ketika berbuka puasa bersama-sama keluarga tuan rumah.  
22 Mar 24
438
Masjid Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Sehenti
Masjid Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Sehenti
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Masjid perlu berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop centre) kepada masyarakat, bukan hanya bertindak sebagai pusat keagamaan semata-mata. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata bahawa fungsi masjid perlu diperluas, tidak hanya dihadkan hanya untuk aktiviti keagamaan tetapi harus juga mencakupi aspek-aspek lain. "Seperti mana pada zaman Rasulullah SAW dahulu, kita lihat bahawa masjid tidak hanya bertindak semata-mata sebagai tempat sembahyang sahaja bahkan juga mencakupi aspek lain seperti pusat kemasyarakatan, pusat ekonomi dan lain-lain. "Oleh sebab itu, saya sangat menyokong sebarang usaha untuk mendekatkan institusi masjid ini kepada seluruh lapisan masyarakat", ujarnya. Suasana sekitar agihan juadah berbuka di hadapan Masjid Ladang. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Madinah Ramadan Peringkat Daerah Kuala Terengganu 2024 di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), baru-baru ini. Zuraida yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu menyeru rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus. "Saya menjemput rakyat Terengganu untuk hadir ke Madinah Ramadan Terengganu yang diadakan sepanjang Ramadan ini, insha-Allah pelbagai pengisian menarik menanti di sana," tambahnya lagi. Zuraida mengagihkan juadah berbuka.  
21 Mar 24
362
Raja Muda Terengganu Kurnia 300 Baju Raya
Raja Muda Terengganu Kurnia 300 Baju Raya
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 300 orang terpilih.
21 Mar 24
660
Tabung Darah HSNZ Pelawa Orang Awam Terus Menderma Darah
Tabung Darah HSNZ Pelawa Orang Awam Terus Menderma Darah
KUALA TERENGGANU, 21 Mac- Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mempelawa orang awam termasuk umat Islam yang menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan agar terus menderma darah. Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Roslina Remli, berkata ia penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan darah. Menurutnya, Unit Transfusi Darah HSNZ menyasarkan dapat mengutip antara 1,000 hingga 1,500 beg darah sepanjang Ramadan melalui program menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi. “Setakat ini pihak kami telah berjaya mengumpul sebanyak 314 beg darah sejak 1 Ramadan lepas. “Antara lokasi yang terlibat dengan program menderma darah ini ialah Masjid Gong Tok Nasek di sini, Masjid Sultan Ismail (Chendering), Masjid Tengku Tengah Zaharah (Kuala Ibai) dan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak. “Kami berharap lebih ramai individu terutama golongan belia dan pelajar akan tampil untuk menderma darah di masjid-masjid terpilih yang telah dirancang sepanjang Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Abidin di sini. Sementara itu, sepanjang program berlangsung  di masjid tersebut, seramai 42 orang penderma darah telah hadir pada program berkenaan yang bermula selepas solat sunat tarawih dan pendaftaran penderma ditutup pada jam 11.30 malam. Seorang guru, Norhuda Ismail, 55 berkata, ini adalah pengalaman kali keduanya untuk menderma darah pada bulan Ramadan setelah kali pertama melakukannya pada Ramadan tahun lepas. Katanya sebagai guru yang padat dengan jadual tugasan, peluang untuk berbakti sentiasa dinantikan walaupun di bulan Ramadan dan ia bukan satu penghalang untuk terus menderma darah bagi memastikan stok sentiasa stabil kerana satu beg darah dapat menyelamatkan nyawa tiga orang "Alhamdulillah, selepas selesai solat sunat Tarawih tadi, saya terus mendaftar dan lega apabila dapat menyumbang satu beg darah untuk pesakit yang memerlukan. "Usaha Unit Transfusi Darah HSNZ ini sangat bagus kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma darah di masjid pada sebelah malam memandangkan umat Islam berpuasa pada sebelah siang,"ujarnya.    
21 Mar 24
176
Kerajaan Digesa Jelaskan Peruntukan Tambahan Fasiliti Kesihatan Terengganu
Kerajaan Digesa Jelaskan Peruntukan Tambahan Fasiliti Kesihatan Terengganu
KUALA LUMPUR, 21 Mac- Kerajaan Persekutuan diminta untuk menjelaskan peruntukan tambahan sebanyak RM523,186,050 kepada Bekalan Perubatan Fasiliti Kesihatan termasuk di negeri Terengganu. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ia mengalami peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding dengan peruntukan sebelumnya. "Pertambahan bajet hampir setengah bilion itu ialah pada tahun lepas, di mana cukai SST dan kejatuhan nilai ringgit tidak seteruk hari ini. “Justeru, dengan situasi semasa mengambil kira dua faktor yang saya sebutkan iaitu cukai SST dan kejatuhan nilai ringgit,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, di sini, semalam. Tambah Dr Alias, beliau menimbulkan persoalan adakah peningkatan harga ubat akibat daripada pertukaran wang asing dan juga daripada beberapa cukai yang diperkenalkan. “Saya bimbang dengan kenaikan SST dan juga nilai ringgit ini akan memerlukan pertambahan bajet yang lebih besar pula pada tahun 2024.  “Ini harus kita lihat keadaan ini supaya tidak menekan kepada bajet ataupun kewangan kerajaan itu sendiri,” ujarnya.              
21 Mar 24
179
Petronas Bantu 400 Keluarga 'Sambut' Aidilfitri
Petronas Bantu 400 Keluarga 'Sambut' Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - 400 keluarga berpendapatan rendah (B40) dari Kuala Terengganu, Kemaman, Hulu Terengganu dan Besut menerima bantuan dari Yayasan Petronas bagi melengkapkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli berkata pihaknya menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Program Memacu Kehidupan : Hari Raya Aidilftri. "Program ini merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan. "Kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya di musim perayaan. "Oleh itu, kami berharap sumbangan asas ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan di samping membantu memeriahkan lagi sambutan Hari Raya yang bakal menjelang," ujarnya. Beliau berkata demikian pada Program Yayasan Petronas Memacu kehidupan Aidiltri yang diadakan sekali dengan majlis berbuka puasa, di Dewan Gamelan 1, Primula yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Mengulas lebih lanjut, Shazly berkata melalui program berkenaan, seramai 1,350 keluarga kurang bernasib baik yang turut membabitkan Kelantan dan Pahang telah menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM1 juta. "Ini merupakan sebagaian daripada fokus Yayasan Petronas kepada aspek kesejahteraan dan pembangunan komuniti yang dianjurkan bersempenan dengan perayan-perayaan utama di Malaysia. "Di dalam usaha Petronas menyokong, menyemarakkan keceriaan serta membangkitkan perasaan kasih sayang sempena musim perayaan di kalangan rakyat yang selari dengan agenda kelestarian Petronas dan Matlamat pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya. Untuk rekod,dalam majlis berkenaan setiap keluarga selain menerima barangan makanan asas harian mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti beras pulut, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang. Bagi menyemarakkan lagi lebaran yang bakal menjelang itu, Petronas turut menyampaikan biskut raya yang disediakan oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat).  
20 Mar 24
430
'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu
'Pulangkan Royalti Minyak, Jangan Aniaya Kami' - Rakyat Terengganu
19 Mar 24
168
KMI Healthcare Catat Prestasi Luar Biasa
KMI Healthcare Catat Prestasi Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menunjukkan prestasi kewangan yang luar biasa bagi tahun suku keempat yang berakhir 31 Disember 2023 (4QTK2023). Pengerusi KMI Healthcare, Dato’ Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan melalui pertumbuhan hasil, kecekapan pengurusan kos, pelaburan strategik dan strategi kepuasan pelanggan.  “Di sebalik cabaran yang ditimbulkan oleh pemulihan ekonomi global pasca-pandemik, KMI Healthcare telah menunjukkan daya tahan dan pencapaian kejayaan yang luar biasa dengan pertumbuhan ketara merentas metrik kewangan utama,” ujarnya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, pada 4QTK2023 pendapatan KMI Healthcare meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM332.8 juta, berbanding dengan RM279 juta pada tahun yang sama sebelumnya.  “Keuntungan pendapatan tersebut didorong oleh peningkatan dalam bilangan pesakit dirawat (meningkat 13% YoY), kadar penghunian katil (meningkat 15% YoY), dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam (meningkat 9% YoY).  “EBITDA juga turut meningkat sebanyak 49 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM52.9 juta. PBT juga turut meningkat secara mendadak kepada RM31.3 juta daripada RM16.5 juta pada TK2022,” jelasnya.  Katanya, KMI Healthcare mengendalikan pengurusan operasinya dengan cekap yang seterusnya menghasilkan margin yang lebih tinggi.  "Kami sangat teruja untuk melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh. KMI menyasar untuk menjadi penyedia penjagaan kesihatan yang lebih mengutamakan pesakit dengan menambah baik perkhidmatan klinikal dan melaksanakan program titik sentuh (customer touchpoint) pelanggan. Dedikasi dan komitmen pasukan telah membolehkan kami memberikan hasil yang cemerlang. "Reputasi Syarikat dalam sektor penjagaan kesihatan telah dikuatkan lagi oleh pencapaian rekod enam anugerah yang diterima pada TK2023. Ini termasuk anugerah berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan dalam reputasi jenama dan inovasi penyediaan perkhidmatan kesihatan termasuk Healthcare Asia Awards dan Brand Laureate Best Brand Awards,” ujarnya.  
18 Mar 24
611
Pelita Raya Terengganu Beralih Ke TTI
Pelita Raya Terengganu Beralih Ke TTI
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Program Pelitara Raya Terengganu akan diteruskan pada tahun ini dengan menjadikan Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai lokasi baharu. Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, program kali ini dijangka lebih meriah dengan menyasarkan kehadiran 40,000 pengunjung. Jelasnya, kerajaan negeri melalui jabatannya itu dengan kerjasama rakan strategik TTI, Pejabat Daerah, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan negeri telah bersetuju ia diadakan pada lapan hingga 12 Ramadan. "Program kali ini sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, ia diawalkan dan bertukar lokasi ke Tasik Pahlawan, TTI sebagai langkah mahu menghormati hari-hari terakhir Ramadan dan malam Lailatul Qadar selain mendengar pandangan orang ramai agar ia diawalkan. "Sudah tentu, Tourism Terengganu (TT) sentiasa cuba mencari atau mengadakan kelainan pada setiap acara dianjurkan dengan kali ini melibatkan 11 penyertaan membabitkan lapan Pejabat Daerah, Tourism Terengganu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Ridzwan berkata program Pelita Raya itu akan dijenamakan sebagai PELITER@TTI bertemakan 'Tradisi Diwarisi, Comeynya Pelita'. "Juga akan menonjolkan kepelbagaian jenis-jenis pengcahayaan pelita yang akan dipasang secara kreatif mengikut kesesuaian tradis, budaya dan seni warisan di setiap daerah yang akan dipamerkan sebagai bahan pameran dan barangan jualan sepanjang program berlangsung," katanya. Mengenai pertandingan yang akan diadakan, katanya ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu ' Pertandingan Pelita Raya' dan 'Pertandingan Media Sosial (Facebook & TikTok) dengan hadiah keseluruhan RM11,500 membabitkan Pejabat Daerah, GLC dan orang ramai dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. "Oleh itu, diharapkan warga negeri dan pelancong mengambil peluang untuk datang dan melihat keunikan program ini yang agak sukar dilihat di negeri-negeri lain, malah di kawasan kampung pun sudah jarang kita lihat suasana orang memasang pelita seperti zaman dahulu kala. "Semoga dengan penganjuran PELITER@TTI2004 ini akan dapat mempromosikan lagi TTI dan destinasi pelancongan sekitar terutama Kampung Budaya Terengganu dan Muzium Negeri," ujarnya.  
18 Mar 24
1597