Artikel "Semasa" Terkini
Azli Dilantik Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Baharu
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din yang bersara wajib, esok
Azli sebelum ini adalah bekas Ketua Polis Daerah Lipis,, Pahang dan telah berkhidmat selama lebih kurang 36 tahun dalam pasukan Polis.
Majlis serah terima tugas berkenaan disaksikan Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini.
Terdahulu, Mazli dalam ucapannya menzahirkan terima kasih kepada Abdul Rahim atas sumbangannya kepada PDRM selama 40 tahun.
Dalam masa sama, beliau yakin akan keupayaan Azli untuk mengemudi Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dengan pengalamannya dalam pasukan dan pernah menjadi Ketua Polis Daerah di dua daerah di Pahang.
”Beliau akan dapat memacu dan membawa IPD Kuala Terengganu terus cemerlang bagi mencapai visi dan misi PDRM khususnya di Kontinjen Terengganu ini,”ujarnya.
31 Mar 24
1182
Masjid Buluh Gading Jadi Pilihan Tunai Solat Tarawih
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Hanya 20 minit solat sunat tarawih lapan rakaat dan witir yang dilakukan di Masjid Buluh Gading menjadi tumpuan dan pilihan rakyat untuk menunaikan ibadat terbabit setiap kali Ramadan.
Imam Masjid Buluh Gading, Muhammad Hafiz Abdul Halim berkata, 22, berkata sepanjang Ramadan tidak kurang dihadiri 500 jemah yang bersama-sama mengambil kesempatan untuk melakukan solat sunat tarawih dan witir yang dimulakan pada jam 8.45 malam dan berkahir jam 9.05 malam.
"Solat tarawih yang ringkas ini antaranya bagi mengalakkan golongan yang uzur supaya sama-sama dapat menunaikan solat berjemaah sepanjang bulan Ramadan.
"Dekat sini tiada tazkirah, dari segi bacaan pula kita baca surah pendek untuk memendekkan masa sebab tak nak bagi jemaah tunggu lama terutama jemaah uzur," katanya.
Jemaah masjid tersebut, Mohd Shukri Salleh, 48, berkata kaedah yang dilaksanakan itu telah menarik ramai golongan muda dari kampung di sekitar untuk sama-sama menunaikan solat tarawih tersebut.
"Solat tarawih kat sini cepat sebab imam akan baca surah pendek sahaja, dia tahu orang tua ramai di sini tak mahu penat, sebab itu dia (imam)baca surah pendek," ujarnya.
Bagi Muhammad Shahir Shaari, 30. pula berkata dengan kaedah yang dilaksanakan itu menjadikan ramai yang memilih untuk melaksanakan solat tarawih di Masjid Buluh Gading.
"Dengan sedikit ruang masa yang ada selepas tarawih itu membolehkan untuk mereka menyelesaikan pelbagai urusan lain bersama keluarga," katanya.
31 Mar 24
412
Kawasan Sawah Padi Jadi Pilihan Berbuka Puasa
HULU BESUT, 31 Mac - Penanam Padi di Hulu Besut membuat kelainan tersendiri apabila menjadikan kawasan sawah padi tempat mereka mencari rezeki sebagai lokasi untuk mengadakan majlis berbuka puasa sehingga tular di media sosial.
Kumpulan pesawah terbabit menjadikan ia sebagai program serta acara tahunan setiap kali Ramadan dengan memilih kawasan lapang dan jalan utama ISU 4 di Kampung Padang Baloh sebagai lokasi iftar.
Program itu menghimpunkan rakan-rakan petani bersama ahli keluarga sekali gus memeriahkan program iftar tersebut.
Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air (KPA) TPBA, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir berkata majlis berkenaan melibatkan pesawah dari tiga kampung (kg) utama iaitu Kg Padang Baloh, Kg Jeram Melintang dan Kg Gong Resam serta kawasan berdekatan.
"Lebih daripada 60 hidangan telah disediakan untuk memenuhi keperluan pada hadirin dalam majlis berbuka puasa ini.
"kehadiran para pesawah ini mencerminkan semangat kebersamaan di kalangan pesawah," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu besut, Mohd Husaimi Hussin berkata pihaknya berhasrat untuk menjadikan acara itu sebagai program wajib tahunan.
"Memandangkan sambutan yang baik diberikan oleh para petani dan pesawah," ujarnya.
31 Mar 24
625
Projek Tanaman Melon OKU Penglihatan Bakal Diperluas
KUALA TERENGGANU, 27 Mac- Jika ada yang menganggap Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan tidak mampu menceburi bidang pertanian, tanggapan itu tidak semestinya benar.
Hakikatnya, insan istimewa ini mampu melakukan pelbagai kerja, seperti juga mereka yang normal asalkan diberi peluang dan ilmu dalam bidang berkaitan.
Kegigihan 10 peserta Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu mengusahakan tanaman melon secara fertigasi membuktikan kesungguhan mereka mahu berdikari dan mencari rezeki dalam bidang pertanian.
Melalui program pemindahan ilmu yang dijalankan di bawah seliaan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Wan Sembok, mereka mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di pekarangan Pejabat SBM Cawangan Terengganu di Seberang Takir.
Pengerusi SBM Cawangan Terengganu, Mohd Imranfaisal Zulkifli berkata, memasuki kitar kedua projek rintis tanaman fertigasi MMT yang bermula pada 27 Januari lalu, ia dijangka dapat dituai pada 31 Mac ini selepas 65 hari penanaman.
“Program Blind Planters ini disokong oleh dana Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan sebanyak RM 250,000 dan merupakan satu program inisiatif ketahanan ekonomi pasca COVID-19.
“Uniknya, modul Braille tanaman fertigasi MMT diperkenalkan bagi membantu memudahkan pemahaman peserta yang sepenuhnya buta dan modul biasa kepada peserta rabun,” ujarnya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Menurut Mohd, selepas kitar kedua projek rintis tersebut, peserta Blind Planters bakal memulakan projek tanaman fertigasi MMT di kediaman masing-masing melibatkan daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
“Selain mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri dengan waktu kerja fleksibel, projek ini secara tidak langsung dapat menjana pendapatan sampingan sehingga RM500 sebulan kepada peserta melalui jualan tuaian hasil,” ujarnya.
Katanya, komitmen yang ditunjukkan peserta sangat memberangsangkan dan mereka mendapat banyak ilmu pengetahuan mengenai penanaman melon hasil kerjasama baik dengan pihak UMT.
“Kita ingin buktikan kepada masyarakat di luar sana yang OKU penglihatan mampu berdaya saing dengan insan normal yang sebelum ini hanya memandang (kami) sebagai tukung urut dan penjual tisu sahaja.
“Walaupun berdepan cabaran dari segi pergerakan yang agak terbatas, kita mengharapkan peserta yang telah terpilih tidak mensia-siakan peluang yang diberikan ini,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang peserta Program Blind Planters, Che Ibrahim Che Man,70, berkata, melihat MMT yang diusahakan hanya menunggu hari untuk dituai, ternyata memberi kepuasan yang bukan sedikit buat dirinya.
“Terima kasih kepada pihak persatuan dan UMT yang beri peluang kepada kami untuk ceburi bidang pertanian.
“Insyaallah selepas ini saya dan anak bercadang untuk mengusahakan tanaman MMT ini di kawasan tempat tinggal kami di Taman Rahmat,” ujarnya.
27 Mar 24
503
Anak Guru Muncul Pelajar Terbaik STAM 2023
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Membaca al-Quran sebagai terapi diri setiap kali berhadapan kesukaran dalam pelajaran membuahkan hasil buat anak seorang guru apabila dinobatkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 untuk negeri Terengganu.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAAZA) Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari, 19, berkata, dia sebak dan bersyukur kerana usaha keras dan tumpuan sepenuhnya ketika belajar akhirnya membuahkan hasil.
Beliau yang juga penghafaz 30 juzuk al-Quran berjaya memperolehi sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini hari ini.
Berkongsi resepi kejayaannya, dia berkata penumpuan terhadap setiap mata pelajaran yang diajar oleh ustaz atau ustazah ketika dalam kelas menjadi amalannya sejak awal termasuk menghafalnya kembali selepas itu.
“Tiada rahsia sebenarnya, cuma belajar bersungguh-sungguh, kena hafal daripada awal dan sebelum peperiksaan kita kena ulang balik apa yang kita hafal sebelum ini… bukan saat akhir baru nak buat.
“Subjek STAM bukan sahaja memerlukan hafalan tetapi juga pemahaman sebab itu kena tekun dan usaha dengan sunguh-sungguh,” katanya kepada pemberita.
Anak kepada pasangan guru itu juga berkata terdapat juga hari-hari yang dia merasakan putus asa dan sedih namun tidak membiarkannya mempengaruhi diri sehingga menjejaskan pengajian.
“Pernah rasa ‘down’…putus asa tapi akan telefon Umi (ibu) Mariam Jameelah Ishak, 40, minta nasihat dan semangat termasuk dengan kawan dan juga para guru supaya kembali kuat,” ujarnya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Muamalat di Universiti Madinah.
Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Nor Aidil Syawani Mohd Rowazi, 19 yang memperolehi lapan Mumtaz, satu Jayyid Jiddan dan satu Jayyid menyifatkan kecemerlangan itu adalah untuk membalas jasa kedua ibu bapanya selama ini.
"Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan semua guru-guru sehingga saya boleh mencapai kejayaan ini. Namun begitu, fokus belajar macam mana pun, hubungan dengan ALLAH SWT kena jaga, itu yang penting,
“Kejayaan ini akan mencetus motivasi untuk terus berjaya dalam menyambung pelajaran dalam bidang syariah ke Madinah nanti," katanya.
26 Mar 24
2147
Keputusan STAM Terengganu Atasi Gred Purata Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila berjaya memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 2.79 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 3.09.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, calon STAM yang menduduki peperiksaan bagi 2023 adalah seramai 165 dan 53 daripada jumlah itu dari sekolah agama kerajaan manakala calon institusi kerajaan negeri (89) dan calon persendirian (23)
Katanya, seramai tujuh calon STAM memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz) iaitu lima daripadanya adalah pelajar sekolah SMA (ATAS) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan dua lagi daripada Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu
“Sekolah Menengah Agama (SMA) (ATAS) Sultan Zainal Abidin menjadi sekolah terbaik dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.37 peratus.
“Kedua SMA Al-Falah iaitu GPS 3.04, Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu 2.47, Institut Pengajian Islam 2.50 dan Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman 3.86,” katanya di sidang media selepas mengumumkan keputusan STAM peringkat negeri Terengganu, hari ini.
Mengulas mengenai jumlah calon yang sedikit menduduki STAM, JPNT akan melihat keperluan meningkatkan pertambahan calon dari semasa ke semasa
“Kita dapat lihat STAM sebenarnya menjadi platform bagi pelajar terutama yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara yang mana hanya dua sekolah kelolaan KPM yang menawarkan STAM.
“Kita akan lihat kesesuaian untuk menambahnya berdasarkan keperluan selepas ini,” katanya.
26 Mar 24
1057
PeliTer 2024 Rekod 150 Ribu Pengunjung
Program Pelita Raya Terengganu (PeliTer@TTI) yang berlangsung selama lima hari di Taman Tamadun Islam, di sini merekodkan jumlah pengunjung seramai 150,000 orang.
26 Mar 24
136
Al Fateh Hidupkan Ramadan
Oleh : Nasuha
KUALA NERUS, 26 Mac- Akademi Kepimpinan Al- Fateh tidak melepakan peluang bagi menghidupkan sambutan Ramadan pada kali ini dengan mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada penduduk di daerah ini.
Pengurus Akademi Kepimpinan Al Fateh, Ahmad Mukrim Adnan berkata, melalui kerjasama Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah berjaya melaksanakan program berkenaan.
"Tujuan kita adalah bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki kepada masyarat setempat dan program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Dengan harapan agar ia dapat menghubungkan jalinan antara Akademi Kepimpinan Al-fateh, komuniti setempat dan alumni Program Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) agar Ramadan pada kali ini lebih bermakna," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program agihan bubur lambuk berkenaan, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, sejak dari pagi pihaknya bersama AJK masjid telah menyediakan bubur lambuk istimewa itu.
"Program ini dijalankan secara one off bermula pada pukul 8 pagi sehingga lima petang dari proses membeli, menyediakan bahan, memasak dan agihan.
"Seramai 30 orang yang terlibat secara langsung dalam program ini dan lebih bermakna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading turut bersama, " ujarnya.
26 Mar 24
124
164 Anak Yatim Terima Sumbangan Batu Rakit Care
KUALA NERUS, 26 Mac – Batu Rakit Care menyampaikan sumbangan kepada 164 orang anak yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, baru baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang ditemui selepas merasmikan program agihan berkenaan, merakamkan penghargaan buat pihak penyumbang-penyumbang atas inisiatif bersama badan bukan kerajaan (NGO) Batu Rakit Care.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah mengadakan program yang sangat baik ini.
“Alhamdulillah, sebanyak RM16,400 telah disumbangkan kepada 164 orang anak yatim dengan masing-masing menerima RM100," katanya.
Dalam program yang diadakan di Dewan Serbaguna Wakaf Chatur Maras itu turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan Dun Batu Rakit, Mohd Irwami Abdul Wahab, Azman Omar.
26 Mar 24
165
'Tak Perlu Ganggu PASTI' - Guru
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Majoriti guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menyarankan pihak-pihak tertentu agar tidak mengganggu institusi terbabit yang kini beroperasi baik dengan silibus pelajaran yang tersusun dan berkesan.
Guru Pasti, Bibi Izzati Nadia Kama, 32, berkata, perkara itu diakui oleh ibu bapa sehingga ada yang tidak percaya terhadap perubahan besar anak mereka selepas menuntut di Pasti.
Katanya, suasana di Pasti pada ketika ini berada dalam keadaan harmoni dan pelajar-pelajar sangat tenang ketika menimba ilmu.
"Jadi pada saya tidak perlu ada anasir luar yang dikhuatiri mahu merobek suasana tenteram yang ada ketika ini.
"Kita mengalu-alukan pihak yang mahu menambah baik Pasti, tetapi biarlah dengan cara yang betul dan menghormati Pasti, bukan yang ada agenda-agenda tertentu," katanya ketika ditemui pemberita.
Jelas Bibi Izzati, pihak-pihak tersebut tidak perlu cemburu dengan Pasti, kerana apa yang dilakukan institusi itu hanya demi masa depan baik anak-anak pelajar.
"Selama ini terbukti, Pasti telah puluhan tahun melahirkan para pelajar yang memiliki akhlak yang baik, faham agama di awal usia, bahkan tahu pelbagai doa dan seawal usia juga diajar menghafal surah al-mulk," katanya.
Ujarnya lagi, mereka dengan rela hati memilih bidang itu dan merasa gembira kerana sentiasa menerima bantuan-bantuan lain dari pelbagai pihak.
“Dari sudut kebajikan tu memang terjaga, jadi tidak betul jika ada pihak yang mengatakan guru Pasti terabai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat pun selalu turun padang mengambil tahu dan cakna mengenai hal ehwal guru-guru,” katanya.
Bagi Nur Farah Syuhada Johari, 27, yang telah enam tahun mengajar di sebuah Pasti di daerah ini berkata, walaupun dia bekerja dengan Pasti secara sukarela, tetapi imbuhan yang diterima sentiasa cukup untuk menampung kehidupannya.
“Sebelum ini saya kerja di pelbagai bidang. Saya buat keputusan untuk mengajar di sini sebab selain suka melayan keletah kanak-kanak, malah tanpa sedar sebenarnya kita dapat belajar sesuatu dari anak-anak ini terutamanya mengenai ilmu agama.
“Saya ikhlas mengajar mereka, seronok tengok anak-anak Pasti seawal umur empat, lima tahun sudah menguasai pelbagai surah, hadis dan doa harian,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Amirah Shahidah, 26, berkata, walaupun memiliki diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, dia lebih memilih untuk berkhidmat di Pasti memandangkan kebajikannya sentiasa terjaga.
“Sepanjang enam tahun saya bergelar guru Pasti, kebajikan saya dan rakan-rakan yang lain tidak pernah diabaikan. Kami mendidik anak-anak ini bukan untuk mendapatkan bayaran yang lumayan, tetapi mengharapkan mereka dapat menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Itulah ‘hadiah’ yang paling bermakna buat kami sebagai guru Pasti,” ujarnya.
25 Mar 24
572