Artikel "Semasa" Terkini
400 Asnaf Terpilih Terima Sumbangan TDM
KUALA TERENGGANU, 3 April - TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Amal Infitah Kemaman meraikan 400 golongan asnaf melalui Program Ramadan Prihatin.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata sumbangan tersebut secara tidak langsung menyemarak dan memeriahkan lagi sambutan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
Katanya, majlis kali ini yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman bertujuan membantu golongan asnaf terpilih dengan jumlah sumbangan sebanyak RM60,000 meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan DUN Air Puteh.
“Program yang kami laksanakan hari ini adalah salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bertujuan untuk mendekati dan menyantuni orang ramai yang merupakan tunjang utama dalam perniagaan kami.
"Kami tidak hanya beroperasi untuk mencapai kecemerlangan perniagaan, tetapi juga untuk memberikan impak positif kepada masyarakat sekeliling terutamanya tempat kami beroperasi," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, asnaf terpilih menerima bantuan berupa barangan asasi dan juga wang tunai.
Najman juga berkata hari raya merupakan hari yang bahagia namun buat mereka yang kurang berkemampuan, hari raya juga boleh menimbulkan kegelisahan kerana pada waktu perayaan, pelbagai urusan memerlukan wang.
03 Apr 24
372
Terengganu Inc Bantu Ringan Beban 60 Keluarga Asnaf
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), melalui inisiatif Jejak Ramadan, telah mengagihkan bakul makanan dan zakat wakallah berjumlah RM45,000 kepada 60 keluarga asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan syarikat itu, setiap keluarga menerima pemberian wang zakat sebanyak RM300 , bakul makanan serta pakaian.
"Bakul makanan dan bantuan wang tunai ini telah dikumpulkan oleh kakitangan Terengganu Inc melalui kutipan sumbangan yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jejak Ramadan melibatkan penyertaan 50 orang warga kerja Terengganu Inc dalam pengagihan bantuan kepada keluarga asnaf yang telah dikenal pasti di sekitar Chendering, Kampung Raja dan Kuala Ibai melalui kerjasama bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Terengganu Inc turut berganding bahu bersama komuniti setempat, Sekolah Kebangsaan Chendering dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Kawasan Kuala Terengganu bagi memastikan sumbangan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Reaksi positif jelas terpancar pada wajah penerima bantuan setelah menerima kunjungan dan barangan keperluan seperti beras, bihun, gula, minyak masak, biskut raya dan lain-lain lagi.
“Kami berharap sumbangan bantuan menerusi program Jejak Ramadan dapat meringankan lagi beban komuniti golongan bernasib baik dalam menghadapi perayaan Aidilfitri yang bakal tiba,” ujarnya.
Sepanjang bulan Ramadan, Terengganu Inc turut melaksanakan program komuniti CSR seperti program agihan bubur lambuk di Masjid Abidin yang merupakan sebahagian daripada acara tradisi dianjurkan syarikat.
03 Apr 24
254
Munajat Rakyat Tuntut Royalti Ditangguh
KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan negeri mengambil keputusan bagi menangguhkan program Munajat Rakyat Kembalikan Royalti yang sepatutnya bakal dilangsungkan pada Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah & Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program terbabit akan diadakan pada satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.
"Saya ingin memaklumkan bahawa program Munajat Rakyat Terengganu pada 6 April ini ditangguhkan ke suatu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
"Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat atas sokongan dan dukungan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha ini," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil berharap rakyat terus memberikan tumpuan terhadap ibadat puasa serta meningkatkan amalan dan berdoa pada hari-hari terakhir Ramadan ini agar negeri Terengganu serta rakyatnya sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.
"Di akhir Ramadan ini, marilah sama-sama kita terus memperbanyakkan doa agar negeri kita diberkati dengan pemimpin yang adil dan penduduk yang beriman lagi bertakwa," ujarnya
03 Apr 24
502
Jadikan Al-Quran Panduan Hidup
Kerajaan negeri menyeru agar rakyat menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan di dunia dalam menuju kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti.
03 Apr 24
349
Bengkel Hala Tuju Jadikan Terengganu Mesra Pemaju
Satu Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu telah diadakan selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelesaikan masalah perumahan dan menjadikan Terengganu mesra pemaju.
03 Apr 24
146
Yahaya Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Baharu
KUALA TERENGGANU, 2 April- Bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Bhd (GPB) yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Mohd Roslan Mamat berkata, syarikat yakin pelantikan Yahaya bersama ahli-ahli lembaga pengarah yang baharu akan membantu melonjak prestasi syarikat itu yang terbabit dalam industri perkayuan secara bersepadu.
Katanya, pelantikan Yahaya yang diumumkan dalam kenyataan Bursa Malaysia semalam adalah bagi menggantikan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Ogos 2018.
“Lima orang ahli Lembaga pengarah yang lama kekal menjadi ahli manakala tiga orang baharu telah dilantik termasuklah bekas ketua pegawai eksekutif, Dr Mohd Zaki Hamzah,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Datuk Dr Yahya Ibrahim juga dilantik sebagai ahli Lembaga pengarah GPB yang baharu bagi menggantikan Mohd Badarudin Ismail
yang turut meletakkan jawatan.
“Syarikat mengalu-alukan lantikan baharu ini dan mengharapkan agar mereka dapat membawa syarikat ke arah hala tuju yang lebih baik dan berdaya saing, sesuai dengan kedudukan syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengharapkan agar hala tuju syarikat dapat dipandu oleh pengalaman Yahaya yang luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam.
Menurut beliau, rombakan ahli lembaga pengarah syarikat juga merupakan salah satu daripada proses penstrukturan semula, selari dengan polisi kerajaan negeri yang baharu.
"Terima kasih kepada Tengku Hassan serta ahli lembaga pengarah yang lain di atas jasa dan sumbangan mereka dalam memajukan syarikat sebelum ini, " ujarnya.
02 Apr 24
305
Kerajaan Negeri Rai Petugas Media Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 April – Kerajaan negeri meraikan kira-kira 200 pengamal media dan pempengaruh media sosial Terengganu pada Majlis Berbuka Puasa bertempat di Perkarangan Kediaman Sri Iman, Batu Buruk di sini petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata penganjuran majlis tersebut bagi menghargai segala komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pengamal media terutama membuat liputan berkaitan kerajaan negeri.
"Pengamal media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan memastikan bahawa informasi yang disampaikan adalah tepat, benar, dan sesuai dengan ajaran Islam.
"Lantaran itu, kewartawanan merupakan satu kerjaya yang memenuhi fitrah manusia yang setiap masa berkehendak kepada maklumat semasa samada kajian penulisan berita, video pendek dan sebagainya.
"Mereka juga adalah tenaga penggerak bagi membekalkan berita yang tepat kepada masyarakat," katanya ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Media Terengganu petang semalam.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.
Pada majlis itu, Dr Khalil turut menyampaikan sumbangan hamper kuih raya kepada petugas media serta pempengaruh media sosial.
Untuk rekod, Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media Terengganu merupakan acara tahunan yang diadakan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, ia bertujuan menyantuni dan menghargai petugas media yang bertungkus lumus menyajikan berita terkini kepada masyarakat, di samping memupuk ikatan silaturahim.
02 Apr 24
232
Ikan Seluang Panggang Bangkit Selera Berbuka Puasa
HULU TERENGGANU, 1 April –Bagi yang masih mencari menu pembuka selera untuk berbuka, cubalah ikan seluang panggang salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Hulu Telemong, boleh didapati di bazar Kuala Ping di sini, sepanjang Ramadan ini.
Ikan seluang panggang makan dengan nasi panas, memang ‘padu’ dan berjaya menghidupkan selera selepas hampir 14 jam berpuasa.
Jika nasi ditambah dengan ulam-ulaman dan pencicah budu, keenakannya sukar diucap dengan kata-kata. Begitulah penangan anak ikan seluang panggang yang begitu popular dalam kalangan penduduk terutama di sekitar kampung Kuala Ping.
Salah seorang peniaga bazar Ramadan, Siti Fauziah Abdul Kadir, 60, berkata, demi menu istimewa itu, dia meneruskan tradisi menjual ikan seluang panggang sejak lebih 30 tahun lalu di bazar Ramadan.
Menurutnya, bekalan ikan kebiasaan diperolehi dari Sungai Telemong berdekatan.
“Setiap pagi anak lelaki mak cik akan pergi memukat dan membawa pulang hasilnya untuk disiang dan dibersihkan sebelum dipanggang.
“Mak cik jual satu cucuk ikan seluang panggang yang mempunyai 13 hingga 15 ekor mengikut saiz dengan harga RM5,“ katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kuala Ping di sini.
Nenek 13 cucu itu berkata, rasa yang manis membuatkannya bertambah enak apabila dicicah dengan budu bersama nasi panas dan ulam-ulaman.
“Tulang yang banyak itu mudah dihancurkan apabila dipenyet kerana ia sangat halus dan tidak memudaratkan apabila makan,” katanya.
Tambahnya, sambutan terhadap ikan seluang panggang amat laris dan biasanya 40 cucuk yang disediakan akan kehabisan sebelum pukul 6 petang.
01 Apr 24
425
'Silap Jika Tak Nak Sebut Kafir, Sebab Jaga Hati' - Ustaz Azhar
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Menjadi satu kesilapan kepada orang Islam seandainya tidak mahu menyebut perkataan kafir kerana hendak menjaga hati orang bukan Islam.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, sedangkan Al-Quran dan hadis dengan jelas menceritakan serta memperincikan golongan yang dikatakan kafir.
Ujarnya, walaupun Islam menyenaraikan ciri-ciri golongan kafir namun tidak pernah berlaku orang Islam memanggil kalangan mereka yang tidak beragama Islam sebagai kafir.
"Kenapa (ada pihak) hendak marah? (perkataan) non-muslim itu Bahasa English jika diterjemahkan dalam Bahasa Arab, kafir itu membawa maksud ingkar, mereka yang tidak mahu menerima Islam sebagai agama.
"Kafir itu bukan bermakna perompak, peragut, perogol tetapi orang yang tidak mahu menerima agama Islam.
"Jadi bila kita tak nak sebut kafir kerana hendak menjaga hati (bukan Islam) itu silap, sebab selama ini orang Islam yang paling berakhlak tidak pernah panggil kafir (apabila berhadapan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Zohor, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman (WDI) di sini hari ini.
Program tersebut turut menampilkan, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Mohd Kamaruzaman Abdullah.
Mengulas lebih lanjut, Ustaz Azhar berkata kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak tertentu seperti sengaja menyembunyikan perkara besar yang menguris hati umat Islam selama ini seperti isu stoking yang tertera kalimah Allah.
"Mengelar dan memanggil ini kena faham, al-Quran mengajar menyebut orang-orang kafir, hadis pun menceritakan orang kafir ini diazab pada pagi dan petang.
"Jika ada pihak yang menyatakan kena sebut non-muslim jangan sebut kafir nanti terasa hati, berasa hati ikut mana? kita bukan panggil depan dia pada kebiasaanya kita akan sebut nama dialah sebagai contoh Ahcong.
"Menghukum mereka sebagai kafir itu mesti kerana manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu mukmin dan kafir," katanya.
31 Mar 24
851
Tiga Remaja Hilang 17 Jam Ketika Menjerat Ayam Hutan Selamat Ditemui
Oleh : Hibatul Jihadi
MARANG, 31 Mac- Tiga remaja yang dilaporkan hilang hampir 17 jam selepas keluar dari rumah untuk menjerat ayam hutan ditemui selamat di Hutan Simpan Merchang berhampiran Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang Terengganu, Che Mohd Badrul Isham Ceh Mohd Nor ketiga-tiga mereka iaitu Muhammad Amirul Haziq, 16, Muhammad Adam Ajmal Zainuddin, 15 serta Muhammad Harris Kamarudin, 15 tahun dijumpai oleh salah seorang ayah mangsa.
Ujarnya, mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi Pos Kawalan Bomba pada jam 8.15 pagi tadi.
"Hasil siasatan mendapati remaja itu dilaporkan keluar rumahnya pada pukul 11.00 pagi (semalam), namun tidak pulang ke rumahnya sehingga 5.00 petang dan menghantar lokasi terakhir melalui aplikasi 'whatsapp' untuk memberitahu mereka tersesat.
"Selepas menerima laporan terbabit, satu pasukan mencari dan menyelamat telah dibentuk melibatkan pihak Bomba dan Penyelamat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Marang dan unit khas serta dibantu oleh orang awam pada jam 6.00 petang (semalam)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, pasukan Search and Rescue (SAR) pada semalam telah menjumpai kesan-kesan kaki mangsa namun usaha untuk menjejaki ketiga-tiga remaja itu menjadi sukar atas faktor susana semakin gelap.
"Usaha diteruskan sehingga pukul 5 pagi tertangguh seketika bagi memberi ruang untuk bersahur dan solat subuh, walau bagaimanapun usaha diteruskan lagi pada pukul 6.30 pagi oleh pasukan SAR.
"Akhirnya pada sekitar jam 8.13 pagi ketiga-tiga mangsa dijumpai oleh seorang ayah mangsa. Mereka berada dalam keadaan lemah dan luka ringan di bahagian lengan," katanya.
Menurut ayah mangsa yang menemui remaja terbabit, Selamat Ismail,53, berkata ketika mencari dia terdengar suara meminta tolong dari atas bukit kemudian bergegas ke arah tersebut untuk memberikan sedikit makanan dan minuman.
"Alhamdulillah anak saya ditemui dengan selamat dan tidak berlaku kecederaan serius. Ketika ditanya kepada anak saya mengenai usaha dia untuk cari jalan keluar katanya selepas bangun daripada tidur, dia melaungkan azan dan mengikut arah cahaya matahari," ujarnya.
Ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang selepas ditemui untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
31 Mar 24
809