Artikel "Semasa" Terkini
Aidilfitri:70,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 April – Polis Terengganu menjangkakan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu dijangka meningkat antara 50,000 hingga 70,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata jumlah itu meningkat ketara berbanding hanya antara 16,000 hingga 20,000 kenderaan pada hari biasa, membabitkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan.
Sehubungan itu, pihaknya sudah menambah anggota khususnya bahagian trafik bagi mengawal dan menyuraikan kesesakan lalu lintas untuk memastikan kelancaran serta keselamatan trafik terutama di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Katanya, bagi memastikan pengguna tidak terperangkap dalam kesesakan, kita akan menggerakkan elemen-elemen trafik untuk melancarkan semua laluan di Terengganu.
"Antara langkah yang akan diambil adalah membuat lencongan jalan atau meletakkan anggota trafik di kawasan lampu isyarat atau kawasan yang mempunyai banyak simpang bagi melancarkan laluan.
"Biasanya daerah Setiu dan Besut akan mengalami kesesakan yang teruk kerana ia turut menjadi laluan perantau yang mahu pulang ke Kelantan," ujar beliau.
Mazli berkata, seramai 210 pegawai dan anggota trafik ditugaskan dengan dibantu balai-balai berhampiran bagi memastikan kelancaran trafik serta memantau jalan yang sesak seterusnya mengambil tindakan perlu.
Katanya, pengguna jalan raya juga diingatkan supaya merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak berkuasa selain mengikuti perkembangan semasa aliran lalu lintas di Terengganu.
Sementara itu, jumlah kenderaan dilihat mula bertali arus memasuki pintu masuk Terengganu sejak semalam berikutan kepulangan perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.
Tinjauan UPDI mendapati, jumlah kenderaan semakin bertambah sejak malam tadi, namun trafik lancar dan dijangka keadaan itu berterusan menjelang malam raya.
07 Apr 24
165
LPT2 Buka 10 Plaza Tol Bantu Elak Kesesakan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Bagi melancarkan pergerakan kenderaan serta membantu pelanggan sempena musim perayaan kali ini, pihak Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) membuka 10 plaza tol untuk semua lorong bagi mengelak kesesakan aliran lalulintas.
Pengurus Wilayah LPT2 TS Shuhaimi Samad berkata walaubagaimanapun LPT2 memberi tumpuan di plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu dan Plaza Tol Kuala Terengganu di Bukit Gemuruh.
" LPT2 lebih memberi tumpuan kepada plaza tol Kuala Terengganu memandangkan peningkatan trafik yang dijangka meningkat sehingga lewat petang ini,”ujarnya kepada pemberita.
Beliau juga memaklumkan dua lorong ditambah di Plaza Tol gemuruh bagi memudahkan pembayaran menggunakan pidion bagi melancarkan trafik menjadikan keseluruhan penambahan empat kaunter berbanding tiga sebelum ini.
Dalam pada itu, dijangkakan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu meningkat antara 50,000 hingga 70,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berbanding hanya antara 16,000 hingga 20,000 kenderaan pada hari biasa, membabitkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan.
07 Apr 24
639
163 Banduan Dilepaskan Secara Berlesen Sempena Aidilfitri
MARANG, 7 April - Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 membawa makna besar kepada 163 banduan dari Penjara Marang, hari ini.
Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, pembebasan itu bagi mencipta peluang kedua kepada mereka untuk berubah sebelum dibebaskan mengikut tempoh sebenar hukuman berakhir.
"Kesemua banduan yang dilepaskan adalah mereka yang melakukan kesalahan- kesalahan kecil seperti mencuri di kedai runcit, menceroboh kawasan larangan dan memiliki dadah (jumlah yang kecil).
"Mereka juga akan terus dipantau dan perlu melaporkan diri mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak penjara.
"Kita berharap kesemua mereka akan memanfaatkan pembebasan ini dengan penuh keinsafan dan kesyukuran untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, salah satu komitmen Jabatan Penjara yang bukan sahaja untuk memberi peluang kepada banduan menyambut perayaan bersama keluarga tetapi membuka ruang bagi mereka mendapatkan pekerjaan.
"Kebanyakan mereka diterima masuk untuk bekerja dalam bidang perkilangan, perladangan, penternakan dan produk pembuatan makanan haiwan.
"Gaji mereka sama sahaja dengan pekerja di luar iaitu tidak kurang dari RM1,500 sebulan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua banduan yang masih berada dalam penjara akan diberi kebenaran untuk berjumpa keluarga mereka pada hari raya ketiga Aidilfitri nanti.
"Semoga pertemuan itu nanti dapat meleraikan kerinduan masing-masing dan tanda kesediaan keluarga untuk menerima kepulangan banduan selepas hukuman berakhir," katanya.
Program PBSL ini merupakan antara komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan Pemulihan Dalam Komuniti dan merupakan langkah untuk pengintegrasian semula penghuni di dalam masyarakat dan kesesakan dalam penjara.
07 Apr 24
481
Bekas Pekerja i-MiTS Terima Pampasan RM44, 499
Kuala Terengganu, 8 April- Bekas Pekerja Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Samiah @ Azizah Awang, 59,telah menerima faedah hilang upaya kekal oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan pampasan diterima sebanyak RM44, 499.00 secara keseluruhan.
Pengarah PERKESO, Che Farihah Husin berkata bekas kakitangan i-MiTS itu telah dicarumkan di bawah Akta 4 PERKESO oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Pengurusan).
*Pada 16 Mac 2020 Orang Berinsurans ( OB ) Samiah telah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya ketika perjalanan pulang ke pejabat dalam waktu rehat yang dibenarkan majikan.
"Akibat kemalangan tersebut OB telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan dan telah disahkan mengalami kecederaan pada di kepala dan luka di bahagian kiri badan.
"Pejabat ADUN Alur Limbat telah melaporkan kemalangan tersebut kepada PERKESO dan hasil daripada siasatan yang dijalankan ole Pegawai Faedah, kes disahkan sebagai Bencana Pekerjaan.
"OB telah mendapat Cuti Sakit selama 151 hari dan telah menerima bayaran pampasan Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dengan keseluruhan berjumlah RM7046.00, " ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Faedah Hilang Upaya Kekal tersebut bersama ADUN Alur Limbat kepada penerima terbabit, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Farihah berkata Samiah telah menghantar permohonan Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) ke Pejabat PERKESO Negeri Terengganu pada 19 Jun tahun lalu dan telah dirujuk ke Sidang
Jemaah Doktor PERKESO pada 30 Mac 2023 dangan taksiran hilang upaya sebanyak 20%.
"Peratus keputusan tersebut telah melayakkan OB menerima pampasan bayaran Faedah HUK berjumlah RM44,499.00 yang telah dikreditkan ke akaun OB.
Dalam pada itu, Pengarah PEKESO Negeri Terengganu telah mengumumkan Pejabat ADUN Alur Limbat sebagai Rakan Skuad Prihatin PERKESO.
"Dengan pengikhtirafan ini, diharapkan pejabat DUN ini akan menjadi rujukan dan tempat untuk masyarakat setempat tuju bagi mendapatkan maklumat serta persoalan," katanya.
Sementara itu Ariffin berharap dengan hubungan baik yang terjalin itu akan membantu lebih ramai pencarum untuk menuntut faedah-faedah yang ditawarkan oleh PERKESO serta menjadi hub rujukan.
07 Apr 24
312
KPDN Terengganu Tetapkan 20 Barangan Harga Terkawal Sempena Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 7 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menyenaraikan 20 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula 5 sehingga 19 April depan.
Pengarahnya, Shaharuddin Mohd Kia berkata, skim itu berkuat kuasa selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.
"Harga bagi bawang kuning besar RM4 (borong), RM5 (runcit); bawang merah besar import RM5.50 (borong), RM6.50 (runcit); bawang putih China RM9.50 (borong), RM11 (runcit).
"Selain itu, harga bagi kuantiti sama untuk cili kering kerinting RM21 (borong) RM23 (runcit) dan cili merah RM15 (borong), RM17 (runcit).
"Bagi kacang tanah pula berharga RM8 (borong), RM9 (runcit); ubi kentang RM2.50 (borong), RM3.50 (runcit); kacang panjang RM7 (borong), RM8 (runcit)," katanya.
Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Terengganu di pasar raya Sabasun HyperRuncit, semalam.
Selain itu, Shaharuddin berkata, harga bagi sekilogram halia tua import RM9 (borong), RM10.50 (runcit); sawi hijau RM4 (borong), RM5 (runcit); timun RM2.50 (borong), RM3.50 (runcit).
"Tomato pula berharga RM5.50 (borong), RM6.50 (runcit); kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Kubis Beijing) RM2.50 hingga RM3.50.
"Kelapa biji (borong sahaja) RM1.90 dan kelapa parut (runcit sahaja) RM7.60 untuk setiap satu kilogram,"ujarnya.
Menurut Shaharuddin, harga bagi daging kerbau import (Semenanjung, Sabah Dan WP Labuan Sahaja) RM19 (borong), RM21 (runcit); daging lembu tempatan (kecuali daging batang pinang) (Semenanjung sahaja) RM37 (borong) dan RM40.00 (runcit).
"Harga ikan aya atau tongkol (Kelantan, Pahang, Terengganu sahaja) RM12 (borong) RM14 (runcit); ikan kembung termasuk ikan mabung RM14 (borong), RM16 (runcit); ikan selayang RM10 (borong), 12 (runcit)," jelas beliau.
Menurut Shaharuddin, SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaanbekalan barangan adalah mencukupi.
"Semua pihak diharap dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan tersebut. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya
Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti antaranya melibatkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.
"Jika kesalahan dilakukan oleh individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
"Sekiranya melibatkan syarikat, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,"ujar beliau.
Beliau berkata, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal juga tidak terlepas hukuman.
"Bagi individu mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," katanya.
07 Apr 24
336
858 Asnaf Terima Agihan Zakat Emas RM128,000
BESUT, 4 April - Seramai 858 asnaf di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima bantuan melalui duit zakat Kedai Emas Sri Ayu sebanyak RM128,000.
Pemilik Kedai Emas Sri Ayu, Azbi Salleh berkata sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu persediaan mereka yang kurang bernasib baik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang berbaki kurang seminggu lagi.
"Pada tahun ini sebanyak RM150 zakat diberikan kepada setiap penerima daripada syarikat Kedai Emas Sri Ayu.
"Memandangkan kewangan negeri terhad disebabkan royalti petroleum yang masih belum dilunaskan oleh persekutuan kepada negeri Terengganu menyebabkan banyak agenda bantuan dari pihak kerajaan negeri tertangguh," jelasnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata demikian ketika majlis sumbangan zakat berkenaan di Dewan Taman Sri Seratus, Dewan Terbuka Tok Has, dan Pusat Tarbiyah Kampung Baharu di sini, semalam.
Sementara itu, Wan Rosmawati Wan Ahmad, 46, yang merupakan ibu tunggal kepada lima orang anak yang masih kecil dan masih lagi bersekolah berkata, tidak ada yang mampu dilakukannya selain rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. atas keperihatinan ADUN Kuala Besut dan Kedai Emas Sri Ayu yang memberi bantuan ini.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada mereka yang terlibat atas sumbangan zakat ini.
"Wang ini akan saya gunakan sebaiknya untuk persediaan Hari Raya buat kami sekeluarga," ujarnya.
07 Apr 24
164
442 Penerima DUN Ajil Ceria Terima Duit Raya
HULU TERENGGANU, 5 April - Seramai 442 asnaf di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil menerima bantuan berupa wang ringgit sempena program sumbangan Aidilfitri Asnaf DUN Ajil di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu persediaan mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang berbaki kurang seminggu lagi.
Beliau yang juga merupakan ADUN Ajil berkata, kerajaan memperuntukan sebanyak RM132,000 untuk diagihkan kepada masyarakat Ajil yang kurang bernasib baik pada kali ini.
“Pada tahun ini sebanyak RM300 duit raya diberikan kepada setiap penerima daripada syarikat korporat serta daripada sahabat-sahabat yang sudi menghulurkan bantuan.
"Memandangkan kewangan negeri terhad disebabkan royalti petroleum yang masih belum dilunaskan oleh persekutuan kepada negeri Terengganu menyebabkan banyak agenda bantuan dari pihak kerajaan negeri tertangguh," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika majlis berkenaan bertempat di Dewan Sivik Pekan Ajil di sini semalam.
Salah seorang penerima, Wan Aduni Abdullah, 60 melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas sumbangan Aidilfitri itu.
"Bantuan itu akan dibelanjakan untuk membeli barangan dapur dan lain-lain kegunaan.
"Bantuan itu juga saya gunakan untuk perbelanjaan bagi menyambut Aidilfitri nanti," katanya.
Sementara itu, Wan Abdullah Dollah, 78, yang juga penerima terpilih berkata tidak ada apa yang mampu diluahkannya selain rasa syukur kepada Allah atas keprihatinan ADUN Ajil dalam membantu memudahkan urusan bantuan.
“Alhamdulilah, terima kasih kepada mereka yang terlibat atas sumbangan Aidilfitri ini.
"Wang ini akan saya gunakan sebaiknya untuk membantu persediaan hari raya buat kami sekeluarga," ujarnya.
Seorang lagi penerima, Ahmad Sufian Wahid, 43, menyifatkan bantuan RM300 yang diterima sangat tepat pada waktunya ditambah pula dengan keadaan harga barang yang meningkat sekarang.
Baginya, ia jelas menunjukkan keprihatinan ADUN Ajil terhadap golongan asnaf yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
'"Terima kasih kepada ustaz kerana beri duit raya awal buat kami walaupun jumlahnya tidak seberapa, tapi dapatlah bantu ringankan beban saya buat persiapan Aidilfitri," ujarnya.
04 Apr 24
1229
Penerima APC Perlu Terus Bersemangat, Cetus Inspirasi
KUALA TERENGGANU, 4 April – Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman menjadi platform bagi organisasi kerajaan di Terengganu untuk terus memberi khidmat cemerlang kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata Penganugerahan ini merupakan salah satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kepada warga kerja Wisma Darul Iman yang telah menunjukkan mutu dan penghasilan kerja yang melebihi keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.
“Semoga penganugerahan ini menjadi penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Diharapkan anugerah ini juga menjadi pemangkin dan tanda aras kepada jabatan/ bahagian/ unit untuk terus kekal cemerlang,” ujarnya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024.
Seramai 20 orang penerima APC Bulanan WDI bagi bulan Januari, Februari dan Mac tahun 2024 yang terdiri daripada pelbagai jabatan/ bahagian/ unit dalam Wisma Darul Iman menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500.00 berserta sijil penghargaan.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan Penyampaian Sijil Anugerah Emas, International Business Innovation & Ideas Competition (INOVASI 23) kepada Unit Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu kerana telah berjaya memperoleh anugerah emas dalam pertandingan tersebut.
04 Apr 24
311
96 Pesawah Terima Sumbangan Tabung Bencana Padi
KUALA TERENGGANU, 4 April- Seramai 96 pesawah dari seluruh negeri ini menerima sumbangan Tabung Bencana Padi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, sumbangan berjumlah lebih RM200,000 itu diagihkan kepada pesawah yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini.
“Petang ini kita agihkan sedikit rezeki Ramadhan kepada para pesawah Negeri Terengganu yang terlibat dengan bencana banjir.
“Terima kasih KPKM. Terima kasih Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang menguruskan semua proses dokumentasi.
“Terima kasih Lembaga Pertubuhan Peladang yang menguruskan penyaluran sumbangan ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook.
Dalam pada itu, Dr Azman turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pesawah padi Terengganu yang terus gigih membekalkan sumber makanan ruji negeri dan negara.
“Bencana menimpa kita santuni bersama,” tulisnya.
04 Apr 24
178
Projek Tanaman Melon OKU Penglihatan Bakal Diperluas
Jika ada yang menganggap Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan tidak mampu menceburi bidang pertanian, tanggapan itu tidak semestinya benar.
04 Apr 24
176