lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sidang DUN
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sidang DUN
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini. Keberangkatan Baginda diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin. Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua DUN, Dato' Mohd Nor Hamzah. Turut menyambut ketibaan baginda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Ke-29, Brigedier Jeneral Muzamil Ali dan Ketua Polis Negeri DCP, Datuk Mazli Mazlan.   Istiadat dimulakan dengan berkumandangnya lagu kebesaran Negeri Terengganu  sebelum Sultan Mizan berkenaan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Kawalan Kehormatan terdiri daripada Unit 6, Pasukan Simpanan Persekutuan Terengganu dan Pancaragam Rejimen 512 (Askar Wataniah) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-15 akan bermula hari ini hingga 25 April 2024.  
22 Apr 24
232
Kemasukan Ternakan Melalui Penyeludupan Beri Kesan Buruk - Sultan Mizan
Kemasukan Ternakan Melalui Penyeludupan Beri Kesan Buruk - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang berikutan kemasukan ternakan dari luar melalui penyeludupan yang tiada saringan serta sijil pengesahan bebas penyakit oleh negeri atau negara pengeluar. Baginda bertitah, tindakan itu boleh memberi kesan ’ buruk kepada industri ternakan di Terengganu. "Permintaan yang tinggi terhadap ternakan yang mempunyai ketidaksahihan kawalan penyakit ini memberikan kesan langsung terhadap keselamatan makanan kepada rakyat," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini Dalam pada itu Sultan Mizan bertitah, penguatkuasaan berterusan sama ada di perairan mahupun sempadan negeri perlu dipergiatkan agar isu pencerobohan sumber marin serta penyeludupan ternakan ini terkawal dan tidak berleluasa.   
22 Apr 24
106
Khalwat : Terengganu Terus Kuatkuasa Hukuman Jenayah Syariah
Khalwat : Terengganu Terus Kuatkuasa Hukuman Jenayah Syariah
KUALA TERENGGANU, 18 April- Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menjatuhkan hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat yang merupakan kes pertama di Terengganu melibatkan pesalah khalwat perempuan mengikut pindaan undang-undang Kesalahan Jenayah Takzir Terengganu pindaan 2022. Wanita berstatus janda itu didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda dan enam sebatan selepas disabitkan kesalahan berkhalwat kali kedua di sebuah rumah di Kemaman pada Januari lalu. Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2022. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berusia 37 tahun dan pasangannya ditahan berkhalwat ketika serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sebuah rumah di Taman Geliga, Kemaman sekitar jam 3.15 petang pada 31 Januari lalu. Hasil siasatan oleh pihak penguat kuasa mendapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri atau mahram. Sebelum ini tertuduh pernah dihukum denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar denda setelah disabitkan melakukan kesalahan sama di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada 28 Januari 2018. Sementara itu, pasangan lelaki yang turut ditahan bersama tertuduh akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 23 April depan bagi kesalahan kali pertama melibatkan khalwat.  
18 Apr 24
626
Projek Roselprenuer Bantu Tingkat Taraf Hidup OKU Pekak
Projek Roselprenuer Bantu Tingkat Taraf Hidup OKU Pekak
KUALA TERENGGANU, 18 April - Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil membantu meningkatkan taraf hidup ahli persatuan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pekak melalui projek Roselprenuer. Ketua Projek, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu kumpulan itu setelah menjalankan beberapa siri penyelidikan yang berpotensi untuk dilaksanakan oleh kumpulan sasar. “Pada tahun 2020, OKU yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seramai 581,265 orang. Daripada jumlah tersebut, OKU kategori cacat pendengaran mencatatkan 6.3 peratus. Jumlah pekerja cacat pendengaran yang berdaftar dalam organisasi kerajaan atau swasta amatlah rendah, direkodkan hanya sekitar 210 orang OKU dengan masalah pendengaran. “Oleh itu, satu inisiatif perlu diambil bagi membantu golongan ini dalam memajukan diri mereka melalui ilmu dan teknologi dalam bidang pertanian yang sangat luas dan mudah untuk diaplikasikan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat, UMT, hari ini. Menurut beliau, penanaman rosel dan penghasilan produk berasaskan rosel merupakan ‘jalan keluar’ yang sesuai dan bertepatan dengan kelebihan yang dimiliki kumpulan itu. “Projek penanaman rosel ini dijalankan di atas tanah berkeluasan lima ekar yang boleh menampung sebanyak 5,000 polibeg pokok dan usahakan oleh mereka di perkarangan Pejabat Persatuan Orang Pekak Terengganu, Batu Burok. “Kita perkenalkan projek tanaman rosel melalui program pemindahan ilmu serta mengadakan siri latihan melalui kelas dan juga amali di lapangan.  “Projek Roselprenuer ini melibatkan hampir 100 orang ahli daripada komuniti OKU Pekak termasuk isi rumah dan sekiranya projek ini mencapai sasaran yang digariskan, kita sedia kembangkan kepada semua ahli OKU pekak yang berdaftar di negeri ini,” ujarnya. Katanya, projek Roselpreneur di bawah tajaan dana Yayasan Inovasi Malaysia, Kementerian Sains, Teknolog dan Inovasi (MOSTI) dan dijangka memberi pulangan kira-kira RM1,000 sebulan. “Projek ini diperkenalkan kepada ahli persatuan OKU pekak pada September 2023 dan pemilihan padanan peserta OKU ini juga berdasarkan kemampuan serta mudah dilaksanakan dengan kos rendah.   “Kita terapkan semua aspek bermula dengan langkah pertama penyediaan tapak, semaian, penjagaan tanaman, tuaian dan juga penghasilan produk hiliran seperti jus, jem, aiskrim dan lain-lain,” ujarnya. Menurut beliau, program berbentuk pemindahan ilmu kepada komuniti itu telah dilaksanakan sejak lebih lima tahun lalu melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang seperti komuniti asnaf, ibu tunggal dan kumpulan B40. “Beberapa program pemindahan ilmu telah dilaksanakan sebelum ini seperti projek penghasilan baja, projek penanaman Melon Manis Terengganu, projek penanaman sayuran berbuah seperti tomato ceri, bendi, cili, timun batang serta penanaman pelbagai jenis sawi termasuk strawberi tanah rendah.  Selain itu, OKU Pekak ini juga telah mampu berdikari melalui projek pertanian bandar yang mana telah membuahkan hasil lumayan.  “Apa yang kita harapkan semoga program pemindahan ilmu dari universiti kepada komuniti seperti ini mampu memberi suntikan semangat dan harapan baharu buat kumpulan sasar untuk keluar daripada kepompong kemiskininan serta mengubah kualiti kehidupan ke tahap lebih baik,” ujarnya.
18 Apr 24
381
Aksi Menari 'Alamak Raya Lagi' Boleh Bawa Hukum Haram
Aksi Menari 'Alamak Raya Lagi' Boleh Bawa Hukum Haram
KUALA TERENGGANU, 17 April - Aksi tarian menggunakan lagu 'Alamak Raya Lagi' di media sosial boleh membawa kepada hukum haram lebih-lebih sekiranya mendedahkan aurat. Mufti Terengganu, Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, trend tersebut perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah wanita apabila mempamerkan aurat. Bahkan katanya, bukan sahaja menyerlahkan reputasi yang negatif kepada pelakunya malah menurutnya akan mencemarkan perayaan Aidilfiltri yang sedang diraikan oleh seluruh umat Islam pada ketika ini. "Sepatutnya pebutan tersebut dielakkan kerana boleh menonjolkan aurat yang boleh membawa kepada (hukum) haram, sebarang perbuatan yang negatif sudah pasti mencemarkan keharmonian perayaan Aidilfitri itu sendiri," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam. Dalam pada itu, Mohammad Sabri turut menzahirkan perasaan kesal atas tindakan masyarakat beragama Islam yang begitu mudah terikut dengan trend semasa sehingga melupakan batas agama. "Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada masyarakat  supaya jangan mudah terikut-ikut dengan budaya baharu. "Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, jika tidak, dibimbangi akan menjerumuskan diri kepada fitnah yang mencemarkan budaya harmoni kita," ujarya.
17 Apr 24
381
UMT Jalin Kerjasama Dengan NEST
UMT Jalin Kerjasama Dengan NEST
KUALA TERENGGANU, 16 April- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) UMT memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, melalui kerjasama tersebut, IBTPL telah merangka pelbagai program termasuk usaha pembangunan modal insan dalam melahirkan pemandu pelancong (guide) yang terdiri daripada komuniti setempat dan memberi pendedahan berkenaan pengetahuan aktiviti pencerapan burung di beberapa lokasi dalam negara. Katanya, jalinan kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada penyelidik dan juga komuniti sekitar. “Pemeteraian MoU ini juga akan membawa pelbagai manfaat khususnya kepada komuniti tempatan melalui program pemindahan ilmu antara penyelidik UMT serta kepakaran daripada pihak NEST berkaitan ilmu biodiversiti serta aktiviti lain seperti pencerapan burung, pengenalan dan pengecaman kepada spesies burung yang terdapat di kawasan tertentu khususnya Tasik Kenyir. “Usaha ini mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dengan kehadiran pelancong sekaligus memberi limpahan rezeki kepada pengusaha rumah inap, resort, pengusaha makanan dan produk makanan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Katanya, kepakaran yang dimiliki UMT dan kelebihan fasiliti stesen penyelidikan serta sokongan daripada NGO mampu memberi impak besar kepada sektor pembangunan dan pelancongan di Tasik Kenyir. Sementara itu, penyelidik UMT, Dr. Siti Norasikin Ismail menganggap kolaborasi itu merupakan platform terbaik bagi kerja-kerja penyelidikan selain penghasilan bahan penerbitan berimpak melalui perkongsian sumber serta kepakaran dalam pelbagai bidang seperti pemeliharaan biodiversiti, pembangunan mampan dan kelestarian alam.  
16 Apr 24
260
Terengganu Lindung Kepentingan Pengilang Padi Bumiputera
Terengganu Lindung Kepentingan Pengilang Padi Bumiputera
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu mempunyai mekanisma kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri ini dijual ke kilang padi di negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau itu melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi negeri. Azman berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi dari dijual keluar dengan kerjasama Bernas. “Justifikasi kawalan ini disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi dalam Terengganu. “Di negeri ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi dan tiga daripadanya adalah milik bumiputera,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Katanya, berdasarkan justifikasi tersebut, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera. “Antaranya melalui arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu. “Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” ujarnya. Katanya, selain itu Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain. “Bahagian Kawalselia Padi dan Beras juga menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan. “Sementara, pihaknya akan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1300/tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan,” ujarnya.  
16 Apr 24
310
Mangsa Tragedi Malam Syawal Terima Bantuan Segera
Mangsa Tragedi Malam Syawal Terima Bantuan Segera
BESUT, 16 April - Kegembiraan jelas terpancar diwajah Mohd Asrol Nizam Mat Hussin, 37 tahun, yang menerima bantuan segera setelah rumahnya hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pertama syawal, Rabu lalu di Kampung Beris Pak Abu. Sumbangan wang tunai serta pakaian itu disampaikan oleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Teregganu (MAIDAM), Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pegawai PPD dan Guru Besar Sekolah Kampung Bharu, semalam. Azbi salleh berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu daripada tanggungjawab dan sebagai tanda prihatin kepada mangsa. “Hari ini (semalam), kita juga telah menyumbang bantuan kewangan dan baju sekolah baharu kepada anak mangsa dan berharap ia dapat meringankan sedikit beban mereka. Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mereka sekeluarga” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu. Dalam pada itu, beliau berharap agar musibah yang  dialami Mohd Asrol Nizam Mat Hussin dan berharap mereka sekeluarga tabah meneruskan kehidupan.
15 Apr 24
449
Majlis Hari Raya DUN Kuala Besut Disambut Meriah
Majlis Hari Raya DUN Kuala Besut Disambut Meriah
BESUT, 14 April - Keceriaan tujuh stesen makanan dan minuman dengan lebih daripada 15 menu disediakan telah berjaya menarik ribuan pengunjung untuk datang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Besut, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kebiasaanya sebelum ini yang menjadi juadah istimewa sebelum ini adalah gulai kawah namun pada kali ini ditampilkan kelainan dengan  mempelbagaikan hidangan dan minuman. Katanya, majlis sambutan raya pada kali ini juga mendapat kerjasama erat antara DUN Kota Putera, DUN Jerteh, DUN Hulu Besut, Dewan Ulama, PAS Kawasan Besut, Muslimat PAS Kawasan Besut, Pemuda PAS Kawasan tersebut serta Ameerah Kawasan Besut, "Melalui kerjasama dengan mereka telah berjaya menyediakan pelbagai menu, antaranya gulai kawah, nasi dagang, kambing golek, nasi minyak, sate, locen, apam balik, 10 jenis air balang, kuih-muih dan tidak asing untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat dan biskut raya. "Kemeriahan majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu terhormat, antaranya ADUN Kota Putera Nurkhuzaini Ab. Rahman, ADUN Jerteh,Dr. Riduan Mohammad Nor, ADUN Jerteh,ADUN Hulu  Besut, Mohd Husaimi Hussin sertra turut dihadiri  Pesuruhjaya PAS Terengganu Senator Dato' Haji Husain Awang," ujarnya. Dalam pada itu katanya, bagi menceriakan kanak-kanak yang hadir  duit raya turut diberikan juga kepada kanak-kanak yang berusia  12 tahun ke bawah. "Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PKM Kuala Besut, yang diadakan bermula jam 9.30 pagi hingga jam 2.30 petang. "Alhamdulilla, saya lihat jumlah kehadiran yang sangat luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut dihadiri tetamu dari jabatan-jabatan Kerajaan yang turut serta bagi memeriahkan majlis ini. "Terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah dan AJK Penatia yang bertungkus-lumus bagi menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada Unit Amal berpanas terik menjalankan tugas bagi melancarkan aliran trafik,"ujarnya lagi.  
15 Apr 24
405
Bubur Lambuk Air Tangan Tunku Azizah Buat Penghuni Penjara Marang
Bubur Lambuk Air Tangan Tunku Azizah Buat Penghuni Penjara Marang
MARANG, 8 April - Lebih 3,000 bubur lambuk air tangan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diagihkan kepada penghuni Penjara Marang, di sini, semalam Kelincahan Baginda 'beraksi' memasak bubur lambuk resepi istimewa berjaya menarik perhatian dan telah menceriakan penghuni di penjara itu. Baginda berkata, sebanyak tujuh periuk bubur lambuk disediakan dengan menggunakan pelbagai bahan yang segar dengan kandungan protein yang tinggi dan menjadi kesukaan ramai setiap kali disediakan di luar istana. "Sebenarnya, tiap-tiap tahun sebelum saya jadi Permaisuri pun, memang suka memasak untuk rakyat jelata apatah lagi bubur lambuk memang sinonim dengan kedatangan Ramadan. "Bermula tahun lepas, saya mula menyediakan bubur lambuk ini di Penjara Penor dan Bentong di Pahang. Alhamdulillah, hari ini rezeki penghuni di Penjara Marang pula merasai sendiri air tangan dari Istana Pahang," titah baginda.   Terdahulu, ketibaan baginda diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; serta dua puteri Terengganu iaitu Tengku Puteri Utama, Tengku Dato' Seri Nadhirah Zahrah Sultan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra. Titah baginda lagi, bubur lambuk Terengganu dan Pahang tidak banyak beza berbanding resipi bubur lambuk di negeri lain, terutama Kuala Lumpur yang terkenal dengan bubur lambuk Kampung Baru. Baginda memaklumkan, resipi bubur lambuk Pahang dan Terengganu banyak menggunakan ikan, pelbagai pucuk paku merah, lada hitam dan santan. "Namun kali ini, kita bawakan khas resipi bubur lambuk Istana Pahang yang menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong dan ayam sebagai ramuan utama di samping bahan lain yang biasa digunakan dalam proses pembuatan bubur lambuk. "Penjara Marang sangat dekat di hati saya, kerana ada produk keluarannya yang sangat istimewa iaitu songket tenunan asli Terengganu," titah Baginda. Baginda juga bertitah, sebagai  Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, usaha mereka dalam memartabatkan seni warisan sangat dihargai. "Justeru itu penyediaan bubur lambuk Istana Pahang ini adalah antara inisiatif untuk menceriakan mereka pada Ramadan," kata Baginda.
08 Apr 24
975