Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Anjur Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
KUALA NERUS, 16 September - Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M di Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ir.Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya telah merancang dan melaksanakan pelbagai program bertujuan untuk memperkasa intelek dan meningkatkan kesejahteraan jiwa masyarakat.
"Kita akan meneruskan pendekatan dakwah yang lebih bertenaga melalui penyampaian ilmu dan tarbiyah, serta menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan melibatkan segenap lapisan masyarakat.
"Selain program-program yang dirancang oleh pihak kerajaan sepanjang bulan Rabi’ul Awwal ini, saya percaya pelbagai pihak akan turut menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemai rasa kasih dan cinta pada Nabi SAW," ujarnya ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tiba di Stadium Tertutup Gong Badak di sini bagi menyempurnakan perasmian Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dengan diiringi Ahmad Samsuri bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Turut berangkat, Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.
Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu pada Isnin disertai seramai 1,888 peserta daripada 59 kontinjen.
Perarakan sempena kelahiran junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW itu bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring sehingga ke Stadium Tertutup di sini dengan jarak 3.4 kilometer (km).
16 Sep 24
239
Projek Lada Hitam Memasuki Fasa Bina Kilang
KUALA TERENGGANU, 15 September- Pembangunan projek lada hitam Mc Cormick di Lembah Bidong, Setiu telah memasuki fasa pembinaan kilang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, perluasan kawasan ladang juga sedang dibangunkan secara berfasa sehingga mencapai keseluruhan keluasan 600 hektar.
“Hampir 400 orang anak Terengganu sedang bekerja di sini, menjadi sebahagian dari kejayaan projek berskala mega ini.
“Ia suatu indikator bahawa anak Melayu Terengganu mempunyai kualiti yang mampu memenuhi standard kerja sebuah syarikat antarabangsa seperti Mc Cormick,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya.
Mengulas lanjut katanya, semasa perancangan projek sedang disusun, Kerajaan Negeri meletakkan syarat supaya pihak pelabur membina sebuah kilang pemprosesan sebagai sebahagian dari komponen projek.
“Dengan wujudnya kilang, jumlah peluang pekerjaan dapat ditingkatkan serta pemindahan teknologi akan berlaku.
“Adalah satu kerugian andai produk keluaran negeri kita hanya dieksport sebagai bahan mentah bagi diproses di tempat lain,” ujarnya.
15 Sep 24
4771
Ladang Solar Tasik Kenyir Bakal Hasilkan 2,000 MW Tenaga Elektrik
Ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang akan dimulakan dalam masa enam bulan akan datang, dijangka dapat menghasilkan sehingga 2,000 MW (megawatt) tenaga elektrik.
12 Sep 24
180
Terengganu Naikkan Tajaan Biasiswa Pelajar Cemerlang B40 ke RM1 Juta
Kerajaan negeri mengumumkan tajaan biasiswa YT-TI 'Young Talent Scholarship Programme' bagi tahun pengajian 2025\2026 akan dinaikkan sebanyak RM500,000 kepada RM1 juta setahun.
11 Sep 24
106
634 Anak Terengganu Cemerlang Akademik Terima Penghargaan
Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu meraikan kecemerlangan 634 anak Terengganu yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023.
11 Sep 24
127
Negeri SG4 Sepakat Jadi Negeri Mesra Pendidikan Agama Rakyat
KUALA TERENGGANU, 11 September - Empat buah negeri SG4 Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sepakat untuk menjadi negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu telah disepakati dalam pertemuan kemuncak SG4 baru-baru ini.
"Dalam pertemuan itu antara yang menjadi tumpuan adalah menjadikan empat buah negeri ini sebagai negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat.
"Supaya semua institusi agama yang dibangunkan secara persendirian yang dimiliki masyarakat membabitkan tahfiz, sekolah rendah Islam, koleh dan sebagainya untuk diberikan tumpuan dengan memberi sokongan dan dokongan semampu yang kita dapat.
"Supaya institusi pendidkan agama ini akan sama-sama dapat berdiri tinggi dan sama-sama berusaha untuk memperkasakannya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ketika menyempurnakan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata sejak 2018 kerajaan negeri sentiasa memberi tumpuan kepada sekolah agama rakyat ini agar tidak terpinggir dalam memastikan ia berupaya untuk memenuhi permintaan ibu bapa yang menjadikan sekolah agama sebagai alternatif terbaik.
"Kita sama berusaha untuk mememnuhi permintaan ibu bapa yang memberikan kepercayaan untuk menghantar anak mereka ke pusat pengajian agama dengan pelbagai pilihan yang ada dalam memastikan generasi yang terbaik dan beriman akan dapat dilahirkan selaras dengan Terengganu yang dikenali sebagai 'Darul Iman'," ucap beliau.
Dalam pada itu katanya kesedaran ibu bapa di Terengganu terhadap pendidikan agama sangat tinggi sehingga Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sentiasa menjadi rebutan.
"Kita sangat menitikberakan soal ini sehingga kita memberikan keutamaan dan berjanji bagi mewujudkan SRIDI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang ini yang dah tebrina 12 dari 32.
"Sekarang ini kita ke araha mewujudkan Sekolah Menengan Agama Islam Darul Iman (SMIDI).
"Dengan permintaan yang tinggi menunjukkan bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat sangat baik dan akan membawa perkembangan pendidikan berorientasikan Islam semkain berkembang maju,"ujarnya.
11 Sep 24
119
Polis Tingkatkan Sekatan Jalan Raya Sepanjang 'RXZ Members'
Polis akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) sempena dengan program RXZ Members yang akan diadakan pada 13 dan 14 September ini.
10 Sep 24
131
Ibu Bapa Sumber Inspirasi Terbesar Penerima Anugerah Pingat Emas
KUALA TERENGGANU, 10 September- Selain diri sendiri, ibu bapa merupakan sumber inspirasi terbesar buat dirinya untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam setiap peperiksaan, kata Wan Ahmad Syakir Alwi Wan Mohd Radzi, 19.
“Bagi saya inspirasi itu perlu dibina sedikit demi sedikit, jadi dulu saya berispirasi untuk mendapat keputusan semua A dalam setiap peperiksaan, bila sudah dapat kita akan teruskan untuk mendapatkan keputusan yang lebih hebat,” kongsi bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut yang merupakan salah seorang daripada empat penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, semalam.
Katanya, beliau bersyukur atas segala kejayaan yang di peroleh pada hari ini.
“Rasa sangat gembira apabila mendapat pingat emas ini. Sebenarnya sepanjang sekolah tidak pernah sangka boleh dapat anugerah yang hebat macam ini.
“Jadi bila sudah dapat mungkin inilah petanda Allah S.W.T hendak tunjuk potensi yang ada pada kita dan boleh pergi jauh daripada apa yang pernah kita impikan.
“Ini mungkin bukan pengakhiran tetapi langkah pertama untuk pergi ke peringkat yang lebih jauh lagi. InsyaAllah itu impian saya,” ujarnya yang bercita-cita menjadi jurutera kimia berstatus hafiz al-Quran.
Anak kepada pasangan guru, Zawahir Che Mood, 45, dan Wan Mohd Radzi Wan Sulaiman, 50, itu telah menamatkan hafalan al-Quran dan bergelar hafiz ketika berusia 14 tahun.
Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Kimia.
Sementara itu, Nur Khalidah Adilah Mohammad, 19, yang turut melakar kejayaan cemerlang merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas penghargaan yang diberikan.
"Saya bersyukur kerana terdiri daripada empat pelajar yang menerima anugerah ini. Saya harap ia dapat menjadi pemangkin kejayaan cemerlang kepada yang lain.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri, saya akan belajar bersungguh-sungguh dan bila berjaya nanti saya akan berbakti untuk Negeri Terengganu,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang juga sedang melanjutkan pengajian di UTP dalam bidang Sains Komputer.
Anugerah Pingat Emas yang diwujudkan sejak 1980 merupakan salah satu inisiatif dan langkah Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu dalam menghargai dan mengiktiraf setiap usaha pelajar yang meraih kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum mahupun sahsiah diri.
10 Sep 24
338
Sukan Menyatukan Masyarakat
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 28 September - Dalam menyertai apa jua kejohanan atau aktivti sukan kalah dan menang sudah menjadi adat, yang paling utama adalah silaturrahim itulah paling bermakna.
Seorang penduduk, Sulaiman Jusoh berkata, melalui penganjuran sukan yang diadakan juga turut dapat memupuk kerjasama antara satu sama lain dalam pasukan.
Ujarnya dengan menawarkan hadiah utama bernilai RM800 pelbagai acara telah diadakan bagi memeriakan program.
"Selain acara tarik tali, turut diadakan Langkah Dirgahayu Negaraku, cabutan bertuah, pertandingan mewarna, shoot bola penalti, shoot bola jaring.
"Serta yang paling menarik ialah bowling buah kelapa yang dibuka penyertaannya kepada muslimat," ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman pada Program Dirghahayu Negaraku Tercinta Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di sini, baru-baru ini.
Program itu turut dihadiri oleh ADUN setempat, Sulaiman Sulong dan isteri, Hafizah Abdul Rahman.
10 Sep 24
211
Tarik Balik Larangan Jual Padi Ke Kilang Negeri Lain - Azman
KUALA TERENGGANU, 10 September - Mesyuarat Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu semalam memutuskan untuk menarik balik larangan penjualan hasil padi dari Terengganu ke kilang padi di negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan pengusaha-pengusaha kilang padi yang ada di Terengganu.
Menurutnya, sehingga kini harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding di negeri lain.
“Selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi.
“Peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status quo kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain,”ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.
Tambah beliau, kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah di Terengganu.
Azman juga berkata, persaingan sihat perlu dibuka di kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran yang terbaik dalam rangka menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang masing-masing.
“Banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1300/mt dalam masa yang sama harga padi di negeri lain sudah mencecah RM1800/mt.
“Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1300/mt tanpa penetapan harga siling,” ujar beliau lagi.
Justeru itu katanya, terpulang kepada pihak kilang untuk penetapan harga asalkan jangan lebih rendah dari harga lantai.
10 Sep 24
583