lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Sebanyak 74 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 159 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pelantikan itu  bagi memastikan tiada gangguan bekalan  keperluan asas timbul sepanjang musim bencana terutama  di kawasan-kawasan berisiko banjir. “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN)telah melantik rantaian pengedaran di peringkat pemborong dan peruncit bagi menambah stok barang kawalan berjadual yang terkandung dalam lesen barang-barang kawalan berjadual (CSA). “DDW dan DDR yang dipilih dibenarkan menyimpan stok sehingga 30 peratus daripada had simpanan lesen CSA sehingga berakhir tempoh MTL,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Tambahnya, sebarang pembelian barang kawalan berjadual di Kawasan bencana oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) atau individu bagi tujuan edaran bantuan bencana adalah dilarang. “Ini termasuk pembelian minyak masak paket bersubsidi bagi tujuan agihan bantuan tidak dibenarkan dan disaran penggunaan minyak masak kemasan botol,”ujarnya. Menurut Ariffin, program Jualan Rahmah Madani juga akan diadakan di lokasi-lokasi berhampiran dengan bencana banjir. 
28 Oct 24
143
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) memainkan peranan besar membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat sahih kepada masyakat. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, UPDI bertanggungjawab menghubungkan rakyat dengan maklumat yang tepat, cepat dan terkini selaras dengan agenda Maju, Berkat, Sejahtera. Katanya, UPDI mempunyai beberapa medium di media sosial antaranya portal TRDI News serta TV Darul Iman (TVDI).  “Penghasilan berita mengenai program-program kerajaan negeri membuktikan keberhasilan liputan yang dibuat contohnya seperti Kejohanan Kuda Lasak Sultan Mizan Cup 2024 yang berlangsung baru-baru ini. “Justeru, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat termasuk mengenai dasar kerajaan negeri boleh melayari portal TRDI News dan laman rasmi TVDI di Youtube atau Facebook masing-masing,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Kepada 20 Penerima Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Di kesempatan tersebut, Tengku Seri Bijaya Raja yang akan bersara wajib pada 5 November ini turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua warga Wisma Darul Iman atas kerjasama sepanjang beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu.  “Saya doakan warga Wisma Darul Iman terus cemerlang dengan pelbagai pencapaian baru dan sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada rakyat. "Wisma Darul Iman adalah nadi pentadbiran negeri, justeru saya berharap semua pegawai dan kakitangan terus menunjukkan imej yang baik dan menjadi contoh kepada agensi di peringkat negeri dan daerah,” ujarnya. Pada majlis tersebut juga, turut diraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu melalui Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) dan Unit Perumahan di atas kejayaan mendapatkan pensijilan Information Security Management System (ISMS) mengikut standard ISO/IEC 27001:2022 daripada Cyber Security Malaysia pada 7 Jun lalu.
28 Oct 24
1428
Terpilih Pengunjung Ke Setengah Juta, Suriani Bawa Pulang Jongkong Emas Bernilai RM15 Ribu
Terpilih Pengunjung Ke Setengah Juta, Suriani Bawa Pulang Jongkong Emas Bernilai RM15 Ribu
Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu.
27 Oct 24
69
32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur
32 Anak Yatim Piatu Terbang ke Kuala Lumpur
Seramai 32 anak yatim piatu dari setiap DUN di Terengganu telah terpilih menyertai program 'Terbang ke Kuala Lumpur'.
27 Oct 24
54
TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank
TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad memeterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad.  Majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan di Doubletree by Hilton Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengerusi TDM Berhad merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program Sukuk Wakalah adalah langkah signifikan dalam perjalanan TDM untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan.  "Dana yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyokong pelaburan masa hadapan dan memenuhi komitmen kewangan TDM dengan mematuhi prinsip Shariah.  "Kerjasama dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad selaku penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi Program Sukuk Wakalah tersebut mencerminkan keyakinan rakan kewangan kami terhadap visi dan strategi jangka panjang TDM," ujarnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, pogram tersebut memberi fleksibiliti kepada TDM untuk menerbitkan nota jangka sederhana mengikut prinsip shariah Wakalah Bi Al-Istithmar, dengan pilihan untuk menerbitkan Sukuk Wakalah tersebut sebagai ‘Rated’ atau ‘Unrated’. "Inisiatif ini membolehkan TDM mengoptimumkan struktur kewangan, menyokong pertumbuhan masa depan dan memperkuat kedudukan modal operasi.  "Tempoh keseluruhan program ini adalah selama 30 tahun bagi menyediakan keperluan kewangan untuk menyokong projek-projek akan datang dalam sektor Perladangan dan Penjagaan Kesihatan. "Sebahagian besar daripada hasil penerbitan Sukuk akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, pelaburan, keperluan modal kerja, dan tujuan korporat am Kumpulan," jelasnya. Dalam pada itu katanya, program berkenaan juga bertujuan mengoptimumkan struktur kewangan termasuk membayar semula pembiayaan sedia ada.  "Selain itu, dana ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan modal operasi bagi memastikan kelancaran operasi harian dan mengekalkan kecekapan operasi dalam perniagaan Kumpulan secara menyeluruh," ujarnya. Menurut beliau, TDM kini menguruskan 13 ladang kelapa sawit yang berkeluasan 28,531 hektar dan masing-masing dua kilang kelapa sawit, kilang Bio-Organik dan loji Biogas yang terletak di Terengganu.  Di samping itu katanya, Kumpulan TDM juga mengendalikan lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berlokasi di Kuala Terengganu, Kuantan, Taman Desa, Kelana Jaya, dan Tawau. "Program Sukuk Wakalah ini akan memastikan TDM mempunyai kemampuan kewangan untuk memacu sektor perladangan dan memperluaskan penjagaan kesihatan. “Program ini dijayakan dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad sebagai Penasihat Utama Bersama, Penyusun Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama.  "Affin Hwang Investment Bank Berhad juga berperanan sebagai agensi fasiliti, manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai penasihat Shariah untuk program ini," ujarnya.
24 Oct 24
168
Muslim Food Tekad Jadi Penanda Aras Industri F&B Bumiputera Di Malaysia
Muslim Food Tekad Jadi Penanda Aras Industri F&B Bumiputera Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober- Niat asal pengasas Muslim Food Industries (MFI) iaitu allahyarham Jamaludin Yusof terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B) sekitar tahun 1980-an adalah untuk mengambil tanggungjawab fardhu kifayah bagi memenuhi keperluan makanan umat Islam dan jihad ekonomi. Pada tahun 1986, beliau yang merupakan seorang guru sains membuat keputusan mengakhiri kerjaya sebagai guru dan menubuhkan Muslim Food Industry, satu-satunya pengeluar mi kuning bumiputera ketika itu. Bermula dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, perniagaan allahyarham terus berkembang maju. Seiring perkembangan semasa pada tahun 1997, Muslim Food Industry telah ditukar nama kepada MFI bagi melestarikan kepelbagaian produk muslim di pasaran semasa. Pengarah Urusan MFI, Ahmad Sayyaf Jamaludin berkata, selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 2014, ‘survival’ syarikat MFI diteruskan oleh beliau bersama adik beradik. Katanya, beliau optimis dengan perniagaan F&B yang dijalankan keluarganya dan bercita-cita membawa jenama syarikat ke peringkat antarabangsa dan menjadi penanda aras kepada industri makanan bumiputera di negara ini. “Harapan saya MFI akan lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan. “Kita ingin menjadi nombor satu dalam Malaysia dan berusaha jadikan MFI sebagai salah satu ‘betchmark’ untuk orang Melayu dalam bidang F&B kerana masih kurang orang Melayu yang berjaya dalam bidang ini,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kilang MFI di Kampung banggol Tok Jiring, baru-baru ini. Ahmad Sayyaf berkata, faktor pasaran baru dan produk baru menyumbang kepada peningkatan jualan syarikat MFI yang ditubuhkan sejak tahun 1986. “Kita meletakkan sasaran jualan akan meningkat 50 peratus setiap tahun. “Produk terlaris keluaran MFI temasuk mi kuning, kuey teow, laksa beras, bebola ikan, bihun, cili kisar, garam halus dan garam kasar yang mana produk berkenaan dipasarkan di semua rangkaian Mydin dan Giant seluruh semenanjung serta berpuluh lagi pasar raya kecil yang lain,” ujarnya. Beliau berkata, MFI sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan produk dalam usaha memenuhi citarasa ramai. “Tahun ini kita fokus kepada pembangunan beberapa produk termasuk bebola ikan, InsyaAllah tahun depan kita akan keluarkan produk baru iaitu bebola ikan (sayuran),” ujarnya. Ahmad Sayyaf berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat sokongan kerajaan antaranya yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang sentiasa bersama syarikat terbabit termasuk dalam memberikan bimbingan dan khidmat nasihat.
23 Oct 24
252
Impian Rohani Bergelar Doktor Falsafah Tercapai pada Usia 81 Tahun
Impian Rohani Bergelar Doktor Falsafah Tercapai pada Usia 81 Tahun
Selepas 10 tahun berusaha, impian seorang warga emas untuk bergelar doktor falsafah, akhirnya tercapai pada usia 81 tahun.
23 Oct 24
123
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta
Polis Terengganu hari ini melupuskan 24 kilogram dan 1,989.27 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.3 juta.
23 Oct 24
113
5,000 Anggota Keselamatan Sedia Hadapi Banjir di Terengganu
5,000 Anggota Keselamatan Sedia Hadapi Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kini bersiap siaga dengan kekuatan anggota seramai 5,000 orang  bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku Oktober ini. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata PDRM sentiasa memberi komitmen yang secukupnya demi keselamatan rakyat terutama di kawasan yang berisiko dinaiki air. Menurutnya, bagi pihak PDRM, seramai dua ribu anggota diseluruh daerah bersedia dikerahkan pada bila-bila masa termasuk arahan ‘cuti dibekukan’ bagi pegawai terlibat. “Mengikut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Terengganu bakal menghadapi MTL bermula bulan November hingga Mac 2025. “Mesyuarat penyelarasan sudah diadakan beberapa hari lepas, dan kita sebagai agensi penyelamat harus bersedia dari sudut logistik dan sumber manusia. “Sejauh mana keseriusan banjir bakal terjadi, pihak keselamatan sentiasa bersedia dengan maklumat dan kenyataan dari MET tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam. Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan, supaya rakyat di negeri ini sentiasa peka dengan kenyataan yang bakal dikeluarkan dari MET, juga sentiasa bersedia dengan apa kemungkinan bakal berlaku, terutama di tempat berisiko banjir. Katanya, mereka perlu peka dengan arahan semasa, dan pindah jika diperlukan bagi mengelakkan dari kejadian buruk berlaku terutama melibatkan nyawa dan sebagainya. “Pastikan juga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerana disitu disediakan segala kemudahan seperti tilam, selimut, makanan dan sebagainya. “Pengurusan penyimpanan dokumen penting juga perlu dibuat, disarankan supaya disimpan dalam beg khas keselamatan, agar tidak rosak dan bebas dari air," katanya lagi. Mohd Khairi juga berkata ibu bapa perlu cakna kepada anak-anak mereka supaya tidak bermain di tepi parit, sungai atau tempat berisiko, bagi mengurangkan kadar kehilangan nyawa walaupun ia berlaku setiap tahun. “Tidak terkecuali juga kepada pengunjung ke tempat berisiko seperti tempat perkelahan, sungai, dan air terjun, kerana ia berisiko terjadinya fenomena ‘kepala air’, elakkan berkunjung ke tempat tersebut ketika di musim MTL," ujarnya.  
23 Oct 24
181
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM2.3 Juta
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Polis Terengganu hari ini melupuskan 24 kilogram dan 1,989.27 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.3 juta. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kesemua dadah yang dilupuskan melibatkan 2,958 kertas siasatan terbahagi kepada tujuh daerah di Terengganu dari tempoh 1991 hingga 2024. “Pelupusan barang kes ini adalah mendapat perintah mahkamah, melibatkan kes-kes tangkapan yang mana suspek telah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952. “Jumlah dadah dilupuskan dalam program ini adalah pil yaba atau pil kuda seberat 19,388.06 gram, syabu 1,173.16 gram, heroin 1,737.04 gram, ganja 343.49 gram, pil eramin 5 269.94 gram, air ketum 1636.20 liter, daun ketum 1340.34 gram, ubat batuk 353.07 liter, pil estacy 0.29 gram, pil psikotropik 54.42 gram. “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu akan membuat pelupusan barang kes dadah mengikut perintah tetap Ketua Polis Negara D207. “Barang kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berdaftar di bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar. “Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar memandangkan barang kes dadah adalah ‘buangan terjadual atau schedule waste (sw403), di bawah jadual pertama, peraturan-peraturan kualiti alam sekeliling 2005,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik di Dataran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini. Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini hanya berhadapan masalah dadah jenis tradisional seperti dadah berasaskan opiate atau candu seperti heroin, morfin dan dadah jenis ganja. Akan tetapi masa kini jelasnya, PDRM menghadapi masalah dadah jenis baru berasaskan sintetik seperti pil yaba, syabu,dan eramin 5. “Sepanjang tahun 2024 (1 Januari-30 September), JSJN Terengganu menunjukkan prestasi begitu baik apabila berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM3.66 juta. “Sebanyak 1,044 kes dibawah kategori (bekalan) telah berjaya dibuka, di mana 94.40 peratus kes di bawah seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) ADB 1952, telah berjaya dituduh di mahkamah sehingga 30 September 2024. “Sepanjang tempoh tersebut, JSJN Terengganu telah mengambil tindakan ke atas seramai 844 orang di bawah seksyen 39C ADB 1952, manakala pada tahun 2023 seramai 1,029 orang telah ditangkap dan dituduh. “Penagih-penagih tegar ini akan berada di dalam penjara dalam tempoh yang lama dan tidak akan lagi mempengaruhi remaja lain daripada terlibat dengan dadah. “Tindakan ini dilihat lebih praktikal dari menghantar penagih tegar untuk menjalani pemulihan dadah kerana mereka boleh mempengaruhi penagih baru yang sedang menjalani pemulihan,” katanya.  
22 Oct 24
195