lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pejabat Daerah Kuala Terengganu Juara Pertandingan Bangsal Tradisi
Pejabat Daerah Kuala Terengganu Juara Pertandingan Bangsal Tradisi
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Pejabat Daerah Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai juara Pertandingan Bangsal Tradisi sempena Karnival Pantai Terengganu (KPT) 2024 yang diadakan di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini. Pejabat itu berjaya membawa pulang hadiah utama bernilai RM50,000. Manakala tempat kedua dimenangi Pejabat Daerah Marang, membawa pulang hadiah RM30,000 dan tempat ketiga pula diraih Pejabat Daerah Hulu Terengganu, layak membawa hadiah RM15,000. Lima daerah lain menerima saguhati masing-masing bernilai RM5,000. Kesemua hadiah diserahkan dalam bentuk geran pelaksanaan program pelancongan di daerah pelaksana tahun 2025. KPT 2024 berjaya merekodkan lebih 150,000 pengunjung dan pelancong sepanjang empat hari program berlangsung iaitu bermula 17 hingga 20 Oktober 2024. Puluhan aktiviti kebudayaan, makanan tradisi yang jarang jumpa, permainan klasik, bangsal tradisi antara faktor KPT 2024 mendapat sambutan diluar jangkaan.
22 Oct 24
703
Karnival Pantai 2024 Rekod Lebih 150,000 Pengunjung
Karnival Pantai 2024 Rekod Lebih 150,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengakhiri Karnival Pantai Terengganu (KPT) 2024 dengan kejayaan yang memberangsangkan apabila mencatatkan lebih daripada 150,000 pengunjung. Malah KPT 2024 yang berlangsung di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir selama empat hari berakhir 20 Oktober lalu juga menarik perhatian lebih daripada 2,000 peserta Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) yang turut sama menyemarakkan karnival berkenaan. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong berkata, ia bukan sahaja berupaya mengangkat budaya dan warisan negeri tetapi juga memberikan sokongan besar kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan. “Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Pertandingan Bangsal Tradisi yang memberi peluang kepada setiap daerah untuk menunjukkan kreativiti dan kebolehan dalam menghias bangsal mereka menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti pelepah kelapa, daun nipah, kayu, dan buluh. “Pelbagai aktiviti yang bersifat budaya, tradisi, dan warisan diperlihatkan sama ada daripada penganjur mahupun daripada setiap Pejabat Daerah sepanjang karnival berlangsung,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika di Majlis Perasmian Penutup Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Bangsal Tradisi Sempena Karnival Pantai Terengganu 2024. Mengulas lanjut katanya, pameran seperti Bangsal Tradisi dan Karnival Makanan yang dianjurkan kali ini menunjukkan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan identiti Negeri Terengganu terus dikekalkan. “Melalui penganjuran KPT ini juga, kita dapat lihat kesan positif terhadap ekonomi setempat, di mana lebih 60 vendor dan pelbagai usahawan tempatan turut mengambil bahagian. “Selain itu, karnival ini turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan budaya dan alam semula jadi,” ujarnya. Katanya, diharapkan KPT akan menjadi acara tahunan yang dinanti oleh semua.  
22 Oct 24
1577
JPS Kenal Pasti 449 Kawasan 'Hotspot' Banjir di Terengganu
JPS Kenal Pasti 449 Kawasan 'Hotspot' Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, Oktober - Sebanyak 449 kawasan 'hotspot' banjir di Terengganu sudah dikenal pasti sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata kawasan 'hotspot' itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilakukan sebelum bencana banjir berlaku. Menurutnya, dijangka terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung "Daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 97 lokasi diikuti daerah Hulu Terengganu (66 kawasan). "Manakala di Setiu (58 kawasan), Dungun (56) kawasan), Kemaman (55 kawasan), Kuala Nerus (48 kawasan), Marang (35 kawasan) dan Besut (34 kawasan)," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman. Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik sebagai persediaan awal. Menurut beliau, beberapa pelan tindakan juga telah dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL, baru-baru ini. Tambah Hanafiah, kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat. “Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu. “Daerah Hulu Terengganu juga dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir selain daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman," ujarnya. Beliau seterusnya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara apabila hujan lebat melebihi tempoh dua jam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan monsun timur laut akan bermula pada awal bulan depan sehingga Mac 2025. Dilaporkan juga fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.
22 Oct 24
291
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa teruja terhadap Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan perkembangan dan kemajuan membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti.  
22 Oct 24
128
SATU Atur Langkah Pastikan Loji Air Tidak Terjejas Ketika Banjir
SATU Atur Langkah Pastikan Loji Air Tidak Terjejas Ketika Banjir
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengambil langkah proaktif bagi memastikan operasi 15 loji rawatan air (LRA) di negeri ini tidak terjejas ketika banjir. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, sekiranya berlaku air pasang besar, hujan lebat dan ada pelepasan air daripada empangan ketika Monsun Timur Laut, berkemungkinan besar untuk berlaku banjir. “Tapi kita kena buat pilihan, ketika air pasang besar kalau tidak ada pelepasan air daripada empangan, loji-loji kita akan terkesan kerana air masin telah sampai ke muka sauk.  “Daripada pengalaman lepas, pensampelan air masin akan diambil termasuk sudah sampai ke tahap mana dan sebagainya. “Kita tentulah tidak boleh kawal hujan, tetapi boleh dapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi buat pengawasan yang lebih kerap untuk melihat tahap air masin tersebut,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Terus bagi Tenaga Boleh Diperbaharui di antara SATU dan GSPARX Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, SATU turut bekerjasama dengan TNB berhubung pelepasan air di empangan untuk imbangi faktor tersebut. “Pelepasan air empangan memang perkara biasa, TNB akan lepaskan air empangan supaya kita masih ada bekalan air, air masin tidak sampai ke muka sauk dan pada masa yang sama dapat minimakan kesan risiko bencana banjir,” ujarnya.  
21 Oct 24
129
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
KEMAMAN, 20 Oktober -  Sepasang kembar yatim piatu, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Dalina Muhammad Yusof berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Bachelor Of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honurs dengan cemerlang di UC TATI. Kejayaan kedua-dua mereka lebih manis apabila menerima Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian akademik yang luar biasa. Kedua-dua mereka telah dijaga dan dibesarkan oleh nenek, Wan Zaharah Ahmad yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan. Pengorbanan itu menjadi pendorong utama kejayaan mereka berdua yang telah kehilangan ibu bapa ketika berusia 15 tahun. Siti Nur Masmera berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan memperolehi kejayaan cemerlang dengan meraih ijazah kelas pertama dan menyifatkan ia merupakan penghargaan yang amat bermakna. "Segala yang kami capai adalah hasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi daripada nenek kami, Wan Zaharah dan juga melalui bantuan Biasiswa Asasi daripada UC Tati dan juga dana kewangan daripada Yayasan Terengganu dan MAIDAM (bantuan awal pengajian dan dermasiswa)," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-24 UC TATI, di sini, semalam. Sementara itu, Siti Nur Mastika pula berkata, rahsia kejayaan mereka adalah saling memberi semangat di antara satu sama lain untuk berjaya. "Walaupun banyak cabaran yang terpaksa kami hadapi dan tempuhi kerana kami sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kitaran kesusahan," ujarnya. Dalam pada itu kejayaan pasangan kembar itu mendapat perhatian daripada pihak universiti  yang melihat mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk tidak mudah menyerah kalah. Rektor UC TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata kedua-dua mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar. "Bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita, tetapi ia berdasarkan kepada usaha dan komitmen yang ditunjukkan," ujarnya.
20 Oct 24
247
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
Sultanah Terengganu Bangga UMT Berkembang Maju
KUALA NERUS, 20 Oktober - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa teruja terhadap Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menunjukkan perkembangan dan kemajuan membanggakan berdasarkan prestasi dan indikator yang digunakan dalam penarafan universiti.   Sultanah Nur Zahirah yang juga Cancelor UMT bertitah, walaupun masih muda dari segi usia, UMT kini dapat berada sebaris dengan universiti yang lebih berusia.  “Sebagai sebuah universiti berfokus, UMT telah membina dan mempunyai jenamanya tersendiri.  “Beta yakin bahawa UMT akan terus melonjak sebagai institusi pendidikan tinggi di peringkat global dan mampu menterjemahkan peranannya yang besar dalam pembinaan modal insan negara,” titah baginda pada upacara Pembukaan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT dan Perisytiharan Pelantikan Pro Canselor di Dewan Sultan Mizan, di sini, hari ini. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat pada majlis konvokesyen itu. Baginda bertitah, ahli akademik diharap dapat meningkatkan kualiti akademik dalam aspek pengajaran supaya relevan dengan perkembangan semasa.  “Ini termasuklah penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang boleh diintegrasikan dalam sektor pendidikan tinggi untuk hasil yang lebih optimum,” titah Sultanah Nur Zahirah. Dalam pada itu, Sultanah Nur Zahirah turut bertitah agar siswazah UMT meraikan kejayaan pada hari ini dengan penuh rasa syukur dan rendah diri.  “Hargailah jasa ibu-bapa dan para pensyarah yang telah banyak berkorban demi kejayaan anda.    “Teruskan usaha meneroka lautan ilmu tanpa henti. Sikap segelintir pihak dalam masyarakat yang mempersoalkan kepentingan pendidikan tinggi perlu dihentikan.  “Pendidikan adalah satu proses pemugaran manusiawi yang mempunyai elemen budi dan bakti. Ia bukanlah bersifat jual-beli kerana ia mempunyai hikmah yang membangunkan pemikiran dan sahsiah peribadi,” titah baginda. Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT menyaksikan seramai 2,775 graduan  diraikan dalam enam sesi yang bermula hari ini hingga Selasa.    
20 Oct 24
633
Terengganu Peruntuk Lebih RM29 Juta Bantu Usahawan Sejak Tahun 2019
Terengganu Peruntuk Lebih RM29 Juta Bantu Usahawan Sejak Tahun 2019
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan RM29 juta bagi membantu 5,098 usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada tahun 2019 hingga kini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata walaupun kerajaan negeri disekat royalti, pihaknya tetap mengambil tanggungjawab untuk meneruskan skim TUGAS meskipun jumlah pembiayaan tidak seperti sebelum ini. “Dengan tekad ingin terus membantu seluruh usahawan di Terengganu, kerajaan negeri melalui YPU akan meneruskan pembiayaan ini bagi membantu usahawan meningkatkan pendapatan mereka. “Ia secara tidak langsung dapat membantu masalah pengangguran dan juga meningkatkan ekonomi negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS kali ke-3/2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, hari ini. Dalam majlis tersebut seramai 47 usahawan menerima surat tawaran peringkat tiga/2024 dengan jumlah peruntukan RM622,479.40  ribu yang mana  setiap usahawan akan mendapat pembiayaan antara RM7 ribu sehingga RM50 setiap seorang. Jelas Ariffin, ia meliputi skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), TUGAS-PERANTAU, Dana Usahawan& Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan Dana Prihatin Terengganu-OKU (D-Hati). “Saya melihat skim-skim ini sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujar beliau lagi. Katanya, bagi tahun 2024, pihaknya telah membuat pengeluaran pembiayaan Skim TUGAS lebih RM1.7 juta kepada 135 peminjam yang memasuki peringkat ketiga dan bakinya sebelum akhir tahun ini. Dalam masa sama, Ariffin berharap para peminjam memanfaatkan skim TUGAS dengan sebaik mungkin dan membuat bayaran balik sebagaimana yang terdapat dalam surat perjanjian yang telah ditanda tangani. “Sebagaimana yang saya katakan buat masa kini kita kekurangan hasil pendapatan tahun ini dan tiada peruntukan khas untuk skim TUGAS disalurkan. “Namun bayaran balik oleh peminjam yang telah memperolehi pembiayaan ini akan membantu untuk menyalurkan atau membuat pusingan balik kepada pemohon-pemohon baru selepas itu,” katanya.
20 Oct 24
253
Impian Rohani Bergelar Doktor Falsafah Tercapai pada Usia 81 Tahun
Impian Rohani Bergelar Doktor Falsafah Tercapai pada Usia 81 Tahun
KUALA NERUS, 20 Oktober - Selepas 10 tahun berusaha, impian seorang warga emas untuk bergelar doktor falsafah, akhirnya tercapai pada usia 81 tahun. Christine Rohani Longuet yang berasal dari Perancis berkata, gelaran itu diidam-idamkannya sejak dahulu dan beliau menanam azam untuk berusaha mencapai impiannya itu selagi kesihatan masih baik. Berkongsi impiannya Rohani memberitahu, selepas ini beliau berazam untuk menulis buku memoir kenangan sepanjang berada di bumi Terengganu sejak 51 tahun yang lalu. "Saya mahu cucu cicit dan keturunan seterusnya tahu sejarah asal usul nenek moyang mereka dan bagaimana boleh berada di Malaysia setelah melalui pengembaraan dengan belayar jauh dari Perancis. "Saya juga ingin meluahkan semua pengalaman dan kecintaan saya terhadap budaya, kesenian serta warisan tradisional untuk diterjemahkan dalam buku yang akan diterbitkan dalam tiga bahasa nanti iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis dan Bahasa Melayu," katanya kepada pemberita pada Majlis konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke- 22, hari ini. Terdahulu, Rohani merupakan graduan tertua menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan antara 89 graduan PhD yang diraikan dalam sesi pertama konvokesyen yang disempurnakan istiadatnya oleh Canselor UMT iaitu Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pagi ini. Nenek kepada 26 cucu dan moyang kepada sembilan cicit itu berkata, kejayaannya itu membuktikan usia bukanlah penghalang dalam mencari ilmu pengetahuan. "Saya memulakan pengajian PhD dengan tesis bertajuk 'Places, Plants and People In The State Of Terengganu, Malaysia: An Assessment From Two Eras' pada tahun 2014. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat banyak sokongan daripada pensyarah serta keluarga sepanjang 10 tahun pengajian ini berlangsung. "Walaupun mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkannya kerana kekangan masa, saya gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi hari ini disaksikan sebahagian anak, cucu dan cicit," katanya. Sebelum ini, Rohani melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Sebelum itu, ketika berada di negara kelahirannya, Rohani memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sorbonne, Paris sebelum berhijrah ke Malaysia. Rohani yang meminati bidang pelayaran datang ke Terengganu pada tahun 1971 kerana menempah kapal buatan tukang yang mahir dan akhirnya menetap di Pulau Duyong setelah berkahwin dengan penduduk tempatan, Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah. Sejak itu, kisah hidupnya terkenal kerana menjadi wanita tunggal dari Perancis ketika itu yang mahir bertutur dalam dialek Terengganu dan sangat meminati bidang kesenian, warisan dan kebudayaan Terengganu.  
20 Oct 24
324
KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'
KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'
Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik rumah Program Residensi Rakyat (PRR) yang menjadikan kediaman itu sebagai inap desa akan disenarai hitam.
20 Oct 24
123