Artikel "Semasa" Terkini
'Apa Perkembangan Terkini LPT3?' - Soal Ahli Parlimen Setiu
KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, melahirkan kekecewaan terhadap kemajuan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT-3) yang sehingga kini belum menunjukkan perkembangan positif.
Dalam sesi Dewan Rakyat, beliau menyoal komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur di Pantai Timur yang didakwa sering terpinggir berbanding Pantai Barat.
“Daerah Setiu paling terkesan dengan ketiadaan lebuh raya, kesesakan sering berlaku terutama ketika musim perayaan tiba, melibatkan laluan utama dan laluan alternatif iaitu jalan pantai.
“Mengapa projek sebesar LPT-3 ini seolah-olah dibiarkan terbengkalai tanpa perkembangan terkini?,” soalnya.
Menurut beliau, kerja awalan projek ini dimulakan sejak 2021, namun hampir tiga tahun telah berlalu tanpa sebarang kemajuan yang boleh dilihat, sekali gus menimbulkan keraguan tentang kesungguhan kerajaan dalam menyeimbangkan pembangunan antara Pantai Timur dan Barat.
Beliau juga mempersoalkan dasar kerajaan yang dilihat sering memfokuskan projek infrastruktur ke Pantai Barat.
“Adakah kerajaan sedar bahawa rakyat di Pantai Timur juga layak menikmati infrastruktur yang sama seperti di Barat?,” tambahnya.
Shaharizukirnain menegaskan bahawa pembangunan yang seimbang antara kedua-dua wilayah ini penting untuk membuka peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat Pantai Timur.
“Kita tidak minta layanan istimewa, kita cuma mahu keadilan dalam pembangunan,” katanya lagi, menyeru agar kerajaan segera bertindak menyelesaikan projek LPT-3 yang dinanti-nantikan penduduk Pantai Timur.
03 Nov 24
492
EPIC, Brunei Jalin Kerjasama Majukan Industri Maritim
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 November – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), syarikat milik penuh Kerajaan Terengganu terus melangkah lebih jauh dalam industri maritim apabila menjalin kerjasama dengan Brunei dalam bidang terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili berkata, majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa) membuka jalan kepada pembangunan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan kapal yang pertama di Brunei Darussalam.
Katanya, ia merupakan peluang besar untuk EPIC Berhad memperluaskan kepakaran ke peringkat antarabangsa sejajar dengan strategi perniagaan syarikat.
"Langkah itu juga berpotensi membawa impak positif kepada industri maritim di Malaysia dan Brunei serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
“Kami sangat bersemangat untuk meneroka potensi besar ini yang bukan sahaja mendukung strategi perniagaan kami tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
“LoI ini mencerminkan komitmen EPIC Berhad terhadap pertumbuhan melalui kerjasama strategik bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain industri minyak dan gas pilihan, sambil memacu inovasi perkhidmatan penyahtauliahan dan marin.
“Inisiatif ini juga selari dengan pembangunan Fasiliti Kitar Semula Kapal Hijau ("GSRF") EPIC Berhad di Pelabuhan Kemaman, yang juga berfungsi sebagai Tapak Pelupusan Pesisir atau Fasiliti Pemulihan Penyahtauliahan ("DRF"). Terletak di atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman ("KSB"), fasiliti dwi-fungsi pertama di Malaysia ini dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 selain bakal menjadi penanda aras bagi kemudahan kitar semula serta penyahtaulihan kapal secara Lestari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemeteraian yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei, di sini, hari ini.
Majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Untuk rekod, fasiliti tersebut terletak di kawasan strategik seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, Brunei.
Ia dibangunkan oleh konsortium yang diketuai oleh Qaswa bersama Dana Modal Pembangunan Strategik Brunei, dengan kerjasama teknikal syarikat antarabangsa dari Korea Selatan, Dongil Shipyard Co Ltd, dan dari United Kingdom, CessCon Decom Ltd.
Fasiliti berkenaan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan, dan penyahtauliahan marin yang mampan dan moden, menjadikannya tumpuan utama di rantau ini.
Sementara itu, Pengerusi Qaswa, Musa Adnin, menyatakan bahawa pemeteraian LoI adalah pencapaian penting bagi Qaswa dalam usaha membina kerjasama dan pelaburan strategik bersama EPIC Berhad.
"Ia diharap dapat memberikan manfaat besar kepada syarikat dan memperkukuh ekonomi Brunei.
“Dengan memanfaatkan kepakaran serta rekod pencapaiannya yang kukuh, jalinan hubungan strategik tersebut dijangka memberikan manfaat besar kepada Qaswa serta menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi Brunei Darussalam.
"Kerjasama ini juga merupakan langkah signifikan dalam menambah baik keupayaan sektor minyak dan gas serta ekonomi tempatan, seiring dengan visi pembangunan ekonomi mapan negara,” ujarnya.
01 Nov 24
477
CEO Satu Antara Lapan Pendaki 'Berkain Batik' Berjaya Tawan 'Everest Base Camp'
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut, 54, menjadi antara lapan pendaki dari Terengganu berjaya menawan Kem Pangkalan Everest di Kathmandu, Nepal sekitar jam 5 petang pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua Ekspedisi berkata, dia cukup teruja dengan kejayaan itu dan lebih manis, mereka turut berpakaian tradisional batik dan semutar sebaik 'menawan' Everest Base Camp (EBC).
Menurutnya, pendakian ke puncak setinggi 5,364 meter mengambil masa 15 hari dengan jarak perjalanan pergi dan balik sejauh 130 kilometer (km).
"Pendakian hari kesembilan pada Selasa bermula dari Perkampungan Lobuche yang berada para paras 4,910 meter sekitar jam 7.30 pagi dan pasukan kami selamat tiba di Kem Pangkalan Everest jam 3 petang waktu tempatan di sini.
"Sepanjang pendakian, keadaan cuaca sangat sejuk dengan suhu serendah antara negatif lapan hingga 16 darjah Celsius.
"Selain itu, kami terpaksa melalui laluan yang berbatu serta keadaan cuaca berangin antara cabaran buat kami semua untuk menamatkan kembara ini," katanya yang pertama kali menyertai ekspedisi tersebut.
Tambah beliau, ekspedisi ini turut disertai pendaki pertama Terengganu yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 2007 iaitu Mohd Rafi Kori, 45.
"Pengalamannya yang sudah lima kali berjaya menawan EBC banyak membantu melancarkan ekspedisi ini," ujarnya lagi.
Abdul Karim berkata, perjalanan turun dari EBC menuju ke Perkampungan Lukla dan Kathmandu pada 2 November ini dengan jarak perjalanan sejauh 60 km mengambil masa selama tiga hari sebelum pulang ke tanah air.
"Pasukan pendaki ini dijangka tiba di Malaysia pada 5 November ini," katanya.
Selain Muhamad Rafi dan Abdul Karim, pendakian itu turut disertai Mohamad Salam Muda, 38; Mohd Yusri Gati@Mohd Gati, 37; Mohd Juhairi Mohd, 39; Mohd Izwan Awang, 37; Mohd Ghazali Kori, 37 dan Hairry Helmy @ Khairy Mustafa, 48.
Bagaimanapun,difahamkan salah seorang pendaki tidak berjaya sampai sehingga ke puncak atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Program kembara oleh Kelab Sukan Dan Kebajikan Kakitangan SATU Terengganu (KSKK) dengan Kerjasama Kelab Terengganu BackPackers juga mendapat tajaan rakan agensi seperti Ladang Rakyat, TDM, KMI Healthcare, Jaks Resources, PTT Energy, Asmak, Hospital Salam dan Adeqsue.
Sementara itu, Muhamad Rafi berkata, walaupun telah berpengalaman sebanyak lima kali tiba ke kem pangkalan tersebut, suhu serendah negatif lapan hingga 16 darjah Celsius antara cabaran yang perlu dilalui sepanjang ekspedisi itu.
"Saya bersyukur kerana pengalaman kali kelima menuju ke pangkalan ini berjaya direalisasikan," ujar beliau.
Katanya lagi, sepanjang tempoh pendakian, kesemua pendaki merasai pengalaman baharu iaitu bertemu pendaki lain dari seluruh dunia dan dalam masa yang sama dapat mempromosikan Malaysia dan Terengganu secara amnya di mata dunia.
31 Oct 24
610
Tour Gateh D'Tranung Labuh Tirai
Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) yang melibatkan lima daerah iaitu Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melabuhkan tirainya.
30 Oct 24
83
Kerjasama Dengan Terengganu Hasil Makanan Ternakan Biojisim
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Kerajaan disaran mengadakan kerjasama dengan Negeri Terengganu yang sedang dalam usaha menghasilkan makanan ternakan daripada biojisim.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, penghasilan makanan ternakan daripada sumber tersebut dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan import.
"Inisiatif Kerajaan menerusi Pelan Tindakan Biojisim Negara 2030 (NBAP 2030) perlu juga mengambil kira usaha mencipta peluang pekerjaan baru kepada golongan belia di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan, dan khususnya Terengganu," jelasnya.
Wan Hassan berkata demikian ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau meminta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran (circular economy) untuk mengelakkan bahan buangan berkenaan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG).
Menerusi jawapan lisannya, Johari memberitahu, Kementeriannya dan agensi menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti bahan sisa sawit untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.
"Gas metana daripada efluens kilang minyak atau palm oil mill effluent (POME) diperangkap untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui oleh kilang-kilang sawit.
" Menjelang tahun 2030, industri biojisim ini dijangkakan akan menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion.
" Industri ini juga dijangkakan akan dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baru," ujarnya.
29 Oct 24
857
'Dapatkan Maklumat Tepat Tentang Kerajaan Terengganu'
Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) memainkan peranan besar membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat sahih kepada masyakat.
29 Oct 24
62
74 Pemborong, 159 Peruncit Terpilih Diberi Kelulusan Simpan Barang Kawalan
Sebanyak 74 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 159 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.
29 Oct 24
44
Tour Gateh D'Tranung Labuh Tirai
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Tour Gateh D'Tranung 2024 (TGDT2024) yang melibatkan lima daerah iaitu Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melabuhkan tirainya semalam.
Kejohanan di peringkat akhir semalam bagi acara 'Night Criterium' membabitkan jarak sejauh 57 kilometer di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Dalam acara kemuncak, pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG), Irwandy Lakkasek telah memenangi perlumbaan dengan saingan sengit daripada rakan sepasukan.
Bagi kategori bawah 23 tahun menyaksikan ASC Monster dari Indonesia telah muncul juara diikuti Nusantara Cycling Team berada di tempat kedua dan TSG (Terengganu Cycling Team) berada di tempat ketiga.
Manakala untuk kategori Local Club Team menyaksikan MIFH Cycling Group menjadi johan, tempat kedua dimenangi MBPJ dan tempat ketiga PDRM Cycling Team.
Untuk kategori Best Elit Team pula, Armed Cycling Group telah muncul sebagai johan, di tempat kedua TSG dan ketiga Malaysia pro Cycling.
Kejohanan TGDT2024 semalam telah dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Timbalan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri (NGO), Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
29 Oct 24
423
SHMMP Deepavali: 178 Anggota KPDN Pantau Harga di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Seramai 178 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) ditugaskan memantau pematuhan peniaga yang menjual barangan harga terkawal di negeri ini berkuat kuasa Isnin sehingga 3 November.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata sebanyak lapan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.
"Senarai barangan adalah daging kambing, biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasaraya Econsave, Tanjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Menurutnya, antara diberi tumpuan dalam pemeriksaan pematuhan adalah penggunaan tanda harga berwarna merah jambu, pematuhan penentusahan alat timbang sukat, pematuhan harga maksimum runcit dan borong serta keberadaan bekalan.
"Pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini peniaga boleh dikenakan penalti," katanya.
29 Oct 24
171
Tambah Baik Kemudahan Kesihatan Dan Keselamatan Di Kemaman
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengusulkan beberapa permintaan penting bagi memastikan kesejahteraan penduduk Kemaman.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan kesihatan dan keselamatan di kawasan tersebut yang semakin pesat membangun.
“Dalam sektor kesihatan, saya mencadangkan peningkatan taraf bagi beberapa klinik utama, termasuk Klinik Batu 2 1/2, Klinik Cukai, Klinik Kuala Kemaman, dan Klinik Kemasik.
“Berdasarkan dengan pertambahan pesakit di kawasan itu, peningkatan infrastruktur dan kemudahan kesihatan amat diperlukan. Dengan usaha ini akan membantu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa, demi kesejahteraan penduduk setempat,” ujarnya ketika berucap di hadapan wakil-wakil kerajaan dalam perbahasan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu, Menteri Besar Terengganu turut menekankan aspek keselamatan, di mana beliau menyatakan bahawa dengan pertambahan populasi dan penempatan baharu, kawasan tersebut memerlukan tambahan kekuatan anggota keselamatan terutamanya dengan perkembangan kawasan industri.
“Saya memohon perhatian dan tindakan kerajaan untuk menaik taraf pondok – pondok polis di Kemaman, menaik taraf perjawatan Ketua Polis Balai dan Ketua Polis Daerah kepada jawatan hakiki yang lebih tinggi.
“Ia penting bagi memastikan keselamatan penduduk di Kemaman sentiasa terjamin dan mampu menghadapi cabaran baru akibat pertumbuhan pesat kawasan tersebut.
“Kemaman kini berkembang maju dan setiap penduduk berhak hidup dalam keadaan selamat dan selesa. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kebaikan kita bersama,” kata beliau.
29 Oct 24
194