lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Dapur Rakyat Dinikmati Warga Air Putih
Dapur Rakyat Dinikmati Warga Air Putih
KEMAMAN, 21 November - Sebanyak 280 bekas gulai daging telah berjaya diagihkan kepada penduduk Kampung Seberang Tayor Hulu dan Hilir di dalam Program Dapur Rakyat baru-baru ini. ADUN Air Putih, Ab.Razak Ibrahim telah menyumbangkan seekor lembu bagi menjayakan program tersebut. Bermula seawal 8.00 pagi di hadapan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Ab.Razak sendiri telah turun padang menyembelih lembu. Proses melapah dan memasak gulai daging  dilakukan secara bergotong- royong oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Tayor Hulu dan Hilir bekerjasama dengan AJK PAS Cawangan Seberang Tayor. Gulai daging yang siap dimasak kemudiannya dibungkus dan diagihkan dari rumah ke rumah penduduk kampung selepas Solat Jumaat. Rata-rata penerima bungkusan gulai daging berasa gembira dan berterima kasih di atas agihan tersebut. Menurut Ab.Razak, program Dapur Rakyat merupakan antara program ADUN Air Putih yang akan berlangsung di beberapa buah kampung di sekitar Dun Air Putih mengikut jadual yang diatur bagi meraikan masyarakat setempat. “Saya  berharap dengan pemberian ini warga Air Putih dapat menikmati gulai daging serta sedikit sebanyak meringankan beban keluarga ibu tunggal dan fakir miskin," ujar beliau.
19 Nov 20
238
Mesin Adun Tepung Tingkat Jualan Kuih Pau
Mesin Adun Tepung Tingkat Jualan Kuih Pau
BESUT, 19 November- Warga emas, Minah Awang,70, amat berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ekoran sumbangan mesin pengadun tepung bagi membolehkannya meningkatkan pendapatan keluarga. "Makcik sangat bersyukur dengan bantuan mesin ini. Terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung disini yang sentiasa cakna akan penduduk yang memerlukan bantuan. "Harap-harap lepas nie dapatlah tambah jualan kuih pau pelbagai inti yang makcik usahakan," ujarnya yang merupakan salah seorang daripada empat usahawan kecil di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang menerima sumbangan mesin. Majlis sumbangan tersebut telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ke semua kediaman penerima dimana lokasi penyerahan terakhir adalah di Kampung Sentosa. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini yang juga merangkap ADUN Kota Putera berkata, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif daripada YPU untuk membantu usahawan mengembangkan lagi produk atau hasil jualan mereka.  "Bantuan ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan hasil jualan peniaga. Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para peniaga untuk terus maju dalam perniagaan yang diusahakan "Sebenarnya bantuan yang mereka terima ini adalah melalui permohonan yang dibuat kepada YPU. Selain dari mesin penguli tepung, kita turut menyerahkan mesin 'steamer' dan juga mesin jahit kepada peniaga yang memenuhi syarat," ujarnya.   
19 Nov 20
956
Turun Padang Dengar Luahan Penjaja
Turun Padang Dengar Luahan Penjaja
KUALA TERENGGANU, 19 November- “Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka. Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kesukaran penjaja makanan mencari rezeki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini. "Memandangkan bilangan pengunjung ke Pantai Batu Burok berkurangan mendadak, ianya sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan peniaga disini," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman kepada pemberita semasa turun padang menyantuni penjaja makanan di sekitar Pantai Batu Burok. Katanya, mewakili kerajaan negeri beliau turun ke bawah bagi mendapat maklumat dan mengenal pasti masalah peniaga. "Selaku Exco Usahawan Negeri Terengganu, saya akan cuba membantu semampu mungkin untuk menjadi pemudah cara kepada peniaga kecil. Banyak cadangan yang diutarakan oleh peniaga-peniaga yang disantuni bertanyakan berkenaan apa yang kerajaan negeri boleh bantu. Sempat saya jelaskan beberapa perkara mengenai bantuan kerajaan negeri yang sedia ada. "Rata-rata peniaga yang saya temui di sekitar bandar ini melahirkan gembira apabila dapat meluahkan pendapat dan cadangan kepada pihak kerajaan negeri." katanya. Dalam pada itu, beliau turut mendoakan para peniaga yang berjuang mencari nafkah demi keluarga dimurahkan rezeki dan dilimpahkan rahmat daripada Allah SWT.  
19 Nov 20
1385
350 Fakir Miskin Terima Sumbangan
350 Fakir Miskin Terima Sumbangan
KEMAMAN, 19 November - Seramai 350 orang fakir miskin menerima sumbangan berbentuk beras dan barangan dapur dalam Program Hatiku Bersamamu yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai, kelmarin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata majlis tersebut diadakan bagi memastikan sumbangn yang diberikan dapat meringankan bebanan sebahagian fakir miskin yang tinggal di kawasannya itu. "Saya memahami keadaan yang sedang dialami oleh rakyat ketika ini. Apatah lagi kita sekarang berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ditambah pula dengan tibanya musim tengkujuh. Sudah tentu sedikit sebanyak ia menjejaskan pendapatan sebahagian daripada mereka ini. Oleh yang demikian, kita mengadakan program ini pada hari ini," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu turut menjelaskan, majlis itu diadakan secara ringkas serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan tidak bersentuhan. "Penyerahan sumbangan pula berlangsung secara berperingkat dimana kita mula mengagihkannya sejak pagi sehingga selesai pada waktu tengahari. Ia dilaksanakan sedemikian bagi memastikan penerima sumbangan tidak berkumpul di sini dalam jumlah yang sangat ramai," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas selesai majlis tersebut.
18 Nov 20
295
Waspada Keselamatan Musim Banjir
Waspada Keselamatan Musim Banjir
SETIU, 18 November - Fenomena banjir di daerah ini sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah penduduk, namun faktor keselamatan tidak wajar dipandang mudah. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, penduduk perlu waspada dengan banjir yang bila-bila masa boleh berlaku pada musim ini dengan faktor penerimaan taburan hujan yang tinggi. "Kawasan yang rendah dan berisiko berlaku banjir perlu diberikan perhatian khusus mengenai keselamatan diri, keluarga dan harta benda," katanya. Beliau berkata demikian ketika meninjau situasi banjir di Kampung Padang, Mukim Hulu Setiu yang mengakibatkan laluan Bandar Permaisuri ke Kampung Seladang tidak dapat dilalui sejak malam tadi. Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang, Azizan Abdul Rahman. Zul Bhari turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan lebih-lebih lagi dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.  
18 Nov 20
460
Buka Peluang Orang Ramai Hulur Sumbangan
Buka Peluang Orang Ramai Hulur Sumbangan
DUNGUN, 18 November- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) Cawangan Taman Indah telah mewujudkan pusat pengumpulan barang bantuan bencana bagi memberi peluang kepada masyarakat serta para dermawan untuk menyumbang kepada pihak yang memerlukan sekiranya berlaku bencana banjir. Pengerusi MPKK cawangan berkenaan, Zakiah Alias berkata, pusat tersebut telah beroperasi bermula 15 November lepas. "Kita membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang barangan dapur seperti beras, gula, gandum, minyak masak serta pelbagai barang bekalan boleh disumbangkan disamping turut menerima pakaian terpakai, air minuman, tuala wanita serta lampin pakai buang. "Pusat ini bertempat di Bilik Gerakan MPKK Taman Indah bagi memastikan segala keperluan dan bekalan tidak terputus sepanjang berlaku bencana banjir," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, baru-baru ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata kewujudan pusat berkenaan dilihat sangat efektif dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terbela. "Ini adalah salah satu usaha murni, justeru saya mencadangkan agar MPKK lain turut mengikuti apa yang diusahakan ini," ujarnya.
18 Nov 20
282
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
SETIU, 18 November – Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur memberi impak kepada penoreh getah dan nelayan yang tidak dapat bekerja seperti biasa. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu perlu ditangani dengan baik kerana ia boleh menjejaskan kehidupan golongan tersebut terutamanya melibatkan bekalan asas. "Alhamdulillah, sebahagian stok makanan ruji persiapan musim banjir sudah tiba. Beras dari sawah padi Terengganu dan dikilangkan di Terengganu. Walau susah macam mana sekalipun, wajib kita kena pastikan setiap rumah di Jabi ada beras, "Tengkujuh adalah musim sukar untuk penoreh terutama penyandang jawatan 'noreh getah orang'. Dari tangga ke tangga kita kunjungi dalam program ziarah cakna penoreh sekitar Kampung Tok Dor, Kampung Bahagia, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Tasik Nibong, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Kerandang, Kampung Pondok Paku, Kampung Gong Dasar dan Kampung Matlain Badrin. "Alhamdulillah, sempat 60 buah rumah sahaja hari ni. Insya-Allah akan disusuli lagi di beberapa lokaliti lain yang masih berbaki," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada penoreh getah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, baru-baru ini. Mengulas tentang banjir, beliau yang juga ADUN Jabi memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan untuk mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Di Jabi yang berpindah ke PPS tak berapa ramai. Majoritinya tak berpindah tetapi mereka adalah mangsa musim banjir terutamanya penoreh getah. Inilah yang perlu kita selesaikan dan disantuni. Tentunya bantuan ini tak akan sampai ke setiap rumah di Jabi sebagaimana agihan masa Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dulu. ‘’Biarlah berat sama dipikul, susah sama dirasa dan kepayahan sama diringankan. Ternyata beban yang perlu dipikul atas dunia terlalu ringan berbanding beratnya bebanan amanah yang perlu kita jawab di hadapan Allah. ‘’Kami bukan yang terbaik. Tetapi kami berusaha untuk sentiasa hadir ketika rakyat dalam kesukaran," tambah beliau.
18 Nov 20
429
Asnaf Terima Food Bank YaPEIM
Asnaf Terima Food Bank YaPEIM
BESUT, 18 November- Seramai tiga keluarga asnaf di setiap kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima bantuan barangan keperluan melalui Program Food Bank daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Bantuan ini diberikan bagi meringankan beban gologan asnaf yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan pandemik COVID-19. Bantuan telah disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut,  Azbi Salleh bersama pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Kuala Besut, semalam Sementara itu, Azbi mengucapkan terima kasih kepada YaPEIM yang turut membantu penduduk terkesan akibat COVID-19. “Kami pihak Pusat Khidmat DUN Kuala Besut membantu penduduk dengan menyalurkan banyak bantuan kepada penduduk yang terjejas termasuk yang disumbangkan oleh pihak- pihak yang prihatin. “Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak YaPEIM kerana turut menyumbang kepada penduduk DUN Kuala Besut," ujarnya.
17 Nov 20
175
Peniaga Dalam Talian Perlu Daftar SSM BizTrust
Peniaga Dalam Talian Perlu Daftar SSM BizTrust
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan hanya 4.181 peniaga dalam talian yang mendaftar di bawah BizTrust diperkenalkan agensi itu sejak empat tahun lalu.  
16 Nov 20
305
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 16 November - "Kesedaran dan kerjasama penduduk tempatan untuk bersama-sama menyelenggara sistem saliran adalah penting dalam usaha mengatasi masalah banjir," demikian kata Timbalan Pengerusi Pertanian, Industeri Makanan, Peladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Tambahnya, longkang berhampiran rumah, pastikannya bersih dan tidak tersumbat kerana sampah yang dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang akan dibawa air saliran utama. “Memang tidak dinafikan, kegagalan sistem saliran air sedia ada untuk menampung pengaliran air menjadi antara faktor utama banjir kerap melanda terutama kawasan penempatan lama atau tanah rendah," ujar beliau. Ustaz Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir berkata demikian kepada media selepas melawat gotong-royong pemasangan ‘culvert’ saliran air banjir di kampung Pulau Manis anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), semalam. “Hampir setiap MPKK diberi peruntukan baik pulih atau bina baharu saliran air hasil peruntukan daripada pelbagai agensi seperti Majlis Badaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat Masyarakat PKM ADUN Manir” “Justeru, sangat perlu mengukuhkan mekanisme menggabungkan antara agensi dan pentadbiran secara menyeluruh, selain mempertingkat kesedaran masyarakat dalam usaha mengekang banjir,"ujarnya.
15 Nov 20
686