lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Belut Baruh, Rezeki Empat Sekawan
Belut Baruh, Rezeki Empat Sekawan
MARANG, 15 November – Bergelumang dengan lumpur untuk menangkap belut adalah mainan biasa bagi empat sahabat dari Kampung Seberang Marang di sini. Mohd Aqid Islam Fikri, Mohd Ariff Farhan Akmal, Mohd Adam Adha Faiza dan Mohd Adam Ashraf Nasir yang merupakan pelajar darjah lima dan empat di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang gemar menangkap belut di kawasan baruh berdekatan rumah mereka. Sejak penutupan sekolah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka berempat semakin rancak melakukan aktiviti itu yang turut memberi pulangan untuk simpanan masa depan. Bapa kepada Adam Adha, Mohd Faiza Abdul Kadir, 40, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu mula berjinak dengan hobi tersebut ketika melihat bapa dan abangnya pergi ke baruh pada setiap pagi. “Budak-budak ini belajar daripada kita (ayah dan abang), kemudian Adam kian bersemangat dan mengajak kawannya yang lain untuk tangkap sama-sama terutamanya selepas hujan. Itu masa paling sesuai memburu belut," katanya ketila ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.. Bapanya yang juga seorang buruh berkata, setiap petang sekitar pukul 5, mereka memasang batang tukil (sejenis alat menangkap belut), yang dahulunya biasa diperbuat daripada buluh, berisi umpan cebisan ikan sepat. “Kemudian, pada awal pagi jam 7, Adam dan rakan-rakannya akan mengumpul hasil dalam perangkap tersebut. “Sekarang saya guna paip PVC dan dipasang oleh Adam dan Abangnya, setakat ini mereka ada kira-kira 30 batang. “Mana yang mati kami makan, tapi belut ditangkap yang masih hidup Adam Adha sendiri akan jual kepada pengusaha restoran berhampiran yang membeli. Harganya pun Adam letak sendiri iaitu 1 kilogram RM20. “Bergantung kepada rezeki, kadang-kadang hasil boleh mencecah sampai 4 ke 5 kilogram dalam satu hari terutamanya pada musim ini. “Jadi boleh lah budak budak ni dapat hasil sambil sekolah tutup ini sebagai aktiviti bermanfaat sampingan," ulasnya. Mengulas lanjut berkenaan hobi anaknya, Faiza berkata, dia tidak risau kerana kawasan baruh cetek dan sentiasa dikerumuni oleh pemancing dan orang kampung yang ingin melihat aksi mereka.  
15 Nov 20
1453
Usahawan Muda Raih Pendapatan Lumayan Jual Belacan
Usahawan Muda Raih Pendapatan Lumayan Jual Belacan
KUALA NERUS, 15 November - Meskipun di usia muda, seorang pemuda sudah mampu meraih pendapatan yang lumayan dengan hanya menjual belacan. Menurut pemilik Belacan Sri Tanjung Mas, Muhammad Aimy Shahril, 19, kesbiasaannya dia berjaya meraih hasil jualan purata RM1,000 sehari. Katanya, dia pada mulanya sekadar suka-suka dan ingin meneruskan usaha ayah yang menjalankan perniagaan belacan secara kecil-kecilan. "Saya bersekolah sampai tahun lima sahaja dan belajar agama di sekolah pondok selepas itu. "Ketika musim cuti, saya akan membantu arwah bapa membuat belacan dan pada usia 14 tahun, bapa mula mengajar saya selok belok berniaga belacan.Saya mewarisi perniagaan ini selepas ayah meninggal kerana saya merupakan anak tunggal,"ujarnya lagi. Tambahnya lagi, ayahnya mengusahakan belacan lebih 20 tahun dan beliau kini mengambil alih perniagaan itu setelah lima tahun pemergian ibu bapanya dengan pekerja seramai 12 orang berusia 18 hingga 50 tahun. “Setakat ini kami dapat membuat 1,600 ketul belacan sehari jika cuaca panas," katanya. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab merasa bangga dengan usaha anak muda tersebut yang juga anak jati Seberang Takir. "Kejayaannya dalam bidang perniagaan belacan boleh dicontohi oleh remaja lain," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Menurut Muhammad Aimy Shahril, dia merancang mengembangkan lagi perniagaannya di seluruh negara pada masa akan datang.
15 Nov 20
1376
Mayat Reput Ditemui Dalam Ladang Kelapa Sawit
Mayat Reput Ditemui Dalam Ladang Kelapa Sawit
Seorang lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian ditemui mati dalam pacuan empat roda Nisan Navara di ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong,Hulu Terengganu, semalam.
14 Nov 20
642
196 MOSWAY Kijal Terima Manfaat
196 MOSWAY Kijal Terima Manfaat
KEMAMAN, 13 November - Seramai 196 orang golongan miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), sakit, warga emas, 'armalah' dan anak yatim (MOSWAY) telah menerima sumbangan sepanjang tahun ini. Selain daripada barangan dapur, mereka juga menerima bantuan wang tunai di mana sebanyak kira-kira RM30 ribu telah dibelanjakan bagi tujuan itu. Junainah Rahmatullah. Pembantu Penyelia Hal Ehwal Wanita Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kijal, Junainah Rahmatullah berkata, jumlah tersebut tidak termasuk dalam tempoh tiga bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari. "Sepatutnya ramai lagi yang menerima manfaat ini, tetapi disebabkan oleh PKP yang dikenakan baru-baru ini di mana pergerakan kami agak terbantut maka jumlahnya tidak mencapai apa yang kami sasarkan. "Sasaran kami adalah seramai 10 hingga 15 orang dalam tempoh satu minggu pada setiap bulan mengikut jadual yang telah disediakan," katanya. Junainah yang ditemubual oleh pemberita di pejabatnya di Bukit Kuang kelmarin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu menjayakan aktiviti yang mulia itu. Menziarahi golongan MOSWAY. "Saya sebagai wakil daripada pejabat i-MiTS mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama teman sepejabat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang banyak membantu dalam aktiviti ziarah ini serta kerjasama daripada keluarga penerima. "Insya-Allah kerja ini akan diteruskan lagi dengan penambahbaikan pada masa akan datang untuk masyarakat Kijal. Ada yang masih memerlukan bantuan dalam meneruskan kelangsungan hidup ini dan semoga usaha ini diberkati Allah," ujarnya.
13 Nov 20
756
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
BESUT, 12 November – Status quo parti kerajaan dikekalkan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mula berjalan tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan terbaharu dengan lima kuota tambahan turut diadakan bagi meraikan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN). "Telah diputuskan supaya ‘rumah’ yang ada sekarang ini tidak dirobohkan tetapi dalam masa yang sama kita meraikan rakan-rakan daripada parti PN," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square baru-baru ini. Jelasnya, beberapa negeri lain juga bakal membuat langkah sama bagi meneruskan kemenangan yang ada sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan. "Dikekalkan itu bukan bermakna mengekalkan individu tetapi dikekalkan komposisi. Kita menjemput rakan PN untuk mengisi kuota tambahan ini dengan memberikan tiga kepada UMNO dan dua untuk Bersatu di Terengganu," ujarnya. Sementara itu menurutnya, kerajaan Persekutuan telah menetapkan syarat, sesebuah parti yang boleh menyertai JPKK di suatu lokasi mestilah parti yang mempunyai cawangan di lokaliti terbabit. "Kalau tiada cawangan maka tidak termasuklah dalam kategori yang perlu dijemput dan diundang untuk sama-sama menyertai JPKK. "Tetapi di negeri Terengganu kita berlapang dada dan tidaklah 'stick' sangat mesti ada cawangan. Cukuplah sekadar ada orang dan mereka bersedia untuk berkhidmat. Dipersilakan sebab lima kuota tambahan memang kita peruntukkan kepada rakan kita," tambah beliau. Untuk rekod, penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021.
12 Nov 20
1866
PKPB : Usah Panik, Bekalan Barangan Mencukupi
PKPB : Usah Panik, Bekalan Barangan Mencukupi
Kerajaan negeri menyeru rakyat supaya bertenang dan tidak panik tentang kekurangan bekalan barangan dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Terengganu.
11 Nov 20
140
Dewan Sivik Jerangau Berwajah Baru
Dewan Sivik Jerangau Berwajah Baru
DUNGUN, 11 November- Dewan Sivik Jerangau kini berwajah baru setelah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM58,000 melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) kepada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bangunan yang sebelum ini terbiar telah disiapkan melalui beberapa fasa. "Dimana tahun sebelum 2018 ianya telah menjadi bangunan terbiar tanpa sebarang penjagaan mahupun dibaik pulih sekian lama, tetapi bermula dua tahun lalu melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jerangau ianya mula dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan telah dapat dibaik pulih sepenuhnya," ujarnya ketika ditemui pihak media, hari ini. Beliau berharap agar Dewan Sivik Jerangau itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan diadakan pelbagai program kemasyarakatan. Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Jerangau, Arfan Tahir berkata, melalui peruntukkan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah telah turut melengkapkan lagi kemudahan pada dewan berkenaan seperti dibaik pulih longkang, pendawaian elektrik, dibina stor dan juga telah dibina tandas. "Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun serta Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, ianya akan kita manfaatkan sebaik-baiknya, Insya- Allah,Dewan Sivik ini juga telah berperanan sebagai Pengkalan Hadapan disaat menghadapi banjir" katanya.
11 Nov 20
1352
Cakna Aduan Sekatan Jalan sempena Berkuat Kuasanya PKPB
Cakna Aduan Sekatan Jalan sempena Berkuat Kuasanya PKPB
KEMAMAN, 11 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili telah menerima pelbagai bentuk aduan berkaitan sekatan pihak berkuasa yang dijalankan di hadapan Masjid Batu Putih, Kertih di sini. Sekatan itu adalah laluan untuk ke Felda Kerteh dan Ketengah Jaya di mana berlaku kes penularan wabak COVID-19. Orang ramai telah membuat aduan terhadap sekatan itu, mereka mendakwa bahawa berlaku kekangan lalu lintas setelah ianya berkuat kuasa. OCPD yang berpakaian seragam hitam sedang menyelesaikan urusan saman. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, 50, yang ditemui ketika berkunjung ke pondok polis berhadapan Masjid Batu Putih, berkata, pihaknya bersama Ir Saiful akan menyelesaikan permasalahan yang berlaku serta memberi kadar potongan kompaun saman sebanyak 30 peratus buat mereka yang telah disaman sebelum ini. Arahan baharu dikeluarkan bagi pengguna jalan itu yang diberi kelonggaran dari jam 6 pagi hingga 9 pagi, sewaktu orang ramai sibuk ke tempat kerja bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Sekatan berhadapan Masjid Batu Putih. Sementara itu, menurut Ir Saiful, objektif utama polis mengadakan sekatan adalah untuk mengekang penularan pandemik COVID-19  terutamanya di Mukim Rasau, selain mendisiplinkan orang ramai serta memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. "Orang ramai dinasihati mematuhi arahan yang diberi agar memudahkan kerja-kerja anggota yang bertugas, dengan memakai helmet atau tali pinggang keledar ketika memandu. Biarlah lebih kebaikan daripada keburukan, kerana kita semua tak mahu menyusahkan orang kampung setempat,” katanya.
10 Nov 20
512
Program PPTS Legakan Rakyat Kijal
Program PPTS Legakan Rakyat Kijal
KEMAMAN, 10 November - Program Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) banyak membantu masyarakat sekali gus melegakan penerimanya di negeri Terengganu khususnya Kijal. Pegawai Khas Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Muhamad Haiqal Safie memberitahu, sebanyak 135 rumah telah dibaik pulih dan dibina baharu yang menelan belanja sebanyak kira-kira RM2.25 juta sepanjang dua tahun pemerintahan ini. "Sehingga hari ini sebanyak 107 buah rumah telah dibaik pulih oleh PKM DUN Kijal dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman (PDK) di bawah peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada DUN sebanyak kira-kira RM1.4 juta. "Dan sebanyak 20 buah rumah yang dibaiki dengan menggunakan peruntukan P02 berjumlah RM400 ribu telah siap dan diserahkan kepada mereka yang memohon dan layak," katanya. Mohamad Haiqal Safie. Mohamad Haiqal berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman di pejabat PKM di Bukit Kuang kelmarin. Beliau juga berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan kerjasama baik yang ditunjukkan bagi menjayakan agenda kerajaan dalam membantu masyarakat menerusi program ini. "Kami PKM berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama PDK, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan kontraktor yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan program PPTS ini," ujarnya. Dalam masa yang sama, Pegawai Penyelaras DUN Kijal Ustaz Hazri Jusoh, menyatakan, ramai lagi pemohon yang telah dimasukkan di dalam senarai menunggu. Kerja-kerja baik pulih rumah. "Kepada pemohon yang rumahnya masih belum dibaiki atau dibina harap bersabar kerana ianya masih di dalam senarai menunggu dan mengikut giliran untuk dilaksanakan. "Insya-Allah memandangkan rumah kediaman ini adalah keperluan 'dhoruriyat' maka tahun hadapan ianya akan dilaksanakan dalam kadar segera dengan peruntukan baharu yang disediakan oleh kerajaan," ucapnya. Selain daripada rumah yang dibaik pulih, sebanyak lapan buah rumah bina baru PPTS diluluskan dan telah siap dibina di DUN Kijal dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM448 ribu. Rumah bina baru PPTS.  
10 Nov 20
2124
'Home Manager' Terima Permintaan Dari Luar Negara
'Home Manager' Terima Permintaan Dari Luar Negara
Pelaksanaan program 'Home Manager' berjaya mencuri tumpuan ramai apabila mendapat permintaan yang menggalakkan termasuk daripada luar negara.
10 Nov 20
115