lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Tabung Perumahan Zahir Keprihatinan Kerajaan
Tabung Perumahan Zahir Keprihatinan Kerajaan
DUNGUN, 26 November- Tabung Perumahan RM 50 juta yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 menzahirkan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sebaik sahaja perkara itu diumumkan rata-rata penduduk di DUN berkenaan memberikan respon yang sangat baik. "Ramai yang merujuk pada saya mengenai perkara ini dan memuji tindakan belajawan pada kali ini yang berasakan lima teras utama. Ini merupakan suatu yang sangat mengembirakan apabila tabung ini disediakan kerana selama ini memohon pinjaman melalui bank yang sedia ada sangat sukar dan memerlukan penyata kewangan. "Jadi insiatif ini dilihat sangat bertepatan dalam membolehkan golongan berpendapatan rendah ini tidak lagi tinggal menyewa, sebaliknya boleh memiliki kediaman sendiri serta boleh mengatur kehidupan yang lebih baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belajawan 2021 yang telah dibentangkan baru-baru ini, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan belanjawan yang dikemukakan itu sangat menjaga kebajikan seluruh golongan rakyat di negeri ini. "Dari penjawat awam sehingga ke petani, peniaga kecil , samada rakyat yang tinggal di bandar mahupun luar bandar, golongan tua mahupun anak muda dari kalangan belia semuanya mendapat manfaat dari belanjawan berkenaan," ujarnya.
26 Nov 20
239
Lapor Segera Jika Kediaman Dinaiki Air
Lapor Segera Jika Kediaman Dinaiki Air
DUNGUN, 26 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun meminta penduduk di kawasan yang sering mengalami banjir segera melaporkan sekiranya kediaman mereka dinaik air agar tindakan pencegahan dapat dilakukan lebih awal. Katanya, laporan boleh dibuat kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlebih dahulu. "Bila hujan lebat dan sudah nampak tanda-tanda nak banjir, segeralah lapor kepada MPKK supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.  "MPKK akan menghubungi Penghulu Mukim untuk memaklumkan kepada Sekretariat Bencana Daerah untuk tindakan sewajarnya, " katanya ketika dihubungi pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pulau Serai, Balai Besar dan Batu Tiong, semalam. Alias menasihatkan, mereka yang ditempatkan di PPS sentiasa menjaga batas pergaulan, menutup aurat dan tidak meninggalkan solat lima waktu. "Walaupun kita tidak duduk di rumah tapi solat kena buat, jangan tinggal sembahyang walaupun kita rasa payah nak sembahyang insya-Allah, Allah tolong kita kalau kita solat dan sabar," ujarnya. Menurut laporan Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang, sehingga tengah malam semalam hanya empat PPS dengan jumlah mangsa seramai 98 orang di DUN Rantau Abang masih dibuka berbanding lima sebelum ini. PPS Seberang Pintasan iaitu di Dewan Sivik Seberang Pintasan telah ditutup pada pukul 5.30 petang semalam.
26 Nov 20
174
Golden Pharos Terengganu Menang Anugerah CSR Terbaik Malaysia
Golden Pharos Terengganu Menang Anugerah CSR Terbaik Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 November - Golden Pharos Bhd (GPB), syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, mengungguli anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Laporan Kelestarian Terbaik anjuran CSR Malaysia. GPB yang memenangi anugerah tersebut bagi kategori pembalakan dan kilang papan berdiri setanding dengan syarikat terkemuka negara seperti Tenaga Nasional Bhd, Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dan Bank Rakyat. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu lagi kejayaan buat Kumpulan GPB apabila berjaya terpilih dan bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi yang lain. “Kemenangan ini merupakan satu mercu tanda kepada syarikat untuk terus menjalankan CSR selari dengan polisi syarikat yang turut menekankan kelestarian alam semula jadi. “Penganugerahan Laporan Kelestarian 2019 terbaik yang diterima oleh GPB membuktikan bahawa kita komited bagi memastikan alam semula jadi terpelihara dan ia juga satu cabaran yang lebih besar di masa hadapan untuk membuat yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sebelum ini GPB turut mencatatkan sejarah di kalangan anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu apabila tercalon sebagai syarikat ketiga terbaik dalam Laporan Kelestarian di seluruh Asia bersama-sama dengan syarikat Sunway Construction Group Bhd, Singapore Exchange Limit dan New World Development Company Limited dari Hong Kong di Majlis Anugerah Asia Sustainability Reporting Awards 2019.
26 Nov 20
893
Lima Keluarga Gembira Terima Kunci Rumah PPRT
Lima Keluarga Gembira Terima Kunci Rumah PPRT
DUNGUN, 25 November- Lima keluarga yang terpilih bagi mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) gembira setelah menerima kunci kediaman masing-masing. Seorang penerima, Che Wan Jamsari Che Wan Mohamad, 38, berkata detik tersebut telah dinantikan sekian lama kerana selama ini hanya menumpang di rumah ibu bapa bersama isteri, Nosuhaila Ramli, 41, bersama empat orang anak. "Saya sangat bersyukur terima rumah ini, dahulu pernah memohon tapi dimaklumkan tiada kekosongan kemudian melakukan permohonan sekali lagi pada tahun 2018. Alhamdulillah ada rezeki saya pada tahun ini. "Gembiralah sebab dapat mendiami rumah sendiri kerana sebelum ini tinggal dengan emak dan ayah, dalam rumah tersebut ada tiga buah keluarga jadi tidak sesuai kerana semua telah ada anak yang dewasa," ujarnya ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT Chemuak yang telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan juga Penghulu Mukim Jengai, Yulandee Che Mohd. Sementara itu Ghazali berkata, penyerahan kunci berkenaan amat bermakna buat lima keluarga berkenaan yang selama ini didapati menumpang rumah ibu bapa serta ada yang tinggal menyewa. "Juga disegerakan kerana ada diantara peserta yang mana apabila hujan lebat rumah mudah dinaiki air, jadi paling tidak masalah dihadapi kelima-lima mereka telah selesai. "Harapan saya memandangkan rumah PPRT ini dibina saling berdekatan maka perlu diwujudkan suasana yang harmoni, boleh bertolak ansur dan saling bekerjasama untuk bergotong-royong dan pelbagai aktiviti yang lain untuk manfaat bersama ke arah kesejahteraan," ujarnya.
25 Nov 20
654
'Kali Pertama Dipindahkan Undang Berbagai Rasa'
'Kali Pertama Dipindahkan Undang Berbagai Rasa'
KUALA TERENGGANU, 24 November – Penempatan seramai 10 buah keluarga yang berjumlah 25 orang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering mendapat reaksi yang pelbagai. Namun,rata-rata daripada mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut bersyukur dan berterima kasih atas kemudahan asas yang disediakan oleh pihak berkuasa. Seorang mangsa yang tinggal di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, Maimun Ali, 53 mengatakan perasaannya bercampur baur kerana ini merupakan pengalaman yang pertama kali beliau rasai. “Rasa teruja ada dan rasa bimbang juga ada kerana kita bimbang dengan keselamatan rumah. “Tapi, alhamdulillah barang-barang di rumah semua telah diangkat ke tingkat atas dan saudara yang terdekat ada untuk menjaga rumah tersebut,” katanya. Manakala bagi Tuan Kalsum Abu Bakar, 70 merasa bimbang akan keselamatan keluarga dan rumah yang diitinggalkan. “Di rumah ada cucu yang tidak berpindah ke sini kerana ingin menjaga rumah dan ada yang tumpang tinggal di rumah saudara yang berdekatan," katanya ketika di temu bual oleh wartawan. Turut memeberikan respon sama sepasang suami isteri Mohd Harun Awang, 70 dan Ngah Ali, 74 yang berkongsi pengalaman diselamatkan oleh pihak bomba menaiki bot penyelamat. Sementara itu, pengamal perubatan, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah telah datang ke PPS tersebut bagi menemui mangsa banjir di situ. Beliau yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, turut menghulurkan sumbangan berupa bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa. 
24 Nov 20
331
1,000 Pemuda Kijal Disantuni
1,000 Pemuda Kijal Disantuni
KEMAMAN, 21 November - Seramai 1,000 orang warga muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal telah disantuni sepanjang dua tahun ini. Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Mohamad Roslan Ab Rahman berkata selain sumbangan barangan keperluan yang dihulurkan mereka juga menerima wang tunai. "Sebanyak kira-kira RM50 ribu telah dibelanjakan bagi membantu para belia golongan B40 ini. "Peruntukan itu banyak tertumpu kepada bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada bulan Mac tempohari," katanya. Program Minyak Motor Percuma (foto sebelum PKP). "Disamping itu banyak program yang telah dijalankan bagi menyantun golongan ini seperti program minyak motor percuma, ziarah mereka yang sakit, program sukan, program ilmiah dan sebagainya," ujarnya. Roslan ditemui oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat i-MiTS DUN Kijal di Bukit Kuang baru-baru ini. Mohamad Roslan Ab Rahman Dia turut menjawab soalan yang diajukan berkaitan menifesto Kerajaan bahawa setiap individu 21 tahun keatas yang layak berhak memiliki satu lot tanah perumahan atau sebuah rumah. "Berkenaan perkara ini diharapkan Pemuda harus banyak bersabar kerana Kerajaan telah bergerak kearah itu semenjak awal pengambilalihan kerajaan itu hari. "Cuma memerlukan sedikit masa lagi untuk direalisasikan apa yang dijanjikan ini. Insya-Allah sabar sebahagian daripada Iman," katanya.
20 Nov 20
669
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
KUALA NERUS, 20 November - Lebih 1000 kampit beras telah diagihkan kepada golongan terkandas akibat banjir dan Covid-19 sejak awal bulan Oktober yang lepas.  Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beras itu dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi menjaga kebajikan mereka yang berada dalam kesusahan. Katanya, program itu akan dilaksanakan setiap masa sehingga berakhirnya musim tengkujuh dan wabak Covid-19.  “Kita sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik dan hidup dalam kesusahan dengan memberi bantuan samaada dalam bentuk barang keperluan atau kewangan. “Saya mahu rezeki ini dikongsi bersama golongan miskin untuk membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi. Beliau yang diwakili Setiausaha Politiknya, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, mengagihkan beras dan keperluan dapur yang lain pada satu majlis di Surau Kampung Banggol Tok Esah, di sini, pagi tadi. Sementara itu, Ustaz Kamal Nazmi berkata, dianggarkan lebih daripada 2000 asnaf yang tinggal di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Buluh Gading, Tepoh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir. “Ini adalah salah satu usaha dari Dato' Dr Khairuddin yang julung kali  diadakan tahun ini bagi memberi sinar harapan kepada golongan asnaf supaya kehidupan mereka mendapat pembelaan. "Dari masa ke semasa pihak kami akan menambah bilangan beras dan yang terbaru kita akan usahakan juga agihan minyak kelapa sawit kepada golongan yang memerlukan,"ujarnya.
20 Nov 20
751
PAPKET Bantu Golongan Fakir Miskin, Anak Yatim
PAPKET Bantu Golongan Fakir Miskin, Anak Yatim
KEMAMAN, 21 November - Pertubuhan Amal Prihatin Kemaman (PAPKET) telah menganjurkan program memberi sumbangan sekampit beras dan sekilo daging kepada golongan fakir miskin dan anak yatim, hari ini. Pengerusi PAPKET, Muhammad Faisal Kamarudin, 34, berkata sumbangan ini diagihkan pada sebahagian golongan sasaran melalui wakil mereka di seluruh Kemaman melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kemasik, Kijal, Cukai dan Air Putih. "Dua ekor lembu ditumbang melibatkan daging seberat 160 kilogram bagi melaksanakan program kami kali ini, ujarnya. Katanya lagi, kerja-kerja pengagihan ini juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat. "Saya mengharapkan PAPKET akan terus dapat menganjurkan program seumpama ini di masa akan datang. Program ini merupakan sebahagian program besar yang kami adakan. Selain daripada itu, kami akan adakan program Back To School pada Januari, tahun depan. Jika ada mana-mana individu dan badan korporat yang ingin turut menyumbang, boleh terus hubungi kami," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas selesai majlis tersebut. Penaung PAPKET yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut kepada wakil untuk diagihkan ke kawasan masing-masing. PAPKET merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2018. Ia berperanan dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dengan memberikan tumpuan pada golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan sasaran yang memerlukan bantuan.  PAPKET juga sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam melakukan kebaikan dan menjayakan sesuatu misi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
20 Nov 20
695
Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih
Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih
KUALA TERENGGANU, 20 November- Tandas Awam Rantau Abang, Dungun dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 bagi Kategori Kawasan Pelancongan bersempena dengan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020. Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Dungun (MPD), ianya bukan kejayaan kali pertama kerana pelbagai anugerah telah berjaya dibawa pulang oleh MPD sebelum ini.  "Antaranya pernah dinobatkan sebagai Tandas Terbaik sempena ASEAN Public Toilet Standard 2019 — 2021 dan naib juara Kategori Pelancongan Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak ," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi MPD. Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Tandas Awam Rantau Abang yang terletak sebelah kawasan pelancongan Pusat Informasi Penyu Rantau Abang juga diiktiraf sebagai Tandas Pelancongan dan merangkul Anugerah Perak bagi Kategori Tandas Awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (Bandaraya/Perbandaran) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan. 
20 Nov 20
1470
DUN Air Putih Serah 481 Cermin Mata
DUN Air Putih Serah 481 Cermin Mata
KEMAMAN, 21 November - Seramai 481 orang peserta daripada DUN Air Putih menerima bantuan sumbangan cermin mata daripada kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan  Air Putih, Ab.Razak Ibrahim berkata, program bantuan cermin mata itu bertujuan meringankan beban golongan sasaran seperti warga emas, mereka yang berpendapatan RM 1050 ke bawah dan lain-lain, memandangkan harga cermin mata yang semakin mahal. “Bagi golongan kurang berkemampuan, saya yakin usaha ini sangat bermanfaat selain membantu  mengurangkan bebanan mereka kerana dapat menjimatkan wang untuk membeli cermin mata yang baharu,” katanya, ketika ditemuramah oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman selepas selesai agihan cermin mata kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dun Air Putih. “Bagi golongan pelajar pula, kita tidak mahu mereka tercicir daripada mendapat manfaat pendidikan dan diharapkan mereka dapat menggunakan cermin mata dengan sebaiknya dan menjadi pencetus kepada semangat untuk berjaya,” tambah beliau lagi. Ab.Razak Ibrahim turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Haji Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga & Perpaduan Nasional kerana memberikan kuota untuk rakyat Dun Air Putih serta tidak dilupakan kepada anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat Kemaman yang bertungkus lumus menguruskan proses sumbangan cermin mata ini.
20 Nov 20
363