Artikel "Komuniti" Terkini
Belia Santuni Asnaf
KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Walaupun terbatas kepada skala kecil dalam suasana COVID-19, warga belia tetap meneruskan inisiatif memberi bantuan dari rumah ke rumah kepada golongan yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bersesuaian dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2020, pelbagai latar belakang anak muda terlibat menjayakan aktiviti itu.
“Alhamdullilah, hasil usaha sama agensi seperti sukarelawan Rakan Muda Kuala Terengganu dan Pasukan Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam ini telah menyantuni 30 orang asnaf di 30 buah rumah.
“Lokasi tumpuan kita bermula di Kampung Gong Pauh kemudian ke Kampung Kuala Bekah dan diakhiri di Kampung Sungai Rengas selepas Solat Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesukarelawanan Belia peringkat Kuala Terengganu, pagi semalam.
Turut hadir, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Anas Hazizul.
Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam menyatakan rasa terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat dalam memberi kesedaran dan mengalakkan aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan di dalam negeri.
Sementara itu, menurut Izwandy, program tersebut merupakan usaha daripada Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri bagi menggalakkan dan melahirkan sukarelawan di kalangan belia bersama komuniti.
“Sebagai mana sedia maklum, 5 Disember ialah Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia dan di peringkat negeri kita telah merangka usaha ini bersama Exco dan agensi-agensi pelaksana lain Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Majlis Belia Terengganu dan sukarelawan di dalam Kelab Rakan Muda Kuala Terengganu.
“Program menyantuni melibatkan 25 sukarelawan belia ini adalah usaha peringkat akar umbi dalam menanam semangat sukarelawan yang jitu di kalangan anak muda supaya semangat ini dapat kita kekalkan dalam usaha berbakti dari semasa ke semasa,” katanya.
Seorang penerima, Saudah Ngah,60, yang juga nenek kepada 15 cucu menyifatkan usaha belia ini sesuatu yang amat baik terutamanya mendidik orang muda berbakti kepada masyarakat setempat.
05 Dec 20
442
Warga Emas Terselamat Daripada Mendapan Tanah
HULU TERENGGANU, 5 Disember - Gara-gara terlewat beberapa minit kerana mengambil ubat-ubatan, seorang warga emas terselamat dari menjadi mangsa mendapan tanah di bahagian bilik mandi di rumahnya di Felda Mengkawang .
Zainab Ismail, 65, kebiasaannya akan mandi terlebih dahulu dan sebaik sahaja selesai, dia akan mengambil ubat untuk penyakit kencing manis, darah tinggi serta saraf sebelum meneruskan rutinnya seharian.
Menurut anak lelakinya, Mohd Haslim Mohd Nasir, 33, sebelum kejadian tanah mendap itu berlaku, dia baru sahaja selesai mandi dan dan kebiasaannya akan disusuli oleh ibunya.
"Namun pada hari kejadian, mak ambil ubatnya dahulu sebelum mandi dan ketika itulah bunyi dentuman kuat kedengaran dan apabila saya pergi melihat rupanya sebahagian bilik mandi dah runtuh.
"Terdapat banyak kesan retakan pada dinding dapur dan lantai menyebabkan saya menghalang mak pergi ke belakang rumah kerana bimbang berlaku lagi mendapan tanah,"ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Felda Mengkawang, Ajil baru-baru ini.
Katanya, ia berpunca dari air atas bukit yang turun melalui laluan rumahnya dan merupakan kejadian yang sering berlaku setiap hujan lebat.
"Ia turun ikut laluan luar rumah keluarga saya sebab tidak ada saluran khusus untuk mengalir.Cuma kali ini, air terlalu deras dan kuat menyebabkan berlaku tanah mendap seterusnya meruntuhkan sebahagian belakang rumah,"jelasnya lagi.
Haslim yang tinggal di Kampung Langgar, Kuala Berang berkata sejak kejadian itu, dia terpaksa berulang setiap hari ke rumah ibu bapanya walaupun jaraknya jauh tetapi demi keselamatan, dia sanggup melakukannya.
"Jiwa saya tak tenang memikirkan keadaan mak lebih-lebih lagi ayah pun sakit terlantar jadi apa salahnya saya berulang alik demi mereka.
"Adik beradik saya ramai tetapi mereka duduk berjauhan cuma saya yang dekat dan ia menjadi tanggungjawab saya sekarang,"kata anak ketujuh dari lapan beradik ini.
Kejadian tersebut mendapat perhatian pihak pengurusan Felda dengan menghantar bantuan segera dengan menggorek longkang sementara sepanjang enam meter bagi membolehkan air mengalir dengan sempurna.
"Terima kasih kepada pihak Felda kerana cepat bertindak dengan menghantar jengkaut selepas kejadian berkenaan, semoga rumah ibu bapa saya selamat jika berlaku lagi hujan lebat,"ujarnya.
05 Dec 20
719
Kerjasama Semua Pihak Atasi Banjir
DUNGUN, 4 Disember - Kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, serta masyarakat adalah penting dalam usaha mengatasi masalah banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sebelum sesuatu pembangunan dilakukan untuk kemudahan bersama, sepatutnya perancangan yang teliti perlu dibuat terlebih dahulu.
"Semua pihak harus bekerjasama dengan mengambil pendekatan holistik untuk menyelesaikan masalah banjir yang saban tahun membelenggu komuniti kampung.
"Termasuklah sistem perparitan seperti longkang, parit-parit tali air sepatutnya dinaik taraf agar penduduk setempat tidak jadi mangsa pembangunan.
Rakyat juga perlulah tidak bersikap pentingkan diri dengan sewenang-wenangnya menjadikan longkang dan parit sebagai tempat pembuangan sampah yang akhirnya menyebabkan tersumbat," ujarnya.
Alias berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir di sekitar Tanjung Jara di sini.
Menurutnya, tinjauan tersebut adalah untuk mengetahui sambil bertukar pandangan dengan agensi terlibat seperti wakil Tanjong Jara Resort, Pejabat Daerah Dungun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya(JKR).
05 Dec 20
280
30 Kucing Diselamatkan Petugas Banjir
Oleh: Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Dalam kekalutan membantu mangsa banjir di Jalan Terkukur di sini, petugas banjir daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sempat menyelamatkan 30 ekor kucing terbiar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kesemua kucing yang terperangkap di dalam air itu telah dipindahkan ke tempat yang selamat.
"Termasuk juga ikan-ikan hiasan milik penduduk turut diselamatkan dan ditempatkan sementara di pusat pemindahan di Balai Raya Jalan Tekukur," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Khidmat Banjir DUN Ladang di Balai Raya Jalan Tekukur, semalam.
Dalam lawatan itu, Tengku Hassan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada mangsa banjir di pusat berkenaan.
Katanya, pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam itu dibuka untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan dikendalikan oleh MPKK di DUN tersebut.
"Mangsa banjir yang memerlukan bantuan makanan boleh mendapatkannya di pusat ini," ujarnya.
04 Dec 20
345
Waspada Air Pasang Besar
DUNGUN, 4 Disember -Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harus mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada apabila hujan berterusan kerana ketika ini berlakunya fenomena air pasang besar.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) telah mengeluarkan amaran akan berlaku air pasang besar bermula 1 Disember hingga 8 Disember ini.
"Hari ini baru 4 Disember, bila hujan tambah lagi air pasang, air sungai akan masuk ke parit dan boleh menyebabkan banjir.
"Justeru penduduk di Kampung Kubang Putat, Temiang, Baru Tiong dan Rantau Abang terutamanya diharap sentiasa bersedia untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.
"Macam berlaku satu kes di Batu Tiong semalam, mangsa tersekat tidak boleh keluar, terpaksa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Tiong meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam untuk ambil dengan bot," ujarnya.
Alias berkata demikian selepas meninjau kawasan yang dinaiki air dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa tempat di DUN Rantau Abang, hari ini.
Beliau turut berharap agar ibu bapa tidak membiar anak-anak keluar bermain air dan sentiasa mengawasi mereka untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak tujuh PPS telah dibuka iaitu PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Balai Raya Kampung Rantau Abang, Balai Raya Kampung Batu Tiong, Sekolah Kebangsaan Tok Kah dan Sekolah Kebangsaan Kuala Abang dengan seramai 197 orang mangsa banjir sehingga pagi tadi.
04 Dec 20
300
Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Pembukaan Pasar Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, sejak semalam mendapat sambutan yang menggalakkan.
Timbalan Pengarah LKIM Terengganu, Haslin Marlina Hashim memaklumkan, pasar terbabit diwujudkan bagi menjaga kebajikan para nelayan disamping menawarkan harga jualan yang berpatutan kepada pembeli.
“Hari ini merupakan percubaan untuk melihat sambutan masyarakat setempat. Sekiranya sambutan yang menggalakkan ini berterusan, pihak LKIM akan perluaskan lagi pemasaran dan akan menambahkan lagi infrastruktur di sini," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Zahan bin Mamat menyifatkan, dengan adanya pasar tersebut diharapkan agar suasana di Pelabuhan LKIM Chendering ini akan kembali meriah setelah sekian lama menjadi suram.
“Alhamdulillah kita lihat sambutan yang memberangsangkan dan kita juga ada membuat perkhidmatan penghantaran kepada pembeli di sekitar Kuala Terengganu ini,” katanya kepada pemberita sewaktu kunjungan di lokasi tersebut, semalam.
Disamping itu, rata-rata peniaga memberikan respon yang positif kerana kemudahan yang disediakan sangat baik dan mesra pengguna.
Pembukaan Pasar Nelayan ini turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut hadir bagi meninjau dan beramah mesra bersama para peniaga di situ.
Sebagai makluman, Pasar Nelayan ini akan dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
01 Dec 20
4601
65 Orang Terima Bantuan Cermin Mata
BESUT, 30 November - Seramai 65 orang menerima bantuan cermin mata peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh.
Pegawai Penyelaras Dun Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, cermin mata merupakan satu keperluan yang penting bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan.
"Bantuan ini merupakan usaha kerajaan negeri bagi membantu serta meringkan kos yang dihadapi oleh masyarakat.
Saya berharap bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima untuk melakukan seberapa banyak kebaikan,' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata di Kampung Padang Luas, Jerteh.
Beliau juga berharap agar bantuan ini diteruskan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat yang memerlukan.
30 Nov 20
335
200 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana
BESUT, 30 November- Seramai 200 orang kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Besut yang diadakan di Kompleks Tahfiz Annur.
Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, seramai tujuh orang doktor menawarkan khodmat pada program yang berlangsung selama dua hari itu.
"Alhamdulillah,dalam keadaan serba kekurangan dan kekangan akibat COVID-19 kami dari Pejabat Penyelaras Parlimen Besut berjaya menganjurkan Khatan Perdana Peringkat Parlimen.
"Terima kasih buat semua yang telah menjayakan program ini terutama para medik dari Papisma,MediCom dan agensi bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus lumus memandangkan program kali ini tidak mudah seperti sebelumnya kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," ujarnya.
Katanya,prgram khatan perdana diadakan setiap tahun bertujuan untuk menolong warga Besut khususnya yang kurang berkemampuan ditambah pula sekarang ramai yang terkesan dengan COVID-19.
"Program ini juga diselitkan dengan rawatan kesihatan dan rawatan pergigian untuk kanak-kanak secara percuma bagi peserta dan pengiring yang hadir. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat yang terjejas," ujarnya.
29 Nov 20
253
'Banjir Kepala Air' Di Air Putih
KEMAMAN, 30 November - Banjir yang melanda Kampung Air Putih dan sekitarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dikatakan sebagai 'banjir kepala air' kerana ianya naik secara mendadak selepas hujan lebat seharian baru-baru ini.
Seorang mangsa yang ditemui, Abdulmin Ambing, 49, memberitahu, air bercampur lumpur yang naik secara tiba-tiba membuatkan beliau dan keluarganya tergamam.
"Air mengalir dengan laju dan memenuhi ruang dapur dengan cepat sekali.
"Keadaan menjadi kelam kabut, saya dan keluarga terus keluar dari rumah dan pergi ke tempat yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri.
"Nasib baik ianya berlaku pada siang hari kalau malam hari tak tahu lah macam mana," katanya.
Abdulmin Ambing.
Abdulmin berkongsi pengalamannya ketika ditemui oleh Urusetia Penerangan Darul Iman di Kampung Air Putih kelmarin.
Sehingga kini hanya tinggal lima orang mangsa banjir daripada jumlah keseluruhan iaitu 1,380 orang mangsa di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kelmarin yang masih tidak dibenarkan pulang iaitu di PPS Kampung Pasir Gajah di atas faktor keselamatan.
Operasi pembersihan rumah yang terkesan melibatkan kira-kira 300 buah rumah mangsa sedang giat dijalankan dengan bantuan agensi kerajaan iaitu bomba, Anggota Penyelamat Malaysia (APAM), Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari Jabatan Amal Kemaman.
29 Nov 20
891
PPS Bukit Besi Ditutup
DUNGUN, 29 November- Tiga Pusat Pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah ditutup kira-kira 12 tengahari, hari ini melibatkan Dewan Serbaguna Kampung Minda, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Pasir Raja.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, PPS yang mula dibuka pada Jumaat lalu dengan menempatkan 105 buah keluarga dengan jumlah 339 mangsa.
"Dimana ketiga-tiga PPS berkenaan telah diarahkan tutup memandangkan air telah kembali surut dimana paras sungai di Pasir Raja, Kuala Jengai dan Jambatan Jerangau telah kembali ke paras normal.
"Diharapkan cuaca baik ini berterusan. Sekarang ini apabila PPS telah ditutup masing-masing akan pulang ke rumah dalam keadaan rumah sudah tentu didalam keadaan berlumpur, kotor dan sebagainya.
"Insya Allah di peringkat kita dibantu badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya akan melakukan kerja-kerja pasca banjir dengan bergotong royong membersihkan rumah penduduk dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dipatuhi dengan sebaik-baiknya," ujarnya ketika ditemui pihak media, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pelbagai pihak telah tampil memberi pelbagai bantuan sepanjang tempoh berkenaan.
"Diantara yang telah turun padang menyantuni mangsa-mangsa banjir ialah Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Dato' Siti Zailah Yusoff yang telah mengadakan kunjungan petang semalam, Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli bersama isteri, Pengerusi KHIDMAT Malaysia Cawangan Dungun, Alias Harun.
"Serta semua agensi dan jabatan yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pegawai Daerah Dungun, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatatan Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, sukarelawan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta seluruh pihak samada terlibat secara lansung atau tidak lansung yang telah menghulurkan bantuan berupa kit makanan, sokongan dari sudut moral dan sebagainya bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa ini terjaga serta tempoh sepanjang berada di pusat pemindahan ini berada didalam keadaan yang baik " ujar beliau.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan tiada berlaku perkara di luar jangka serta tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, malah bencana berkenaan telah dapat diurusan dengan baik oleh semua pihak yang terlibat.
29 Nov 20
456