lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

250 Warga India Dirai
250 Warga India Dirai
KEMAMAN, 7 Disember - Seramai 250 orang warga India diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Gelanggang Futsal Jabor Perasing semalam. Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran G Krishnan gembira atas pelaksanaan program itu yang mampu mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di daerah ini. "Sebelum ini kita terpaksa menangguhkan program ini kerana patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di negeri ini. Namun hari ini kita dapat bersama-sama meraikan Deepavali.  "Kita mengharapkan usaha kerajaan negeri ini dapat memupuk lagi integrasi perpaduan antara kaum dan menunjukkan kepada satu malaysia bahawa kerajaan negeri Terengganu dapat melaksanakan seperti apa yang dikatakan iaitu memimpin perpaduan dan memperkukuhkan perpaduan seluruh kaum dalam konteks meraikan Deepavali tahun ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program terbabit. Turut hadir  mengiringi Hanafiah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim. Dalam majlis itu, semua hadirin yang hadir menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang juga selaku perasmi program itu. Dr Balachandran turut mengharapkan seluruh warga India di negeri Terengganu terus akur dengan memupuk perpaduan dalam memastikan semua dapat bersama-sama mengambil iktibar untuk menjadikan Terengganu maju, berkat dan sejahtera.       
07 Dec 20
405
KPKKT Salur Sumbangan Kepada Mangsa Banjir
KPKKT Salur Sumbangan Kepada Mangsa Banjir
DUNGUN, 8 Disember - Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) menyalurkan sumbangan barangan makanan keperluan kering bernilai kira-kira RM 6,500 kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan berhampiran konsesi pembalakan itu. Pengurus Besar syarikat berkenaan, Suhairi Sulong berkata, sumbangan itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi membantu PKMD Bukit Besi menggerakkan misi bantuan banjir kepada penduduk yang terkesan. "Program CSR membantu mangsa banjir ini telah menjadi rutin kita saban tahun dan kali ini melibatkan 13 Majlis pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di tiga buah mukim iaitu Mukim Besol, Mukim Jerangau dan Mukim Jengal. "Cuma agihan kita pada tahun ini tidak sebagaiman biasa kerana kita telah menjadikan PKMD Bukit Besi perantaraan untuk mengagihkan sumbangan berkenaan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di PKMD Bukit Besi, semalam. Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya berbesar hati menerima amanah bagi mengagihkan sumbangan berkenaan kepada mukim-mukim yang terlibat. "Saban tahun KPKKT membantu mangsa banjir. Semoga ini akan terus maju serta mencapai keuntungan bagi memastikan penduduk kampung turut sama mendapat manfaat. "Kita juga mengharapkan agar kolaborasi di peringkat DUN dengan agensi, jabatan atau syarikat-syarikat korporat akan lebih akrab supaya dapat terus menjalin kerjasama bagi membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan," ujarnya.  
07 Dec 20
775
Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Lemah
Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Lemah
DUNGUN, 7 Disember- Tuisyen Rakyat yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah diwujudkan bagi membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata dengan melibatkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Jerangau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengadakan tuisyen berkenaan. "Dimana semua pihak berkenaan telah berkolaborasi dengan pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, telah mencari jalan bagi membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dengan mana kita telah melantik pengajar luar bagi memberi tumpuan kepada tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan juga Matematik. "Dimana SPM ini sangat penting untuk mereka perolehi bagi menentukan langkah seterusnya selepas ini, paling tidak pun bagi mereka yang lemah didalam pelajaran perlu lulus didalam dua subjek teras iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah perlu mereka lulus. Jika hendak memasuki institusi kemahiran atau pusat latihan kemahiran sekarang ini melihat kepada kelulusan SPM," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika hadir ke KelasTuisyen Rakyat, yang telah diadakan di Pusat Latihan Veterinar Cermin Kiri, hari ini. Katanya, kelas tuisyen berkenaan telah bermula pada semalam 6 Disember akan berakhir 17 Disember melibatkan 57 pelajar bagi pelajar yang berada di Mukim Jerangau serta bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau (SMKJ). "Bagi memastikan kelas ini berjaya, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memaikan peranan penting serta mempunyai kesedaran bagi memastikan anak-anak mereka hadir ke tuisyen yang telah kita adakan ini.  "Kita sedia maklum bahawa pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah menjadi satu cabaran baru, dimana sekolah terpaksa ditutup dalam jangka waktu yang lama, namun Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah melalui kelas secara maya. "Menjadi satu masalah kepada pelajar kita yang berada di luar bandar ini, ramai tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan kaedah demikian, seperti terpaksa menggunakan peranti ibu bapa, capaian rendah dan lemah dengan data kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak ada, dimana hasil dapatan kita melalui Pejabat Pendidikan Daerah Dungun menyatakan ramai pelajar tidak mengikuti kelas berkenaan," ujarnya. Selain itu juga, Ghazali berkata faktor terlalu lama bercuti mengakibatkan ketika dibuka pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan ramai pelajar tidak hadir ke sekolah. "Sehingga akhirnya sekolah ditutup kembali kerana berlakunya penularan semula. Diatas kesedaran semua pihak maka kita harapkan kelas ini akan berjaya diadakan dengan sebaik-baiknya," tambah Ghazali.    
07 Dec 20
732
155 Buah Rumah 'Usang' Dibaik Pulih
155 Buah Rumah 'Usang' Dibaik Pulih
SETIU, 7 Disember - Sebanyak 155 rumah telah disiapkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera. Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, ia membabitkan sejumlah RM1.875 juta bagi membina dan membaik pulih rumah, sejak Mei 2018 hingga Oktober 2020. “RM375,000 diterima pada 2018 dan masing-masing RM750,000 untuk tahun 2019 dan 2020 yang disediakan kerajaan negeri untuk memberikan keselesaan kepada hidup rakyat di kawasan ini khususnya golongan yang memerlukan. “Ia bertujuan bagi membantu mereka yang tidak mampu mendirikan kediaman yang sempurna malah permohonan melibatkan bantuan baik pulih, juga menjadi keutamaan kami kerana ramai penduduk yang mengharapkan bantuan membaiki rumah mereka yang uzur,” ujarnya ketika dihubungi pemberita. Shafizi meninjau rumah usang seorang penduduk yang dibaiki pulih. Menurutnya, bagi memantau pelaksanaan dengan lebih berkesan, beliau telah turun ke setiap lokasi dan individu yang dipilih.  “Rumah yang sudah siap dibaik pulih oleh kontraktor yang dilantik turut ditinjau. “Ini bagi menentukan kos yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih rumah dan projek yang sudah diselesaikan menjadi lebih sempurna,” ujarnya. Mohd Shafizi memaklumkan, antara lokaliti projek terbabit ialah Kampung Hilir Maras, Darat Hilir, Bukit Cempaka, Pasir Puteh dan perkampungan lain. Katanya, keluarga yang layak untuk mendapatkan bantuan itu, dinilai secara rapi oleh Majlis Pengurusan Komuniti  Kampung (MPKK). “Ia berjalan dengan begitu baik sekali dan rumah-rumah yang tidak sesuai untuk dibaik pulih, maka kita akan buat rumah baru asalkan mereka ada tanah. “Memang banyak juga antara mereka yang akan dibina baru. Kita nilai dahulu mana yang harus diberi keutamaan, mana yang akan dibaik pulih atau dibina baru,” tambahnya.  
07 Dec 20
1062
82 Asnaf Taman Indah Terima Sumbangan
82 Asnaf Taman Indah Terima Sumbangan
DUNGUN, 6 Disember- 82 asnaf di Komuniti Taman Indah, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) menerima sumbangan berupa ayam dan bekalan asas makanan melalui program yang diadakan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan. Pengerusi MPKK Taman Indah, Zakiah Alias berkata, pihaknya bertindak sebagai perantaraan hasil kutipan orang ramai untuk diagihkan kepada mereka yang dipilih dari golongan asnaf di komuniti berkenaan. "Penyumbang ini merupakan ahli dari komuniti Taman Indah sendiri, dimana kita gerakkan usaha untuk memberikan galakkan kepada mereka yang mempunyai lebihan rezeki supaya prihatin dan cakna kepada mereka yang kurang berkemampuan. "Dilihat ianya mampu mendidik ahli komuniti untuk mengamalkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah melalui sifat pemurah baginda, serta Islam juga mengajar agar anggota masyarakat saling sayang menyayangi diantara satu sama lain sehingga Rasulullah bersabda mukmin yang baik tidak akan membiarkan jirannya berada didalam keadaan lapar," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pihak media selepas mengagihkan sumbangan berkenaan di bilik gerakan MPKK, semalam. Mengulas lanjut katanya, program berkenaan telah diadakan dengan dipastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dipatuhi dengan sebaik-sebaiknya. "Terima kasih kepada semua penyumbang, insya Allah program ini kita akan teruskan lagi pada masa yang lain. Semoga Allah jua yang membalas jasa baik setiap penyumbang. Akhirnya harapan kita agar suasana harmoni serta perasaan kebersamaan serta sama-sama bertanggungjawab dapat dipupuk serta dikekalkan didalam komuniti ini," ujarnya.
06 Dec 20
482
Ibu Tunggal Puji Unit Amal Cekap
Ibu Tunggal Puji Unit Amal Cekap
DUNGUN, 6 Disember - Seorang ibu tunggal memuji kecekapan anggota Unit Amal atau Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun membersih rumahnya yang tidak sampai dua jam selepas kediamannya itu dinaiki air ketika banjir baru-baru ini. Mariam Ibrahim, 70, berkata mereka dibahagikan tugasan masing-masing dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai.  "Mak cik bersyukurlah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tubuh JAM boleh minta tolong cuci rumah, puas hatilah 'budak-budak' ni buat kerja, tak banyak cakap, " ujarnya. Seramai 20 orang anggota JAM Dungun turun membantu membersihkan kediaman yang dihuni Mariam bersama dua orang anaknya bersama cucu yang masih kecil.  " Memang pening juga memikirkan, macam mana nak bersihkan rumah, nak angkat barang - barang berat sebab rumah ni tak ada orang lelaki, Alhamdulillah dapat tahu Unit Amal sediakan khidmat ini, jadi melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang, kita minta tolong datang," ujarnya. Sementara itu, salah seorang anak Mariam, Haslina Zahari,37, berkata, dia yang tinggal bersama ibu dan adiknya sudah lama tinggal di rumah tersebut. dan kali terakhir dinaiki air pada tahun 2013. "Memang tak sangkalah, masa hujan lebat tu, pukul 1.30 pagi tak banyak lagi air, tapi jam 3 pagi tu air sampai kat tayar kereta, jadi saya kalut bawa naik kereta ke atas jalan, sebelum air naik tinggi lagi dalam rumah, kitapun berpindah," katanya yang berpindah ke rumah tumpangan ibu saudaranya, tidak jauh dari situ. 
06 Dec 20
870
Turun Padang Dengar Luahan Peniaga Burger
Turun Padang Dengar Luahan Peniaga Burger
BESUT, 7 Disember -“Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada peniaga burger. Pertemuan dengan lima gerai peniaga burger di sekitar kampung Pengkalan Nyireh dan Seberang Kastam banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kesukaran mereka mencari rezeki ketika ini," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Katanya, beliau turun ke bawah bagi mendapat maklumat dan mengenal pasti masalah peniaga supaya dapat dapat bantu untuk meningkatkan hasil jualan mereka. "Banyak cadangan yang saya terima oleh peniaga-peniaga yang kita santuni itu. Tambahan pula ramai yang memberikan komen positif dalam siaran langsung yang dibuat dilaman sosial saya dengan hasrat saya dapat teruskan lagi santuni peniaga lain di kampung-kampung lain. "Pihak kerajaan negeri sentiasa membantu serta memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keselesaan dan keperluan rakyat diutamakan disaat peniaga memerlukan bantuan. Sempat saya jelaskan beberapa perkara mengenai bantuan kerajaan negeri yang sedia ada," ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut mendoakan para peniaga yang berjuang mencari nafkah demi keluarga dimurahkan rezeki dan dilimpahkan rahmat daripada Allah SWT.   "Terima kasih kepada rombongan bermotor yang turut terlibat bagi menjayakan program santuni peniaga burger," ujarnya.  
06 Dec 20
206
27 Tahun Jaga Isteri Lumpuh Demi Cinta Sejati
27 Tahun Jaga Isteri Lumpuh Demi Cinta Sejati
HULU TERENGGANU, 5 Disember - Setia hujung nyawa, itu lah ungkapan yang sangat sesuai menggambarkan situasi seorang suami yang menjaga isterinya terlantar lumpuh sejak 27 tahun lalu. Kisah ini mampu menjadi satu sumber inspirasi agar tetap bersama-sama pasangan dalam mengharungi susah senang. Ramli Hassan, 55, berkata, dia lebih suka menempuhi saat manis dan sukar bersama, bukan hanya memerlukan dikala sihat dan ditinggalkan ketika sakit. Bapa kepada dua anak itu berkata dia tidak akan sesekali meninggalkan surihatinya, Normah Mamat, 53, yang memerlukan penjagaan sepanjang masa kerana tidak mampu makan mahupun membersihkan diri sendiri. Ketika ditemui, Ramli tetap tenang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan menjaga Normah dengan penuh kasih sayang. "Isteri saya mengalami komplikasi selepas bersalin anak kedua kami apabila seluruh badannya menggigil kesejukan.Selepas dibawa ke hospital dan menerima rawatan, keadaannya semakin parah sehingga tidak mampu berjalan dan bercakap. "Tinggi harapan saya untuk melihat isteri saya sembuh seperti sedia kala walaupun ia agak sukar tetapi harapan itu tetap ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Ali, di sini hari ini. Ramli yang bekerja sebagai tukang rumah berkata jika dia keluar bekerja, isterinya sanggup berlapar. dan menunggunya pulang untuk menyuapkan makanan serta memandikannya.     Menurutnya lagi, kira-kira RM500 diperlukan sebulan untuk membeli keperluan isterinya termasuk lampin pakai buang dan ubat-ubatan.         "Setakat ini kami hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500, selain duit hasil pendapatan sebagai tukang rumah," katanya. Katanya, ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan tetapi ditolaknya secara baik dengan alasan ada ramai yang diluar sana yang memerlukan bantuan dan dia masih mampu menyara isterinya dengan sempurna dengan sumber yang ada.    
06 Dec 20
2297
'Allah Pilih Saya Jaga Dia'
'Allah Pilih Saya Jaga Dia'
DUNGUN, 6 Disember- Walaupun tiada pertalian darah, naluri Mazlan Osman, 60, sebagai insan melebihi segalanya yang setia mencurahkan kasih dan menjaga anak angkatnya yang disahkan doktor menghidap barah otak. Menurut Mazlan, Muhammad Syahmi Mazlan Abdullah, 27, terlantar sejak Ogos lalu dan memerlukan penjagaan rapi. " Cantik sekali, dia yang saya ambil masa kecil lagi jatuh sakit ketika saya dah pencen, maknanya Allah nak suruh saya isi masa pencen saya jaga dia.  "Itulah, apabila kita merancang, Allah juga merancang dan sudah tentu perancangan Allah yang terbaik," ujarnya. Mazlan ditemui pemberita ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan susu sumbangan Tabung Darul Iman (TDI) baru-baru ini.  Bekas pemandu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak pernah jemu biarpun terpaksa menguruskan Muhammad Syahmi saban hari dan tidak putus berdoa mengharapkannya kembali sihat suatu hari nanti. "Sebelum subuh saya beri susu, salin pamper, bersihkan badan dia, tambah pula kahaknya sentiasa kena sedut kalau tidak susah nak bernafas," ujarnya.  Sebelum itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang telah menyumbangkan katil untuk keselesaan dan memudahkan ayahnya menguruskan Muhammad Syahmi.  
05 Dec 20
710
Aku Ibu, Aku Juga Ayah
Aku Ibu, Aku Juga Ayah
  HULU TERENGGANU, 6 Disember - Menguruskan dua anak dan seorang anak istimewa bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Mohd Hasrul Muda, 44  tanggungjawab itu digalas sejak berpisah dengan isterinya dua tahun lalu. Menurut bapa tunggal yang menetap di Kampung Pantai Ali, Kuala Berang, sejak itu tugasnya bukan sekadar mencari nafkah bagi membiayai keperluan dua anaknya termasuk perubatan anak kurang upaya, malah mengisi kekosongan ditinggalkan si ibu. Hasrul yang bekerja sendiri berkata, dia kini hanya mampu keluar bekerja jika ada pekerjaan kerana perlu memberi sepenuh tumpuan kepada tiga permata hatinya, Ahmad Brayyan, 7, Ahmad Firrayyan, 5 dan Ahmad Daffaad, 3. "Anak istimewa saya, Firrayyan tidak boleh menguruskan diri sendiri memandangkan keadaannya yang lumpuh dan memerlukan penjagaan rapi. "Sebab itu, saya terpaksa memilih pekerjaan di sekitar kampung sahaja malah terpaksa membawa  ketiga-tiganya bersama jika bekerja sebab bimbang keselamatan mereka jika dibiarkan di rumah,"ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini hari ini. Bagaimanapun, menurut Hasrul yang pernah berkhidmat di bahagian pemasaran di Sarawak berkata, demi anak, dia akan terus berusaha melakukan yang terbaik. Jelasnya, dia bersyukur nasibnya mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang membantu membayar sewa rumah mereka. Tambah bapa cekal ini lagi, kini dia cuma berharap ada pihak yang boleh membantu menawarkan pekerjaan buatnya untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga tanpa menyusahkan orang lain.  
05 Dec 20
1608