lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

'Dulu Pakai Cermin Mata Dua Ringgit Je'
'Dulu Pakai Cermin Mata Dua Ringgit Je'
DUNGUN, 10 Disember- " Dulu pakai cermin mata harga dua ringgit je buat mengaji, itu yang termampu alhamdulillah kini dapat bantuan cermin mata dari kerajaan, syukur serta gembira sangat," ujar Raja Salemah Raja Daud. Raja Salemah merupakan salah seorang daripada 158 penerima di Dewan Undanga Negeri (DUN) Bukit Besi yang menerima bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Syukur sangat kerana dapat digunakan untuk mengaji. Kalau hendak beli sendiri tinggi juga harganya, jadi saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri diatas insiatif ini didalam memastikan kesejahteraan rakyat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menerima bantuan berkenaan yang telah disampaikan oleh Pegawai penyelaras DUN Bukit Besi,Ghazali Sulaiman, semalam. Yasin Ishak, 76, turut mengucapkan terima kasih diatas kecaknaan serta keprihatinan pihak kerajaan. "Selepas ini dapatlah saya gunakan untuk membaca kitab, dan memandu motor untuk ke surau, " ujarnya. Sementara itu, Ghazali berkata, agihan secara terus kepada penerima kesemua 23 kampung adalah bagi memastikan penerima tidak terbeban. "Jadi kita turun menemui sendiri penerima di semua kampung di DUN Bukit Besi ini dimana Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tetapkan tempat, ada yang saya serah sendiri ke rumah dan ada yang melalui Pengerusi MPKK. "Semoga bantuan dari kerajaan negeri ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kesemua penerima, dan memudahkan segala urusan. Alhamdulillah dengan pemberian ini sudah tentu dapat meringankan sedikit bebanan rakyat," ujar Ghazali.
10 Dec 20
168
Baik Pulih Sistem Perparitan Atasi Banjir
Baik Pulih Sistem Perparitan Atasi Banjir
DUNGUN, 10 Disember- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun giat mencari mekanisme terbaik bagi menambah baik sistem perparitan di beberapa lokasi yang sering dilanda banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut. Katanya, permasalahan yang berlarutan sekian lama di jalan masuk Simpang Tok Kah, kampung-kampung sekitar Tanjung Jara dan Padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai antara lokasi yang diberi perhatian serius. "Penyelesaian untuk jangka pendek akan dilaksanakan manakala untuk jangka masa panjang peruntukan akan diangkat kepada kerajaan negeri, dan agensi-agensi terlibat sudah membuat lawatan dan melihat dari dekat untuk menyelesaikan masalah ini, "jelasnya.  Alias ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan bersama beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perparitan dan Saliran, Pejabat Daerah Dungun dan Majlis Perbandaran Dungun.  Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang, Jurutera Daerah Jabatan Perparitan dan Saliran Dungun, Aisyah Abu Bakar,  Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun, Muhammad Al Azhar Ali dan Penghulu Mukim Abang, Abd. Ghafar Abu Bakar. Menurut beliau, beberapa solusi turut akan diambil antaranya mengadakan jambatan untuk mengatasi banjir di Tanjung Jara. "Macam padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, memang bila hujan lebat, padang tersebut akan ditenggelami air menyebabkan aktiviti - aktiviti yang hendak dijalankan terganggu, itu pun sudah ada dalam cadangan JPS jalan penyelesaiannya, kita doa-doalah ianya dapat disegerakan, " katanya 
10 Dec 20
519
Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan
Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan
HULU TERENGGANU, 10 Disember - Bermula sekadar hobi atau suka-suka bagi mengisi masa lapang, kini Mohd Azree Mohd Razali 40, dari Kampung Lubuk Periuk bergelar usahawan ternakan ikan kelah merah yang berjaya. Pernah berkhidmat di  sektor perkilangan dan perkhidmatan perkomputeran di Melaka selama 12 tahun, usahawan akuakultur ini berkata pilihannya tidak menjadi sia-sia setelah memilih untuk pulang ke kampung dan seterusnya berjinak dalam bidang ini. “Pada mulanya saya kembali ke kampung halaman untuk meneruskan hobi dan minat ayah mencari dan menjual spesis ikan kelah merah kepada pengusaha ikan hiasan atau untuk dijadikan hidangan mewah. "Akan tetapi apabila saya melihat populasi ikan ini makin berkurangan akibat beberapa faktor terutama pencemaran sungai dan tangkapan berlebihan, saya mula terfikir untuk menternaknya secara serius,"ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui, baru-baru ini.   Justeru itu katanya, dia  mengambil keputusan memulakan perusahaan itu secara serius kira-kira tiga tahun lalu dengan modal serta bantuan kelengkapan hampir RM100,000 selepas menimba ilmu serta teknik pembiakan ikan kelah daripada pihak yang berpengalaman. “Alhamdullilah projek saya ini mendapat sokongan dan peralatan daripada pihak Jabatan Perikanan seperti mesin pam air dan tangki yang bertujuan mengurangkan kadar kematian khususnya anak ikan yang memerlukan pengaliran air bersih semulajadi selain penjagaannya tersendiri," ujarnya. Menurut Azree, dia cukup berterima kasih kepada Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) Negeri Sembilan yang banyak memberi banyak tunjuk ajar dan maklumat terkini sehingga ke hari ini. Kini, dia memiliki empat kolah kecil serta tangki bersaiz sederhana yang di tambah baik ini juga digunakan untuk menampung sementara induk ikan terpilih ketika proses pengasingan dilaksana. Tambahnya lagi, peminat peminat kebanyakannya suka membela dari kecil, dan jumlah permintaan sekarang mencecah sehingga 10,000 ekor sebulan. Jumlah induk yang ada sekarang ni aktif sekitar 300 ekor dan dijangka sehingga akhir tahun ni saya ada stok induk sehingga 500 ekor. "Anak ikan berukuran sekitar tiga inci ini dijual dengan harga RM8 hingga RM9 seekor secara borong,"kata Azree.    Sementara itu , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim  berkata, Azree merupakan satu satunya usahawan penternakan ikan kelah di daerah Ajil sentiasa konsisten serta komitted dalam perlaksanaan projeknya. "Oleh sebab itu, kami di peringkat DUN Ajil melantik dia sebagai ikon belia bagi sektor Akuakultur dan Peladangan bagi memberi semangat pada belia lain menceburi bidang yang sama. “Nasihat saya kepada belia ialah rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bayar balik jasa ibu bapa kita,” katanya yang meluangkan masa meninjau perkembangan ternakan ikan kelah tersebut.
10 Dec 20
5461
Abdul Hadi Ronda Empat Dun Agih Bantuan Banjir
Abdul Hadi Ronda Empat Dun Agih Bantuan Banjir
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun ke semua kawasan dalam daerah ini bagi mengagihkan bantuan banjir kepada semua mangsa yang terjejas.
09 Dec 20
117
138 Pemilik Terima Kunci Rumah Taman Kertih Sri Gemilang 2
138 Pemilik Terima Kunci Rumah Taman Kertih Sri Gemilang 2
Seramai 138 pemohon menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Kerteh Sri Gemilang 2, Kerteh, Kemaman.
09 Dec 20
514
Kerajaan Bantu Nelayan Miliki Alat Moden
Kerajaan Bantu Nelayan Miliki Alat Moden
SETIU, 9 Disember – Kerajaan Terengganu terus komited memastikan semua golongan nelayan di negeri ini dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata peralatan moden seperti ‘Global Positioning System’ (GPS) dan alat pencari ikan (fish finder) sudah menjadi keperluan asas yang wajib dimiliki para nelayan. "Kita perlu berpijak di bumi nyata dan menyedari bahawa kos menyediakan sebuah kapal menangkap ikan berteknologi moden lengkap dengan kemudahan memproses ikan memerlukan belanja yang sangat besar. "Sekarang kami bekerja untuk mempastikan agar semua nelayan dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik seperti GPS dan fishfinder walau mereka hanya kelaut dengan sampan enjin sangkut," ujarnya dalam satu kenyataan, pagi ini. Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa syarikat telah datang mengemukan cadangan untuk membina bot nelayan berteknologi moden. "Kita sangat mengalu-alukan dan mereka perlu melalui prosedur yang sepatutnya. Fokus kami sekarang ialah kepada lebih 6,000 orang nelayan berdaftar di Terengganu agar isu-isu serta permasalahan yang berlegar seputar kehidupan mereka dapat ditangani secara berperingkat. "Mendongak dan mengimpikan untuk mencapai bintang di langit tak sekali-kali melupakan kita kepada rumput di bumi," tambahnya lagi.
09 Dec 20
1186
Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu
Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu
  HULU TERENGGANU, 9 Disember - Di kala remaja seusianya masih mencari identiti diri, Nur Hidayu Rosli, 20, tidak kisah bergelumang dengan najis lembu malah pernah digelar gadis lembu kerana menguruskan ternakan itu yang menjadi minatnya sejak kecil. Anak bongsu daripada lima beradik itu menganggap 10 ekor lembu peliharaannya sebagai teman terbaik sejak kecil lagi dan pernah terluka ketika menyelamat salah seekor lembunya yang terbelit tali di bawah rumah.  “Saya tak kisah tanggapan orang ramai malah bangga menceburi bidang ini.Memang ada yang kata saya berkawan dengan lembu dan banyak menghabiskan masa dengan haiwan kesayangan tapi ada juga yang memuji. "Saya tidak kekok melakukan kerja menguruskan lembu seperti memberi makan dan membersihkan najis malah sanggup mencerut rumput  untuk memberi makan tanpa rasa penat atau segan. “Rutin setiap hari, jam 10 pagi akan mengheret lembu-lembu ini ke padang rumput sejauh 200 meter dan akan jenguk dua kali sebelum membawa pulang pada lewat petang,”katanya yang lebih mesra denggan panggilan Ayu ketika ditemui di kampung Pantai Ali, Kuala Berang. Dia yang turut dibantu oleh abang, Muhammad Faizal, 27, berkata bidang penternakan lembu sudah sebati dengannya sejak berusia enam tahun kerana selalu mengikut arwah ayah dan setelah kehilangan tonggak keluarganya akibat kanser hati pada bulan Mac 2020, dia mengambil alih tugas berkenaan dengan rela hati. “Soal jantina tidak menjadi penghalang, apa yang penting minat dan kesanggupan untuk bergelumang dengan najis dan bau busuk lembu. “Keluarga tidak pernah memaksa melakukan kerja menguruskan lembu termasuk memberi makan dan membersihkan najis di kandang sebaliknya ia dilakukan kerana minat sebelum keluarga memberi kepercayaan kepada saya menguruskan ternakan,”ujarnya lagi. Setiap lembunya mempunyai nama tersendiri seperti Kembang, Jantan, Merah, Siti dan Sor merupakan kesayangan Ayu sejak kecil  malah pernah menangis apabila Sor kemalangan ketika berusia tiga bulan yang mengakibatkan rahang patah. “Setelah pihak klinik mengatakan Sor tidak ada harapan untuk pulih, saya dan mak mula merawatnya dengan mengikat kain di sekeliling rahang dan memberikan daun kayu untuk di makan. “Syukur Alhamdulillah, akhirnya Sor sudah normal seperti biasa dan kami cukup gembira melihatnya,”katanya yang bercita-cita menjadi penternak wanita berjaya satu hari nanti. Sementara itu, Zaini  berkata, dia bangga dengan kecekapan anak perempuan bongsunya  menguruskan lembu di ladang seperti orang lelaki. Jelasnya lagi, dia tidak kisah dengan cemuhan dan tanggapan masyarakat sekeliling terhadap Ayu kerana sebagai ibu, dia lebih mengenali anak sendiri. “Ayu merupakan anak yang baik, dia buat semua untuk saya dan tidak semua orang seusianya yang sanggup mengurus lembu di ladang, cukup lasak namun anak saya mampu melakukannya dengan baik dan ia sesuatu yang membanggakan. “Dia sanggup korbankan cita-citanya dan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam Diploma Senibina di UiTM Machang dengan alasan kalau dia tiada siapa yang nak uruskan ternakan, mak kan tak sihat. “Hatinya cukup penyayang terutama kepada binatang, dan sekarang Ayu turut membela 13 ekor kucing di rumah termasuk binantang lain,”ujar Zaini lagi. Sebagai ibu, Zaini yakin Ayu mampu  pergi jauh dalam bidang ini selain berharap pembabitan anaknya itu dapat membuka mata masyarakat terutama golongan wanita untuk turut sama menceburi bidang ini. “Saya bangga dengan kesanggupan anak menguruskan lembu di kandang kerana saya sedia maklum dengan cabaran yang ada walaupun dia masih remaja. “Bukan semua wanita mampu dan sanggup menguruskan lembu di kandang tetapi apabila dia mampu melakukannya dengan baik, ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.  
09 Dec 20
4997
Komik Dan Buku Lama Jadi Buruan
Komik Dan Buku Lama Jadi Buruan
DUNGUN, 8 Disember- Komik atau buku lama berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pemiliknya kerana ianya mula menjadi buruan akhir-akhir ini. Pengumpul komik dan buku lama, Mohd Sallehuddin Ismail, 35, berkata komik dari Jepun dan Hong kong yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dipasarkan sekitar hujung 80-an sehingga awal tahun 2000 begitu menjadi buruan. "Harga sesebuah buku lama dan komik lama bergantung kepada kemasyuran penulis dan pelukisnya seperti buku karya sasterawan negara seperti Abdullah Hussein, Azizi Abdullah, Zaharah Nawawi sebagai contoh. "Untuk komik-komik dari Negara Hong Kong dan Jepun pula seperti Tony Wong, Wan Yat Leung, Akira Toriyama dimana nilai buku lama boleh mencecah ribuan ringgit dan komik lama pula boleh mencecah ratusan ringgit bagi sebiji buku. Tiada harga tetap namun nilainya pasti akan diketahui oleh mereka yang minta mengumpul buku-buku lama ini, hanya 'jauhari yang mengenal manikam'," ujarnya. Salleh berkata demikian ketika dihubungi pihak media, di sini, semalam. Katanya, nilainya mungkin tidak terlalu tinggi sepertimana barang antik yang lain tetapi jauh lebih baik daripada ianya dilupuskan begitu sahaja atau dikitar semula. "Kita perlu mendidik masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya melupuskan buku-buku lama termasuk komik hanya kerana tidak memerlukannya lagi. "Malah ada yang bertindak membakar komik-komik lama kerana ada kerosakan padanya walhal ada yang menawarkan khidmat membaik pulih buku-buku lama,"ujarnya. Koleksi buku dan komik berkenaan katanya boleh dijual kepada orang persendirian atau syarikat. "Tapi lebih baik dijual kepada individu yang tahu dan minat dengan koleksi buku atau komik lama ini, kerana mudah untuk tawar menawar. Malah kepada yang baru menjadikannya hobi, atau kembali mengumpul boleh tukar menukar sesama mereka bagi melengkapkan judul yang diinginkan," ujarnya lagi. Salleh berharap agar masyarakat peka dengan perkara berkenaan. "Kerana mungkin masih ada simpanan didalam rumah yang terbiar begitu sahaja lebih baik ianya dijual boleh menampung sedikit sebanyak keperluan terutama kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia hari ini. "Jika ingin menjual di media sosial atau laman sesawang pastikan tidak tertipu. "Ramai yang mengambil kesempatan menipu pembeli-pembeli dan penjual buku dan komik yang dikesan berleluasa. Jadi berhati-hati ketika melakukan apa-apa transaksi. Sebaiknya bertanyalah kepada mereka yang lebih tahu dan arif mengenai hobi ini," ujarnya.
08 Dec 20
516
Penternak Siakap Sangkar Kerugian RM50,000
Penternak Siakap Sangkar Kerugian RM50,000
KUALA TERENGGANU, 8 Disember – Banjir kilat yang melanda pada 2 Disember baru-baru ini telah mengakibatkan seorang pengusaha ternakan ikan siakap sangkar kerugian kira-kira RM50,000.  Pengusahanya, Talib Manap, 61, berkata kejadian tersebut berlaku kerana terdapat kayu yang hanyut di Sungai Kuala Ibai dan melanggar sangkar ikan miliknya. Keadaan sangkar ikan yang pecah “Apabila kayu itu hanyut dan melanggar sangkar ikan saya, maka sangkar itu pecah dan ikan-ikan dalam sangkar tersebut semua terlepas. “5 buah sangkar telah pecah dan menyebabkan kira-kira 3,500 ekor ikan telah terlepas,” kata Talib ketika ditemu bual oleh pemberita. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut hadir ke lokasi, semalam bagi meninjau keadaan sangkar ikan itu.  Muhammad Khalil menemui pengusaha sangkar ikan “Kami di pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkenaan perkara ini. “Insya-Allah tindakan selanjutnya akan diambil untuk sekurang-kurangnya dapat meringan bebanan kerugian yang ditanggung oleh pengusaha,” kata Muhammad Khalil. Dimaklumkan, kira-kira 40 peratus kadar kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha melibatkan sebanyak 20 buah sangkar ikan secara keseluruhannya. Talib menunjukkan paras air ketika banjir berlaku
08 Dec 20
1041
40 Tahun Menanti Jalan Berturap
40 Tahun Menanti Jalan Berturap
BESUT, 8 Disember - Kesulitan penduduk Kampung Bukit Mali di sini yang terpaksa menggunakan jalan raya rosak dan berlubang selama ini berakhir apabila jalan tersebut selesai diturap dan dibuka kepada orang ramai baru-baru ini. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Mali, Mohd Nor Samat berkata, walaupun jalan yang diturap sepanjang 300 meter sahaja, tetapi ia amat bermakna buat penduduk kerana memudahkan pergerakkan mereka ke kawasan sekitar. Katanya, keselamatan orang ramai juga akan lebih terjamin selepas jalan tersebut dibaiki. "Alhamdullilah, penantian penduduk lebih 40 tahun untuk mendapatkan jalan berturap akhirnya tertunai. "Jalan yang sedia ada sebelum ini amat menyedihkan dengan keadaannya yang becak membuatkan penduduk berdepan kesukaran untuk keluar masuk," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, baru-baru ini. Katanya, beliau yang mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.
07 Dec 20
2476