Artikel "Komuniti" Terkini
Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai
KEMAMAN, 16 Disember – “Umur sudah mencecah 66 tahun, saya yang tidak pernah dapat tanah, tetapi setelah tunggu lebih 20 tahun, alhamdullilah Kerajaan Negeri telah realisasikan hasrat ini,” luah seorang nelayan, Abd Ghani Ismail, setelah menerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Sivik, Kemasik, Kemaman, pagi tadi.
Abd Ghani atau lebih mesra disapa Pok Ya, berkata sangat menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan kerajaan Terengganu atas pemberian hak milik tanah tersebut.
“Sekarang saya tinggal di Kampung Baru Kiri, insya-Allah harapan supaya dimurahkan rezeki bagi mendirikan rumah ini memandangkan saya seorang nelayan, tapi sekali lagi saya nak berterima kasih kepada ADUN Kemasik dan Majlis Daerah Kemaman,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Baru Kemasik, Suriyani Abdullah, 43, yang mewakili suaminya, Mat Zawan Muhammad, mengakui gembira dan tidak percaya kerana mendapat hak milik tanah sendiri.
“Inilah satu tanah pertama yang pernah dapat, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu.
“Selama ini pun tiada rumah tetap, tapi dengan tanah ini akhirnya dapat dirikan rumah sendiri. Hasil manifesto ini boleh dikatakan sebagai jadi sungguh,” ujar Suriyani yang juga ibu kepada empat orang anak.
Sementara itu, Saiful Azmi berkata, penghargaan diberikan kepada Pegawai Daerah dan seluruh kakitangan Pejabat Daerah atas usaha dalam memastikan hasrat kerajaan disempurnakan secepat mungkin.
“Kerajaan negeri telah menjanjikan 20 manifesto, sehingga sekarang sebahagian daripada 18 manifesto telah dilaksanakan atau sedang berjalan, usaha RTB ini adalah bukti proses merealisasikan sedang diteruskan.
“Bagi DUN Kemasik terdapat tujuh RTB bagi tapak kediaman, dan hari ini adalah RTB keenam yang dapat disempurnakan. Harapan supaya baki satu lagi akan dapat direalisaiskan pada suku pertama tahun hadapan," katanya ketika ditemubual pemberita.
16 Dec 20
396
HOERBIGER Sumbang RM106,000 Kepada Mangsa Banjir
KEMAMAN, 15 Disember - HOERBIGER-KT Malaysia memberi sumbangan sebanyak RM106,000 kepada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Terengganu.
Usaha itu diambil oleh HOERBIGER setelah melihat beberapa kawasan terutamanya di Kemaman terjejas teruk akibat banjir.
Sumbangan tersebut digunakan untuk pembelian makanan dan keperluan asas yang akan diedarkan kepada 1,000 keluarga terjejas di Kemaman, Marang dan Dungun.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili kerajaan negeri menghargai jasa pihak HOERBIGER dan YFBM atas usaha terbabit.
"Ini menandakan bahawa seluruh masyarakat yang berada di negara kita tanpa mengira bangsa dan agama mengambil cakna kesengsaraan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir ini.
"Semoga HOERBIGER dan YFBM terus maju dalam bidang yang diceburi masing-masing seterusnya dapat melakukan kerja amal dalam membantu mereka yang memerlukan pertolongan," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis tersebut di Dewan Sivik Air Putih, semalam.
Dalam majlis itu, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak turut menerima sumbangan itu mewakili mangsa-mangsa banjir di kawasan masing-masing.
Turut bersama dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar serta ketua-ketua jabatan.
Untuk makluman, HOERBIGER aktif di seluruh dunia dalam sektor tenaga, industri proses, industri automotif, sektor kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan keselamatan dan industri elektrik.
Produk dan perkhidmatan mereka digunakan dalam pemampat timbal balik, unit kawalan aliran gas, transmisi kenderaan, penggabung berputar, perlindungan letupan, enjin berkuasakan gas dan hidraulik kereta.
15 Dec 20
497
Barang Cukup, Tidak Perlu Pembelian Panik
Orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik susulan terdapat ramalan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia pada awal tahun hadapan.
14 Dec 20
92
Khidmat Malaysia Setiu Bantu Mangsa Pasca Banjir
SETIU, 14 Disember - Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia atau Khidmat Malaysia kawasan Setiu hulur bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas.
Pengerusinya, Mohd Nor Hamid berkata kerja-kerja gotong-royong atau pasca banjir ini adalah sebahagian tanggungjawab kami dalam menjayakan kerja kebajikan yang telah diamalkan sebelum ini.
"Hari ini kita turun ke pusat tahfiz menjalankan kerja-kerja seperti mesin rumput, membersih longkang dan sebahagian kawasan yang terlibat dengan banjir baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)baru-baru ini.
Pusat Tahfiz Al-Quran Baitulrahmat baru-baru ini turut ditenggelami banjir lebih dua meter mengakibatkan tingkat bawah tenggelam 100 peratus.
Bentuk geografi muka bumi di kawasan ini yang mengakibatkan saban tahun terlibat banjir menjadikan penduduk di sini lebih bersedia apabila tiba musim tengkujuh.
14 Dec 20
308
Kesabaran Membuah Kejayaan
DUNGUN, 15 Disember - Walaupun bengkel motosikalnya tidak mendapat sambutan semasa mula dibuka enam tahun lepas, berkat kesabaran akhirnya membuahkan kejayaan.
Tengku Mohamad Basiron Tengku Jalil, 32 sekarang boleh bernafas lega kerana pemilik Bengkel Apis Kudin yang terletak di Taman Rakyat Jaya itu, bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk di taman perumahan berkenaan malah juga mereka yang tinggal di sekitarnya.
"Masa mula-mula buka dulu memang agak suram pelanggan, tetapi alhamdulillah sehingga kini tidak putus-putus motor keluar masuk yang dibaiki," ceritanya yang kini mampu menggaji tiga orang pekerja.
Pemuda bersemangat kental itu ditemui pemberita ketika lawatan Ketua Pemuda PAS DUN Rantau Abang, Abdullah Fahim Hussin ke bengkel - bengkel motosikal untuk mendekati anak muda usahawan permotoran di DUN tersebut.
Mohd Fakrul Syafiq Ramli, 27, yang membuka bengkel sendiri di kediamannya di Kampung Che Lijah pula mengakui sangat terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan untuk mengelakkan penularan pandemik COVID-19 tetapi ianya tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan.
" Alhamdulillah, semua rezeki dariNya walaupun COVID-19 ada jugaklah motor pelanggan hantar walaupun sebuah sehari sekalipun," ujarnya.
Sementara itu, Abdullah Fahim memuji semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda tersebut dan sewajarnya menjadi contoh kepada mereka yang ingin berjaya di dalam setiap bidang yang ingin diceburi.
" Kejayaan tidak datang bergolek, ianya perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan kerajaan negeri sentiasa memberi galakkan dengan pelbagai insentif untuk melihat golongan belia berjaya," katanya.
14 Dec 20
301
Rakyat Bukit Tunggal Dijamu Gulai Daging
KUALA NERUS, 14 Disember - Sebanyak 5,700 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di sini dijamu gulai daging melalui program dapur rakyat yang berlangsung dalam bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, sumbangan itu diagih ke setiap rumah penduduk tanpa mengira status pendapatan mereka melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.
"Kita melahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terjejas pendapatan mereka ekoran penularan wabak COVID-19 dan musim tengkujuh ini yang sedang melanda negeri kita.
"Biasanya kita buat jamuan rakyat dalam satu majlis, namun kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, kita akan hantar kepada rakyat dari rumah ke rumah lauk gulai yang siap dimasak oleh MPKK," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai program Dapur Rakyat DUN Bukit Tunggal di Kampung Gong Kijang baru-baru ini.
Katanya lagi, selain agihan lauk yang sudah masak, pihaknya juga menyampaikan barangan keperluan dapur kepada keluarga B40 seperti beras, minyak dan gula.
"Walaupun sumbangan ini hanya kecil bagi kita, namun sekurang-kurangnya dapat menceriakan keluarga mereka yang kurang bernasib baik dengan menikmati bantuan ini," jelasnya.
14 Dec 20
664
Program Komuniti Satukan Masyarakat Pelbagai Kaum
KEMAMAN, 13 Disember - Program komuniti yang dianjurkan di kawasan masyarakat majmuk mampu menjadi medan terbaik dalam menyatukan kepelbagaian agama, kaum dan budaya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha ke arah itu melalui kerjasama dengan badan-bdan berautoriti.
"Kerajaan negeri bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu sentiasa meraikan kepelbagaian dalam masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan seumpanya.
"Hari ini kita bersama-sama menjayakan program Gotong-Royong Perdana Muafakat Perpaduan Daerah Kemaman di mana kita membersihkan persekitaran Taman Bersekutu, Taman Muhibah dan juga kawasan-kawasan sekitarnya.
"Saya melihat program yang diadakan hari ini sangat meriah," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Cukai) kepada pemberita ketika dihubungi, kelmarin.
Dalam program berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan seperti senaman Tai Chi, pameran dan taklimat COVID-19, cabutan bertuah, jamuan dan lain-lain acara yang berlangsung di Dewan Komuniti Cina Kemaman.
Dianggarkan lebih 200 peserta terdiri daripada pelbagai lapisam u,ur dan agama hadir memeriahkan program.
Hanafiah turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur kepada 50 orang warga Tionghua dan 40 orang pekerja pembersih kontrak .
Program tersebut merupakan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Chukai Care dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman (PDTK), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
13 Dec 20
1522
72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah
KEMAMAN, 10 Disember – Seramai 72 penduduk Kampung Bujal di sini kembali mendapat tanah mereka selepas proses penyerahan hak milik tertangguh lebih 16 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setelah pelbagai peristiwa pahit dilalui para penerima terbabit kini dapat memajukan kembali tanah yang diperolehi.
"Terima kasih kepada para pemohon kerana bersabar, diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit.
“Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini kerajaan Terengganu dapat memberi geran tanah terkilan kepada 72 orang di Kijal pada majlis fasa pertama ini.
“Bagi Fasa kedua, sebahagian kecil lagi masih berada di Pejabat tanah disini dalam proses melengkapkan maklumat untuk dibawa kepada PTG dan terus ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN), saya harap dalam tiga atau empat bulan insya-Allah dapat menyerahkan kepada 62 permohonan berbaki ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok Terkilan Bagi Tapak Bangunan Kediaman di Desa Makmur Bujal, Kijal, Kemaman hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar.
Menurut seorang penerima, Zaitun Che Ku Abdul, 59, dia menyuarakan rasa syukur dan lega atas pengembalian hak tanah yang ditunggu sejak 16 tahun lalu.
"Terima kasih kepada Yang Berhormat dan kerajaan dalam usaha ini. Dulu rumah diruntuh tapi sekarang ini rumah baharu akan dibina untuk keluarga," kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Sementara itu, Samsudin Abdullah, 71, berkata, dia gembira setelah hak yang dinafikan kini dikembalikan dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam memperjuangkan perkara tersebut.
“Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih atas usaha kerajaan negeri, belum pernah saya miliki tanah sebelum ini, walaupun sudah berusia tua, diharapkan supaya masjid dapat didirikan kembali di Kampung Bujal bagi kegunaan bakal penduduk di sini.
"Insya-Allah tanah akan dimanfaatkan untuk membina rumah bagi kemudahan anak-anak saya," tambahnya.
10 Dec 20
655
Pok Usop Sedia 'Makan', Tarik Anak Muda Ke Surau
DUNGUN, 10 Disember - Menyedari tidak ramai golongan muda ke masjid atau surau untuk menunaikan solat berjemaah, Mohd Yusof Abdul Ghani, 58, mengambil inisiatif melakukan aktiviti 'makan-makan' selepas waktu solat.
Mohd Yusof yang lebih dikenali Sebagai Pok Usop berkata, kebiasaannya dia dan isteri menyediakan juadah ringan untuk para jemaah seusai solat Isyak.
"Saya sedih melihat anak-anak muda yang sering menghabiskan masa melepak sehingga terlupa untuk mendirikan solat.
"Jadi saya suruh isteri saya masak apa yang ada untuk dibawa ke surau, tidak semestinya makanan mahal, cekodok ke, roti canai ke, nasi goreng ke, ikut ada, kadang tu kalau kita tidak dapat buat, minta tolong jiran buat, suka tengok orang muda datang ke surau," katanya kepada pemberita selepas lawatan pasukan 'mobile team' ke rumahnya di Kampung Teluk Bidara.
Rombongan 'mobile team' yang terdiri daripada wakil Pusat Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang itu bertujuan melihat dari dekat kehidupan keluarga yang mendaftar dibawah e-kasih.
Pok Usop berkata, walaupun dirinya bukan 'orang senang' dia tidak kisah melakukan perkara sedemikian.
"Diharapkan usaha kecil saya ini sedikit sebanyak dapat menarik minat anak-anak muda untuk bersama-sama mengimarahkan masjid," ujarnya.
Sementara itu, rombongan 'mobile team' tersebut juga turut melawat rumah sepasang suami isteri yang mempunyai tiga orang anak di Kampung Che Lijah.
"Saya mohon untuk siapkan dapur sebab sekarang ni saya masak di bilik anak sebab dapur tidak siap, " ujar ketua keluarga tersebut, Mohd Saifullah Mahmood @ Kasim, 32.
Mohd Saifullah yang berniaga goreng pisang di Pasar Borong Dungun bersama isteri turut mengakui perniagaannya merosot semenjak Perintah Kawalan Pergerakan.
"Saya berniaga hari Jumaat dan Sabtu sahaja, sebab hari lain tidak ramai orang datang ke pasar, jadi hari biasa, saya akan buat kerja-kerja kampung, dan mengail udang, " katanya.
10 Dec 20
781
Sukarelawan Banjir Dirai
KEMAMAN, 10 Disember - Seramai 350 sukarelawan banjir membabitkan agensi-agensi kerajaan, Khidmat Malaysia Negeri Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) diraikan dalam satu majlis kesyukuran yang berlangsung di Dewan Sri Amar, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, jasa dan pengorbanan para sukarelawan yang membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini sangat dihargai.
"Bermula daripada operasi pemindahan banjir, agihan sumbangan, dapur rakyat, gotong-royong, program tukar minyak hitam motosikal dan sebagainya sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ataupun melegakan hati mereka yang dilanda musibah itu.
"Semoga Allah S.W.T jualah yang membalas jasa-jasa yang telah kalian kerjakan," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai ketika merasmikan program itu.
Turut hadir dalam majlis tersebut, ADUN Air Putih, Ab.Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, IR Saiful Azmi Suhaili, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar, Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan.
Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Anuar Abdul Rahman, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Mohd Noorhadi Mohd Yusof dan Pengarah Akademi Didik Ulamak AMILIN Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
10 Dec 20
142