Artikel "Komuniti" Terkini
Beri Motivasi Kepada Mangsa Banjir
DUNGUN, 22 Disember- Mangsa banjir perlu diberi suntikan semangat dan motivasi agar tabah menghadapi ujian.
Penolong Pegawai Seranta Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Azman Khidmir Zulakmal berkata, Allah turunkan ujian sebagai tanda kasih Allah kepada hambaNya.
"Apabila datangnya ujian perlu sentiasa berdoa dan bergantung harap kepada Allah agar lebih beriman dan bertakwa, ujian daripada Allah adalah tanda Allah kasih dan sayang , ujian diturunkan oleh Allah untuk menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan manusia.
"Di sebalik ujian ini juga akan meraih perasaan simpati untuk saling cakna mencaknai serta membawa kepada saling tolong menolong diantara satu sama lain, yang membawa kepada pertautan kasih dan sayang sesama manusia," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sedikit motivasi kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Tersusun Rantau Panjang, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tersusun Rantau Panjang, Nor Zakirah Mohd Zaid merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat memastikan kebajikan mangsa banjir di pusat itu terjaga.
"Terima kasih kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Haji Ghazali , semua agensi, jabatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), yang telah memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga dan segala urusan ketika banjir dapat diuruskan dengan baik,serta tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," ujarnya.
21 Dec 20
289
“Terima kasih Primula Beach Hotel"
KUALA NERUS, 21 Disember – “Memang saya terharu dan tidak menyangka Pengurus Besar Primula Beach Hotel bersama-sama anak buahnya datang untuk membaiki atap yang rosak akibat ribut baru-baru ini,” ujar Ahmad Ameram Abdullah, 53 yang merupakan salah seorang kakitangan hotel berkenaan.
Bapa kepada tiga orang anak ini yang telah berkhidmat di hotel berkenaan sejak tahun 1991, kelihatan teruja dengan kedatangan pihak majikannya berkata dia cuma dimaklumkan bahawa ada pihak hotel akan datang membantunya membaiki atap yang rosak.
“Bila tengok Puan Suaibah sendiri yang datang, sebagai pekerja memang rasa terharu dengan kecaknaan yang ditunjukkan oleh beliau.
“Terima kasih yang tidak terhingga sebab membantu saya dan keluarga dalam keadaan diri yang masih tidak dapat bekerja buat sementara waktu ini…hanya Tuhan yang dapat membalasnya,”ujarnya yang turut patah tangannya antara siku dan bahu ketika cuba menukarkan atap berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pihaknya memperuntukan RM1,000 bagi kerja baik pulih bumbung kediaman pekerjanya yang terjejas susulan hujan lebat baru-baru ini.
“Peruntukan itu adalah bagi menukar sebahagian atap yang sudah pecah dan bocor termasuk membeli kayu dan peralatan lain.
“Saya amat berbesar hati dapat melaksanakan inisiatif mulia ini dengan kerjasama kakitangan-kakitangan lain serta dapat mempamerkan keprihatinan, kasih sayang dan komitmen dalam menangani pelbagai isu yang selaras demi keluarga besar hotel kami,”jelasnya.
Suaibah berkata demikian ketika ditemui selepas melawat rumah Ahmad Ameram di Taman Permint Perdana, Seberang Takir dekat sini, hari ini.
Tambah beliau, program itu adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana masyarakat mahupun kerajaan akan mengiktiraf usaha tersebut dalam memantapkan dan mengukuhkan lagi sesebuah organisasi melalui pandangan masyarakat yang merupakan pelanggan dan pekerja sebagai pihak berkepentingan paling utama.
21 Dec 20
790
352 Mangsa Banjir Ditempatkan Di Tujuh PPS Di Rantau Abang
DUNGUN, 21 Disember - Tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang menempatkan 352 mangsa banjir sehingga pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias harun berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laporan Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang menunjukkan peningkatan mangsa banjir.
"Petang semalam seramai 230 mangsa dan lima PPS dibuka dan dijangka air dari Hulu Sungai akan turun dan menyebabkan air akan naik dan akan berlaku pemindahan mangsa lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat PPS dan kawasan banjir dalam DUN Rantau Abang iaitu PPS Bukit Merah, Balai Raya Padang Pulut, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut, Balai Raya Pinang Emas, Ladang Pinang Mas dan Kampung Pinang Baru, hari ini.
Sementara itu berdasarkan tinjauan dibuat, rata-rata mangsa banjir meluahkan rasa syukur dengan keselesaan PPS yang disediakan.
Bagi Muhammad Afiq Mohd Nizam,5 menganggap PPS Balai Raya Bukit Merah sebagai rumah baharunya.
"Seronok tinggal di sini, kat bawah ada perpustakaan, ada barang permainan," kata anak keempat daripada lima beradik itu.
Manakala Mohd Wafi Abdullah, 8, gembira dapat tinggal sementara di PPS Balai RAYA MPKK Ladang Pinang Emas.
"Kat sini boleh tidur dalam khemah, boleh main dengan kawan-kawan, " katanya.
21 Dec 20
397
Kediaman Terbakar, ADUN Manir Sumbang Bantuan Segera
HULU TERENGGANU, 21 Disember - Nasib 13 mangsa kebakaran melibatkan dua kediaman di kampung Beladau Kolam Manir semalam, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun.
Mangsa, Razman Razak, 45, dan Abdul Halim Mahmud, 40, menerima sumbangan wang tunai bantuan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Manir ketika turun diziarahi selepas kejadian itu.
Ustaz Hilmi berkata, sumbangan tersebut adalah tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin pihaknya kepada warga DUN.
“Biarpun masih belum mencukupi untuk menampung jumlah diperlukan, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mangsa,” jelasnya ketika ditemui pihak media semalam.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Manir, Ustaz Syuqiman Tahar berkata, pembinaan rumah baharu akan dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan.
“Agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan PKM DUN Manir bertanggungjawab membantu mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini," katanya.
Dilaporkan semasa kejadian, tuan rumah Razman berada di sangkar ternakan ikannya dan ketika kejadian juga anak-anak bermain di luar rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
21 Dec 20
506
Ular Sawa Peliharaan Antara 'Mangsa' Banjir Teluk Kalong
KEMAMAN, 21 Disember – Seekor ular antara 'mangsa banjir' yang dipindahkan daripada perumahan Teluk Kalong selepas kawasan itu dinaiki air baru-baru ini.
Pemilik haiwan berlesen itu, Muhammad Afendi Khalid berkata, haiwan peliharan eksotiknya itu diletakkan di dalam akuarium ketika berlakunya banjir seawal 11 pagi kelmarin.
Menurut Afendi, 35, ular sawa spesis ‘Ball Phython’ tersebut kemudiannya dipindahkan ke sangkar rumah keluarganya sekitar jam 3.30 petang semalam selepas air mulai surut.
“Sebelum berpindah semalam, air naik hampir tiga kaki, sejengkal lagi nak sampai tingkat.
“Namun begitu, dua ekor ular betina yang saya ada selamat di dalam akuarium yang tinggi dan tidak dihanyut banjir.
Afendi yang mendiami rumah tersebut bersama isterinya, mengatakan bahawa ular tersebut selamat dan tidak berbisa.
“Jiran sekeliling juga sudah biasa dengan minat saya ini, ada hari biasa ada budak-budak sekeliling teruja datang ke rumah. Lesen pemeliharan haiwan reptilian dibayar setiap tahun dan ada sijil kelulusan,"ujarnya yang juga pekerja di Zoo Kemaman.
Afendi adalah diantara lebih 2,000 mangsa banjir besar di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM), Teluk Kalong yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Universiti Kolej TATI.
20 Dec 20
666
360 Nelayan Terima Bantuan
DUNGUN, 20 Disember- Seramai 360 nelayan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan dapur melibatkan peruntukan sebanyak RM40,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, bantuan berkenaan bagi meringankan beban golongan nelayan yang tidak dapat mencari rezeki di musim tengkujuh.
"Bantuan ini diberi setiap tahun bila tiba musim tengkujuh, sejak tujuh tahun yang lalu kerana kita sedar nelayan sangat terkesan bila tiada pendapatan kerana tidak boleh pergi menangkap ikan untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bantuan Nelayan Musim Tengkujuh di Dewan Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini baru-baru ini.
Alias turut mengingatkan agar golongan nelayan sentiasa taat perintah Allah agar rezeki yang diperoleh sentiasa diberkati.
"Sentiasa buat kerja, turun ke laut, solat perlu dilaksanakan, jangan tinggal solat kerana solat dapat mencegah mungkar dan kerja buat kita akan diberkati," ujarnya.
20 Dec 20
199
80 Kakitangan PSMZA Terima Sumbangan YaPEIM
DUNGUN, 19 Disember - Seramai 80 kakitangan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang dikategorikan B40 telah menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, mereka yang menerima sumbangan tersebut terdiri daripada kakitangan sokongan dan pengawal keselamatan.
"Saya bersyukur, gembira dan amat berterima kasih kepada pihak YaPIEM dan kerajaan di atas keprihatinan untuk menghulur bantuan kepada golongan B40 dalam kalangan kakitangan PSMZA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas di Majlis Penyerahan Musaadah COVID-19 YaPIEM kepada kakitangan B40 PSMZA di Bilik Mesyuarat Utama, PSMZA.
Sementara itu, Pengurus YaPIEM Negeri Terengganu, Kartina Ahmad berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM21,200 untuk membantu golongan tersebut.
"Sumbangan ini merupakan sumbangan barang dapur dan daging segar," ujarnya.
18 Dec 20
543
Penyerahan Tanah RTB terkilan Mukim Bujal, Apa kata rakyat?
Luahan penduduk Mukim Bujal setelah memiliki Geran Tanah RTB yang menunggu sekian lama.
17 Dec 20
252
30 Tahun Menumpang, Kini Miliki Rumah Sendiri
DUNGUN ,17 Disember- Impian Daud Jusoh untuk memiliki rumah sendiri setelah 30 tahun menumpang di atas tanah orang akhirnya menjadi kenyataan apabila terpilih untuk menerima bantuan rumah melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).
Daud yang sebelum ini seorang nelayan tetapi kini sudah tidak bekerja memandang kesihatannya tidak mengizinkan menyifatkan rezeki dari Allah itu sangat tepat pada masanya.
"Saya bersyukur kerana rumah ini siap dan diserahkan kepada saya masa tuan tanah dah nak ambil tanah miliknya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Kampung Rhu Batil di sini.
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan berkenaan yang bekerja sebagai tukang rumah Mohd Suhaimie Wahab, 37, berterima kasih kepada kerajaan negeri yang cakna dengan keperluan rakyat.
"Saya sudah menyewa banyak rumah dan kali terakhir saya menumpang di rumah tok ki saya, alhamdulillah hari ini saya memiliki rumah sendiri di atas tanah sendiri, terimakasih YB Cikgu Alias," ujar ayah kepada tiga orang anak itu.
Sementara itu , Alias Harun memberitahu, kerajaan Terengganu telah menambah peruntukan untuk PPTS di dalam menyediakan rumah patuh syariah.
"Sebelum ini RM40, 000 seunit tetapi sekarang kerajaan tambah kepada RM56 000, sebelum ini dua bilik tidur tetapi rumah patuh syariah ada tiga bilik tidur, satu bilik mandi dan satu bilik air," jelasnya.
17 Dec 20
724
Kerajaan Negeri Komited Tunai Janji Manifesto
DUNGUN, 18 Disember -Kerajaan negeri dibawah pimpinan PAS komited menunaikan janji manifesto ketika Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sehingga kini antara manifesto yang telah dilaksanakan termasuk pemberian lesen motosikal percuma, mengembalikan tanah terkilan, kad sejahtera, serta pusat jagaan kanak- kanak di jabatan kerajaan.
"Manakala manifesto yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan antaranya ialah menyediakan pinjaman perumahan berjumlah RM50 juta yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu ketika pembentangan Bajet 2021 dan juga Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik yang akan beroperasi pada Januari depan.
"Dalam pada itu, kerajaan Terengganu juga sedang merancang untuk membina Pusat Pengajian Tinggi milik kerajaan negeri dan Bandar Baharu Lestari," ujarnya.
Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Cermin Mata kepada 170 penerima di Dewan Darul Ansor di Kampung Alor Mal Bah di sini.
Katanya, kerajaan negeri tidak pernah berhenti daripada bekerja keras selepas diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah Terengganu dan sedaya mungkin menunaikan janji.
Justeru katanya, diharapkan setiap manifesto yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat digunakan sebaik.
"Misalnya, kad sejahtera yang diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta, gunakanlah sebaik mungkin," ujar Alias.
17 Dec 20
196