Artikel "Komuniti" Terkini
Mualaf Bersyukur Sudah Tidak Perlu Menyewa
DUNGUN, 6 Januari - Seorang saudara baru (muallaf) melahirkan rasa syukur kerana tidak perlu lagi menyewa apabila terpilih menjadi penerima rumah Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS).
Iskandar Rawi, 37, yang juga orang kelainan upaya (OKU) memberitahu, dia bersama isteri dan anak sebelum ini tinggal menyewa dengan kadar RM350 sebulan.
Iskandar Rawi bersama isterinya, Norizan Lizam dan anak mereka.
"Saya memang tak mampu nak bayar dengan bekerja di stesen minyak sebagai tukang sapu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah PPTS oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di tapak Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kampung Gong Pasir baru-baru ini.
Di majlis yang turut dihadiri Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang itu juga, seramai lapan orang penerima telah menerima kunci rumah masing-masing.
Menurut Iskandar, dia akan mencari kerja lain berhampiran tempat tinggalnya sekarang.
"Tempat kerja lama jauh, masa tinggal di rumah lamapun saya terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer memandangkan saya tidak dapat menunggang basikal ataupun motosikal dengan keadaan saya ini," katanya.
Sementara itu seorang ibu tunggal, Suzana Ismail, 35, berkata dia seolah-olah bermimpi, akhirnya terpilih sebagai peserta PPTS.
" Tak kisahlah 'rumah transit' pun asalkan tidak menyewa dan saya serta anak-anak dapat berteduh, duduk rumah sewa sebulan RM250, memang tak mampulah dengan kerja saya sebagai membantu kakak di kedai makan," cerita ibu kepada tiga orang anak itu.
06 Jan 21
243
Solat Hajat Dijauhi Banjir Besar
DUNGUN, 6 Januari - Penduduk Hulu Dungun diseru untuk melakukan solat hajat dan berdoa ketika ini agar daerah itu dijauhi daripada banjir besar.
Seruan itu dibuat Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang mengharapkan solat hajat dapat diadakan di seluruh masjid di kawasan berkenaan bagi memastikan bencana banjir yang berlaku ketika ini tidak berterusan dan bertambah buruk.
"Paras air semakin meningkat dan menyebabkan penduduk yang telah dibenarkan pulang tetapi kini terpaksa kembali semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," ujarnya kepada pemberita selepas meninjau PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Selain itu, Ghazali turut mengharapkan seluruh mangsa banjir tidak mengambil mudah setiap arahan pihak berkuasa.
"Apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera agar berpindah," ujarnya.
Difahamkan, sehingga pukul 4 petang tadi, seramai 247 mangsa daripada 78 keluarga di tempatkan di tiga PPS di Dungun iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Gewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.
06 Jan 21
362
Senarai Pengimport Daging Halal Dikeluarkan Dalam Masa Terdekat
Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengumumkan senarai pengimport daging halal di negara ini dalam masa terdekat.
05 Jan 21
318
Rombakan Jakim : 'Masih Terlalu Awal' – Menteri
Kerajaan pusat belum memutuskan sebarang tindakan mengenai gesaan untuk merombak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara besar-besaran berikutan isu kartel daging yang berlaku baru-baru ini.
05 Jan 21
58
YaPEIM Bantu Pelajar B40 UniSZA, UMT Lunas Yuran
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM636,500 bagi membantu pelajar B40 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membayar yuran pengajian mereka.
05 Jan 21
363
Polis Marin Rampas Rokok Seludup Bernilai RM2.4 Juta
Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga melalui Ops Benteng COVID-19 telah berjaya merampas sebanyak 19,000 karton rokok bernilai hampir RM 2.4 juta dalam sebuah lori di Kampung Tepoh, Batu Rakit.
05 Jan 21
118
50 Mangsa Banjir DUN Bukit Besi Terima Bantuan
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seramai 50 orang mangsa yang terjejas dalam bencana banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi baru-baru ini menerima bantuan berupa wang tunai dan keperluan asas.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah.
“Walaupun bantuan yang diberikan ini tidak besar sangat tetapi atas dasar tanggungjawab kita sebagai seorang Islam, apabila menghadapi masalah dan musibah banjir seumpama ini, maka kita perlu bekerjasama membantu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Misi Bantuan Banjir di Jerangau Sungai dan Rantau Panjang di DUN Bukit Besi, kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Katanya, sumbangan tersebut adalah daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muafakat Sejahtera dan Syarikat Norlan United.
“Di peringkat kerajaan negeri isu yang berkait dengan kebajikan rakyat menjadi perhatian kita dan berhubung dengan musibah termasuk banjir itu antara perkara yang diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Kita digalakkan dan dituntut untuk bertolong-tolongan dengan perkara kebajikan dan perkara yang membawa kepada kebaikan,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat negeri ini agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada kemungkinan ada berlaku lagi gelombang seterusnya.
04 Jan 21
430
Penduduk Hulu Dungun Diminta Ambil Langkah Berjaga-jaga
DUNGUN, 4 Januari - Penduduk di beberapa kampung di Hulu Dungun, di sini diminta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk patuh kepada arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Minda, Wan Zawawi Wan Ahmad, berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan agar penduduk yang berada di kawasan rendah agar sentiasa bersiap siaga.
"Penduduk sentiasa diberi peringatan melalui masjid, juga melalui sebaran media sosial.
"Sehingga kini setiap kali berlakunya bencana banjir semuanya dapat ditangani dengan baik," ujarnya ketika dihubungi pihak media, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, walaupun jumlah mangsa yang berpindah tidak melibatkan jumlah yang besar namun ramai yang terkesan.
"Ini kerana sejumlah besar penduduk di sini terkepung dengan banjir, keadaan tersebut mengakibatkan kesukaran untuk pergerakkan keluar masuk disebabkan jalan kampung serta jalan utama untuk keluar ke bandar ditenggelami air.
"Dari segi bantuan sepanjang terlibat dengan banjir adalah mencukupi dimana kita mendapat bekalan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
"Sedikit sebanyak ianya sangat membantu kerana apabila berhadapan dengan situasi seperti ini ianya sangat memberi kesan kepada penduduk yang rata-ratanya terlibat dengan pertanian," ujarnya.
Untuk rekod bermula semalam tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor dan juga Kampung Minda dengan menempatkan 60 buah keluarga iaitu seramai 195 mangsa banjir.
04 Jan 21
489
Food Bank Bantu 50 Penduduk Terjejas Banjir
DUNGUN, 3 Januari - Seramai 50 penduduk di Kampung Serdang mendapat manfaat daripada Program Misi Bantuan 'Food Bank' Pasca Banjir Zon Pantai Timur hasil sumbangan pelbagai syarikat yang dermawan.
Ketua Penolong Pengarah Sekretariat Perdagangan, Pengedaran dan Industri Perkhidmatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Muslihun Yusof berkata 'Food Bank' Malaysia adalah inisiatif KPDNHEP yang telah bermula sejak dua tahun lalu.
"Inisiatif ini diambil untuk meringankan beban kos sara hidup kumpulan sasar dengan mengagihkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Program Misi Bantuan 'Food Bank' Pasca Banjir Zon Pantai Timur yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Serdang di sini, baru-baru ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu turut dihadiri Timbalan Pengarah, KPDNHEP Negeri Terengganu, Nor Azmi Lasmiza.
Seorang warga emas, Wan Nik Wan Ahmad, 78, melahirkan rasa syukur kerana dipilih untuk menerima bantuan berkenaan.
"Rumah mak cik dah tiga kali banjir, tapi tidak dapat bantuan sebab mak cik tak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sebab biasa yang dapat orang yang berpindah je, Alhamdulillah, MPKK masukkan nama mak cik, dapatlah mak cik merasa," kata Mak Cik Wan yang kediamannya sering dinaiki air bila hujan lebat.
03 Jan 21
261
Bukit Besi Undang Keberkatan Dengan Berselawat
DUNGUN, 30 Disember- Bagi mengundang keberkatan dengan ketibaan tahun baru 2021 Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi akan mengadakan program 'Bukit Besi Berselawat'.
Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, program tersebut akan dijadikan sebagai acara tahunan setiap kali menjelangnya ketibaan tahun baru.
"Tahun 2021 akan menjadi 'pilot' projek dengan mengundang semua penduduk kampung untuk sama-sama berselawat.
"Program ini akan dimulakan pada waktu pagi, berkebetulan 1 Januari tahun 2021 jatuh pada hari Jumaat, yang mana umat Islam disarankan agar banyakkan berselawat sebagai tanda mencintai Rasulullah SAW, kita pandu masyarakat di ambang tahun baru dengan memperingati Rasulullah dengan sebanyak-sebanyaknya," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media mengulas mengenai program tersebut,hari ini.
Katanya, program berkenaan akan turut diserikan dengan jamuan rakyat.
"Lebih bermakna program ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua (Speaker) DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan juga dengan kehadiran Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli sudah pastinya akan menjadi salah satu program yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk," ujarnya.
Selain itu katanya, pada sebelah petangnya pula akan diadakan Majlis Apresiasi.
"Iaitu bagi menghargai 23 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang selama ini telah berkhidmat dengan cemerlang didalam memastikan setiap agenda serta perancangan dari kerajaan negeri dapat dijayakan dengan baik didalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin.
"Insya Allah pengakhiran program sambutan tahun baru itu, kita akan adakah kuliah maghrib surau dan masjid yang terpilih didalam DUN Bukit Besi dan juga akan diadakan solat hajat agar tahun 2021 lebih mendatangkan kebaikan kepada seluruh rakyat, serta memohon keselamatan agar terhindar daripada wabak COVID-19 daripada terus menular," katanya.
Katanya, Prosedur Operasi Standard dengan memakai pelitup muka, penjarakkan fizikal serta mencuci tangan akan dititikberatkan agar majlis tersebut dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya.
30 Dec 20
472