lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

'Jambatan Rezeki ' Runtuh Akibat Banjir
'Jambatan Rezeki ' Runtuh Akibat Banjir
DUNGUN, 29 Januari- 'Jambatan Rezeki' begitulah perumpamaan kepada sebuah jambatan yang telah mengalami kerosakan dan runtuh akibat banjir baru-baru ini. Seorang penduduk di Kuala Jengai, Kamarodiah Abdul Wahab, 56, yang sering menggunakan laluan tersebut untuk keluar berniaga bagi meneruskan kelansungan hidup begitu terkesan dengan kerosakan tersebut. Dia yang berniaga makanan untuk sarapan pada waktu pagi di salah sebuah kedai di sini sangat mengharapkan jambatan atau jalan yang lebih elok dan selamat dapat segera diganti. "Setiap kali banjir, jambatan ini akan rosak dan runtuh jadi terpaksa lalui juga dan terpaksa bergadai nyawa kerana inilah jalan yang saya termasuk empat buah keluarga lagi sering gunakan bagi menjalani rutin harian. "Jambatan ini menjadi laluan untuk saya mencari rezeki, memandangkan jalan ini mudah dan dekat untuk saya sampai ke jalan besar. "Saya ambil insiatif untuk membaikinya sendiri setiap kali ia mengalami kerosakan. Banyak jugalah duit dihabiskan untuk membeli kayu dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita ketika diziarahi oleh Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, kelmarin.  Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya akan berusaha menyelesaikan kesulitan yang dihadapi penduduk berkenaan. "Memandangkan jambatan ini tidak lagi selamat digunakan dan boleh mendatangkan bahaya. Maka kita akan mengangkat permohonan bagi menggunakan peruntukan daripada pejabat daerah untuk mengadakan infrastruktur jalan baru yang lebih baik dan selamat di atas tanah rezab kerajaan," ujarnya. Beliau berharap agar penyelesaian masalah berkenaan akan mampu memberi kesejahteraan kepada penduduk di sini.
28 Jan 21
358
Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Buka Peluang Kongsi Rezeki
Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Buka Peluang Kongsi Rezeki
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Khidmat Malaysia Kuala Terengganu membuka peluang masyarakat untuk saling menjaga dan berkongsi rezeki melalui Pusat Pengumpulan Sumbangan Barangan untuk  golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula semalam. Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Batu Buruk, Nik Rosdi Nik Jusoh memaklumkan, pusat pengumpulan tersebut diadakan berhadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan dibuka sepanjang hari bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.  “Kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada mereka yang terkesan ini boleh menghantar sumbangan di Pusat Pengumpulan Sumbangan ini. "Antara barangan yang boleh disumbangkan ialah beras, minyak masak, gula, gandum, susu, lampin bayi, kicap dan lain-lain lagi," katanya. Jelasnya, barang sumbangan terkumpul akan diagihkan pada minggu hadapan sekiranya jumlah sumbangan dianggarkan mencukupi.  Sementara itu, wakil NGO Khidmat Malaysia Kuala Terengganu, Tuan Ngah Tuan Ahmad mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan sumbangan. Menurutnya, selain di Batu Buruk, Pusat Pengumpulan Sumbangan Barangan ini juga dibuka di seluruh DUN dalam Kuala Terengganu iaitu di hadapan Surau Baru Gong Pauh bagi DUN Wakaf Mempelam, Pasar Cabang Tiga bagi DUN Bandar dan Futsal Berek bagi DUN Ladang. Manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula di hadapan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu. Sumbangan juga dibuka secara atas talian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun berikut : BANK ISLAM BADAN KEBAJIKAN PAS KAWASAN KUALA TERENGGANU 13017010044705  
27 Jan 21
701
108 Pek Bantuan Makanan Asas Diagihkan Dalam Dun Batu Buruk
108 Pek Bantuan Makanan Asas Diagihkan Dalam Dun Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kuala Terengganu telah menyumbang sebanyak 108 pek bantuan makanan asas kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bagi membantu meringankan beban masyarakat setempat yang terjejas akibat Covid-19. PKM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah mengambil perjalanan mengagihkan kesemua bantuan tersebut kepada masyarakat yang memerlukan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN berkenaan. “Kami telah meminta pengerusi JPKK untuk menyenaraikan keluarga yang tergolong dalam kategori fakir miskin sebelum ini supaya proses pengagihan ini dapat berjalan dengan lancar. “Insya-Allah ada rezeki lagi nanti kita akan adakan lagi agihan bantuan ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi. Proses pengagihan pek bantuan tersebut kepada 36 buah JPKK telah diadakan semalam di Dewan Dato’ Hj. Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai. Sementara itu, orang ramai diminta untuk mengamalkan kehidupan norma baharu dalam usaha untuk memutuskan penularan wabak Covid-19.   
26 Jan 21
506
Nasi Padang, Rezeki Anak Muda Di Musim PKP
Nasi Padang, Rezeki Anak Muda Di Musim PKP
KUALA NERUS, 25 Januari – Nasi padang menjadi punca rezeki bagi sekumpulan anak muda dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Walaupun berdepan beberapa kekangan seperti pelanggan tidak dibenarkan menjamu di dalam premis, ia tidak menghalang mereka untuk mengaut keuntungan bagi menyara diri dan keluarga. Pengusaha warung nasi padang tersebut, Muhammad Yusouf Ghazali, 27, berkata, sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 22 Januari lalu, aneka pilihan lauk terpaksa dikurangkan akibat kekangan semasa namun kedatangan pelanggan hanya terjejas kira-kira 30 peratus berbanding hari biasa. “Nasi padang kami sesuai ketika musim PKP kerana harganya yang murah dan kuantiti banyak iaitu RM6 sebungkus nasi sekali dengan satu pilihan lauk. “Contohnya, lauk paling terkenal seperti ayam percik atau daging rendang sekali nasi tidak sampai RM7 habis dibeli pelanggan, rata-rata pekerja dari Dataran Austin dan penduduk berdekatan sekitar 10 kilometer yang ingin berjimat. “Hasilnya jumlah pembeli masih mencecah 300 orang sehari yang datang bungkus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita baru-baru ini. Tambah anak keempat daripada tujuh adik beradik itu, idea bisnes itu dicetuskan bapanya pada tahun 2018. "Hingga sekarang saya masih mengekalkan lima pekerja yang juga pemuda berumur 20-an," katanya. Sementara itu, seorang pelanggan tetap dari Bukit Tunggal, Laily Harun, 48, berkata, harga murah dan pelbagai aneka lauk-pauk menjadi sebab dia menjadi pelanggan tetap di situ. “Sebelum musim PKP pun saya datang dan belikan untuk keluarga di rumah,” ujarnya. Untuk rekod, Kedai Nasi Padang tersebut terletak di depan pasaraya Sabasun 2 di Wakaf Tembesu dan dibuka bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang bergantung kepada permintaan dan kuantiti lauk.  
25 Jan 21
1903
Mangsa Langgar Lari Sebak Terima Katil Wakaf
Mangsa Langgar Lari Sebak Terima Katil Wakaf
DUNGUN, 23 Januari - Seorang mangsa langgar lari, Ramlah Omar, 57, sebak apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun hari ini hadir membawa katil untuk kegunaannya. Ramlah yang dijaga suaminya, Mohamad Osman, 65, kini hanya mampu terlantar selepas tragedi tersebut yang menyebabkan tulang pinggangnya patah. Dia lerlu memakai penyanga besi keliling pinggang hingga pergelangan kaki sekali gus menyebabkan pergerakannya terbatas.  Menceritakan tragedi malang yang berlaku akhir November tahun lalu, katanya ketika itu dia menunggang motosikal sendirian. "Masa tu dalam pukul 11 pagi, saya menunggang motosikal hendak masuk simpang menghala ke Jalan Nibong Bawah, tiba-tiba saya dilanggar daripada belakang lalu jatuh dan tak tahu siapa yang langgar, " katanya. Ujar Ramlah ketika ditemui pemberita semasa Alias dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menghantar katil (wakaf) ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Gong Pasir di sini, kelmarin.  Sementara itu, Mohamad  meluahkan rasa lega, dengan ada katil itu memudahkan isterinya untuk menjalani kehidupan seharian yang sangat terbatas.  "Ada katil ni, bolehlah makan dan minum dengan selesa, sebab sebelum ini, dia makan dan minum secara baring, memang kesianlah tengok dia," katanya lagi.
23 Jan 21
159
Minat Dari Kecil, Syarafina Kini Pelihara 40 Kucing Terbiar
Minat Dari Kecil, Syarafina Kini Pelihara 40 Kucing Terbiar
KEMAMAN, 23 Januari - Minat yang mendalam terhadap haiwan peliharaan kucing membuatkan Nur Syarafina Jaafar, 37, kini memelihara hampir 40 ekor kucing terbiar di rumahnya di Taman Geliga Besar. Syarafina berkata, minat tersebut hadir dalam dirinya yang mengikuti jejak bapanya dan beberapa orang ahli keluarga yang juga meminati haiwan peliharaan itu. "Kami mengutip kucing sakit atau terbiar yang dijumpai di jalanan. Oleh kerana tidak sanggup melihat keadaan kucing yang terbiar di jalanan, jadi kami mengambil keputusan untuk memeliharanya. Bermula daripada 2 ekor, kini jumlahnya semakin bertambah sehingga hampir 40 ekor. "Kami menyediakan beberapa sangkar di mana semua kelengkapan seperti makanan, minuman, pasir dan sebagainya disediakan sebaiknya. Seminggu sekali kita akan melepaskan kucing ini bermain di sekitar halaman rumah. Ia bagi memastikan kehidupan jiran-jiran tidak terganggu memandangkan kami tinggal di kawasan perumahan," ujarnya. Beliau yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kemaman juga memaklumkan, lebih RM2,000 dibelanjakan setiap bulan bagi menanggung segala kos rawatan, makanan dan sebagainya untuk semua kucingnya itu. "Walaupun banyak yang perlu dibelanjakan setiap bulan, namun begitu kami sangat gembira dan berpuas hati dengan apa yang dilakukan ini. "Seperti mana yang kita tahu, kucing ini merupakan haiwan kesayangan Rasullah SAW. Insya-Allah, kami percaya kalau kita buat baik, akan ada kebaikan yang Allah SWT akan berikan kepada kita," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini. Dalam pada itu, seekor kucing yang mereka sangat sayangi diberi nama "Comel". Kucing itu telah dipelihara sejak kecil sehingga kini berusia 18 tahun. Syarafina tidak menolak kemungkinan jumlah kucing yang dipelihara oleh mereka sekeluarga akan bertambah pada masa akan datang. Beliau turut mengharapkan suatu hari nanti akan ada satu tempat khas yang diwujudkan di Kemaman bagi memelihara kucing-kucing yang terbiar seperti itu. Jika wujudnya tempat khas sedemikian, tiada lagi kucing terbiar yang dibuang oleh sesetengah pihak di pasar, kedai makan dan sebagainya. Syarafina dan keluarga juga turut menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang mengunjunginya menyampaikan sumbangan berbentuk beras dan barangan dapur kepada penduduk yang terkena banjir, baru-baru ini. Dalam kunjungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu sempat meluangkan masa melihat kucing-kucing peliharaan mereka dan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1000 bagi menanggung sedikit sebanyak kos yang perlu dibelanjakan pada kucing mereka itu.    
22 Jan 21
1495
Jemaah Hadir Solat Jumaat Seawal Jam 11.30
Jemaah Hadir Solat Jumaat Seawal Jam 11.30
KUALA NERUS, 22 Januari - Jemaah Masjid Mengabang Telipot hari ini hadir untuk solat Jumaat seawal jam 11.30 pagi.  Hal ini berlaku akibat daripada peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) yang menghadkan jumlah jemaah kepada 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.  Timbalan Pengerusi Masjid Mengabang Telipot, Mohd Irwami Abdul Wahab memaklumkan, ketika pintu pagar masjid dibuka sudah ada jemaah yang beratur untuk masuk. "Kami bagi pihak Masjid Mengabang Telipot hanya mengikut 'Standard Operation Procedure' (SOP) yang dikeluarkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 ini," tambahnya. Menurut beliau lagi, jemaah yang hadir telah cukup had 40 orang sekitar jam 12.20 tengahari tadi.  "Selain itu, SOP lain seperti kewajipan untuk memakai pelitup separuh muka, membawa sejadah dan memeriksa suhu telah menjadi amalan normal baharu bagi kami di sini. "InsyaAllah, bagi mereka yang tidak sempat untuk memenuhi kuota 40 tersebut, niat dan usaha mereka  hadir ke masjid pasti akan diterima sebagai amalan oleh Allah S.W.T.," katanya.  
22 Jan 21
906
Ubah Cara Berniaga Sepanjang Tempoh PKP
Ubah Cara Berniaga Sepanjang Tempoh PKP
KUALA NERUS, 22 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini bukan penghalang bagi pengusaha Kedai Kopi Ngabang yang terletak di Kg. Wakaf Tengah untuk kekal beroperasi.  Pengusahanya, Sharifah Nur Aqilah Syed Mohd Zaris mengambil pendekatan perkhidmatan 'take away' dan penghantaran terus kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP dijalankan ekoran keputusan tidak membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis bagi tempoh tersebut. "Sekiranya kedai ini ditutup terus sepanjang PKP ini, sudah pasti akan menjejaskan pendapatan kami sepenuhnya. "Jadi, sejurus pengumuman PKP tersebut kami terus membuat persiapan untuk mengubah cara perniagaan kami dari 'dine in' kepada bungkus dan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan," jelasnya. Menurutnya, para peniaga hari ini perlu lebih kreatif dan perlu menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu.  "Kita tidak tahu lagi bila akan berakhirnya penularan wabak Covid-19 ini, jadi kita perlu fikirkan beberapa 'back up plan' untuk keberlangsungan perniagaan kita," ujarnya lagi.  Kedai Kopi Ngabang yang baru sahaja mula beroperasi pada tahun ini mengenakan tema kedai kopi ala tradisional dengan juadah seperti nasi dagang, pulut nyiur dan lain-lain lagi. Iklan yang disiarkan dalam laman sosial  
22 Jan 21
1913
Hadapi PKP Secara Positif
Hadapi PKP Secara Positif
DUNGUN, 21 Januari- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 22 Januari sehingga 4 Februari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap ketua keluarga untuk menghidupkan kembali aktiviti kekeluargaan masing-masing. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tempoh berkenaan seharusnya digunakan untuk mendekatkan lagi ahli keluarga terhadap ilmu agama. "Diantara aktiviti yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga sepanjang PKP ini ialah mendirikan solat jemaah, menyampaikan kuliah agama dalam keluarga, dan juga boleh mewujudkan pertandingan mengaji bagi membaiki bacaan anak-anak dan sebagainya. "InsyaAllah ianya akan mengukuhkan hubungan kekeluargaan disamping itu amat diharapkan agar setiap keluarga melakukan solat hajat dan berdoa pada setiap hari agar pandemik COVID-19 ini dapat diputuskan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, ketika mengulas mengenai arahan PKP yang akan mula dikuatkuasakan mulai esok. Katanya, langkah kerajaan mengenakan PKP adalah langkah tepat dan wajar. "Kita terpaksa akur dengan langkah yang telah diambil oleh kerajaan kerana peningkatan kes positif berada pada paras membimbangkan dengan angka yang dicatatkan setakat semalam di Malaysia 4,008 kes dan bagi Negeri Terengganu 81 kes. "Semoga dengan doa daripada seluruh rakyat, maka pandemik ini akan berakhir dan kita akan kembali menjalani kehidupan yang normal," ujarnya.
21 Jan 21
248
76 Keluarga Mangsa Banjir Terima Sumbangan
76 Keluarga Mangsa Banjir Terima Sumbangan
HULU TERENGGANU, 21 Januari – Nasib mangsa banjir di daerah ini terus mendapat perhatian daripada luar membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Syarikat Swasta bagi meringankan kesukaran mereka berdepan kehilangan dan kerosakan harta benda. Syarikat AHT Norlan United & Carriage Sdn. Bhd turut tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di negeri ini dengan memberikan sumbangan 76 pek makanan di beberapa buah Kampung di Hulu Terengganu di sini semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan pihak luar dan merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terjejas akibat banjir melalui bantuan makanan.  “Kerjasama erat dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta, seperti itu dapat dijalankan dengan jayanya. Kepedulian dan keprihatinan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial ini sangat terpuji dan saya amat hargai. “Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang dan badan korporat yang tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh Malaysia.Semoga kerjasama ini wajar menjadi titik permulaan untuk berganding bahu dan meneruskan inisiatif projek-projek bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di masa akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Pengkalan Ajal, semalam. Sementara itu, Penyelia Norlan United Terengganu State Road Care Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fauzi Ramli berkata, beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan mangsa banjir. "Atas dasar kemanusiaan. ia telah menggamit perhatian pihak kami untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan." katanya.  
21 Jan 21
479