lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Operasi Pasar Malam Ikut SOP
Operasi Pasar Malam Ikut SOP
DUNGUN, 3 Februari - Pasar Malam di daerah Dungun dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan terhad kepada gerai menjual makanan, minuman dan barangan basah sahaja. Pengerusi Persatuan Kebajikan Pasar Minggu Dan Pasar Malam Daerah Dungun (KEPPAMIN), Hassan Abdul Aziz berkata, pembukaan pasar malam berkenaaan telah mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Pejabat Kesihatan Dungun dan Polis Daerah Dungun. "Pihak berkuasa akan sentiasa memantau. "Kita akan pastikan SOP dipatuhi, jarak dari satu kanopi ke satu kanopi lima kaki, menyediakan pelitup muka, tempat pemeriksaan suhu di kedua-dua pintu masuk pasar malam di samping ada petugas yang ditugaskan untuk mengendalikan tempat berkenaan.  "Jika ada pengunjung yang datang tidak pakai pelitup muka kita akan tegur atau beri pelitup mula kepada mereka, kita berharap pengunjung akan mematuhi SOP," katanya.  Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam rancangan Dimensi Manis, membincangkan tajuk 'Peniaga Pasar Malam Terjejas : Apakah Solusinya' di radio Manis.fm. Menurut Hassan, pihaknya juga menerima banyak rungutan agar perniagaan pakaian dan barangan lain turut diberi peluang untuk berniaga tetapi masih tidak boleh memandangkan ianya belum mendapat kebenaran daripada pihak yang berautoriti. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan wakil-wakil rakyat dalam parlimen tersebut yang sentiasa membantu para peniaga sejak dari PKP 1.0 lagi.  "Memang wakil-wakil rakyat kita sangat mengambil berat, apa-apa masalah yang kita hadapi akan cuba diselesaikan," katanya. 
03 Feb 21
2191
Pekerja Pusat Cuci Kereta Tidak Diabaikan
Pekerja Pusat Cuci Kereta Tidak Diabaikan
KEMAMAN, 3 Februari - Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan banyak pihak terjejas pendapatan. Oleh yang demikian, lebih 100 pekerja pusat cuci kereta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai telah menerima sumbangan wang tunai, beras dan topeng muka, hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membantu meringankan beban yang sedang dihadapi oleh kebanyakan pihak yang terkesan akibat daripada PKP yang dilaksanakan itu. "Pusat cuci kereta antara yang tidak dibenarkan beroperasi ketika ini. Sudah tentu mereka yang bekerja di sana kehilangan sumber pendapatan buat sementara waktu. "Jadi kami memberikan sumbangan kepada mereka bagi meringankan bebanan yang dihadapi," ujarnya. Program tersebut berlangsung dengan suasana meriah di mana mereka yang hadir menerima bantuan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai. Hanafiah memaklumkan, pihaknya telah menyasarkan beberapa golongan yang perlu diberikan bantuan seperti ini.  "Namun begitu, ia akan diadakan secara berperingkat mengikut kesesuaian keadaan, masa dan sebagainya," katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.  
03 Feb 21
130
Tukang Gunting Rambut Diraikan
Tukang Gunting Rambut Diraikan
KEMAMAN, 3 Februari - Seramai hampir 150 orang yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai diraikan apabila menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, mereka juga antara golongan yang terjejas pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini. "Saya memahami situasi yang sedang mereka hadapi. Sebahagian besar daripada mereka adalah golongan anak muda yang berusia sekitar 22 hingga 28 tahun. "Ada di antara mereka yang baru berkahwin dan membina kehidupan yang baru. Apabila berlaku PKP, bukan sahaja pendapatan harian terjejas, bahkan mereka terpaksa menyelesaikan bayaran sewa kedai, bil api, bil air dan sebagainya. "Oleh yang demikian, saya sebagai orang yang diberikan tanggungjawab di DUN Chukai ini sudah tentu berasa simpati dengan nasib mereka. "Sebab itu hari ini, kita sampaikan sumbangan ini agar sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka. Insya-Allah, semoga keadaan ini akan pulih tidak lama lagi agar kita semua dapat menjalani semula kehidupan seperti sediakala," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai majlis. Program yang dianjurkan itu berlangsung dalam keadaan yang baik apabila mereka  yang layak menerima sumbangan hanya mengambilnya secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.
02 Feb 21
322
Terengganu Hijab Day Pupuk Kesedaran Menutup Aurat
Terengganu Hijab Day Pupuk Kesedaran Menutup Aurat
DUNGUN, 2 Februari -Penganjuran Terengganu Hijab Day (THD) oleh kerajaan Terengganu seharusnya diteruskan tahun-tahun mendatang kerana ianya mampu menyuntik kesedaran umat Islam untuk menutup aurat sepertimana yang dituntut syariat.  Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu, Rugayah Mahmood berkata, beliau sangat menyokong penganjuran tersebut berkata ia dapat mengingatkan golongan hawa yang mudah terpengaruh dengan fesyen barat dan k-pop yang lari daripada syariat Islam.  "Islam tidak menghalang kita berfesyen tetapi pakaian yang menutup aurat dalam erti kata sebenar, kalau berhijab mestilah menutup dada dan pakaiannya hendaklah tidak ketat," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Rugayah juga turut menasihati golongan wanita agar sentiasa mengingati diri bahawa kehidupan ini ada akhirnya iaitu mati. "Jadi setiap apa yang dilakukan termasuk makan pakai kita akan diberi dosa dan pahala oleh Allah, jadi dalam ikut fesyen 'up-to-date' sesuaikan dengan patuh syariah," katanya. 
02 Feb 21
453
JPKK Alor Keladi Serah Sumbangan Kepada Penduduk Terkesan PKP 2.0
JPKK Alor Keladi Serah Sumbangan Kepada Penduduk Terkesan PKP 2.0
BESUT, 2 Februari - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Alor Keladi disini, mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan. Pengerusi JPKK Alor Keladi, Saidi Ahmad Mustafa berkata, setakat ini sebanyak 34 keluarga telah menerima bantuan berupa keperluan asas dan akan diteruskan lagi secara berperingkat. "Sumbangan ini diberikan kepada mereka yang betul- betul memerlukan kerana pendapatan yang diperolehi tidak menentu akibat terkesan PKP 2.0 yang dikuatkuasakan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19. "Pihak JPKK juga akan terus berusaha untuk membantu penduduk kampung yang belum lagi menerima bantuan tanpa mengira latar belakang politik," ujarnya kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan di sekitar Kampung Alor Keladi, petang kemarin. Katanya, penduduk kampung diharap terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan banyakkan berdoa kepada Allah agar wabak ini segera berakhir.
02 Feb 21
215
PKM, Food Bank YaPEIM Bantu Golongan Terkesan PKP 2.0
PKM, Food Bank YaPEIM Bantu Golongan Terkesan PKP 2.0
KUALA NERUS, 1 Februari - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Terengganu memperuntukan  RM4200 bagi menjayakan program Food Bank di Kampung Pak Tijah, Seberang Takir. Pengurus YaPEIM Terengganu, Kartina Ahmad berkata misi itu bertujuan meringankan bebanan kepada kumpulan sasar di seluruh negara khususnya di Terengganu akibat Perintah Kawalan Pergerakan( PKP 2.0)termasuk petugas barisan hadapan menangani COVID-19. Katanya, pihak YaPEIM telah memperuntukan  bajet RM10.7 juta pada 2020 bagi merealisasikan Program Food Bank yang terdiri daripada tiga perkara iaitu 'Ready to Eat', 'Dry Food' dan Daging Segar “Seramai 42 orang penerima yang dikenalpasti terjejas untuk  program kali ini dengan nilai dianggarkan RM100 dalam bentuk barangan keperluan asas”, katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi dalam membantu masyarakat. Tambahnya, tindakan susulan selepas ini akan dibuat oleh PKM bagi memastikan golongan yang terkesan sentiasa mendapat perhatian di masa akan datang. Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Tijah, Zainal Lasim menghargai inisiatif pihak YaPEIM atas usaha yang telah dilakukan. “Pada hari ini pihak JPKK telah menerima sumbangan berupa barangan makanan yang akan diagihkan kepada golongan yang terjejas dan terkesan akibat PKP kali ini," ujarnya. Bagi salah seorang peniaga yang ditemui, Saudah Harun, berkata dia cukup teruja dan berterima kasih kepada YaPEIM dan JPKK Kg. Pak Tijah kerana menyenaraikannya sebagai salah seorang penerima memandangkan suaminya yang berniaga kecil-kecilan turut  terkesan dengan keadaan terkini.            
01 Feb 21
357
PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih
PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih
Foto: Media HANEES KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), lebih 600 kit makanan telah diagihkan kepada rakyat Terengganu yang dikenakan arahan kuarantin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kit makanan tersebut diagihkan secara berperingkat meliputi pesakit yang dikuarantin di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang menjalani arahan kuarantin wajib di kediaman masing-masing. Zuraida mengangkut kit makanan untuk diagihkan. Menurutnya lagi, di samping kit makanan, beberapa makanan asasi seperti beras, minyak dan lain-lain keperluan asas turut diagihkan kepada keluarga yang teruk terjejas kerana arahan kuarantin. “Ada dalam kalangan rakyat kita yang bekerja dengan gaji harian, jadi bila tidak dapat keluar bekerja kerana mematuhi arahan kuarantin, mereka terputus sumber pendapatan untuk membeli makanan asas, maka kita bantu mereka dengan menghantar bantuan sebegini. “Beberapa tempat yang telah kami agihkan ialah di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 berisiko rendah di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu dan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Marang, selain pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail (IPG), Batu Rakit. “Bantuan kit makanan ini juga turut dihantar ke Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Kuala Terengganu dan juga ke kediaman-kediaman penduduk yang dikuarantin, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Zuraida turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang telah dijangkiti virus Covid-19 dan mendoakan mereka agar diberi kekuatan dan kesembuhan. “Saya berharap agar rakyat dapat menghadapi ujian wabak ni dengan positif, insya-Allah yakinlah bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita. “Sebenarnya apa yang saya sedang lakukan ini adalah sebahagian daripada cara untuk memberi sokongan fizikal dan mental kepada mereka agar mereka terus kuat. “Saya juga menyeru kepada masyarakat yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang kepada Tabung Cakna Covid-19, sebagai bukti kebersamaan kita untuk melawan virus ini,"tambahnya lagi. Beliau yang juga merupakan penaung Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) telah mengembleng usaha bersama-sama beberapa pertubuhan yang lain untuk membantu rakyat yang terjejas. Agihan kit makanan kepada guru MTT.  
31 Jan 21
255
Pekerja Penghantaran Terima Pek Makanan Percuma
Pekerja Penghantaran Terima Pek Makanan Percuma
KEMAMAN, 31 Januari - Seramai 300 pekerja penghantaran makanan dan barangan di Kemaman telah menerima pek makanan percuma daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, semalam. ADUN Chukai, Hanafiah Mat berkata, pekerjaan mereka yang berhadapan dengan pelbagai risiko itu sangat mencabar. "Mereka sentiasa mengejar masa. Berada di atas jalan raya berhadapan dengan risiko, waktu rehat yang tidak menentu dan sebagainya. Semuanya bagi memastikan segala pesanan yang dibuat oleh pelanggan sampai dengan cepat dan selamat. "Oleh yang demikian, hari ini kami meraikan mereka dengan mengadakan agihan makanan tengah hari percuma serta memberikan sedikit perbelanjaan untuk isi minyak motosikal. "Semoga Allah mempermudahkan segala urusan mereka dalam mencari rezeki untuk keluarga," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai program. Program Sebungkus Nasi Setulus Hati tersebut bermula seawal 11.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang. Pengambilan makanan dan duit diadakan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.  
31 Jan 21
226
310 Keluarga Terima Bantuan Barangan Keperluan Dapur
310 Keluarga Terima Bantuan Barangan Keperluan Dapur
MARANG, 31 Januari - Sebanyak 310 keluarga di Bukit Payong yang terkesan dengan penularan pandemik wabak Covid-19 telah menerima bantuan barangan keperluan dapur. Sehingga kini, 14 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terlibat dengan pengagihan itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, mana-mana keluarga yang kurang berkemampuan diminta tampil memohon bantuan itu, tidak perlu malu untuk berbuat demikian melalui JPKK kawasan masing-masing.  "Buat masa kini musim Covid-19 yang melanda masih membuatkan ramai masyarakat yang terjejas sehingga tidak mampu untuk menampung kehidupan seharian. "Kesedaran perlu diambil oleh setiap JPKK dan wakil setiap kampung agar tidak berlaku situasi sehingga ada masyarakat hidup dalam keadaan terlalu susah dan kelaparan." katanyanya baru-baru ini. Menurut beliau, setiap agihan telah diedarkan dari rumah ke rumah oleh staf-staf Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong dan wakil JPKK setiap kampung. "Dengan cara tersebut membuatkan lebih mudah kepada masyarakat yang terjejas menerima barangan dalam keadaan baik dan tidak terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 yang kian menular pada hari ini," katanya.
31 Jan 21
416
Jual 'Poyok Viral' Bantu Suami
Jual 'Poyok Viral' Bantu Suami
HULU TERENGGANU, 31 Januari - Niat murni Siti Nasuha Mohamad, 31, menjadi ejen 'Fazzy's Poyok Viral' untuk membantu suami menambah pendapatan keluarga sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbaloi selepas mendapat keuntungan yang lumayan. Isteri kepada Ali Hilmi Abdul Halim, 30, berkata, ketika PKP pertama mula dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, dia buntu apabila tidak boleh berniaga pisang goreng di warung seperti biasa. "Ditambah pula pendapatan suami tidak seberapa bagi menanggung anak-anak yang bersekolah. "Bermula dari itu saya terdetik untuk menceburi perniagaan atas talian, tetapi tidak tahu hendak menjual apa sehingga suatu hari ditunjuk oleh suami satu perniagaan tempoyak yang cukup tular di media sosial dan menerima permintaan yang tinggi. "Jadi sejak itu saya mula berniaga secara atas talian, lebih bermakna apabila saya yang bermula sebagai ejen kecil telah berjaya menjadi stokis kepada 'Fazzy's Poyok Viral', dengan pendapatan kini dalam masa dua minggu boleh mencapai keuntungan RM5,000 dan sangat berbaloi bagi meringankan beban suami," ujarnya. Nasuha berkata demikian ketika dihubungi pihak media, mengulas mengenai perniagaan yang diceburinya itu. Sementara itu Pemilik Fazzys Global, Azie Fazamilla Awi dari Kuala Nerus berkata, syarikatnya kini memiliki kekuatan 300 orang ejen dan stokis 'Fazzy's Poyok Viral' di seluruh Malaysia. "Alhamdulillah ia mendapat sambutan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, malah juga menerima permintaan dari negara jiran iaitu Singapura dan melalui ejen kami juga tempoyak ini juga telah sampai ke Vietnam. "Antara keistimewaan tempoyak kami ini ialah menggunakan Durian D-24 yang bermutu tinggi disamping turut menggunakan Durian Musang King, sebagai contoh didalam 3.8 tan durian yang diterima di dalam 500 kilogram itu ada Durian Musang King, malah kami sangat mementingkan kualiti," ujarnya. Tambah beliau produknya itu didatangkan dalam empat jenis iaitu Sambal Tempoyak Bilis, Sambal Tempoyak Pedas, Sambal Tempoyak Petai dan Sambal Tempoyak Petai Bilis. Katanya lagi, produk tempoyaknya itu menerima permintaan yang sangat tinggi kerana peminat durian boleh dikatakan ada di seluruh dunia terutamanya dalam negara sendiri.  
31 Jan 21
1167