Artikel "Komuniti" Terkini
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
SETIU, 11 Februari – Sekitar 20 keluarga di pedalaman Kampung Kuala Kubang, Jabi di sini akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih selepas projek menaiktaraf paip dengan kos RM30 ribu siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, gangguan bekalan air serta sumber yang kotor ketika waktu hujan itu berlaku akibat proses penyelenggaran sebelum ini tidak dilakukan dengan baik.
"Sudah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan sudah banyak yang rosak serta bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain,
"Alhamdulillah, siap akhirnya projek penyambungan paip dari Air Terjun Lata Belatan untuk bekalan air kepada hampir 20 buah rumah di Kampung Kuala Kubang,
"Pemasangan paip dari air terjun yang terletak di kaki Gunung Tebu ke kawasan penempatan sejauh 4.3 kilometer melibatkan kos lebih RM30 ribu yang dibiayai Pejabat ADUN Jabi," katanya.
Beliau berkata demikian setelah melihat hasil projek tersebut di Kuala Kubang, Jabi, semalam.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail, Pengerusi JPKK Jabi, Rahim dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat (I-MiTS), Zakaria Mahmud.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid yang hadir sama dalam tinjauan tersebut berkata, bekalan air terputus terjadi pada setiap masa dan tidak menentu.
"Boleh dikatakan dalam tempoh sebulan ia berlaku dalam lima hingga enam kali, kadang-kadang lebih.
"Paling teruk, dua hingga tiga hari tiada air dalam seminggu kerana paip yang tersumbat, selain air kotor di musim hujan," jelasnya.
11 Feb 21
353
JPKK Perlu Amanah
DUNGUN, 11 Februari - Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu amanah dalam menjalankan kerja demi kesejahteraan penduduk kampung.
Penyelia Institusi Modal Insan Sejahtera (i-Mits) Parlimen Dungun, Jamaluddin Al-Hafiz Jusoh berkata, pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan adil akan tergolong dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan dari Arasy Allah.
"Allah menyuruh kita berkerja dan beramal, yang mana kita ini sentiasa diperhatikan oleh Allah dan hisab yang sedang menanti di alam akhirat sana."
"Jika baik kerja kita, maka gembiralah dan jika gagal, maka kecewalah kita di alam sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis ringkas Penyerahan Watikah Pelantikan kepada setiap pengerusi JPKK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka.
Katanya, pengerusi JPKK perlu membiasakan diri dalam menguruskan kebajikan penduduk termasuk perkara berkaitan perkhidmatan agensi kerajaan.
"Bagi pengerusi lama alhamdulillah, mungkin laju menyelesaikan urusan naik turun pejabat.
"Manakala yang baru dilantik ini perlu mahir dalam menguruskan sendiri perkara ini dan jangan sampai tahap nak pergi pejabat agama pun tidak berani," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Jamaluddin menegaskan agar setiap JPKK perlu mengerakkan organisasi bagi melancarkan pentadbiran sesebuah kampung.
"Sebagai contoh, sekiranya berlaku sesuatu aduan kerosakan, ambil gambar, nama, data dan anggaran kos serta laporkan dalam 'group WhatsApp bagi pihak atasan mengambil tindakan selanjutnya," jelasnya.
11 Feb 21
349
Dr Azman Seru Rakyat Terus Kuat Hadapi COVID-19
SETIU, 10 Februari – Dr Azman Ibrahim menyeru rakyat di negeri dan negara ini untuk terus cekal menjalani Kehidupan di era pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu berkata ini kerana terdapat ramai individu yang berdepan dengan ujian tekanan hidup yang kadang kala diluar kawalan emosi normal manusia.
Oleh yang demikian katanya, ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk saling membantu terutamanya pemimpin masyarakat.
"Dalam apa jua situasi sekalipun, pemimpin perlu bergerak untuk menjaga rakyat dan rakyat juga perlu bergerak untuk mencari rezeki.
"Tidak tepat kalau kata, rakyat duduk diam-diam biar pemimpin yang bergerak buat urusan. Kita tidak akan mampu untuk menghantar makanan ke setiap pintu rumah rakyat apabila sampai waktu makan.
"Kita perlu realistik dan berpijak di bumi nyata. Walau setiap hari kita masuk kampung pikul barangan bantuan untuk rakyat, ia tak mencukupi. Bantuan hanya bersifat meringankan beban," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Kuala Kubang, Jabi, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat i-MiTS, Zakaria Mahmud.
Bercakap tentang agihan bantuan tersebut, Dr Azman memaklumkan sumbangan adalah berbentuk makanan seperti beras, minyak, gula dan gandum bagi mereka yang terkesan akibat COVID-19.
Menurut beliau, turun padang merupakan aktiviti yang tidak asing bagi dirinya.
"Ini kerana, sebarang aduan, permasalahan yang dihadapi rakyat lebih ‘jelira’ dan lebih mengutamakan ‘first hand info’ tanpa ditokok tambah.
"Jadilah kita sebagaimana orang di hadapan kita dan bercakaplah dengan bahasa mereka. Hati akan bertaut dan kita mudah berbicara.
"Kurangkan jurang birokrasi nescaya kita akan dapat mendekatkan hati. Kita mari nak tanya masalah rakyat maka jangan sampai rakyat segan nak bercakap dengan kita," jelasnya.
10 Feb 21
237
Wanita Terengganu Tidak Ketinggalan Bantu Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Kaum wanita di negeri ini tidak ketinggalan untuk turut serta membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada pesakit COVID-19 yang masih dirawat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, menerusi program terbaru pihaknya telah memberi sumbangan wang tunai dan set makanan petang buat 160 pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) UiTM Chendering.
“Difahamkan bahawa ramai lagi mereka yang positif ditempatkan di sini dengan kadar kemasukan pesakit baru pada setiap hari.
“Oleh itu, saya bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) Negeri Terengganu, Wan Nur Sakinah Din dan Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) bekerjasama dalam meringankan beban sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat mereka yang terkesan.
“Terima kasih diucapkan kepada semua agensi penguatkuasa yang terlibat dalam pengoperasian PKRC ini,” katanya kepada pemberita selepas kerja pengagihan bantuan di pusat itu kelmarin.
Terdahulu Zuraida memaklumkan program tersebut turut memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan.
"Mereka ini juga kita tidak lupakan, sudah pasti pengorbanan 'frontliner' merawat dan menjaga pesakit sangat kita hargai," katanya.
Sementara itu, penyelaras PKRC tersebut, Dr Wan Norizan Wan Abdullah memaklumkan, PKRC yang mula beroperasi pada 21 Januari itu telah menempatkan kira-kira 600 pesakit.
“Jumlah sembuh juga ramai dan pusat ini kini menempatkan sekitar 160 orang pesakit lagi dengan 13 petugas kesihatan satu shif.
"PKRC ini digunakan untuk pesakit COVID-19 tahap satu dan dua yang tidak sesuai menjalani pengasingan di rumah setelah disaring oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).
10 Feb 21
507
Peniaga Pasar Tani Gembira Dibenarkan Berniaga
DUNGUN, 9 Februari - Para peniaga Pasar Tani di Kampung Jerangau gembira apabila pasar malam dan pasar tani dibenarkan untuk kembali beroperasi.
Salah seorang peniaga, Wan Siti Khatijah Wan Ahmad berkata walaupun sambutan tidak sebagaimana biasa tetapi dia tetap bersyukur kerana tapak perniagaannya itu tetap ada pengunjung.
"Mungkin masih ramai yang tidak tahu yang kita telah mula berniaga, mungkin juga masih takut-takut dan merasa bimbang dengan keadaan semasa disebabkan pandemik COVID-19 maka dapat dilihat hari ini tidak ramai yang keluar.
"Bagi saya ia memberi kelegaan, setelah lama tidak dibenarkan berniaga, sudah tentu menjejaskan rezeki mingguan saya yang selama ini berniaga di pasar tani yang beroperasi pada Selasa setiap minggu," ujarnya kepada pemberita ketika disantuni Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, hari ini.
Sementara itu seorang peniaga ayam goreng, Tengku Abdul Hadi Tengku Omar turut menyatakan perasaan gembira walaupun sedikit terjejas.
"Saya berniaga di setiap pasar malam dan pasar tani didalam DUN Bukit Besi ini merasa sangat lega apabila dibenarkan kembali untuk berniaga, Alhamdulillah ada rezeki walaupun tidak sebagaimana biasa," ujarnya.
Dalam pada itu, Ghazali berkata pihaknya sentiasa peka dan prihatin dengn nasib para peniaga di sepanjang tempoh mereka tidak dibenarkan berniaga.
"Oleh kerana itu melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kita telah menyenarikan kesemua mereka sebagai golongan yang terkesan bagi dihulurkan sumbangan dengan harapan dapat meringankan beban yang mereka alami.
"Pada hari ini saya telah turun menyantuni kesemua mereka, walau masih ramai lagi yang tidak berniaga mungkin diatas faktor masih ada tercetus perasaan risau dan bimbang, mungkin juga sebab ada peniaga dari daerah lain maka suasana yang dilihat pada hari ini tidak sebagaimana sebelum ini," katanya.
Justeru, Ghazali mengharapkan agar kebenaran untuk kembali berniaga itu akan digunakan sebaik-baiknya oleh para peniaga dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
09 Feb 21
1067
Pembangunan Untuk Kepentingan Rohani Dan Fizikal Rakyat
KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan pembangunan untuk kepentingan fizikal dan rohani rakyat.
Pegawai Penyelidik di pejabat Menteri Besar, Kamal Ali berkata, peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat dibelanjakan dengan sangat berhemah.
"Peruntukan yang kita dapat untuk membangunkan DUN Ladang ini dari sudut fizikal antaranya ialah membaiki jalan-jalan yang rosak, membuat jalan-jalan yang baharu, kemudahan-kemudahan longkang dan juga di antaranya ialah membaiki rumah-rumah rakyat yang uzur, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika yang ditemui di Pejabat MTD DUN, Jalan Panji Alam, dekat sini.
Menurutnya, pihaknya juga membelanjakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan pusat sebaiknya serta untuk berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 serta 2.0.
" Disamping itu, kita juga membantu rakyat-rakyat yang miskin, walaupun kita tidak boleh membantu semuanya, tapi alhamdulillah kita membantu sekadar mana kemampuan tanpa mengira latar belakang politik dan juga agama," ujarnya.
Katanya, disamping itu tidak ketinggalan memberi tumpuan dari sudut pembangunan insan yang menjadi satu modal yang sangat penting dalam membina insan, rakyat Negeri Terengganu.
" Masjid dan surau adalah sangat penting maka semenjak PAS memerintah Terengganu ini, masjid-masjid dan surau ada kuliah- kuliah yang ditetapkan, ada kuliah-kuliah mingguan, harian dan kerajaan negeri telah membuat satu perjawatan yang dinamakan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu(DUAT).
"Disamping itu, tambahnya lagi, usaha untuk mengembangkan ajaran Islam turut dilakukan dan juga mengajak rakyat supaya mengamalkan agama Islam sesuai dengan negeri yang Maju, Berkat, Sejahtera," katanya.
08 Feb 21
168
Legasi Dan Keunikan Cina Peranakan Terengganu Sejak Tujuh Abad
KUALA TERENGGANU, 8 Februari – Legasi sejarah dan budaya yang diamalkan masyarakat Cina Peranakan Terengganu membawa pelbagai keunikan hasil asimilasi sejak kedatangannya pada abad ke-14 hingga ke-17.
Dekan Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Lua Pei Lin berkata, keturunannya yang berasal dari daerah Fujian, China, merupakan hasil adaptasi dan asimilasi dengan budaya gaya pakaian, makanan dan percakapan komuniti Melayu Terengganu.
“Ramai bertapak di Kampung Tiruk, Kampung Banggol Kemang (17Km dari bandaraya Kuala Terengganu), Wakaf Tapai serta di kawasan Sungai Nerus, berdekatan dengan tempat asal saya di Kampung Batu Enam.
“Sejak itu, kami menerima, menghayati dan mengamalkan budaya seperti masyarakat Melayu, contohnya seperti pemakanan di mana keturunan kami makan ikan singgang, budu, petai dan sambal belacan. Makan nasi pun boleh dengan tangan.
“Dari segi percakapan pula, kita mahir guna loghat atau dialek Terengganu seperti ‘guane gamok’, ’dokrok cetong’,” katanya ketika bersiaran langsung menerusi sesi Sembang Pagi UniSZA, semalam.
Tambahnya yang juga generasi kelima keturunan tersebut, budaya pemakaian juga menerima pengaruh Terengganu seperti perempuan kebaya potong kot ikonik dengan Masyarakat Cina Peranakan Terengganu, manakala lelaki menyarung kain pelikat.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan jika gagal mewarisi legasi identiti Cina Peranakan menghadapi peredaran masa kerana ramai yang berhijrah ke luar Terengganu berikutan tuntutan kerja.
“Namun begitu, salah satu usaha bagi mengekalkan khazanah tersebut melalui Persatuan Peranakan Cina Terengganu bagi mengeratkan silaturahim antara golongan peranakan di dalam negeri.
“Setiap tahun juga ada Festival Cina Peranakan yang diadakan di Kampung Cina, Kuala Terengganu di mana pameran dan persembahan budaya dianjurkan sebagai tanda meraikan warna-warni budaya ini.
Jelas Dr Lua berkenaan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2021, walaupun dalam keadaan pandemik dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), perayaan tersebut akan diraikan secara sederhana meneruskan adat budaya dan bangsa.
Sumber foto : Prof Dr. Lua Pei Lin, Dekan Fakulti Farmasi UniSZA
08 Feb 21
4087
Kerajaan Negeri Alukan NGO Jalankan Kebajikan
SETIU, 7 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu amat terbuka malah mengalu-alukan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat dalam aktiviti kebajikan dan dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada oleh individu, NGO dan kerajaan amat digalakkan dalam Islam.
"Bidang ini terlalu luas dan golongan sasar kita sangat ramai. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua aktivis-aktivis NGO yang aktif membantu rakyat. Jasa dan sumbangan dihargai.
"Walaupun begitu, tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan tidaklah serupa dengan tanggungjawab NGO kerana di samping menyantuni rakyat di lapangan, kerajaan juga perlu fokus kepada usaha untuk merangka dasar yang baik.
"Selain itu, kerajaan perlu menumpukan kerja-kerja urus tadbir negeri, memastikan semua jentera kerajaan berjalan dengan baik dan seterusnya perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sampai kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mala katanya lagi, kerajaan juga perlu melaksanakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat oleh rakyat pada hari ini tetapi hasilnya memanfaatkan mereka dalam tempoh jangka masa lebih panjang,
"Kalau ada sesuatu masalah atau isu yang timbul, kita turun untuk selesaikan. Pendekatan ini sangat penting tapi sebagai kerajaan terutamanya kita harus memikir jauh lebih jauh daripada itu,
"Begitu juga penyaluran wang kerajaan ada tatacara kewangan yang perlu dipatuhi. Ia tak semudah a, b, c sebagaimana kita nak salurkan dana daripada NGO," jelasnya lagi.
Menurut Dr Azman, sebelum menjadi anggota kerajaan beliau juga pernah menjadi aktivis NGO.
"Bukan setakat dalam negara bahkan aktiviti kebajikan kita sampai ke Mindanao, Palestin, Sudan, Indonesia, India dan perbatasan Jordan-Syria. Lantaran kerana latar belakang ini membolehkan kita merasai pengalaman dan cabaran berbeza dengan matlamat yang sama iaitu nak menyumbang bakti kepada sesama hamba Allah," tambahnya.
07 Feb 21
145
PKP : 150 Warga Tionghua Terima Sumbangan
KEMAMAN, 5 Januari - Seramai 150 orang peniaga warga Tionghua dan pekerjanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima sumbangan wang tunai, beras dan topeng muka, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, antara yang menerima sumbangan itu adalah warga Tionghua yang berniaga di kedai jam, pakaian, kasut, basikal, peralatan memancing dan sebagainya.
"Kami memahami mereka juga turut terjejas pendapatan ketika ini. Oleh yang demikian, hari ini kami menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka.
"Moga-moga dengan sumbangan ingatan tulus ikhlas daripada kami ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang sedang mereka hadapi," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Program yang bermula sejak jam 10.00 pagi itu diadakan secara pandu lalu bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Sumbangan disampaikan oleh Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
05 Feb 21
705
150 Orang Kategori B40 Terima Bantuan
DUNGUN, 4 Februari - Seramai 150 penerima golongan B40 dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura dan Rantau Abang terpilih untuk menerima bantuan menerusi Program GANU ECO-Charity.
Menurut jurucakap Politeknik Sultan Mizan Zainal (PSMZA) yang juga Jawatankuasa Pelaksana program berkenaan, bantuan makanan dan kit kebersihan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun.
"Kerja-kerja pemungahan barangan dilakukan secara bergotong royong oleh kakitangan dan pelajar-pelajar PSMZA.
"Program ini adalah hasil kolaborasi PSMZA bersama badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Udara Bersih Malaysia (MyCas), Yayasan Hasanah, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan beberapa NGO lain termasuklah JKM sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail melahir rasa bangganya, PSMZA dapat bekerjasama dengan NGO-NGO lain dalam usaha memberi bantuan kepada komuniti yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akibat daripada penularan pandemik COVID-19 di Negeri Terengganu.
"Semoga usaha ini dapat meringankan beban golongan yang memerlukan yang terpaksa dilalui pada waktu yang sukar sekarang ini," ujarnya.
04 Feb 21
424