Artikel "Komuniti" Terkini
Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Penderitaan adik Adam yang menghidap penyakit saraf, lumpuh serta otak di luar tempurung mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Manir Ustaz Hilmi Dato’ Harun.
Adam atau Sayyid Uwais Al-Qarni Lekman yang kini berusia 42 hari disahkan mengalami penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' akan dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, pada bulan hadapan.
Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya akan segera memohon bagi mendapatkan bantuan agensi kerajaan bagi rawatan susulan anak istimewa itu.
“kerajaan negeri ada menyediakan peruntukan menerusi Tabung Darul Iman untuk membantu pesakit kronik dan mangsa bencana yang benar-benar memerlukan pembelaan.
“Kes ini akan turut segera dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi adik Adam dan keluarga di kediaman datuk dan neneknya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini, semalam.
Terdahulu, Timbalan Penyelia Institut Modal Insan I-MiTS Manir, Norhayati Mohd dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Hampar hadir bagi menyampaikan sumbangan kewangan bagi menampung kos pembedahan awal tulang belakang adik Adam.
Dalam pada itu, Norhayati berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Manir menampung kos pembedahan awalnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disamping ditanggung sebahagian besar oleh subsidi kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, ibu Sayyid Uwais Al-Qarni, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada ADUN dan bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu.
"Saya bersyukur kerana penderitaan dialami bayi saya mendapat perhatian. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung memandangkan suami saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu," katanya.
24 Feb 21
431
Rungutan Peniaga Kini Berakhir
KEMAMAN, 24 Februari - Rungutan dan keluhan daripada peniaga di Medan Selera Kampung Pantai Penunjuk, Kijal kini berakhir setelah longkang air kumbahan di medan tersebut dibina.
Infrastruktur yang baru dibina.
Ianya hasil daripada permohonan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh melalui Ahli Majlis Zon Kijal berserta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Ibai dan Pantai Penunjuk yang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).
Pengerusi JPKK Ibai dan Pantai Penunjuk, Zainal Muda ketika ditemui semalam di medan selera tersebut mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam pembinaan prasarana tersebut.
Zainal Muda.
"Alhamdulillah, infrastruktur ini telah hampir siap pembinaannya setelah sekian lama ianya menjadi rungutan oleh peniaga di sini.
"Cuma tinggal sedikit sahaja lagi 'finishing' yang perlu diselesaikan oleh kontraktor yang dilantik oleh MPK ini," katanya.
"Saya ucapkan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha kerajaan untuk menyejahterakan semua lapisan masyarakat kampung terutama di Kampung Ibai dan Pantai Penunjuk ini," ujarnya lagi.
Sebelum ini sisa air buangan itu disalurkan ke dalam lubang yang digali oleh peniaga di tepi medan selera tersebut di mana baunya agak kurang menyenangkan kepada pengunjung yang datang untuk makan di situ.
24 Feb 21
767
Harmonikan Muafakat Nasional Demi Kebajikan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Semangat Muafakat Nasional diteruskan antara PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan UMNO DUN Batu Buruk dengan jalinan kerjasama dalam bentuk agihan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT), semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan gandingan tersebut adalah penting bagi memastikan kebajikan rakyat terbela secara keseluruhannya.
“Tumpuan utama kerajaan negeri Terengganu adalah berkhidmat untuk rakyat, tanpa mengira fahaman parti politik masing-masing.
“Perkara ini amat releven terutamanya ketika mendepani cabaran ekonomi yang genting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," jelasnya.
Tambahnya, seramai 100 orang yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP telah menerima sumbangan berupa wang tunai RM100 seorang manakala selebihnya telah disampaikan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat dalam Dun Batu Buruk.
Beliau berkata ketika menghadiri majlis serahan Bantuan BERKAT di Dewan Terbuka Balai raya Kg. Padang Gong Pak Maseh, semalam.
Turut hadir, Ketua Urusetia UMNO DUN Batu Buruk, Latif Ibrahim serta ahli-ahli Jawatankuasa UMNO DUN Batu Buruk.
Sementara itu, Ketua Urusetia UMNO DUN tersebut, Latif Ibrahim, merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya ADUN Batu Buruk yang telah menjemput pihaknya dalam majlis agihan tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Batu Buruk atas sumbangan ini dan saya harapkan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Untuk pengetahuan, majlis dijalankan secara sederhana mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal antara penerima dan mengimbas suhu sebelum membuat pendaftaran.
23 Feb 21
370
Kejayaan SPM Aset Penting Kepada Kerajaan
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Kejayaan yang diraih para pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti merupakan satu aset yang sangat penting kepada kerajaan negeri.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka merupakan bakal tenaga penting kepada pembangunan negeri selepas tamat pengajian nanti.
“Kejayaan para pelajar dalam peperiksaan SPM bukan hanya bersifat peribadi tetapi adalah kejayaan kepada keluarga, guru-guru dan juga sekolah.
“SPM inilah menjadi titik tolak kepada kejayaan anak-anak pada masa akan datang kerana selepas ini, mereka akan menyambung ke pusat-pusat pengajian tinggi apabila lulus dengan cemerlang dalam ujian nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian Ketika bersiaran atas talian dalam Program Motivasi Santai bersama 111 calon SPM 2020 Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh, di pejabat DUN Terengganu, kelmarin.
Sehubungan itu, beliau mendoakan kejayaan calon SPM dan menyeru orang ramai bersama merestui agar para pelajar diberi kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi peperiksaan SPM pada 22 Februari ini.
“Kami (kerajaan) sangat memerlukan khidmat anda selepas ini bagi yang berjaya (menamatkan) dari pusat pengajian tinggi nanti.
“Apa yang ingin dicapai oleh kerajaan negeri ialah dengan visi untuk menjadikan negeri kita ini, negeri yang ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’, Insya’Allah,” ujarnya.
Katanya, beliau ingin melihat pencapaian terbaik para pelajar dalam keputusan peperiksaan SPM yang menjadi penentu bagi melanjutkan ke mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) sama ada swasta ataupun awam.
“Insya’Allah, secara peribadi saya akan memberi ‘penghargaan’ kepada mereka yang lulus dengan cemerlang dalam keputusan (SPM) ini nanti,” ujarnya.
19 Feb 21
160
BERKAT Insiatif Kerajaan Bantu Golongan Terjejas
DUNGUN, 19 Februari- Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) merupakan inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bantuan tersebut telah memberi manfaat kepada 1,500 penduduk di sini yang dikenal pasti merupakan golongan terjejas.
"Dengan peruntukkan sebanyak RM150,000 kita telah memilih 1,500 penduduk melalui 23 cawangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melibatkan tukang gunting, pengusaha 'car wash', pekerja kantin sekolah serta peniaga pasar malam.
"Juga pusat asuhan kanak-kanak samada swasta atau kerajaan, tukang bekam, dan beberapa golongan lagi yang bekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sewaktu PKP termasuk ketua rumah yang menjalani kuarantin serta pekerja yang direhatkan tanpa gaji, "ujarnya kepada pemberita, semalam.
Beliau berkata, sumbangan berupa wang tunai itu telah disampaikan kepada setiap pengerusi JPKK untuk diserahkan kepada mereka yang layak.
Ghazali berkata, insiatif tanda keprihatinan kerajaan yang sedar mengenai keadaan rakyatnya sewaktu PKP dikuatkuasakan.
"Semoga melalui bantuan berkenaan dapat meringankan beban yang dialami rakyat," ujar beliau.
Dalam pada itu, Ghazali berkata apa jua dilakukan kerajaan dalam membendung wabak COVID-19 sewajarnya disokong.
"Termasuk pemberian vaksin secara bersasar, apa yang kita harapkan agar semangat dan kehidupan rakyat akan kembali pulih seperti sediakala.
"Semoga usaha dilakukan kerajaan akan menemui kejayaan. Teruskan berdoa, insya Allah kita pasti menang," ujar Ghazali.
19 Feb 21
576
Zikir Mathurat, Rutin Pagi Warga Dungun
DUNGUN, 18 Februari - Menjadi rutin setiap pagi kepada kebanyakan warga Dungun untuk membasah lidah dengan berzikir Al-Mathurat sebagai satu usaha untuk membendung penularan sekali gus membebas bumi ini daripada pandemik COVID-19.
Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun, Jamaluddin Jusoh berharap, usaha yang dirasakan kecil itu dapat mendidik warga Dungun mendekatkan diri kepada Allah dan menjinakkan hati agar takut melakukan maksiat.
"Virus Corona adalah makhluk Allah, yang Allah jadikan untuk memberi ingatan kerana maksiat sedang subur di dalam masyarakat, jadi tidak dapat tidak untuk mengatasinya, kita kembali kepada Allah," ujarnya.
Jamaluddin berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah pendek sebelum dan selepas zikir Al-Mathurat dibaca beramai-ramai menerusi maya bermula 1 Februari lalu yang dianjurkan oleh i-MiTS Dungun.
Menurutnya, Al-Mathurat merupakan himpunan doa dan zikir yang menjadi amalan Baginda SAW dan sewajarnya menjadi amalan setiap orang Islam.
"Setiap jam 8.15pagi program ini bermula di saluran Google Meet yang kini sudah mencecah penyertaan lebih 100 orang, sebab itu kita buka pula ke saluran 'facebook'," katanya.
17 Feb 21
212
Pembantu Kedai Terharu Rumah Usang Dibaik Pulih
SETIU, 17 Februari - Perasaan ceria jelas terpancar pada wajah Mazuan Ahmad, 46, selepas rumahya dibaik pulih menerusi Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) kelmarin.
Rumah Mazuan adalah antara ratusan kediaman yang dipilih untuk dibaik pulih di sekitar Batu Rakit di sini.
Ayah kepada dua anak itu berkata, kediaman yang mempunyai dapur bersekali dengan ruang tamu menjadi tempat berteduh untuk mereka sekeluarga lebih enam dekad.
"Ini peninggalan keluarga yang sudah berusia lebih 60 tahun.
"Apabila sudah berusia sudah pasti banyak masalah akan timbul seperti kebocoran dan keretakan di sana sini.
"Meskipun tidak sempurna seperti rumah keluarga lain tetapi inilah syurga untuk keluarga saya.
"Kami hanya mempunyai rumah ini untuk berteduh dan hari ini kami sudah dapat baik pulih rumah dengan segera," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Lingai semalam.
Jelasnya, kesusahan keluarga mereka mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (Batu Rakit) yang mengunjungi keluarganya baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata bantuan tersebut diberikan kepada keluarga terbanit kerana bahagian lantai sudah runtuh dan bilik air rumahnya sangat usang.
"Mereka layak dapat bantuan PPTS bagi DUN Batu Rakit.
"Mazuan mempunyai dua orang anak dan anak sulungnya baru berusia 5 tahun, isterinya, Nor Azila Mohamad, 25, tidak bekerja kerana masih mempunyai anak kecil yang masih umur 1 tahun 7 bulan.
“Alhamdulillah, bilik air dan ruang tamu luar keluarga Mazuan sudah dirobohkan dan dibina semula di tapak yang sama," jelasnya.
Tambah Mohd Shafizi, inisiatif itu merupakan bantuan awal membaiki rumah penduduk yang mengalami kerosakan supaya mereka boleh terus tinggal di kediaman mereka.
“Ada puluhan buah rumah lagi yang perlu dibaiki segera. Ada yang rosak dinding, lantai dan atap serta beberapa bahagian lain,” ujarnya.
17 Feb 21
528
Walaupun PKP, Sambutan Tetap Meriah
Oleh: Qatadah Zakaria/Shahida Mohd
KUALA NERUS, 17 Februari - Meskipun Tahun Baru Cina dilihat suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap rakyat Malaysia tetap menyambut meriah setiap perayaan yang datang.
"Saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Tionghua dan semoga perayaan kali ini memberi kebaikan dan kejayaan walaupun terpaksa disambut dalam keadaan sederhana.
"Ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat diperkenalkan sepanjang PKP, tiada sebarang majlis jamuan diadakan sempena Tahun Baru Cina. Namun, mudah-mudahan perayaan tetap dapat disambut meriah,' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sewaktu melawat ke sekitar 30 buah rumah warga Tionghua sempena sambutan perayaan itu di Taman Perumahan Wakaf Tembesu, baru-baru ini.
Turut hadir, Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin serta Timbalan Ketua Sekretariat Parlimen Kuala Nerus, Mohd Harme Aman Razali.
Dalam kunjungan tersebut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut mengagihkan cenderahati berupa hamper dan makanan kepada penduduk terlibat.
"Apa yang penting, dalam keadaan pandemik ini kita perlu sama-sama menjaga SOP dan sentiasa mengamalkan norma baharu bagi mengelakkan penularan Covid-19 ini," katanya.
Sementara itu, menurut seorang penduduk, Khairi Khom berkata, program seperti ini wajar diadakan bagi mendekatkan komuniti Cina dengan para pimpinan negeri.
"Program seperti ini sangat baik dan saya mewakili penduduk kaum Cina di sini mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Dr Khairuddin terhadap rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama," katanya ketika ditemubual.
Dalam pada itu, seramai 514 keluarga kaum Cina turut diraikan sempena Tahun Baru Cina di seluruh Kuala Nerus melibatkan pemimpin kawasan DUN masing-masing.
17 Feb 21
108
Jambatan Baru Kuala Jengai Dibina Secara Bergotong-royong
DUNGUN, 16 Februari - Jambatan baru di Kuala Jengai bakal dibina semula secara bergotong- royong bagi menggantikan jambatan lama yang telah runtuh disebabkan banjir baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bagi peringkat awal pembinaan jambatan orang ramai itu, kayu seberat tiga tan telah diterima dari PESAKA Terengganu Berhad (PTB), hari ini.
"Alhamdulillah, melalui Pejabat Penyelaras DUN Bukit Besi kita telah memohon bantuan kayu tersebut selepas melihat akan kepentingan jambatan yang menjadi laluan untuk beberapa buah keluarga di kampung itu keluar mencari rezeki," ujarnya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Ghazali berharap, agar sumbangan yang dihulurkan bagi membantu masyarakat akan menjadi faktor kelangsungan anak syarikat Golden Pharos itu meraih keuntungan.
"Insya-Allah kerja gotong-royong ini akan dilakukan secepat mungkin.
"Kita memilih untuk bergotong-royong supaya semua penduduk dan juga mana-mana pihak berpeluang menyumbangkan manfaat dalam bentuk tenaga, disamping merasa wujudnya kebersamaan.
"Dengan konsep yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Juga Insya Allah menjadi faktor kepada kehamornian hubungan diantara sesama anggota masyarakat," ujarnya.
16 Feb 21
688
Penyelaras DUN Seberang Takir Sumbang Vitamin C Kepada 300 Pelajar
KUALA NERUS, 16 Februari - Seramai 300 pelajar dari kalangan keluarga asnaf dan B40 mendapat manfaat Vitamin C yang disumbangkan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.
Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Md Azmi Mohd berkata, dengan bantuan tersebut, ia dapat membantu mereka menambah imunisasi menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Terima kasih kepada Penyelaras DUN, Fazil Wahab atas sumbangan tablet Vitamin C kepada 300 orang pelajar bagi persediaan menambah imunisasi pelajar menjelang peperiksaan nanti.
"Ini termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil inisiatif menyumbang peralatan berkaitan menghadapi covid pada hari peperiksaan antaranya “Face Shield," ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui, disini hari ini.
Sementara itu, Pengetua Sekolah, Zainun Awang turut mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Penyelaras DUN serta komuniti sekitar sekolah dan menzahirkan kebanggaan kerana membantu pengoperasian.
“Dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kemudahan kepada guru-guru bagi memghadapi peperiksaan dalam norma baharu nanti”, ujarnya.
Umum mengetahui peperiksaan SPM, SVM, dan STAM akan bermula pada 22 Feb 2021, manakala peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021.
15 Feb 21
632