Artikel "Komuniti" Terkini
Usahawan Cili Ajak Anak Muda Jadi Petani
BESUT, 3 Mac -"Bidang pertanian ini merupakan satu profesion yang menyediakan peluang yang sangat besar kepada mereka yang menyertainya dan ianya wajib diceburi oleh belia yang inginkan kebebasan hidup," ujar usahawan cili fertigasi di Hulu Besut, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir.
Wan Abdullah,34, berkata, pada awal permulaan menceburi bidang tersebut tiga tahun lalu, dia hanya menanam sebanyak 1,000 polibag sahaja tetapi kini telah bertambah kepada 7,000 pokok.
"Alhamdulillah selama dalam bidang ini, saya mendapat pendapatan yang lumayan tetapi perlulah bersungguh- sungguh bagi membuahkan hasil yang baik"
"Saya ingin menyeru kepada belia yang tidak lagi mempunyai pekerjaan, beranikan diri terjun ke bidang ini kerana dapat menjamin masa depan yang lebih baik, Insyaallah," ujarnya kepada pemberita.
Katanya, sektor pertanian kini tidak sama seperti dahulu kerana sekarang ianya menjadi antara profesion pilihan.
"Tambahan pula, tahun 2021 merupakan tahun pertanian bagi Negeri Terengganu, justeru rebutlah peluang ini kerana pelbagai bentuk bantuan dana yang disediakan oleh Kerajaan dan sangat rugi jika tidak memafaatkan peluang yang sudah disediakan," ujarnya.
03 Mar 21
121
Surau Haji Daud Dinaik Taraf Kepada Masjid
BESUT, 3 Mac- Surau Haji Daud Kampung Alor Teratai, Kuala Besut yang sudah berusia telah dinaik taraf kepada Masjid Haji Daud yang lebih selesa dan besar.
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Alor Teratai yang dipengerusikan oleh Che Zahari Muda mengambil inisiatif sendiri bagi mengumpul dana untuk menyiapkan pembinaan masjid berkenaan.
Che Zahari berkata, kos pembinaan masjid tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai yang tidak putus-putus menderma bagi menyiapkan masjid ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang pemurah dan semoga Allah dapat membalasnya”, kata Che Zahari.
Menurut beliau, kos menaik taraf Masjid Haji Daud menelan belanja sebanyak RM300 ribu.
Proses pembinaan masjid ini hampir siap sepenuhnya dan akan dapat digunakan oleh penduduk kampung tidak lama lagi.
Pegawai Penyelaras Dun Kuala Besut, Azbi Salleh turut melawat masjid tersebut baru-baru ini bagi melihat kerja-kerja pembinaan.
02 Mar 21
2006
Turun Padang Sampaikan Sumbangan
BESUT, 3 Mac - Bagi menyampaikan sendiri bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19, Pegawai Penyelaras DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Besut, Azbi Salleh turun padang dengan bermotosikal menyampaikan bantuan tersebut.
Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM100 seorang kepada penduduk yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Beliau bersama Pemuda PAS DUN Kuala Besut berkonvoi masuk ke kampung-kampung untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada 40 penduduk terpilih bagi setiap Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kuala Besut.
Katanya, bantuan ini bagi meringakan beban mereka yang terjejas sepanjang tempoh PKP berlangsung.
“Walaupun bantuan ini tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya kerajaan negeri sentiasa prihatin kepada rakyat yang berada dalam kesusahan.
“Sebelum ini kita menyampaikan bantuan dalam bentuk makanan keperluan, tetapi kali ini kita menyampaikan dalam bentuk wang ringgit pula”, ujarnya kepada pemberita.
02 Mar 21
112
Suntikan Vaksin Untuk ‘Frontliners’ Bermula
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Program suntikan vaksin Covid-19 kepada melibatkan seramai 281 petugas barisan hadapan telah diadakan hari ini di Klinik Kesihatan Chendering.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Chendering, Dr Norhana Yazid memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah memilih tarikh yang bersesuaian dengan hari bekerja dan bilangan anggota yang akan disuntik iaitu pada 2, 3, 7, 8, 9 dan 10 Mac.
“Di Kuala Terengganu terdapat dua buah pusat yang menjalankan suntikan vaksin iaitu Klinik Kesihatan Chendering dan Klinik Kesihatan Manir.
“Frontliner di Klinik Kesihatan Chendering hanya petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas kesihatan manakala di selebihnya seperti anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Klinik Kesihatan Manir,” katanya.
Menurutnya lagi, suntikan kedua akan diberikan selepas 21 hari daripada tarikh menerima suntikan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi hadir ke Klinik Kesihatan Chendering bagi memantau proses suntikan vaksin yang dijalankan.
“Saya dimaklumkan bahawa persiapan untuk memulakan suntikan vaksin ini telah dibuat selama dua minggu.
“Alhamdulillah, saya lihat hari ini proses suntikan vaksin ini disusun dengan baik dan teratur termasuklah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sangat memuaskan,” katanya.
02 Mar 21
869
JPKK Perlu Bantu Penduduk Daftar Vaksin COVID-19
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membantu penduduk di kawasan masing-masing untuk mendaftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
02 Mar 21
142
YADIM Laksana Tanggungjawab Dakwah
DUNGUN, 1 Mac - Tidak dapat dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi tetapi juga sosial budaya masyarakat sehingga menyebabkan mereka tertekan.
Menyedari demikian, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melaksanakan tanggungjawab dakwah, turun padang menghulurkan sumbangan disamping menyampaikan nasihat ringkas kepentingan solat di dalam kehidupan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, berlakunya peningkatan pelbagai masalah sosial mutakhir ini disebabkan orang ramai menjauhkan diri dalam melaksanakan rukun Islam kedua itu.
"Dengan kehadiran kami ke rumah-rumah asnaf terpilih, mengingatkan solat wajib didirikan kerana ianya kunci kejayaan di dunia dan di akhirat, kehidupan kita akan sentiasa diberkati," katanya.
Alias berkata demikian ketika menyampaikan Musaadah YADIM kepada salah sebuah rumah warga emas di Kampung Che Lijah di sini.
Seramai 50 orang warga emas telah terpilih di dalam program kerjasama YADIM, badan bukan kerajaan (NGO), IHSAN Cakna dan Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang itu.
Alias (kiri) menyampaikan nasihat kepada seorang warga emas sambil diperhatikan Hadi(kanan)
Sementara itu, Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin berkata, nilai diri manusia di sisi Allah adalah pada ketakwaan, bukan kemiskinan atau juga kekayaan seseorang.
"Golongan kurang berkemampuan perlu juga dibantu kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan tekanan hidupnya supaya dapat beribadah dengan sempurna," katanya.
Menurutnya, golongan miskin pula seharusnya selalu hati-hati dan waspada terhadap kemiskinannya, keadaannya yang serba kekurangan dapat menggodanya untuk melakukan kemaksiatan untuk memenuhi keperluan hidupnya.
"Saya menyeru masyarakat untuk turut bersama - sama YADIM Terengganu berlumba-lumba mengejar kebaikan.
"Boleh hubungi YADIM untuk sertai tabung infaq untuk membantu golongan memerlukan, "ujarnya.
01 Mar 21
200
3,700 Kilogram Ikan QFish Diagih Kepada Penduduk Kota Putera
BESUT, 2 Mac - Kira-kira 3,700 kilogram ikan QFish diagih kepada golongan terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, memahami situasi rakyat yang terkesan, pihaknya turun padang menghantar sumbangan ikan Qfish kepada 37 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN terbabit.
"Setiap JPKK dibekalkan 100 bungkusan yang mana setiap bungkusan itu seberat satu kilogram diagih kepada penduduk yang kurang berkemampuan.
"Ikan QFish yang dibekalkan ini merupakan produk dari Persatuan Nelayan Besut. Kita seharusnya berbangga kerana produk QFish ini dikeluarkan oleh Persatuan Nelayan Besut yang memiliki kilang antara yang tercanggih di Malaysia," ujarnya kepada pemberita semasa turun padang menyantuni penduduk kampung.
Katanya, sumbangan berkenaan dibuat secara berperingkat mengikut giliran kawasan masing-masing. Alhamdullilah baki 20 JPKK yang belum sempat diagihkan hari khamis lalu selesai diagihkan kelmarin.
"Selaku ADUN Kota Putera,berharap sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada mereka yang terjejas dalam tempoh PKPB ini.
"Jutaan terima kasih diucapkan kepada petugas yang sentiasa komited dalam membantu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Putera bagi melancarkan setiap agihan yang kita lakukan. Mudah-mudahan Allah SWT memudahkan segala urusan terutama para asnaf dan memberkati usaha kecil ini," ujarnya.
01 Mar 21
183
THD 2021 Melabuhkan Tirai
KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Setelah sebulan Kempen Terengganu Hijab Day (THD) 2021 berlangsung, hari ini merupakan hari terakhir perjalanan kempen tersebut bagi tahun ini.
THD merupakan acara tahunan yang dianjurkan bermula 2019 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu di samping melibatkan kolaborasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita dalam Negeri Terengganu.
Menurut ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, tahun ini adalah tahun ketiga penganjuran meskipun dalam norma baharu berbanding kempen-kempen tahun sebelumnya, ianya masih berlangsung dengan meriah.
“Program Terengganu Hijab Day tahun 2021 bertemakan ‘Sempurnakan Auratmu’ berlangsung selama satu bulan bermula 1 Feb 2021 sempena sambutan World Hijab Day.
“Program ini adalah anjuran ADUN Wanita Terengganu dengan kerjasama NISA’ Terengganu (Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu), HANEES Terengganu (Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu) dan SETIA Terengganu (Persatuan Kebajikan Sedia Setia Terengganu)," katanya.
Zuraida berkata demikian pada majlis penutup Terengganu Hijab Day 2021 yang diadakan secara atas talian, baru-baru ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam dalam menjayakan sambutan bulan tersebut.
“Kita mahu mendidik masyarakat, mengikis streotaip bahawa bertudung dengan mengikut syariat (labuh sehingga menutup dada) bukan semata-mata untuk mereka yang bergelar ustazah sahaja tetapi wajib bagi semua muslimat.
“Kita juga mahu mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu sekaligus menjadi benteng kepada penularan budaya kuning barat. Hal ini penting bagi mencapai misi Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera," ujarnya.
28 Feb 21
203
YADIM Santuni Masyarakat Asli Kuala Sayap
BESUT 28, Februari - seramai 10 keluarga orang asli di kampung Kuala sayap,menerima sumbangan kit ibadah Dan barangan keperluan asas, menerusi program musawadah COVID-19 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah ( YADIM) Terengganu.
Pengarah YADIM Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saiadin berkata, program yang diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan penghayatan menunaikan solat dikalangan warga orang asli.
"Masyarakat orang asli perlu mendapat sokongan supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup Islam yang syumul dan juga membantu mereka supaya lebih berminat untuk belajar tentang Islam disamping dapat meningkatkan lagi ibadah dengan sempurna disamping meringankan tekanan kehidupan," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan agar mereka menunaikan ibadah dengan lebih bersungguh kerana Allah tidak menilai seseorang hamba dari segi kekayaan dan kedudukan tetapi menilai sejauh mana ketakwaan hambanya.
"Solat itu tiang agama serta kunci kejayaan dunia mahupun akhirat," ujarnya.
Katanya, semua masyarakat diharap dapat bersama YADIM dalam berdakwah dan berlumba kearah kebaikan.
"Kepada mereka yang ingin membantu golongan yang memerlukan boleh menghubungi YADIM untuk menghulurkan bantuan dan sebagainya," ujar beliau.
28 Feb 21
56
Mak Nik Terharu Terima Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka, Nik Abdullah atau Mak Nik, 85, menyatakan kesyukuran apabila menerima sumbangan rumah baharu semalam.
“Syukur alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas keperihatinan wakil rakyat terhadap nasib kami,” luah Mak Nik ketika ditemui oleh pemberita baru-baru ini.
Sumbangan rumah tersebut diberikan susulan tragedi kebakaran yang telah mengakibatkan rumah beliau hangus sepenuhnya pada 7 September lalu.
“Alhamdulillah, rumah ini telah siap sepenuhnya dan hari ini kami serahkan rumah ini kepada Mak Nik.
“Insya Allah rumah ini akan memberikan kehidupan baru yang lebih baik kepada Mak Nik sekeluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merasmikan majlis penyerahan rumah tersebut.
Rumah tersebut merupakan hasil bantuan dana daripada Tabung Darul Iman dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan diuruskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk.
Terdahulu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama agensi-agensi kebajikan telah hadir menghulurkan sumbangan secara ‘one-off’ bagi meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh Mak Nik.
25 Feb 21
408