Artikel "Komuniti" Terkini
Enam Lokasi Di Daerah Dungun Antara Kawasan Panas Berisiko Kebakaran
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Enam lokasi di daerah Dungun antara 12 kawasan panas dikenal pasti berisiko mudah terbakar di negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Md Hilman Abd Rashid berkata, enam lokasi itu adalah di Kampung Batu 7, Kampung Bahagia, Tok Kah, Jalan Jerangau, Kampung Tok Kah, Kampung Mahsuri, Kampung Pengkalan Jering dan Kampung Kuala Abang @ Rhu Batil.
Menurutnya, empat kawasan panas berisiko terbakar di daerah Kemaman adalah di Jalan Kebun Kelapa Pandan, Jalan Teruna di Kampung Beris Meraga, Lorong Kacang Panjang dan di Kawasan Perindustrian Kertih.
"Dua lagi kawasan panas yang dikenal pasti berisiko terbakar adalah di Ladang Tabung Haji Lembah Bidong, Setiu dan di Kampung Kerandang, Tembila, Besut," katanya mengulas kawasan panas yang dikenal pasti JBPM Negeri berisiko terbakar di seluruh negeri.
Dalam perkembangan sama, Md Hilman meminta kerjasama orang ramai terutama membabitkan 12 lokasi berkenaan agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka.
"Pengguna jalan raya terutama perokok yang melalui kawasan itu diminta tidak mencampakkan puntung rokok yang masih mempunyai bara di bahu jalan kerana kebanyakan rumput di kawasan itu kering dan mudah terbakar," ujarnya.
Untuk rekod, JBPM negeri menerima laporan sebanyak 168 kes kebakaran membabitkan hutan, kebun dan belukar di seluruh negeri sehingga semalam.
08 Mar 21
3773
Gotong-royong Tebang Pokok Tinggi Bahayakan Penduduk
DUNGUN, 9 Mac- Penduduk di Kampung Bukit Merah sepakat bergotong-royong menebang pokok tinggi yang membahayakan komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Indah Permai, Rayah Mohd berkata, program tersebut mendapat sambutan memberangsangkan dari semua pihak.
“Gotong-royong kali ini fokus kepada tebang pokok tinggi sekitar rumah-rumah penduduk.
"Rata-rata penduduk di sekitar Jalan Bunga Kertas, Bukit Merah, Paka berasa amat lega setelah pokok-pokok tinggi ditebang," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Katanya, beberapa batang pokok yang membahayakan keselamatan penduduk telah ditebang dengan kerjasama JPKK Taman Indah Permai, PAS Cawangan Bukit Merah dan dibantu beberapa orang tenaga Jabatan Amal Paka yang bermula pada waktu pagi.
“Kita juga telah menyewa sebuah jentera skylift bagi memudahkan kerja – kerja memotong dahan yang tinggi,” jelasnya lagi.
Tambahnya, perkara ini melibatkan kos kewangan yang banyak kerana terdapat banyak kawasan – kawasan pokok tinggi.
“Alhamdulillah, hasil kesepakatan JPKK dan penduduk setempat ianya dipermudahkan oleh Allah S.W.T dan terima kasih kepada semua yang terlibat.
“Bagi rumah mereka yang kami terlepas pandang boleh maklumkan segera kepada pihak kami,” ujarnya.
08 Mar 21
553
332 Peserta RTB Terima Borang 5A
BESUT, 8 Mac - Seramai 332 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di sini akan menerima Borang 5A yang mula diserahkan secara berperingkat bermula semalam sehingga 17 Mac ini.
Pegawai Penyelaras Dun Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata, pengagihan tersebut melibatkan peserta terpilih dari RTB Sungai Lah, RTB Bukit Baling, RTB Bukit Merah, RTB Sungai Kemia dan RTB Bukit Ma'dunna.
"Alhamdulillah, bermula hari ini (semalam) Borang 5A mula dibagikan kepada penerima secara berperingkat.
"Sudah lama peserta RTB ini menunggu untuk memiliki tanah, akhirnya menerima Borang 5A menandakan geran kekal akan dimiliki mereka," ujarnya selepas menyampaikan Borang 5A di perkarangan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Hulu Besut.
Katanya, semua peserta perlulah membuat bayaran premium tanah seperti mana tarikh yang ditetapkan untuk mendapatkan geran kekal.
"Saya berharap agar semua penerima bersyukur serta manfaatkan sebaik mungkin pemberian yang telah diterima." ujarnya.
07 Mar 21
283
Nisa' Bantu 52 Pelajar, Sumbang Kelengkapan Sekolah
Oleh: Farhana Mustapa
BESUT, 7 Mac- Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa’) membantu 52 orang pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut dengan menyediakan kelengkapan sekolah menerusi pemberian kit 'I Love To School'.
Wakil Nisa Terengganu, Wan Nor Fadilah Wan Ismail berkata, setiap kit mengandungi buku nota dan alat tulis bernilai RM100.
"Seronok melihat reaksi adik-adik penerima yang berumur lingkungan 15 hingga 17 tahun yang akan memulakan sesi persekolahan bulan April depan dan sumbangan ini adalah untuk membantu meringankan beban kedua ibu bapa berikutan ramai yang tidak dapat bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dikuatkuasakan," katanya.
Wan Norfadilah berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui selesai majlis penyerahan sumbangan tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna Felcra Keruak, Hulu Besut dekat sini baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga pengarah program, majlis tersebut masuk kali ke sepuluh untuk sesi 2020.
"Dipihak saya selaku pengarah program, sangat berterima kasih kepada ahli jawatankuasa pelaksana di kawasan Besut kerana telah berjaya menjalankan rogram dengan jayanya," ujarnya.
07 Mar 21
368
Aktiviti Gotong Royong Bersih Kubur Beri Keinsafan
MARANG, 6 Mac - Aktiviti membersih kubur bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan mampu menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam yang masih hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kebersihan itu separuh daripada iman. Apatah lagi kubur ialah tempat manusia akan kembali selepas dijemput Ilahi pada suatu hari nanti.
"Kebersihan ini adalah amalan yang harus dilakukan oleh setiap masyarakat bagi menjaga kebersihan diri dan tempat sekeliling. Malah, dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menarik golongan muda untuk turut serta dalam gotong-royong ini.
"Di samping itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat, pada masa sama terbit keterujaan dan keinsafan sepanjang membersihkan kubur ini," katanya.
Tambah beliau lagi, tugas itu menerbitkan kesedaran tinggi bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aktiviti Gotong-royong Membersih Kubur Tanah Perkuburan Besar, Kampung Atas Tol, Bukit Payong, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Atas Tol, Ishak Che Lebar, menggesa agar masyarakat meneruskan program sebegini pada masa akan datang.
"Hari ini kita berganding bahu bersama masyarakat bagi menganjurkan program ini di samping dapat mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti dan menolong orang lain walau di mana berada.
"Teruslah melakukan amal kebaikan sekalipun bukan waris mahupun saudara sendiri tanpa mengira tempat terutama di tanah perkuburan," ujarnya.
07 Mar 21
3227
Lebih 1000 Penerima BERKAT 2.0 Di Rantau Abang
DUNGUN, 5 Mac - Seramai 1,051 orang menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 2.0) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang rata-ratanya adalah golongan wanita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kebanyakkan mereka terdiri daripada pekerja kedai makan yang tidak dapat bekerja memandangkan premis perniagaan tersebut hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan baru- baru ini.
"Manakala penerima lelaki terdiri daripada tukang gunting dan pemandu bas, walaupun hanya RM100, tidak banyak mana, itu adalah tanda kerajaan Terengganu amat mengambil berat kesusahan rakyat, " katanya.
Alias berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis ringkas di Balai Raya Kampung Rantau Abang di sini semalam.
Beliau turut mengingatkan agar penerima berbelanja dengan berhemah kerana situasi negara belum lagi stabil dengan pandemik COVID-19.
"Berfikir sebelum berbelanja, beli apa yang benar-benar perlu sahaja bukan bila tengok orang ada, kitapun hendak beli juga," ujarnya.
Sementara itu, seorang penerima Azimah Abd Ghani, 56, bersyukur dan gembira diatas keprihatinan kerajaan yang sentiasa ingin membantu rakyat.
"Kita tidak memandang nilai tu, kitapun tahu kerajaanpun susah jugak, yang penting kerajaan cakna kesusahan rakyat," katanya yang merupakan seorang guru Al-Quran.
06 Mar 21
404
Menteri Hal Ehwal Agama Kunjungi KODIM
BESUT, 5 Mac- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkesempatan berkunjung ke Kompleks Pendidikan Dakwah dan Islamiah Malaysia (KODIM), Besut, baru-baru ini.
KODIM kini mempunyai seramai 130 orang pelajar lelaki.
Beliau terlebih dahulu menyempurnakan solat jumaat di Masjid Kampung Padang Luas sebelum memulakan sesi lawatan kerja ke KODIM.
Katanya, pihaknya akan cuba meneliti serta berusaha mencari bantuan mengikut kemampuan bagi perkembangan pendidikan KODIM.
Beliau juga melahirkan rasa seronok dapat melihat perkembangan terkini kompleks pendidikan yang berteraskan islam itu.
Beliau juga sempat berpesan kepada para pelajar agar belajar dengan bersungguh-sungguh.
“Anak-anak, belajar betul-betul jangan main-main jadilah manusia yang paling hebat," ujarnya.
05 Mar 21
586
Penduduk Kampung Padang Paloh Terima Manfaat BERKAT
Besut, 4 Mac - Penduduk yang kurang berkemampuan dari Kampung Padang Baloh disini telah menerima manfaat menerusi Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Anuar Yaacob berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak putus menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terkesan ekoran pandemik COVID-19.
" Alhamdulillah, sebanyak 30 bungkusan bantuan 'BERKAT' telah diagih kepada penduduk yang terpilih serta 100 kampit beras yang disumbangkan oleh Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor telah diberikan kepada semua penduduk Kampung Padang Baloh yang memerlukan," ujarnya kepada pemberita.
Katanya, pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri terus disalurkan kepada penduduk bagi membantu meringankan beban yang di alami mereka sejak penularan wabak COVID-19.
Terima kasih juga kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Hulu Besut kerana memudahkan urusan dalam mengagihkan sumbangan ini," ujarnya.
04 Mar 21
485
Aspek Kebersihan Harus Berada Di Tahap Terbaik
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Aspek kebersihan di setiap tempat pelancongan harus dipertingkatkan pada tahap terbaik agar imej pelancongan negeri dipandang positif oleh para pengunjung.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, nilai kebersihan adalah salah satu tarikan dan menjadi satu usaha supaya negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong untuk datang ke Terengganu.
"Tarikan pelancongan bukan semata-mata kerana keindahan semula jadi seperti Pulau Kapas serta perkhidmatan memuaskan yang diberikan oleh pihak pemain sektor ini.
"Namun ia juga melibatkan aspek kelestarian dan kebersihan yang menjadikan negeri kita sebagai pilihan utama pelancong," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program 'Gotong Royong Bersih Pulau Kapas, semalam.
Turut hadir ialah Yang DiPertua Majlis Daerah Marang, Fadli Yusof Zakaria dan Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa), To' Puan Hajah Zarani Othman.
Menurutnya, beliau seronok dapat terlibat sama dengan program tersebut, yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Marang dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi yang lain termasuk Pejabat Daerah Marang, Jabatan Pelancongan dan Permint.
"Saya (juga) menekankan Daerah Marang perlu merancang dan memperkasakan sektor pelancongan ke tahap yang boleh dibanggakan dengan memanfaatkan segala potensi dan sumber yang ada," ujar Dato' Yahaya.
Mengulas lanjut berkenaan usaha terkini di daerah Marang, beliau memaklumkan kerajaan pusat juga akan melaksanakan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu.
'Pembinaan jambatan baharu di Sungai Marang yang telah dimasukkan dalam bajet 2021 Kerajaan Persekutuan," katanya.
04 Mar 21
256
Penyebaran Dakwah Perlu Pelbagai Saluran
DUNGUN, 4 Mac - Penyebaran dakwah perlu menggunakan pelbagai saluran dan bukan hanya tertumpu kepada masjid atau surau sahaja.
Penyelia Institusi Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) Parlimen Dungun, Jamaluddin Al-Hafiz Jusoh berkata, pendakwah perlu berkolaborasi bersama agensi luar agar dapat menyampaikan dakwah dengan lebih meluas.
“Kita sebagai pendakwah hendaklah keluar melibatkan diri dengan program bersama kerajaan atau persatuan-persatuan luar agar lebih berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Simposium Daie Amilin Paka di Dewan Besar Darul Bayan.
Katanya, pendakwah perlu menjadi Daie Haraki yang sentiasa nampak perkara yang positif.
“Jadilah seperti Daie Haraki yang mana pengajaran ilmu dakwah itu membawa kepada pemerkasaan jemaah dan memahami denyut nadi perjuangan.
“Dan bukan menjadi Daie yang akhirnya menentang perjuangan Islam,” ujarnya lagi.
Jamaluddin menjelaskan lagi, kerja dakwah ini adalah kerja yang mulia walaupun bergaji kecil ataupun tidak bergaji.
"Bagi orang yang hidupnya buat kerja dakwah ini, tidak taksub kepada nilaian yang orang beri kerana mereka yakin kerja dakwah lebih mencapai matlamat di akhirat kerana mereka meneruskan perjuangan Rasulullah SAW,” ujarnya.
04 Mar 21
401