Artikel "Komuniti" Terkini
Khairunnisa' Beri Suntikan Semangat Kepada Calon STPM
DUNGUN, 22 Mac- Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') menemui calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi memberi suntikan semangat kepada mereka.
Wakil Khairunnisa', Rugayah Mahmood berkata, memandangkan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) disebabkan pandemik COVID-19, sebahagian besar pelajar yang tinggal di asrama tidak dapat bertemu ibu bapa masing-masing seperti kebiasaan tahun-tahun sebelum ini.
"Kalau sebelum ini, ibubapa dapat hadir bertemu anak-anak mereka sebelum peperiksaan bermula tetapi kali ini tidak, jadi dengan kehadiran kami sedikit sebanyak dapat memberi semangat dan dorongan untuk mereka terus mencipta kejayaan dalam peperiksaan tersebut," katanya.
Rugayah yang juga isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir ke salah sebuah sekolah untuk menyampaikan sumbangan kit makanan yang mengandungi roti dan air mineral.
Sebelum ini Khairunnisa' telah menyumbang kit yang serupa kepada calon SPM 2020 di enam buah sekolah menengah di DUN itu.
22 Mar 21
224
558 Orang Terima Manfaat Kad Sejahtera Di Rantau Abang
DUNGUN, 22 Mac- Seramai 558 orang terpilih menerima manfaat Kad Sejahtera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, inisiatif pemberian kad Sejahtera oleh kerajaan negeri itu bagi membolehkan rakyat yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta terpilih.
"Bersyukurlah kerana terpilih, ini adalah rezeki dari Allah SWT, kita hanya menyampaikan," katanya.
Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Kad Sejahtera kepada 21 penerima di Dewan PASTI Gong Pasir di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan yang ada hari ini sedaya upaya berusaha meringankan bebanan yang ditanggung rakyat.
"Baru-baru ini Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bantu rakyat yang tidak boleh bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan nanti bantuan baju sekolah, semua ini jika sudah rezeki kita, dapatlah," ujarnya.
22 Mar 21
258
Dr Khairuddin Cakna Peniaga Pasar Batu Enam
KUALA NERUS, 22 Mac - Golongan peniaga pasar merupakan antara yang terkesan pendapatan bulanan mahupun harian sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lepas.
Melalui beberapa aduan peniaga di Pasar Batu Enam mengenai keadaan tersebut, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus menyampaikan sumbangan khas bagi membantu golongan itu memulakan kembali perniagaan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah menyempurnakan sumbangan tersebut ketika pertemuan santai bersama peniaga di Pasar Batu Enam, di sini pagi semalam.
“Saya harap dengan bantuan dan peruntukan ini dapat membantu sedikit sebanyak para peniaga untuk memulakan kembali perniagaan yang terjejas,” kata beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Menurutnya lagi, peruntukan tersebut diusahakan pihaknya kepada 350 peniaga yang telah berdaftar di bawah Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Nerus.
Pengerusinya, Mustafa Ismail memberitahu, pihaknya turut menerima bantuan sejumlah RM26,000 khusus untuk peniaga di Dataran Wakaf Tembesu yang juga diserahkan dalam program tersebut.
Ketika ditemui pemberita, salah seorang penerima bantuan, Sheikh Jaafar, atau dikenali sebagai 'Pak Seh' berkata, perniagaan beliau sangat terjejas disebabkan kurang sambutan daripada pembeli sejak Covid-19 melanda tahun lalu.
Walaubagaimanapun, beliau meluahkan rasa syukur dan gembira serta berbesar hati dengan peruntukan itu dan berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan bagi membantu nasib peniaga terjejas.
21 Mar 21
235
Terengganu Tambah Bekalan 100 Juta Liter Air Sebelum Raya Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Jangkaan saluran bekalan air bersih pada minggu ini melalui sebuah lagi loji baharu benar-benar berlaku apabila air telah mula dilepaskan dari Loji Air Pulau Bahagia, Manir di sini hari ini.
Pelepasan bekalan air tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, pagi tadi.
Dr Mamad Puteh.
Menurut Dr Mamad, pihaknya bersama Syarikat Air Terengganu (SATU) menjangkakan akan membekalkan sebanyak 100 juta liter air sehari (MLD) untuk kegunaan 100,000 penduduk sebelum raya ini sebagai tambahan.
“Hari ini kita melawat Loji Air Pulau Bahagia yang merupakan salah satu antara tiga loji baharu, dua lagi loji iaitu Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) masih sedang dalam pembinaan.
“Di Pulau Bahagia kapasitinya 20 MLD untuk bekalan air di Mukim Manir dan sekitar Telemong. Kemudian di Bukit Berapit yang mana dalam pelaksanaan oleh pihak KAJV, insya-Allah akan siap sebelum raya nanti.
“Ini bermakna ada kira-kira satu bulan setengah hingga dua bulan tempoh untuk menyiapkan dua lagi loji baharu untuk mengatasi masalah air di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Untuk loji di Bukit Berapit kapasitinya agak besar iaitu 120 MLD.
“Tetapi kita cuba siapkan secepat mungkin sebelum raya nanti sebanyak 60 MLD dahulu untuk kegunaan orang ramai. Satu lagi di Losong dengan kapasiti 40 MLD, tetapi untuk sebelum raya ini kita cuba siapkan sebanyak 20 MLD iaitu separuh.
“Jadi keseluruhan sebelum raya ini, kita akan cuba siapkan 100 MLD sebagai tambahan untuk keperluan penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam tinjauannya ke Loji Air Pulau Bahagia di sini hari ini.
Hadir sama dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, Loji Air Pulau Bahagia yang dilancarkan hari ini akan dapat mengatasi sebahagian masalah air di Kuala Terengganu kerana kapasiti yang ada adalah sebanyak 20 MLD.
“20 MLD ini, bekalannya sebelum ini menggunakan sistem air di Loji Air Kepong 1 dan 2. Jadi dengan siapnya loji air ini akan mengurangkan penggunaan air di Loji Kepong 1 dan 2,” ujarnya.
Tambah beliau, banyak proses perlu dilakukan sebelum loji mula beroperasi termasuklah memastikan air yang dipam di muka sauk adalah air yang bersih, tidak ada raksa dan arsenik serta bebas dari kuman yang berbahaya dan berisiko kepada kesihatan pengguna.
Ketiga-tiga loji berkenaan berupaya menambah bekalan sebanyak 184 MLD berbanding hanya 282 MLD yang mampu dibekalkan oleh loji air sedia ada iaitu Loji Air Losong, Loji Air Kepong 1 dan Kepong 2 ketika ini.
18 Mar 21
4734
Surau Ar-Rayyan Bukit Merah Siap Dibina
DUNGUN, 18 Mac -Penduduk di sekitar kawasan Kampung Bukit Merah, Jalan Santong, Paka disini menarik nafas lega apabila sebuah surau baharu siap dibina.
Surau Ar-Rayyan yang tersergam indah itu menelan kos hampir RM800,000 termasuk hasil sumbangan derma orang ramai.
Pengerusi Surau Ar-Rayyan, Kholid Mahmud berkata,surau yang berkeluasan 250 kaki persegi itu berjaya disiapkan sebelum Ramadhan.
"Alhamdulillah, jangkaan surau ini siap sebelum Ramadhan mencapai sasaran bahkan awal sebulan siap.
"Perbelanjaan untuk membina surau ini kita perolehi daripada sumbangan orang ramai setelah kita membuka tabung derma. Semoga Allah menjadikan amal jariah setiap derma yang kita terima itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media selepas Majlis Perasmian Surau Ar-Rayyan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat usai kuliah jemputan khas.
Sementara itu, Satiful mengharapkan selari dengan kebenaran solat terawih, masyarakat dapat menghidupkan surau ini pada bulan Ramadhan yang akan tiba.
"Saya sempat menyampaikan kuliah disini semalam dan sempat merasai kedinginan kipas gergasi yang mana akan memberi keselesaan kepada para jemaah untuk beribadat terutama bulan Ramadhan nanti," ujarnya.
17 Mar 21
663
Pendidikan Awal Penting Kepada Anak- Anak
DUNGUN, 16 Mac- Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka pada masa akan datang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun berkata, pada peringkat inilah mereka memasuki alam baharu iaitu alam bersosial.
"Jadi amat penting diusia begini didedahkan dengan pendidikan al-Quran kerana apa sahaja yang kita rancang dan laksanakan mesti tidak lari daripada al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Gimik Pelancaran Penyerahan 'Starter Kit' kepada pelajar-pelajar Tadika Perpaduan Daerah Dungun secara serentak semalam yang diadakan di Tadika Perpaduan Taman Rakyat Jaya, di sini.
Seramai 521 orang pelajar di 22 kelas tadika berkenaan dalam Daerah Dungun menerima kit yang mengandungi beg sekolah, dua pasang uniform tadika, alat tulis dan set penjagaan diri berlogo baharu secara percuma.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Kamaruddin Ali dan Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Muhamad.
Alias turut merakamkan uucapan terima kasih di atas kesungguhan tenaga pendidik di Tadika Perpaduan yang bekerja keras mendidik pelajar-pelajar cilik yang merupakan saham negara yang akan mewarisi kepimpinan di masa depan.
16 Mar 21
325
Agihan Sumbangan Prihatin Mangsa Banjir DUN Air Putih
KEMAMAN, 15 Mac - Baru-baru ini telah berlangsungnya program serahan sumbangan prihatin banjir kepada mangsa yang terjejas berikutan bencana banjir yang melanda pada hujung tahun 2020 dan awal tahun 2021 yang lalu.
Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Serbaguna Kampung Air Putih ini menyaksikan seramai 918 orang mangsa banjir dari 10 buah kampung di sekitar Zon B Dun Air Putih menerima sumbangan berupa bantuan kewangan.
Antara kawasan yang terjejas teruk berikutan banjir ini adalah Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Pasir Gajah, Kampung Felda Seberang Tayor, Kampung Seberang Tayor Hulu dan Kampung Seberang Tayor Hilir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim menyampaikan sumbangan dan melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di kawasan berkenaan.
“Saya mewakili mangsa banjir di DUN Air Putih ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar yang sudi memberikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir khususnya di DUN Air Putih ini,” ucap beliau ketika merasmikan program agihan sumbangan ini.
Tambah beliau lagi, terdapat 2 kategori penerima bagi agihan sumbangan kali ini.
Kategori yang pertama adalah mereka yang kediamannya tenggelam dilanda banjir lumpur secara mengejut dan telah mengakibatkan kerosakan harta benda yang teruk seperti peti sejuk, periuk, bantal dan lain-lain.
Kategori yang kedua pula adalah penerima sumbangan kewangan sebanyak RM500.
"Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah Kemaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Air Putih, Jabatan Amal kawasan kemaman dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan kali ini.
"Program agihan sumbangan akan diteruskan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di zon A sekitar Air Putih pula," katanya.
15 Mar 21
489
Anak Terengganu Teruja 'Menghadap' Permaisuri Agong
KUALA LUMPUR, 9 Mac - Hasil kraftangan diorama rumah kedai yang ‘dibina’ oleh seorang anak jati Besut berjaya mengharumkan nama negeri apabila menjadi naib juara Anugerah Penggiat Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli dalam program atas talian tersebut anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) melalui platform The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM), pada 3 Mac.
Naib johan, Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, berkata, walaupun majlis dijalankan dalam alam maya, namun reaksi gembiranya jelas apabila dapat mempersembahkan ‘rumah kedai’ kepada Raja Permaisuri Agong.
“Bukan senang nak menghadap Baginda, saya sebagai satu daripada dua orang wakil negeri amat berbesar hati dalam membawa nama dan kreativiti Terengganu.
“Alhamdullilah, saya dinobatkan tempat kedua hasil undian juri dan jumlah ‘like’ di Facebook dan berjaya membawa pulang kontrak tiga tahun memasarkan prduk dalam platform TTAHM serta sebuah tablet,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambahnya, beliau turut berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu yang membuka ruang dalam kemenangan tersebut.
“Harapan saya kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu supaya membantu penggiat kraftangan dari segi tempat meniaga atau memasar hasil, bantuan-bantuan membeli bahan buatan serta latihan.
“Lebih-lebih lagi untuk orang muda supaya menjadi lebih kreatif serta menaikkan nama negeri dalam industri ini,” tambahnya.
Sementara itu, daripada 100 lebih peserta yang mengambil bahagian, tempat pertama dimenangi oleh Siti Nor Hanir Zanar Misro dari Negeri Sembilan dengan produk beg ‘Yara Puch Frame’ manakala tempat ketiga diperolehi oleh Sweelane Mundun daripada Sarawak.
Dalam titah ucapannya, Raja Permaisuri Agong selaku penaung PSJKM (penganjur) menzahirkan sokongan penuh Baginda sempena pembukaan 100 kedai dalam platform TTAHM.
“Sejak perasmian platform ini pada tahun lepas, kini mempunyai dalam 100 kedai, saya berbangga majoriti antaranya kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), suri rumah, ibu tunggal, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
“Platform ini bukan sahaja menawarkan ruang kepada penggiat kraftangan dalam memasarkan produk tanpa had sehingga tahap antarabangsa, malah mereka dididik tentang selok belok perniagaan atas talian di mana ia adalah penting dalam situasi kekangan COVID-19,” titah Tunku Azizah pada pelancaran majlis itu.
08 Mar 21
4680
Rumah Muslim Care Untuk Pok Wea
BESUT, 9 Mac - Seorang bapa tunggal menerima bantuan rumah dari pertubuhan bukan kerajaan Muslim Care.
Lebih dikenali dengan pangilan Pok Wea, Tuan Ismail Tuan Hassan, 53, berkata, dia melahirkan rasa syukur terhadap ilahi diatas satu kurniaan yang cukup bermakna untuk mereka sekeluarga.
"Alhamdullilah, terima kasih kepada Muslim Care yang membantu saya bagi memastikan keselesaan anak-anak lebih terjamin.
“Saya juga ingin berterima kasih juga buat Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad kerana mengesyorkan permohonan ini kepada pihak Muslim Care,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah tersebut di Kampung Pelagat, Jerteh.
Sementara itu, Wan Azhar berkata, beliau akan cuba sedaya-upaya bagi memastikan para masyarakat dapat hidup dengan sejahtera.
"Semoga dengan pemberianan ini dapat membantu meringankan beban menyara anak-anak. Terima kasih kepada Muslim Care yang banyak membantu dalam pembinaan rumah ini", ujarnya.
Muslim Care merupakan satu pertubuhan yang membantu saudara-saudara seislam yang memerlukan tidak kira di Malaysia ataupun luar negara.
08 Mar 21
355
YPU Bantu Peniaga Miliki Barang Keperluan Perniagaan
BESUT, 9 Mac – Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membantu lima peniaga memiliki barangan keperluan perniagaan.
Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, sumbangan barangan perniagaan ini merupakan usaha kerajaan bagi membantu para peniaga di Negeri Terengganu.
“Pihak YPU akan sentiasa membantu usaha para peniaga bagi memastikan hasil jualan terus meningkat.
"Saya berharap dengan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka untuk memajukan lagi perniagaan yang diceburi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan di Pejabat Penyelaras DUN Jerteh, Kampung Padang Luas.
“Saya berharap para peniaga diluar sana agar sama-sama berdaftar dengan YPU bagi memastikan sebarang kemudahan perniagaan tidak terlepas," katanya.
08 Mar 21
169