lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Seramai lebih 100 orang peserta terlibat dalam Program Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita anjuran EPIC Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Kebajikan Kuala Terengganu (KT Care), beberapa hari yang lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menghargai usaha EPIC dan KT Care atas kejayaan menganjurkan program yang berjaya mengumpulkan lebih 100 peserta dan mengutip sejumlah besar sampah yang mencemari kawasan pantai. Menurutnya, pantai merupakan salah satu aset pelancongan utama negeri Terengganu dan perlu sentiasa dijaga kebersihannya melalui penyertaan aktif masyarakat. "Alam ini amanah kita. Bersama kita lestarikan keindahannya. Teruskan usaha menjaga keindahan dan kecantikan pantai kita. "Setiap daripada kita memainkan peranan penting sama ada besar atau kecil dalam memastikan pantai kekal bersih, indah dan selamat untuk dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang. "Kalau orang Terengganu nak 'healing', mereka akan ke pantai. Maka, tanggungjawab untuk memastikan pantai kekal bersih adalah milik bersama. Usaha seperti ini perlu diteruskan tanpa perlu tunggu kempen besar-besaran," kata beliau melalui hantaran di laman media sosial rasminya. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.  Antara yang turut serta ialah wakil Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Ladang, DUN Batu Buruk, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), serta pelajar-pelajar cilik daripada PASTI dan Tadika Syaz. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Dalam pada itu, satu sesi penyerahan sumbangan kepada KT Care turut diadakan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Undang-Undang dan Kesetiausahaan EPIC Berhad, Fairuz Idris kepada Dato' Wan Sukairi. EPIC berkata, Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EPIC Berhad, yang menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar dan memperkukuh hubungan bersama komuniti tempatan.
21 May 25
105
70 Kakitangan SATU Gotong-Royong Bersih Kubur
70 Kakitangan SATU Gotong-Royong Bersih Kubur
KUALA TERENGGANU, 2O Mei - Seramai 70 kakitangan Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan kubur Pasir Panjang, baru-baru ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Abdul Karim Endut berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan tanda keprihatinan pihaknya terhadap masyarakat setempat. "Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu bentuk kecaknaan yang tinggi daripada pihak SATU, khususnya dengan pemilihan DUN Pasir Panjang sebagai lokasi pelaksanaan. "Semangat kerjasama yang ditunjukkan para petugas SATU wajar dijadikan contoh, dan diharapkan program seperti ini dapat diteruskan demi kesejahteraan dan keceriaan komuniti setempat," ujarnya kepada pemberita selepas selesai gotong-royong berkenaan. Program tersebut turut menyaksikan penyerahan pelbagai peralatan kebersihan seperti mesin rumput, cat, dan kelengkapan lain kepada wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Panjang oleh SATU bagi menyokong usaha kebersihan komuniti..
19 May 25
40
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Seluruh warga Terengganu dan sekitarnya dijemput untuk memeriahkan Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP)2025. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. "Akan diadakan pada 16 sehingga 18 Mei ini bertempat di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong Setiu," ujar beliau melalui kenyataan di media sosialnya, di sini. Menurut Ahmad Samsuri, pelbagai pengisian menanti pengunjung yang hadir. "Termasuk pertunjukan sukan lasak, perarakan kuda berhias, aktiviti komuniti, persembahan kebudayaan dan sebagainya. "Jumpa di sana,"ujarnya.  
10 May 25
4507
16 Pelajar Politeknik Dungun Terpilih Ke China
16 Pelajar Politeknik Dungun Terpilih Ke China
Oleh : Nooreni Abu Bakar  DUNGUN, 8 Mei - Seramai 16 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini terpilih menyertai Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou, China.  Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata,  mereka merupakan sebahagian daripada 34 pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang diberi kepercayaan untuk menjalani latihan intensif industri bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). "Kejayaan ini membuktikan kompetensi tinggi graduan POLYCC serta mengangkat martabat PSMZA yang bukan sahaja setanding, malah berjaya mengatasi IPT lain dalam pemilihan pelatih ke luar negara.  "Ini turut mencerminkan pengiktirafan industri terhadap sistem pendidikan TVET negara yang semakin diyakini dalam melahirkan tenaga kerja mahir berteknologi tinggi, " ujarnya dalam satu kenyataan.  Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman meluahkan rasa bangga diatas pemilihan pelajarnya dalam kumpulan pertama melibatkan 102 pelatih yang akan memulakan latihan di China secara berperingkat bermula 15 Mei ini. Menurut beliau, pemilihan ini mencerminkan keupayaan teknikal dan tahap kesediaan tinggi pelajar PSMZA, hasil dari latihan berasaskan industri serta sokongan fasiliti dan tenaga pengajar yang kompeten. “Ia juga merupakan hasil hubungan baik dan kerjasama erat yang terjalin antara PSMZA dan pihak Malaysia Rail Link (MRL) sejak sekian lama, ” katanya. Beliau turut melahirkan keyakinan, latihan selama setahun itu akan menjadi batu loncatan penting kepada para pelajar untuk menyumbang secara langsung dalam fasa pengoperasian ECRL yang dijangka bermula Januari 2027.
08 May 25
410
i-Suri Bantu Perkasa Wanita Terengganu
i-Suri Bantu Perkasa Wanita Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Usaha memperkasakan wanita dan memperluas perlindungan sosial kepada suri rumah terus diperkukuh menerusi penganjuran Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Sivik Ajil, pagi semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional,  Maliaman Kassim, program tersebut merupakan satu inisiatif dianjurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Institut Modal Insan Sejahtera Terengganu (IMITS) serta Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil.  "Program i-Suri di bawah KWSP ini merupakan antara usaha memberi perlindungan sosial kepada suri rumah yang tidak berpendapatan tetap, dengan galakan caruman secara sukarela yang turut disertakan insentif kerajaan. "Melalui jelajah ini, para wanita khususnya suri rumah diberi maklumat berkenaan manfaat simpanan masa depan, skim perlindungan, dan peluang mempertingkat kesejahteraan keluarga.  "Turut ditekankan kepentingan celik kewangan dan peranan wanita sebagai nadi pembangunan masyarakat," katanya. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil berkata demikian melalui satu hantaran Facebook rasminya. Turut hadir bagi menyempurnakan program, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Tuan Rahmat serta  Pengarah IMITS Terengganu, Kamaruzaman Abdullah. Menurutnya lagi, program turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai agensi yang membuka ruang pameran dan perkhidmatan termasuk Tabung Haji, BSN, TTITC, JPW, PTPTN, THRDC, PERKESO, AKPK dan NADI, yang menawarkan informasi tentang peluang pekerjaan, latihan kemahiran, perancangan kewangan dan pelan simpanan masa depan. Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program, dan menyeru agar lebih banyak usaha kolaboratif seperti demikian dilaksanakan. "Tahniah kepada semua penganjur dan peserta yang menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini terus diperluas ke seluruh negeri agar tiada golongan wanita tercicir dalam perlindungan sosial," ujarnya.  
05 May 25
318
Video title Kerajaan Teliti Cadangan Sedia Ruang Solat di Pasar Malam
Video title Kerajaan Teliti Cadangan Sedia Ruang Solat di Pasar Malam
Kerajaan negeri komited memperkasa budaya solat fardu dalam kalangan masyarakat dengan menekankan kepentingan menunaikan solat walaupun dalam kesibukan urusan harian seperti di tapak pasar malam.
23 Apr 25
54
Pasar Pengkalan Berangan ‘Hidup’ Dengan Adanya Medan Ilmu
Pasar Pengkalan Berangan ‘Hidup’ Dengan Adanya Medan Ilmu
MARANG, 23 April – Pasar Pengkalan Berangan berupaya menjadi medan ilmu bagi pendakwah mendekati masyarakat untuk menyebarkan ajaran Islam secara santai. Melalui program berkala ‘Medan Ilmu Pengkalan Berangan’, ia bukan sahaja bertindak sebagai platform menyatukan kelompok masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membolehkan orang ramai yang membeli dan berjualan mendengar pengisian rohani. Bagi Noor Rozali Jusoh yang telah lima tahun berniaga di pasar berkenaan mengakui, Pasar Pengkalan Berangan dilihat 'hidup' setelah adanya Medan Ilmu Pengkalan Berangan. “Ia biasanya diadakan sebulan sekali (minggu ketiga) iaitu pada hari Selasa, jika hari biasa tidak ramai pengunjung tetapi pada hari yang diadakan program medan ilmu ramai yang datang. “Secara tidak langsung ia turut membantu peniaga di sini apabila ramai yang membeli jualan mereka, bagi saya memang bagus buat program sebegini, kalau buat seminggu sekali pun lagi bagus,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Medan Ilmu Pengkalan Berangan yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Zulkhairi Ngah, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Sementara itu seorang pengunjung, Awang Botok turut menyokong sekiranya program berkenaan diadakan lebih kerap.  “Program medan ilmu ini kalau boleh seminggu sekali, atau dua minggu sekali dalam sebulan. "Jadi peniaga pun suka bila tengok ramai orang datang membeli jualan mereka, kalau sebulan sekali ni kita pun kadang-kadang tak ingat, kalau tak tengok WhatsApp jadi tak tahu,” ujarnya.
23 Apr 25
283
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 8.5 Juta Pelancong Tahun Ini
Terengganu Yakin Mampu Capai Sasaran 8.5 Juta Pelancong Tahun Ini
KUALA NERUS, 22 April - Kerajaan negeri meletakkan sasaran 8.5 juta pelancong berkunjung ke Terengganu sepanjang tahun ini dan yakin mampu mencapai sasaran tersebut dengan pelbagai program yang telah dirangka. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, suku pertama tahun ini telah berjaya mencatat kehadiran 2.1 juta pelancong walaupun Terengganu berhadapan dengan cabaran musim Monsun Timur Laut serta beberapa destinasi pantai peranginan yang masih belum dibuka sepenuhnya. "Tahun lalu, kita telah meletakkan sasaran sebanyak 4.5 juta pelancong ke Negeri Terengganu dan kita berjaya mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, jauh melepasi sasaran yang ditetapkan, ini adalah petanda yang sangat positif. "Bagi memastikan industri pelancongan Terengganu terus berkembang secara mampan dan kekal kompetitif, kerjasama erat antara semua pihak termasuk Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, NGO, serta para penggiat industri adalah amat penting," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Terengganu 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy. Sementara itu, mengulas mengenai progam tersebut Sulaiman berkata, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada semua pihak bagi mendengar pandangan serta cadangan daripada pemain industri dengan tujuan penambahbaikan dan perancangan masa hadapan.     
22 Apr 25
348
15 Pelajar Kutip Pengalaman Tinggal Bersama Orang Asli
15 Pelajar Kutip Pengalaman Tinggal Bersama Orang Asli
Oleh : Nooreni Abu Bakar  HULU TERENGGANU, 20 April - Seramai 15 pelajar Politeknik Hulu Terengganu telah berkampung di Kampung Orang Asli Sungai Bengoi, Taman Negara Kuala Sat bagi mengutip pengalaman dan mempelajari kehidupan seharian suku kaum tersebut. Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat Politeknik Hulu Terengganu, program itu  melibatkan pelajar Diploma Pelancongan Rekreasi Semester 5 (DRT5A) Bersama Volunteer 1 Malaysia (V1M).  "Dalam sesi perkongsian bersama pelajar, Tok Batin dan pembantu telah menyampaikan ilmu kelangsungan hidup seperti menyalakan api menggunakan teknik gesekan api menggunakan rotan dan kayu meranti serta cara untuk mencari makanan di hutan," katanya.  Menurutnya lagi, Tok Batin juga menunjuk cara  menggunakan jerat untuk perangkap haiwan kecil seperti kancil, pelanduk dan ayam hutan.  "Selepas menggunakan jerat, mereka mengajar bagaimana untuk memburu menggunakan sumpit serta racun daripada pokok untuk diletakkan di sumpit untuk melemahkan mangsa," katanya.  Program selama dua hari yang diadakan pada 9 April dan 10 April lalu turut dimuatkan aktiviti - aktiviti santai bersama komuniti masyarakat setempat.  "Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan futsal terbuka serta pertandingan bola beracun yang mengetengahkan permainan tradisional sambil memupuk interaksi mesra antara peserta dan penganjur," katanya.  Program turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti serta pengagihan barang hasil kutipan dana daripada sumbangan staf dan pelajar Politeknik Hulu Terengganu seperti pakaian terpakai dan alat tulis kepada komuniti Orang Asli. "Ini mencerminkan keprihatinan sosial, malah memperkukuh nilai kebersamaan dan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar," ujarnya.
20 Apr 25
171
Sambutan Raya Perantau Hulu Besut Meriah 2000 Hadir di Shah Alam
Sambutan Raya Perantau Hulu Besut Meriah 2000 Hadir di Shah Alam
SHAH ALAM, 13 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Peringkat DUN Hulu Besut yang berlangsung malam tadi di perkarangan Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah dengan menghimpunkan 2000 anak-anak perantau yang menetap di Lembah Klang. Sekaligus Majlis yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat(ADUN) Hulu Besut itu menjadi wadah mengeratkan silaturrahim dalam kalangan perantau. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perantau yang hadir memeriahkan majlis berkenaan. “Saya amat berbesar hati melihat kehadiran yang begitu ramai serta sambutan yang cukup meriah. Ini jelas membuktikan semangat kekeluargaan dan kasih sayang sesama anak perantau Hulu Besut masih kukuh walau berada jauh dari kampung halaman,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Raya tersebut, baru-baru ini. Beliau juga merendah diri memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran majlis tersebut, dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.   Dalam pada itu,Husaimi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman tahun ini. “Insya-Allah, dengan sokongan dan semangat ukhuwah yang berterusan, kita dapat menganjurkan lagi majlis seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya lagi. Majlis turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran buat para perantau yang lahir pada bulan April. Husaimi mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati dan sentiasa berada dalam lindungan rahmat Allah SWT.  
13 Apr 25
799