lightning-solid
Berita :
15 Pelajar Kutip Pengalaman Tinggal Bersama Orang Asli
15 Pelajar Kutip Pengalaman Tinggal Bersama Orang Asli
Noraini Jusoh
20 Apr 25
171

Oleh : Nooreni Abu Bakar 

HULU TERENGGANU, 20 April - Seramai 15 pelajar Politeknik Hulu Terengganu telah berkampung di Kampung Orang Asli Sungai Bengoi, Taman Negara Kuala Sat bagi mengutip pengalaman dan mempelajari kehidupan seharian suku kaum tersebut.

Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat Politeknik Hulu Terengganu, program itu  melibatkan pelajar Diploma Pelancongan Rekreasi Semester 5 (DRT5A) Bersama Volunteer 1 Malaysia (V1M). 

"Dalam sesi perkongsian bersama pelajar, Tok Batin dan pembantu telah menyampaikan ilmu kelangsungan hidup seperti menyalakan api menggunakan teknik gesekan api menggunakan rotan dan kayu meranti serta cara untuk mencari makanan di hutan," katanya. 

Menurutnya lagi, Tok Batin juga menunjuk cara  menggunakan jerat untuk perangkap haiwan kecil seperti kancil, pelanduk dan ayam hutan. 

"Selepas menggunakan jerat, mereka mengajar bagaimana untuk memburu menggunakan sumpit serta racun daripada pokok untuk diletakkan di sumpit untuk melemahkan mangsa," katanya. 

Program selama dua hari yang diadakan pada 9 April dan 10 April lalu turut dimuatkan aktiviti - aktiviti santai bersama komuniti masyarakat setempat. 

"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan futsal terbuka serta pertandingan bola beracun yang mengetengahkan permainan tradisional sambil memupuk interaksi mesra antara peserta dan penganjur," katanya. 

Program turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti serta pengagihan barang hasil kutipan dana daripada sumbangan staf dan pelajar Politeknik Hulu Terengganu seperti pakaian terpakai dan alat tulis kepada komuniti Orang Asli.

"Ini mencerminkan keprihatinan sosial, malah memperkukuh nilai kebersamaan dan semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar," ujarnya.


Artikel Berkaitan