lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Program YB Cakna Komuniti Sejahtera Medan Dekati Rakyat
Program YB Cakna Komuniti Sejahtera Medan Dekati Rakyat
MARANG, 2 Julai - Penganjuran Program YB Cakna Komuniti Sejahtera di setiap Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) mampu menghubungkan Yang berhormat (YB) dengan rakyat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, siri pertama program YB Cakna Komuniti Sejahtera yang dilaksanakan selama satu hari di peringkat JPKK Sungai Serai dan Gondang itu diharapkan menjadi jambatan penghubung antaranya dan rakyat. “Dengan penganjuran program sebegini, saya nak berjumpa dan mendengar respon langsung daripada rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bual Bicara Maal Hijrah di Surau Kampung Gondang, di sini. Menurut beliau, YB Cakna Komuniti Sejahtera adalah program bersiri yang diadakan di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM). "Program biasanya bermula dengan sarapan pagi, munajat, ziarah, rawatan syifa, Mahabbah, sukan belia/beliawanis dan bual bicara atau chit chat," ujarnya.
02 Jul 25
86
Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Daerah Marang Disambut Penuh Penghayatan
Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Daerah Marang Disambut Penuh Penghayatan
MARANG, 29 Jun -  Sekitar 400 jemaah hadir memeriahkan Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah peringkat daerah Marang 1447 Hijrah (H) yang berlangsung di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Rhu Rendang, baru-baru ini. Majlis bermula seawal jam 6.30 petang dengan bacaan Surah Yasin dan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Pegawai Agama Daerah Marang dan bacaan yasin oleh Juara Tilawah Al Quran peringkat daerah Marang 1446H, Ahmad Syahir Yahya, sebelum para jemaah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Sambutan diteruskan dengan sesi utama iaitu perutusan khas Maal Hijrah Menteri Besar Terengganu,  Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan pentingnya umat Islam menghayati semangat hijrah secara menyeluruh dengan melakukan anjakan minda, sikap dan tindakan ke arah kehidupan yang lebih progresif dan diberkati. “Pendekatan ini jugalah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membawa perubahan di Terengganu, terutamanya dalam merubah minda atau mentaliti kita melalui agenda Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” ujarnya ketika membacakan teks perutusan tersebut. Majlis berkenaan turut dihadiri pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, ahli jawatankuasa masjid dan penduduk setempat yang rata-ratanya menyambut baik pengisian majlis berkenaan yang dianggap mampu menyemarakkan lagi semangat hijrah dalam kalangan masyarakat. Program ditutup dengan doa awal tahun sebagai tanda permulaan kalendar baharu Islam yang membawa harapan kepada kehidupan lebih berkat dan dirahmati.
29 Jun 25
85
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Redang, hari ini sebagai usaha memperkaya pembiakan ikan dan hidupan laut. 
25 Jun 25
20
13,000 Anak Keli Dilepaskan di Dengir Perkasa Ekonomi Komuniti Luar Bandar
13,000 Anak Keli Dilepaskan di Dengir Perkasa Ekonomi Komuniti Luar Bandar
Oleh : Tengku Mohd Anwar. BESUT, 23 Jun - Sebanyak 13,000 ekor anak ikan keli dilepaskan di Kampung Dengir sebagai inisiatif memperkasakan komuniti luar bandar menerusi projek akuakultur berskala kecil. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Dengir, Mohd Samsul Bahari Daud berkata, projek itu melibatkan 10 buah kolam dengan setiap satu berkeluasan 700 meter dan diisi dengan 2,000 ekor anak tersebut. "Langkah ini diambil bagi membuka ruang kepada masyarakat kampung khususnya generasi muda untuk menceburi bidang penternakan akuakultur. "Ia bukan sahaja menjana sumber pendapatan, bahkan mengalakkan kerjasama komuniti serta peningkatan kemahiran,"katanya ketika ditemui di majlis pelepasan anak ikan yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, di sini, semalam. Dalam pada itu, Azbi ketika berucap menyatakan bahawa usaha yang dilakukan itu adalah selaras dan bertepatan dengan fokus pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu.  
23 Jun 25
99
Beruang Matahari Ditangkap di Bukit Besi
Beruang Matahari Ditangkap di Bukit Besi
DUNGUN, 16 Jun – Seekor beruang matahari jantan dianggarkan berusia 40 tahun berjaya ditangkap di Kampung Besol, Bukit Besi selepas perangkap dipasang sejak 29 Mei lalu. Operasi penangkapan melibatkan kerjasama antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Besol, serta Pejabat Perhilitan Daerah Dungun. Menurut Ghazali, sebelum ini penduduk meluahkan rasa bimbang dan tidak selamat akibat gangguan beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kampung. "Penangkapan ini memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Kampung Besol dan Bandar Bukit Besi. "Namun, orang ramai masih perlu sentiasa berhati-hati dan peka sekiranya mendapat maklumat mengenai keberadaan beruang di sekitar kawasan kampung," katanya. Beruang tersebut berjaya ditangkap menggunakan perangkap khas yang dipasang oleh Perhilitan. Pihak Perhilitan Dungun kini sedang menguruskan pemindahan haiwan tersebut ke habitat yang lebih sesuai dan selamat. Usaha kini diteruskan untuk menangkap dua lagi beruang (ibu dan anak) yang masih berkeliaran di kawasan sekitar.
16 Jun 25
177
Zuraida Kagum Dengan Ketabahan Mangsa Nahas UPSI
Zuraida Kagum Dengan Ketabahan Mangsa Nahas UPSI
IPOH, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mezahirkan rasa kagum dengan ketabahan tiga mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Taiping. Dalam masa yang sama, beliau mendoakan agar mereka terus kuat serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan.  Menurut Zuraida, ziarah ini amat menyentuh hati memandangkan beliau ketika kejadian berada di Kemboja atas misi kemanusiaan. “Hati saya amat sayu, sebak dan rasa ingin segera pulang apabila mendapat berita kemalangan itu. Alhamdulillah hari ini Allah beri kesempatan untuk bersama-sama memberi sokongan dan doa buat adik-adik mangsa,” ujar beliau kepada pemberita selepas menziarahi mangsa di sini, semalam. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengetuai sesi ziarah berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor, ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli. Mangsa-mangsa yang diziarahi ialah Lili Suzana dan Nor Erika Elysha yang kini dirawat di HRPB, Ipoh serta Nur Liyana di Hospital Taiping.  Dalam pada itu, Zuraida juga merakam penghargaan kepada semua petugas kesihatan di HRPB dan Hospital Taiping atas komitmen dan keprihatinan tinggi dalam memberikan rawatan terbaik kepada para mangsa, serta kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghulurkan doa dan bantuan. “Ujian ini sungguh berat, namun doa dan sokongan kita semua adalah kekuatan buat mereka dan keluarga," ujarnya. Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI telah terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.
15 Jun 25
52
80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
SETIU, 15 Jun - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah Setiu menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu (MDS), Sungai Tarom. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata JPKK seharusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di bawah lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan dan juga sebagai pemudah cara. "Di negeri Terengganu sebanyak 1,050 JPKK, dan kita semua adalah sebahagian daripada itu, cari titik persamaan dalam semua perkara dan menyelesaikan dengan kebijaksanan. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK Daerah Setiu. JPKK daerah Setiu melibatkan Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap dan Permaisuri masing-masing terdiri sebanyak 34 dan 46. Terdahulu disampaikan taklimat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu. "Saya ingin berkongsi beberapa tips dan panduan bekerja dalam JPKK, kita hendaklah biasakan menyenarai kerja yang nak dibuat supaya semuanya teratur, tingkatkan disiplin dalam organisasi dan menilai daripada segi keutamaan dalam membuat keputusan,"ujarnya lagi.  
15 Jun 25
40
240 Lembu, Kambing Dikorbankan Di Maahad Darul Quran Rusila
240 Lembu, Kambing Dikorbankan Di Maahad Darul Quran Rusila
MARANG, 9 Jun - Maahad Darul Quran Rusila sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan Program Korban Perdana sempena Aidiladha tahun ini dengan penyertaan luar biasa, melibatkan 240 ekor haiwan korban terdiri daripada 70 ekor lembu dan 170 ekor kambing. Program tahunan yang menjadi tradisi institusi itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat dan luar, dengan penyertaan peserta dari pelbagai latar belakang yang ingin menunaikan ibadah korban sambil menyumbang kepada kebajikan pelajar dan komuniti. Menurut Mudir Maahad tersebut, Ismail Osman berkata, daging korban yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar Maahad sepanjang tahun, selain diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar kawasan Marang dan sekitarnya. “Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh peserta yang menyertai korban tahun ini. Dagingnya akan disimpan untuk kegunaan pelajar dan sebahagiannya disumbangkan kepada yang memerlukan,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang datang dari pelbagai kampung dan kawasan, yang bertungkus-lumus menjayakan program besar ini. “Mudah-mudahan ibadah kita diterima Allah SWT dan diberi keberkatan untuk kita semua,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan. Katanya, program sebegini bukan sahaja memperkukuhkan semangat ukhuwah dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform pendidikan praktikal kepada pelajar dalam memahami dan menghayati erti pengorbanan serta kepentingan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. "Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, Maahad Darul Quran Rusila terus membuktikan komitmennya dalam mendidik generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, tetapi juga peka terhadap tanggungjawab sosial dan kebajikan masyarakat," ujarnya.
09 Jun 25
36
Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mengambil perhatian serius termasuk dengan membina rumah baharu bagi membela nasib Mat Nasir Islam, 48, serta isterinya, Mazilah Mansor. Mereka dikatakan tinggal di sebuah pondok usang bersama anak dan cucu, tiga daripada mereka masih bersekolah termasuk seorang anak yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU). Dr. Mamad berkata, pada Khamis lalu pihaknya melalui pegawai khas dan kakitangan Pejabat DUN serta Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Hulu Terengganu telah menziarahi mereka dan mengambil maklum keadaan yang dialami oleh keluarga yang mengalami kesempitan hidup terbabit. "Meskipun serba terbatas, mereka tetap tabah meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sudah lama disalurkan. "Hari ini (kelmarin) saya bersama pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIDAM turut turun  sekali lagi bagi menilai keadaan semasa. "Pihak kami juga cuba untuk mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup keluarga ini," ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasminya, semalam. Terdahulu Mazilah memaklumkan masalah dialami mereka telah lama mendapat perhatian MAIDAM yang menyumbang zakat sebanyak RM3,000 setahun. Selain itu, dia memaklumkan juga turut menerima bantuan khas untuk anak OKU sebanyak RM1,800 daripada JKM. Dalam pada itu, Pegawai Khas ADUN, Arif Azlan memaklumkan Dr Mamad berusaha bagi memastikan sebuah rumah baru akan dapat didirikan untuk keluarga terbabit. "Pihak DUN telah bertemu dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin, cuma sekarang ini kalau menurut Mazilah tanah ini telah diusahakan sudah 20 tahun. "Apabila kita semak dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, tanah ini baru dipohon oleh keluarga ini pada April yang lalu, jadi kita tunggu kelulusan untuk mendirikan rumah yang lebih baik untuk didiami oleh keluarga ini," ujarnya.
03 Jun 25
1106
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna. Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka. Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan. "Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini. Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut. "Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau. Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.    
27 May 25
2406