Artikel "Komuniti" Terkini
200 Penduduk Daftar Vaksin Respon Kempen Teganu Prihatin
BESUT, 2 April- Sekitar 200 penduduk Pulau Perhentian mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam program Teganu Prihatin, petang semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, hal itu merupakan perkembangan yang baik dikalangan rakyat terhadap program imunisasi ditetapkan kerajaan.
"Hari ini kita berjaya mengumpulkan kira-kira 200 pendaftar vaksin di pulau ini.
"Cuma mereka bertanya adakah mereka akan dibawa ke daratan atau proses vaksin akan diadakan di sini?," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Utama Balai Bomba Sukarela, Pulau Perhentian malam tadi.
Turut hadir, pegawai penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh serta pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu, Ahmad Ammar Othman.
Jelasnya lagi, penganjuran program lanjutan daripada Malaysia Prihatin itu memperlihatkan reaksi positif daripada rakyat.
Usahasama JaPen, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan sokongan padu Pejabat Daerah dan Tanah Besut serta pegawai penyelaras DUN memberikan banyak manfaat khususnya kepada penduduk pulau itu.
"Kita ambil pendekatan bersama-sama agensi memberikan kesedaran kepada rakyat tentang dasar negara dan negeri, disamping mempromosikan pulau ini.
"Kita juga tidak melupakan usaha dakwah apabila kempen Jom Solat Berjemaah serta aktiviti keagamaan turut diselitkan di dalamnya," katanya.
Mohd Nor menambah, Program Teganu Prihatin kali ini diadakan untuk mendedahkan kepada penduduk tentang pandemik Covid-19 serta kempen kesedaran vaksinasi dan pengamalan norma baharu untuk penduduk di situ.
"Ini usaha paling baik kerana kita turun bersama agensi dan jabatan untuk bantu komuniti lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman yang agak sukar untuk mereka keluar.
"Program ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan rakyat dan agensi selain memudahkan mereka menyelesaikan urusan berkaitan jabatan," katanya.
02 Apr 21
453
Naib Johan KRT 2021 Peringkat Kebangsaan Diraikan
KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan negeri sentiasa meraikan dan menyokong usaha Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dalam kejayaan dan pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai penghasilan produk keluaran tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kejayaan yang dicipta KRT Kampung Gong Baru dalam meraih Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2021 sebagai Naib Johan peringkat kebangsaan adalah tanda tercapai matlamat penubuhannya.
“Oleh itu, pada bulan lepas saya hadir di kampung ini bagi mendengar keluhan KRT di sini yang memerlukan dana pembaikan infrastruktur dan atap dewan.
“Jadi kerajaan negeri telah agihkan RM10,000 bagi membantu Kampung Gong Baru dan meningkatkan lagi semangat komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Dulunya KRT ditubuhkan di bawah portfolio perpaduan dan pembangunan masyarakat, cuma pada dekad ini kita letak bawah skop perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Bersama KRT Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, petang semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Sementara itu, Muhammad Khalil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha KRT di Batu Buruk itu dalam menambahkan keunikan pelancongan serta produk hasil komuniti.
“Kita telah dikenali dengan produk-produk dihasilkan masyarakat setempat seperti batik, songket, keropok lekor dan sebagainya, namun bukan sahaja boleh dibeli malah pengunjung boleh datang melihat kerja penghasilan oleh penduduk setempat,” jelasnya.
Menurut Pengerusi KRT Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Hanafiah Ismail, pihaknya pernah meraih Johan kategori Rukun Tetangga Terbaik pada tahun 2008 dan 2012, dan kini terkenal dengan produk seperti Songket Gong Baru.
01 Apr 21
615
Pasar Baharu Gong Parit Beroperasi 1 April
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Pasar baharu di Kampung Gong Parit akan beroperasi bermula 1 April ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pasar baharu itu bakal memuatkan 57 tapak perniagaan berbanding 19 tapak di pasar sedia ada.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu dan memberikan kebajikan kepada rakyat khususnya para peniaga untuk terus berdikari dalam menjana pendapatan.
“Saya berharap dengan pembinaan tapak baharu yang lebih selesa ini akan dapat memajukan lagi perniagaan semua yang berniaga di sini,” katanya dalam ucapan perasmian majlis perasmian tapak itu di lokasi berkenaan, baru-baru ini.
Jelasnya, pembukaan pasar baharu tersebut memastikan keselesaan peniaga serta pembeli terjaga selain menggantikan tapak lama yang lebih kecil bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk untuk berniaga.
"Konsep yang sebenar dalam memberikan kebajikan kepada rakyat ialah dengan memberikan kail dan bukannya memberikan ikan.
“Sekiranya kita berikan ikan kepada rakyat, ikan tersebut akan habis dimakan, namun sekiranya kita memberikan kail, maka rakyat akan berdikari dalam mendapatkan mata pencarian," katanya.
Tapak pasar lama yang sempit dan mengancam keselamatan pengguna
29 Mar 21
2482
Kehebatan Orang Terengganu Rentas Samudera Jadi Pameran
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri merungkai sejarah kehebatan generasi terdahulu dalam ilmu pelayaran merentasi samudera dengan kapal yang diciptakan melalui pameran yang diadakan.
Ahli Lembaga Pengarah PSKT, Zuraida Md. Noor berkata, pameran yang diadakan dengan gabung jalin dua jabatan itu merupakan usaha mendidik generasi kini agar mengenali sejarah sekali gus memupuk perasaan cinta terhadap nilai sejarah yang dimiliki.
“Pada zaman Revolusi Industri 4.0, sudah tentu tidak semua orang mengetahui bahawa Terengganu terkenal dengan ilmu pelayaran yang cukup dikagumi oleh pelayar-pelayar dunia suatu ketika dahulu.
“Terengganu juga telah berjaya membina kapal-kapal besar seperti Perahu Besar Pinis Gobel dan juga terkenal dalam penciptaan perahu sama ada secara tradisional mahupun moden.
“Terutamanya penduduk Pulau Duyong telah menggunakan bidang sains dan teknologi ini semenjak dahulu sekali gus membuktikan kepakaran dan kemahiran orang Terengganu dalam bidang ini sehingga dipandang hebat di mata dunia,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelancaran Pameran Bertema Samudera : Pelayaran Merentas Lautan Biru di PSKT, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif PSKT, Johan Ibrahim dan wakil Muzium Negeri Terengganu, Saberi Muda.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, justeru hasrat tersebut perlu disambut baik oleh semua pihak serta perlu dihebahkan di semua peringkat.
“Agar ia diberi perhatian, khususnya anak-anak pelajar agar nilai-nilai sejarah dihargai oleh seluruh rakyat Terengganu secara umumnya.
“Supaya status penting mengenai sejarah ini akan diketahui serta diterokai, juga mengetahui bagaimana Islam itu bertapak melalui hubungan perdagangan yang telah dirintis melalui samudera,” ujarnya.
Melalui galeri pameran itu pengunjung akan merasai suasana pembelajaran tentang cara pembuatan kapal dengan gabungan konsep sains dan teknologi secara santai bermula bulan April sehingga Jun.
Kesemua jenis perahu warisan negeri seperti Kolek Lincang, Bedar, Haluan Katup, Jalur, Kajangan, Payang, Sekoci dan Perahu Besar Pinis Gopel serta Bot Belakang Potong dipamerkan dalam galeri pameran berkenaan.
29 Mar 21
1502
ADUN Batu Buruk Ziarah Ahmad Izz
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama isterinya, Dr Farhaana Husainy Hasbullah hadir menziarahi kanak-kanak berusia 4 tahun, Ahmad Izz Danish Abdul Muhaimin yang menderita kanser saraf tahap empat dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), baru-baru ini.
Pertemuan dengan kanak-kanak berkenaan dan ibunya Noraisah Abdul Aziz, 36, sekadar bertanya khabar di samping menghulurkan sumbangan dari pihaknya.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan permohonan bantuan daripada Tabung Darul Iman bagi adik Ahmad Izz telah diluluskan.
“Kita harap semoga bantuan ini dapat menampung kos rawatannya serta kos perbelanjaan harian Puan Noraisah dan keluarga," katanya.
Menurut ibunya, penyakit kanser tersebut disedarinya setelah di'diagnose' oleh doktor pada November 2020 yang lalu.
"Ahmad Izz Danish kini sedang mendapatkan rawatan kimoterapi di HSNZ setelah menjalani pembedahan membuang ibu kanser yang berada di belakang perutnya," jelas Noraisah yang turut memaklumkan, anaknya itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan pemindahan sumsum tulang, pada Mei nanti.
Noraisah merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai, kini tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anaknya sepenuh masa di hospital.
29 Mar 21
737
'Jaga Sumber Air, Tanggungjawab Bersama' - Shaharizukirnain
SETIU, 29 Mac - Penjagaan sumber air adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak pada satu badan atau jabatan semata-mata.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, air adalah sumber penting dalam urusan kehidupan manusia dan makhluk lain.
"Hari ini serentak di seluruh negeri Terengganu mengadakan gotong-royong dengan bertujuan bagi menjaga kawasan persekitaran sumber air bebas daripada tercemar.
"Saya harap usaha ini dimainkan sebaik mungkin setiap daripada kita dan usaha ini dilakukan berterusan".
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak gotong-royong peringkat daerah Setiu, Lata Cangkah, Hulu Setiu sempena sambutan Hari Air Sedunia 2021 kelmarin.
Sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun membawa tema "Valuing Water" (Hargai Air) dilihat bertepatan,.
Dalam program itu, turut diadakan penanaman anak pokok dan pelepasan anak ikan spesis baung sebanyak 750 ekor ke sungai.
Program yang melibatkan agensi kerajaan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Hulu Setiu itu diadakan dalam keadaan norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
28 Mar 21
220
YPU Prihatin, Peniaga Tekad Majukan Perniagaan
DUNGUN, 25 Mac- Melihat kepada kecaknaan dan keprihatinan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membantu usahahawan dalam segala aspek termasuk bersedia membekalkan barnagan yang diperlukan ternyata menyuntik semangat peniaga untuk terus memajukan perniagaan mereka.
Seorang pengusaha kedai makan, Mohd Zaki Abu Bakar, 39, berkata, dia membuat permohonan untuk mendapatkan dapur dan payung meja makan pada akhir tahun lepas.
" Kalau dikira sebelum ini, memang tidak cukup dapur, sebab isteri saya masak semua menu yang kami jual di kedai kami, jadi dengan adanya tambahan dapur ini cepatlah sikit dapat disediakan dan dapatlah kami menambah menu," katanya yang mula berniaga bersama isterinya sejak 2008.
Mohd Zaki yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan barangan tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Balai Raya Alor Tempoyak di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai lima orang pengusaha kecil turut menerima sumbangan barangan daripada YPU di bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu yang telah banyak membantu peniaga - peniaga di Terengganu untuk berjaya.
Sementara itu, seorang pengusaha kek atas talian, Junainah Adam, 38 bersyukur kerana selepas ini dapat menyediakan stok kek untuk ditempah tanpa mengira masa.
"Sebelum ini, saya hanya ambil 'order' dua, tiga hari, sebelum tutup 'order' dan sehari suntuk saya akan buat kek dan buat 'cod', ini amat memenatkan,
"Jadi dengan adanya peti sejuk ini, bolehlah saya buat simpan kek dan boleh terima order pada bila-bila masa," ujarnya yang memohon peti sejuk bertingkat.
Sementara itu Alias mengingatkan agar penerima-penerima tidak mengsia-siakan pemberian kerajaan negeri untuk melihat rakyatnya maju di dalam perniagaan.
" Saya sangat harapkan agar barang - barang yang kita dapat ini tidak kita jual untuk nak duit tunai, gunakannya sebaiknya," ujarnya.
25 Mar 21
312
81 Penerima Fasa Pertama Geran RTB Pinang Merah
DUNGUN, 26 Mac – Seramai 81 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang terkilan menerima geran RTB Pinang Merah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, mereka terdiri daripada 41 peserta dari RTB terkilan Cherong Melintang dan 40 orang peserta dari RTB terkilan Beril.
“Ini merupakan program pertama yang melibatkan pemberian geran bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan baki-baki yang tinggal tu kita akan selesaikan sedikit demi sedikit dengan segera,” katanya.
Jelasnya, perkara ini melalui proses secara berperingkat dan ramai peserta kerana ia melibatkan empat DUN iaitu di DUN Paka, DUN Sura, DUN Rantau Abang dan DUN Bukit Besi.
“Proses untuk bagi mengeluarkan sekeping geran terpaksa melalui banyak proses sebelum diserahkan kepada peserta.
“Tetapi beruntunglah bagi mereka yang tergolong peserta terkilan ini kerana termasuk di dalam keputusan khas kerajaan negeri yang dikatogerikan peserta terkilan 1999 – 2004, maka proses tidak begitu panjang,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Geran RTB Tanah Terkilan DUN Paka.
Katanya, walaupun kerajaan tidak boleh membantu secara terus kerugian mereka yang dihadapi pada 20 tahun yang lalu, tetapi mereka sudah menerima kembali hak tanah pada masa sekarang dengan bayaran premium mengikut harga semasa pada 20 tahun yang lalu.
“Banyak duit mereka dihabiskan pada 20 tahun lalu tetapi hasilnya tidak ada.
“Jadi kita berbincang dengan kerajaan untuk mengekalkan bayaran premium tanah mengikut harga semasa dahulu iaitu dalah sekitar RM1100 lebih sahaja,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, mengingatkan agar mereka yang telah menerima geran ini, dapat bekerjasama bersama untuk membersih kawasan, ukur batu lot dan sebagainya.
“Kita taknak orang yang terima geran tetapi kawasan lotnya tidak terurus dan akhirnya naik semak kembali,”
“Sebab itu diingatkan agar mereka perlu menubuhkan jawatankuasa dan berpakat sesama mereka agar dapat sama rata,” ujanya.
25 Mar 21
346
Pelajar Ceria Terima Bantuan Persekolahan TNB
KUALA NERUS, 24 Mac - Keceriaan jelas tergambar di wajah 200 orang pelajar dari empat buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Nerus apabila menerima sumbangan set kelengkapan ke sekolah daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Pelajar berkenaan yang terdiri daripada kumpulan B40 menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 daripada TNB dan juga sagu hati.
Mereka yang terpilih diraikan dalam satu Majlis Ceria Ke Sekolah TNB di Duyong Marina Resort, bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Salah seorang penerima, Mohd Anuar Rusni, pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri meluahkan rasa gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima.
"Saya terharu dengan sumbangan yang diberi oleh TNB dan insya-Allah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan saya. Terima kasih TNB dan YB (Yang Berhormat) Dr Khairuddin," katanya ketika ditemubual.
Dalam pada itu, Dr. Khairuddin berharap bantuan itu dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan anak mereka ke sekolah, terutama berikutan pandemik COVID-19.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan terharu atas kerjasama yang diberikan oleh TNB dalam menyalurkan sumbangan kepada sebahagian pelajar di Kuala Nerus yang dikategorikan sebagai kurang kemampuan.
"Program sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa keluarga bahkan membina semangat yang akan melahirkan insan cemerlang di masa hadapan," katanya dalam majlis tersebut.
TNB perlu dicontohi oleh syarikat lain untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu rakyat dalam bentuk apa sahaja keperluan.
23 Mar 21
353
Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keadaan sebuah rumah yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Raja Chendering telah uzur dan hampir runtuh akibat dimakan anai-anai.
Pemiliknya, Che Ku Sanuwa Che Ku Man, 52, memaklumkan, keadaan lantai rumah tersebut yang rapuh telah mengancam keselamatan beliau sekeluarga.
Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah pernah menerima bantuan tahunan sebanyak RM600 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk menampung kos sara hidup.
Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun merasmikan gimik penyerahan rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa hari ini.
Menurut beliau, kos bagi membaikpulih rumah yang uzur tersebut sangat tinggi dan hampir sama nilainya dengan pembinaan rumah yang baharu.
Oleh itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah membuat permohonan bagi membina rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa.
“Rumah merupakan keperluan asas bagi seseorang manusia walau di mana sekalipun mereka berada.
“Justeru, pihak kami terus berhubung dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak Parlimen Kuala Terengganu untuk mempermudahkan kelulusan permohonan rumah baharu ini,” katanya.
Kos pembinaan rumah tersebut telah ditanggung oleh Kementerian Pembangungan Luar Bandar dan agensi Giat Mara yang telah mengambil perjalanan dalam membina rumah tersebut.
“Semoga pembinaan rumah baharu ini dapat menghilangkan kegusaran dan memberikan keselesaan kepada tuan rumah sekeluarga.
“Saya ucapkan terima kasih semua pihak dan agensi yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” tambahnya lagi.
22 Mar 21
1835