lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

PERTIMA Agih 250 Pek Bubur Lambuk
PERTIMA Agih 250 Pek Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - PERTIMA Trengganu Sdn. Bhd. (PERTIMA) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Adis telah mengadakan agihan 250 pek bubur lambuk kepada orang ramai. “Antara tujuan program komuniti ini diadakan adalah untuk mendekatkan PERTIMA dengan masyarakat. “Kita hendak ‘recall’ semula orang-orang lama yang telah mengenali PERTIMA dan mendekati orang yang baru mengenali kami,” kata Pengurus PERTIMA, Syed Mohd Asdi Tuan Ngah ketika ditemu bual pemberita. Program ini merupakan tahun kedua PERTIMA bekerjasama dengan JPKK Kampung Tok Adis bagi menjayakan agihan bubur lambuk. PERTIMA berhasrat untuk menjadikan ia sebagai program tahunan. “Insya-Allah, kita berhasrat untuk meluaskan lagi jalinan kerjasama dengan JPKK lain dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Batu Buruk bagi program agihan bubur lambuk ini pada masa akan datang,” tambah Syed Mohd Asdi lagi. Menurut beliau, selain agihan bubur lambuk, PERTIMA telah menganjurkan beberapa program lain seperti program berbuka puasa bersama anak yatim, sumbangan untuk petugas barisan hadapan dan agihan bubur lambuk di stesen RTM. Kini, PERTIMA sedang mengadakan promosi jualan Combo Aidilfitri di pasaraya Sabasun sehingga 31 Mei 2021 bagi membantu orang ramai mendapatkan produk PERTIMA dengan harga yang berpatutan.  
04 May 21
599
80 Anak Yatim, Asnaf Dan OKU Terima Sumbangan Aidilfitri
80 Anak Yatim, Asnaf Dan OKU Terima Sumbangan Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada wajah seramai 80 anak yatim,asnaf dan orang kurang upaya (OKU) dari  keluarga asnaf sekitar Ajil, Hulu Terengganu apabila diberi peluang menikmati juadah berbuka puasa dan menerima sumbangan Aidilfitri semalam. Mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun teruja dan gembira diberikan peluang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil untuk menikmati pelbagai jenis makanan dan menerima sumbangan itu di Terengganu Equestrian Resort (TER).  ADUN  Ajil, Maliaman Kassim berkata, majlis berbuka itu adalah acara tahunan yang diadakan setiap kali Ramadan bagi meraikan mereka yang kurang bernasib baik walaupun pada tahun lepas ia tidak dapat diadakan ekoran daripada Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Katanya, majlis berkenaan adalah program khidmat masyarakat yang diadakan untuk mengeratkan hubungan di antara Jabatan Amal Malaysia (JAM) DUN Ajil sebuah agensi di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia dan masyarakat luar. "Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada mereka di bulan mulia ini. “Anak-anak ini akan dijadikan anak angkat kepada Dun Ajil,apa apa permasalahan JPKK jangan segan atau malu untuk berhubung dengan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Ajil. “Saya amat teruja berpeluang menggembirakan mereka sambil menikmati hidangan dan menerima sumbangan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada program itu. Hadir sama pada majlis itu, Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Ustaz Ismail Osman. Bagi Muhammad Muith Multazam Mohd, 13, dari Kampung Jak, peluang menghadiri program itu bukan setakat menggembirakannya, malah berasa dikasihi oleh insan lain yang tiada pertalian persaudaraan dengannya. “Arwah abah, meninggal dunia sejak saya berumur 4 tahun dan sejak itu, ibu,  yang membesarkan saya,” katanya. Siti Nor Amri Sabri, 9, berkata dia hanya dapat menikmati kasih sayang ayah sementara sahaja kerana arwah bapanya meninggal dunia ketika dia berusia lapan tahun. “Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membawa saya dan anak yatim lain untuk berbuka puasa dan menerima sumbangan duit raya,” katanya.  
03 May 21
471
770,000 Penduduk Terengganu Sudah Dibanci
770,000 Penduduk Terengganu Sudah Dibanci
Seramai 770,000 atau 61 peratus daripada 1.26 juta penduduk di negeri ini selesai dibanci meliputi 220,000 tempat kediaman setakat tempoh sehingga 27 april 2021.
03 May 21
90
40 Keluarga Taman Indah Permai Terima Wang Saku
40 Keluarga Taman Indah Permai Terima Wang Saku
DUNGUN, 3 Mei - Seramai 40 keluarga di sekitar kawasan Bukit Merah, di sini menerima sumbangan wang saku sempena Ramadan daripada Surau Ar-Rayyan Pengerusi Surau Ar-Rayyan, Kholid Mahmud berkata, daripada 40 keluarga itu pihaknya mengambil lima keluarga daripada JPKK Bandar Paka, Kuala Paka, Limbong, Gong Gemia, Bukit Merah, Telaga Mas, Santong. Manakala katanya, pihak surau pula akan mencari lima lagi keluarga yang kurang bernasib baik. “Perkara ini kita bincangkan dengan AJK surau untuk buat pemberian sumbangan kepada 40 keluarga di sekitar Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Taman Indah Permai. “Inisiatif ini bagi mengelakkan golongan ini daripada tercicir daripada menerima bantuan Aidilfitri,” katanya ketika berucap di majlis sumbangan program tersebut. Sementara itu, Kholid berkata, bulan Ramadan kali ini terut diserikan dengan aktiviti gotong-royong untuk menyediakan bubur lambuk sehingga 25 Ramadan. “Setiap petang selepas Asar pihak surau kami ada membuat agihan bubur lambuk kepada sesiapa yang melalui jalan Santong ini dari Paka kepada 40 Keluarga Surau Ar-Rayyan," tambah beliau.    
02 May 21
330
Fakir Miskin, Anak Yatim, OKU Terima Bantuan Ramadan
Fakir Miskin, Anak Yatim, OKU Terima Bantuan Ramadan
DUNGUN, 3 Mei – Seramai 54 fakir miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Gong Gemia di sini menerima bantuan wang saku sempena ramadan daripada pimpinan masyarakat baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Gong Gemia, Mohd Ibrahim Md Din berkata, bubur lambuk yang dimasak bersama komuniti turut diberikan kepada 800 penduduk dalam majlis pemberian bantuan itu. Katanya, secara tidak langsung aktiviti terbabit juga dapat mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat sempena Ramadan. "Pada sebelah pagi ahli jawatankuasa JPKK Gong Gemia bersama-sama memasak bubur lambuk dan selepas zohor dibuat pengagihan. "Seramai 54 orang fakir miskin, anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) turut diraikan dengan pemberian wang saku selain 800 buah rumah menerima bubur lambuk kali ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media sejurus selepas Program Agihan Bubur Lambuk dan Sumbangan Fakir Miskin, Anak Yatim, OKU di Balairaya JPKK Gong Gemia. Katanya, perbelanjaan untuk mengadakan program tersebut adalah hasil kutipan derma orang ramai dan duit daripada JPKK sendiri. “Alhamdulillah, kita mendapat sambutan daripada orang ramai untuk menyumbang wang dan tenaga bagi menjayakan program ini. Terima kasih diucapkan,” ujarnya.
02 May 21
171
118 Penduduk Pinang Merah Terima Sumbangan Aidilfitri
118 Penduduk Pinang Merah Terima Sumbangan Aidilfitri
DUNGUN, 1 Mei - Seramai 118 orang penduduk Kampung Pinang Merah menerima bantuan beras dan wang saku. Pengerusi JPKK Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Wan Kaman berkata, sumbangan sempena Aidilfitri untuk sesi pertama diberikan kepada 83 orang terlebih dahulu. "Ini merupakan program saban tahun yang diadakan dan hari ini kita berikan kepada 83 orang dahulu penerima manakala 35 orang lagi akan menerimanya pada hari Selasa ini di Balairaya Pinang Merah," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Kad Sejahtera Bagi Penduduk Pinang Merah. Menurutnya, hasil kutipan sumbangan ini berjaya mengumpul RM10,000 lebih. "Sumbangan ini diperolehi daripada derma orang ramai, letak tabung di masjid dan sumbangan luar. "Jutaan terima kasih kepada penginfak, semoga nilai derma itu dilipatgandakan pahala oleh Allah di bulan Ramadan ini," ujarnya. Katanya, pada majlis sumbangan terbabit, turut dibuat penyerahan kad sejahtera kepada 26 orang peserta di Pinang Merah.  
01 May 21
790
Warga Dungun Diseru Daftar Suntikan Vaksin COVID-19
Warga Dungun Diseru Daftar Suntikan Vaksin COVID-19
DUNGUN, 27 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyeru warga Dungun agar segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera. Katanya, orang ramai sepatutnya tidak menolak untuk mendapatkan suntikan ini yang merupakan salah satu usaha bagi mengekang penularan wabak COVID-19. "Saya dimaklumkan sebelum ini, bilangan penduduk Dungun yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 ini ditangga keempat daripada lapan daerah di Negeri Terengganu, tetapi dalam sehari dua ini, bilangannya merudum, jatuh tempat kedua tercorot, ini bermakna ramai yang takut-takut untuk mendapatkan suntikan berkenaan," katanya.  Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan Ramadan DUN Rantau Abang yang diadakan di Dewan Al-Husna, Darul Ansor Kampung Alor Mak Bah di sini, baru-baru ini.  Dalam majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli itu seramai 150 orang fakir miskin dan 33 orang anak yatim telah menerima sumbangan.  Katanya , beliau sendiri telah selesai mendapatkan dua dos suntikan vaksin dan alhamdulillah tiada apa yang tidak diingini berlaku.  "Saya berharap janganlah kita mempercayai pelbagai khabar angin yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan tolonglah daftar sebagai ikhtiar kita mengelak daripada dijangkiti wabak ini," ujarnya.
27 Apr 21
505
'Pupuk Perpaduan dan Hargai Keharmonian'
'Pupuk Perpaduan dan Hargai Keharmonian'
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengingatkan bahawa semua rakyat di negara ini khususnya di Terengganu perlu menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang unik.
27 Apr 21
4
91 Orang Golongan Sasar Terima Sumbangan Bakul Ramadan
91 Orang Golongan Sasar Terima Sumbangan Bakul Ramadan
DUNGUN, 26 April - Seramai 91 penerima yang terdiri dari golongan fakir miskin menerima sumbangan 'Bakul Ramadan' daripada Masjid Taman Hadhari Paka. Pengerusi Masjid Taman Hadhari Paka, Tengku Amran Tengku Awang berkata, sumbangan bantuan makanan itu diagihkan di kawasan sekitar masjid berkenaan. "Kita bagi Bakul Ramadan ini melalui wakil Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berdekatan dengan masjid. "Antaranya JPKK Kuala Paka oleh Haji Marzuki dan JPKK Cacar Baru oleh Ustaz Azman Ali ," katanya ketika dihubungi pemberita. Menurutnya lagi, pihak JPKK akan mengagihkan batuan tersebut kepada golongan sasar mengikut senarai nama yang ada padanya. "Setiap penerima akan dapat barangan dapur dengan nilaian RM100 yang dikeluarkan daripada kewangan masjid." "InsyaAllah pemberian ini dapat menampung serba sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka," ujarnya.
26 Apr 21
322
200 Asnaf dan Anak Yatim Dirai Sempena Ramadan
200 Asnaf dan Anak Yatim Dirai Sempena Ramadan
KUALA NERUS, 25 April - Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak yatim dan asnaf dari Kuala Nerus apabila menerima sumbangan Infaq Ramadan serta bakul barangan asas yang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Seramai 200 orang anak yatim dan asnaf dari Kuala Nerus yang merangkumi 25 orang anak yatim dan 25 orang asnaf dari setiap empat buah Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Kuala Nerus telah menghadiri majlis penyerahan sumbangan dan majlis berbuka puasa berkenaan. Diadakan di Duyong Marina, majlis itu turut dihadiri wakil Malaysian Palm Oil Association (MPOC) dan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) ybagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf serta dalam masa yang sama mempromosikan kecemerlangan industri minyak sawit di Malaysia. Menurut Dr Khairuddin, sumbangan itu turut disumbangkan oleh MPOC dan PORAM . "Kita berharap sumbangan yang diadakan hari ini dapat meningkatkan lagi siri-siri infaq Ramadan kerana sememangnya Ramadhan terkenal dengan bulan infaq," katanya. Dalam pada masa yang sama, majlis turut meraikan seorang pelajar cemerlang dari Felda Tengkawan Kuala Berang, Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, yang telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik Malaysia serta ketujuh terbaik dunia dalam Peperiksaan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dalam subjek Laporan Perniagaan Strategik.  Nurul Fatin Nabihah ketika ditemubual turut menyatakan rasa terima kasih atas saguhati yang diberikan. “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dr Khairuddin atas saguhati yang diberikan dan berharap semoga generasi kini mampu berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa dekatkan diri kepada Allah bagi mencapai kejayaan," ujarnya. Beliau telah menerima saguhati sebanyak RM2,000 dari Dr Khairuddin atas kejayaan yang telah diperoleh serta telah mengharumkan nama sebagai seorang anak kelahiran felda dan Malaysia.
24 Apr 21
353