Artikel "Komuniti" Terkini
JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD
BESUT, 24 Mei – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersiap sedia membantu golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, PKPD selama dua minggu di kawasan terbabit menyebabkan ada golongan yang terputus bekalan makanan.
"Beras MyGAP Ganu akan disalurkan untuk warga Jabi yang kehabisan bekalan dalam tempoh dua minggu PKPD.
"Ada orang kita yang berkemampuan dan boleh manfaatkan kelonggaran ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) PKPD untuk keluar beli barangan keperluan harian.
"Tetapi ada orang kita yang walaupun diberi kelonggaran keluar cari bekalan, mereka tak dapat bekerja dan tiada duit, mereka inilah yang kita nak bantu dan wajib dibantu. Bukan beras saja, ada lagi barangan harian lain diberi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan bantuan makanan kepada semua JPKK DUN Jabi, hari ini.
Dr Azman turut menegaskan kepada semua Pengerusi JPKK agar meningkatkan lagi tahap kecaknaan terhadap keadaan rakyat di bawah dalam menghadapi hari-hari sukar ini.
"Kepada yang memerlukan, jangan segan dan malu untuk beritahu kepada 'Tok Ngulu' kita di kampung masing-masing. Beritahu terus kepada saya pun tak mengapa.
"Untuk keluarga yang sedang dikuarantin memang ada dalam senarai kita dan sudah dibantu. Jiran-jiran pun tolong prihatin tentang sesama kita Biar kita bersatu hati sama lapar dan sama kenyang dalam keadaan susah ketika ini" katanya lagi.
24 May 21
3669
Rakyat Patuh SOP, Penularan Mampu Ditangani
Penularan wabak covid 19 yang melanda seluruh dunia telah mengubah amalan kebaiasaan sebelum ini, kepada amalan normal baharu dalam aktiviti kehidupan harian.
24 May 21
100
PKP 3.0: Suasana Suram Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 23 Mei – Suasana sekitar Bandar Kuala Berang dan Pekan Ajil di sini kelihatan sedikit suram susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati premis perniagaan beroperasi seperti biasa namun pengunjung bagi mendapatkan barangan keperluan kini agak sunyi berbanding sebelum ini.
Manakala di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pekan Ajil menghala ke pusat bandar ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, jumlah kenderaan yang dilihat di daerah ini berkurangan berikutan ramai penduduk memilih untuk mematuhi arahan dengan duduk di rumah masing-masing.
Ia jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini, yang mana daerah ini sentiasa sibuk dengan jumlah kenderaan yang banyak terutama pada hari bekerja.
Peniaga pakaian, Nor Azila Elias, 34 berkata, jualannya agak merosot sebelum hari raya Aidilfitri lagi berbanding tahun lepas dan berikutan kekurangan pelanggan.
"Sebelum ini, jualan agak baik namun mula berkurangan apabila PKP dilaksanakan kerana prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis hari raya dan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.
"Kebanyakan pengunjung Bandar Kuala Berang pada musim tibanya perayaan adalah anak anak perantau yang pulang berhari raya untuk mendapatkan pelbagai barangan raya masing-masing," ujarnya.
Dia berkata, kini pelanggan dari luar tidak dapat merentas daerah susulan PKP dilaksanakan di seluruh negara menyebabkan perniagaan di Kuala berang hanya bergantung kepada penduduk Hulu Terengganu sahaja.
"Bayangkan, banyak pakaian tidak terjual apabila hanya tiga ke empat pelanggan sahaja yang datang dalam sehari sejak PKP dikuatkuasakan berbanding ramai pelanggan setiap hari sebelum ini," katanya.
Bagi peniaga ayam, Abd Razak Omar, 45 pula berkata, peniaga barangan basah sepertinya turut menerima nasib sama sebelum hari raya lagi.
"Jualan agak merosot dan tidak sebanyak dahulu namun nasib saya agak baik sedikit berbanding peniaga pakaian disebabkan barangan basah ini tidak hanya khusus untuk Aidilfitri sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, dia turut mendapati suasana Pekan Ajil yang agak suram apabila masyarakat tidak keluar melakukan aktiviti seperti sebelum ini kerana pematuhan PKP yang dilaksanakan.
Jelas beliau, situasi yang berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) usaha tersebut tidak lain bertujuan untuk memastikan keselamatan rakyat di negara ini.
"Kita semua kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan. Segala yang diputuskan oleh kerajaan ada hikmah di sebaliknya dan sudah tentu untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.
“Oleh itu apa yang perlu kita lakukan adalah mematuhi setiap arahan serta perlaksanaan PKP ini bagi membolehkan apa yang dirancang kerajaan berjaya dan semestinya untuk kepentingan semua,” katanya
23 May 21
2527
Lebih 400 Pelita Terangi Malam Raya Keluarga Zamani
KUALA NERUS, 13 Mei – Budaya malam pelita raya bagi menghidupkan suasana Aidilfitri diteruskan dengan rekaan tersendiri oleh sebuah keluarga di Kampung Padang Air.
Menurut Mohammad Zamani Harun, 45, lebih 400 pelita digunakan dengan reka bentuk unik menerangi kawasan rumahnya.
“Kos minyak kira-kira RM80 sehari, ia digunakan kerana harganya lebih murah berbanding minyak tanah.
“Setakat ini kami membelanjakan lebih RM500 untuk minyak diesel, pelita besi dan menggunakan kayu buluh untuk dijadikan pelita.
“Dengan adik beradik yang tinggal berdekatan disini, jadi ia memeriahkan dan memudahkan aktiviti menghiaskan sekeliling kediaman,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Tambahnya, penggunaan buluh sebagai pelita raya turut menjimatkan kos berbanding membeli pelita biasa namun cabarannya datang daripada mencari saiz yang sesuai.
Sementara itu, Zamani turut mencetuskan idea untuk membina replika kapal selam KRI Nanggala 402 yang karam di Indonesia baru-baru ini sebagai tanda mengingati pengorbanan mereka.
“Untuk memasang rekaan kapal selam itu pula memakan masa sehari, namun usaha itu berbaloi kerana ramai datang berkunjung untuk bergambar.
“Tahun lepas juga kita jadikan kereta using sebagai tarikan, ini adalah amalan tradisi keluarga yang diteruskan walaupun dalam norma baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walaupun hari raya disambut secara sederhana, aktiviti sebegini menaikkan semangat Aidilfitri dan eratkan hubungan kami sekeluarga," jelas Zamani.
13 May 21
751
PSMZA Sedia Lapan Bas Untuk Pelajar Balik Kampung Sempena Aidilfitri
DUNGUN, 9 Mei- Bersempena cuti semester dan Aidilfitri tidak lama lagi, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menyediakan lapan buah bas untuk membawa pelajarnya pulang ke kampung halaman masing-masing.
Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA, bas tersebut adalah daripada PSMZA dan turut disewa bagi melancarkan proses menghantar pulang pelajar seramai 200 orang.
"Mereka yang merentas negeri akan menaiki bas untuk pulang ke kampung dengan seorang pensyarah pengiring, manakala yang tinggal dalam Negeri Terengganu, ibu bapa akan datang untuk membawa pulang anak-anak mereka," jelasnya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail turut meluangkan masa meninjau kepulangan pelajar menaiki bas dan mengucapkan selamat jalan.
"Semua pelajar hendaklah sentiasa menjaga keselamatan dan patuh dengan arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19,” pesannya.
09 May 21
1352
1,370 Keluarga Di Rantau Abang Terima Sumbangan Bakul Makanan
DUNGUN, 6 Mei- Seramai 1,370 keluarga yang terdiri daripada penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima sumbangan bantuan Bakul Makanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sumbangan tersebut adalah inisiatif agensi kerajaan itu di dalam usaha membantu kerajaan negeri bagi menjayakan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 dan kerajaan Persekutuan, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) 2021.
"Terimakasih kepada JKM dan tahniah kepada penerima yang mungkin sebelum ini tertanya - tanya sebab apa tidak menerima sumbangan seperti RM100 kepada pekerja kedai makan, tukang gunting dan sebagainya, dan inilah rezeki tuan puan, Bantuan Bakul Makanan untuk penerima JKM yang juga bernilai RM100 ,"katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Bakul Makanan JKM di Balai Raya Kampung Che Lijah di sini.
Katanya, jumlah penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang itu merupakan yang teramai dalam DUN, Parlimen Dungun.
"Ini menunjukkan penduduk di DUN Rantau Abang merupakan penerima teramai bantuan bulanan daripada JKM seperti bantuan warga emas, ibu tunggal ataupun Orang Kelainan Upaya (OKU)dan banyak lagi kategori yang lain," ujarnya.
05 May 21
564
40 Pelajar Asnaf PSMZA Terima Sumbangan Aidilfitri
DUNGUN, 5 Mei- Seramai 40 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang digolongkan sebagai asnaf dari kalangan anak yatim dan fakir miskin menerima sumbangan sempena Ramadan kali ini.
Di majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu setiap pelajar menerima wang tunai hasil sumbangan kakitangan PSMZA untuk digunakan sebagai persiapan menyambut hari raya yang akan tiba tidak lama lagi.
Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas sumbangan hasil daripada kutipan para pensyarah dan kakitangan pusat pengajian tersebut yang prihatin.
Beliau juga berpesan agar pelajar yang menerima sumbangan berbelanja dengan berhemah.
"Disamping itu, tekun dalam mengulangkaji pelajaran memandangkan peperiksaan akan bermula selepas raya nanti," ujarnya dalam ucapan ringkas di majlis yang diadakan di Pusat Islam PSMZA.
05 May 21
392
100 Ibu Tunggal Diraikan Di DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 6 Mei - 100 orang ibu tunggal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah menerima pek bantuan makanan asas dalam satu program yang diadakan di Balairaya Kampung Gong Kemunting, semalam.
Program tersebut merupakan anjuran Kelab Ibu Tunggal DUN Batu Buruk dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk bagi meraikan sebahagian ibu tunggal yang kurang berkemampuan.
Norzy Osman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
“Program agihan pek bantuan makanan ini diadakan bagi meringankan beban sebahagian ibu tunggal di sini yang kurang berkemampuan untuk menyambut perayaan Aidilfitri nanti," kata Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Batu Buruk, Norzy Osman.
Menurut beliau lagi, inisiatif itu diadakan kerana sebahagian daripada ibu tunggal tersebut mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk menampung keperluan harian anak-anak.
"Insya-Allah, bantuan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang untuk memastikan kebajikan ibu tunggal sentiasa terpelihara," katanya lagi.
05 May 21
600
Anak Muda Diseru Sertai Pencalonan Anugerah Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Belia dan beliawanis dalam negeri ini dipelawa untuk mendaftar dan menyertai pencalonan Anugerah Khas Belia Terengganu 2021 bermula 6 Mei.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, anugerah yang menawarkan hadiah terkumpul sehingga RM20,000 itu membabitkan lima kategori bagi mengiktiraf kemampuan anak kelahiran Terengganu.
“Antara kategori tersebut adalah Anugerah Usahawan Belia Terengganu, Anugerah Belia Tani, Anugerah Sukarelawan, Anugerah Pemimpin Muda Terengganu (15 hingga 25 tahun) dan Anugerah Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu.
“Sebaik pendaftaran dibuka, borang penyertaan boleh dimuat turun dan diisi secara atas di www.beliaterengganu.org.my bermula 6 sehingga 20 Mei 2021.
“Untuk pengetahuan, program ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) & Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Hebahan Program tersebut di Permai Hotel, malam semalam.
Tambah Wan Sukairi, program tersebut mula diperkenalkan di peringkat negeri pada tahun 2019 bagi menghargai kumpulan belia dan beliawanis di dalam kategori Usahawan, Asas Tani, Permata dan Sukarelawan.
“Pada tahun 2021, anugerah tersebut terus dikekalkan dengan penambahan bagi kategori khas ADUN Belia Terengganu.
“Selain itu, ia juga meraikan kejayaan belia dan beliawanis yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang serta menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan belia ke arah meningkatkan pembangunan belia,” jelasnya.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.beliaterengganu.org.my atau talian Whatsapp di 09-624 2200.
05 May 21
413
Satiful Rai Anak Yatim, Ibu Tunggal Beli Kelengkapan Raya
DUNGUN, 5 Mei - Sambutan Andilfitri tahun ini lebih bermakna bagi anak yatim 273 orang anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka apabila dibawa membeli kelengkapan pakaian raya di sebuah pasaraya di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, turut diraikan 149 ibu tunggal di seluruh Paka dengan pemberian telekung sembahyang.
Katanya, keceriaan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim daripada keluarga kurang berkemampuan itu semasa memilih pakaian raya masing-masing.
Satiful mengingatkan agar seluruh masyarakat mengambil cakna jiran-jiran sekeliling yang tergolong dalam katogeri anak yatim, ibu tunggal atau fakir miskin untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
"Sekiranya ada sahabat-sahabat kenalan yang dikategorikan seperti tersebut supaya dapat maklumkan kepada JPKK agar mereka tidak tercicir dari perhatian Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Darul Aitam Paka, M Fakhruddin Abdullah berkata, seramai 273 orang anak yatim dari 167 keluarga dan 149 ibu tunggal di seluruh Paka terpilih menerima sumbangan terbabit.
"Ini merupakan kali ke lapan program ini dilaksanakan dan tahun lepas terpaksa ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Penerima diberikan baucar berniali RM100 untuk membeli kelengkapan raya di pasar raya Ten Ten, wang saku RM100 bagi anak yatim dan telekung sembahyang bagi ibu tunggal," katanya.
Menurutnya, setiap tahun Darul Aitam Paka akan membuat dua program besar iaitu sumbangan pakaian sekolah dan bantuan sumbangan Aidilfitri.
"Selain itu, agihan bulanan yang diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan tetap berjalan seperti biasa," ujarnya.
Katanya lagi, penyerahan baucer diberikan kepada seramai 57 orang anak yatim dan 45 orang ibu tunggal terlebih dahulu bagi mematuhi SOP kapasiti tempat manakala selebihnya akan diagihkan melalui JPKK setempat.
"Terima kasih kepada penderma-penderma serta Darul Aitam Paka sendiri yang berkerjasama dengan pihak PKM ADUN Paka dan YB ADUN Paka bagi meringankan beban golongan ini," ujarnya.
05 May 21
444