Artikel "Komuniti" Terkini
Kelab Kakitangan PSMZA Sumbang RM 6,000 Untuk Palestin
DUNGUN, 1 Jun- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) melalui kelab kakitangannya menyumbang sebanyak RM 6,000 sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab terhadap nasib yang menimpa saudara Islam di negara berkenaan.
Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, tragedi yang menimpa rakyat Palestin secara tidak langsung meningkatkan lagi kesedaran warga PSMZA untuk bersama perjuangan mereka dalam mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa.
"Atas komitmen itulah, pihak PSMZA melalui Kelab Kakitangan (S-Club) terpanggil untuk memberi sumbangan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ringkas penyerahan sumbangan Tabung Prihatin Palestin yang disampaikan kepada wakil Pejabat Aman Palestin Kemaman dan Dungun, Syahmiezan Sahrom, di sini.
“Kita mengharapkan sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat menampung dan meringankan beban rakyat Palestin dan juga dapat membela nasib bumi Palestin daripada terus dianiaya rejim Zionis” ujarnya.
01 Jun 21
335
40 Tahun Hidup Bersumberkan Air Telaga
SETIU, 29 Mei - Penantian kira-kira 40 tahun penduduk Kampung Wakaf Tengah, Gong Awang Lib dan Mengabang Lekor di sini untuk mendapatkan bekalan air bersih secara terus ke rumah berakhir selepas pemasangan paip utama mula berjalan.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi manfaat kepada lebih 30 buah keluarga.
Katanya, selama ini keluarga terbabit bergantung hidup kepada air telaga sepenuhnya.
"Kos bagi sambungan baru amat tinggi dan dikhuatiri menjadi beban kepada penduduk yang baru membuat permohonan.
"Jadi saya mewakili pihak DUN mengucapkan terima kasih kepada pihak Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang selama ini begitu cakna untuk menyelesaikan masalah ini.
"Selama ini kediaman penduduk yang berada di jalan utama tidak menghadapi masalah, namun penduduk yang tinggal jauh sedikit dari jalan besar sebaliknya.
"Alhamdulillah sangat bersyukur apabila masalah ini telah diatasi, dan sekarang ini projek pemasangan paip ini sedang dijalankan lebih 50 peratus, seluruh penduduk menyambut gembira," ujarnya kepada pemberita semalam.
Dalam pada itu, Shafizi mengharapkan agar penduduk Kampung Wakaf Tengah, Gong Awang Lib dan Mengabang Lekor akan dapat melakukan aktiviti harian seperti kawasan lain.
"Bekalan air yang diterima akan membantu penduduk memenuhi keperluan harian.
"Juga diharapkan anak-anak muda yang berhajat untuk mendirikan rumah di kampung ini dapat diteruskan, selama ini alasan mereka disebabkan ketiadaan bekalan air, semoga kawasan ini selepas ini akan pesat membangun dan akan membantu penduduk bagi melakukan pelbagai kegiatan ekonomi," ujarnya.
Sementara itu, bagi penduduk kampung, kemudahan ini adalah sesuatu yang amat dinantikan mereka.
Anuar Ngah, 51, berkata khabar terbaru itu sangat mengembirakan dirinya setelah sekian lama tinggal di kampung terbabit.
"Selama ini saya terpaksa bergantung dengan air telaga. Kalau hujan adalah air kalau tidak telaga akan jadi kering, untuk air minum pula kita ambil air dari surau.
"Sekarang ini rasa suka sangat alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)," ujarnya.
29 May 21
349
Komen Peniaga Tentang PKP 3.0, ‘Total Lockdown’
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan kerajaan dalam memutuskan penularan wabak COVID-19 mendapat respon yang pelbagai oleh sebahagian peniaga kecil.
Seorang peniaga, Ahmad Firdaus Abdul Talib, 31, berkata, kebenaran berniaga diberikan pihak berwajib melegakan mereka yang bergantung hidup menjual makanan.
“Alhamdulillah dalam keadaan PKP 3.0 ini, kerajaan masih benarkan kami berniaga untuk mencari pendapatan harian.
“Walaupun jualan tidak banyak seperti sebelum ini, namun cukup untuk saya sekeluarga untuk makan dan minum,” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Luahan yang sama turut dikongsikan Wan Zaib Wan Abdullah, 42, ujarnya perniagaan yang diusahakan itu merupakan satu-satunya sumber mata pencarian untuk menyara kehidupan mereka.
“Ketika PKP 1.0 dulu, memang sangat terjejas sehingga hendak bayar sewa pun saya tidak mampu. Bila boleh berniaga dalam keadaan sekarang saya rasa bersyukurlah,” katanya.
Namun, Zulhisyam Awang, 36 pula memberikan pendapat berbeza dengan berharap agar kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’.
“Saya bersetuju sekiranya pihak kerajaan membuat ‘total lockdown’ untuk menurunkan bilangan kes jangkitan COVID-19.
“Apabila kes turun dan semua aktiviti dapat dibenarkan semula, orang ramai dibenarkan semula untuk berekreasi di pantai dan kita boleh berniaga dan mendapat ramai pelanggan seperti sedia kala,” tambahnya.
Sebentar tadi, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata. sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, bantuan ekonomi kepada golongan tertentu sedang diperinci dan diumumkan dalam masa terdekat.
28 May 21
4237
Bantuan PKP, PKPD Diagih Secara Telus
BESUT, 28 Mei – Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa agihan bantuan kepada rakyat yang berdepan dengan situasi terdesak akibat wabak COVID-19 terutama di daerah Besut, dibuat secara telus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, setiap tugasan yang diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan dipantau perlaksanaannya.
Malah jelasnya, laporan mesti dihantar ke Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk direkodkan.
"Mohon jangan ada pihak terlalu mudah buat tohmahan tanpa bukti bahawa agihan tidak telus, ‘Tok Ngulu’ makan sendiri, ‘Tok Ngulu’ bagi anak beranak dan sebagainya.
"Kalau ada bukti, saya terbuka untuk terima dan buat tindakan pembetulan. Setiap kelemahan mesti diperbaiki," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan barangan bantuan sempena PKPD Besut di setiap rumah Pengerusi JPKK Dun Jabi, semalam.
Ujar Dr Azman, bilangan keluarga yang dikuarantin di Jabi semakin meningkat, sehubungan dengan itu pihaknya akan menyelesaikan dulu agihan bekalan untuk mereka yang tidak dapat keluar rumah kerana dihadkan pergerakan.
"Untuk meminimakan pergerakan, ‘Tok Ngulu’ hanya perlu tunggu di rumah. Saya akan menghantar barang untuk diagihkan kepada penerima yang telah disenaraikan.
"Ingatan kepada 'Tok Ngulu' jangan ada seorang pun anak buah kita yang memerlukan pertolongan tercicir daripada menerima bantuan. Kena perhatikan sebaiknya dalam kampung masing-masing. Slogan PKPD kita, biar sama lapar sama kenyang," katanya.
Tambahnya, bantuan sebanyak RM400,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri untuk Besut baru-baru ini sedang dan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan.
"PKPD mungkin berlanjutan melihat kepada situasi kes sekarang. Kita perlu rancang program bantuan sebaiknya agar memberi manfaat dengan tepat kepada sasaran dalam tempoh PKPD berkuatkuasa.
"Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Jabi menggunakan sumber-sumber tambahan lain agar keperluan rakyat mampu dipenuhi dalam situasi mendesak sekarang," tambah beliau.
Tegasnya, setiap sen yang dibelanjakan adalah direkodkan dengan laporan lengkap perlu dihantar kepada pentadbiran negeri.
28 May 21
506
Punca Rezeki Nelayan Lenyap Sekelip Mata
Oleh: Naim Fadhilah Kamaruddin
DUNGUN, 26 Mei - Bot Kelas B yang digunakan oleh seorang nelayan untuk menangkap ikan musnah terbakar sekelip mata di Pengkalan Sungai Buaya, pagi kelmarin.
Mangsa, Ab Rashid Isa, 48, berkata, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, dia sedang membaiki bot rakannya tidak jauh dari lokasi botnya terbakar.
"Sewaktu kejadian saya tengah baiki bot kawan saya dekat sahaja dengan bot saya itu, tiba-tiba diberitahu ada kepulan asap dan tak sangka asap itu berpunca daripada bot saya sendiri.
"Saya redha perkara yang terjadi, Allah baru ambil harta, belum nyawa saya. Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku", ujarnya kepada pemberita.
Ab Rashid berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan api pada bateri enjin bot.
Dalam kejadian itu, pihak Bomba dan Penyelamat Dungun berjaya mengawal api daripada terus merebak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau akan cuba bantu dari sudut kewangan memandangkan punca pendapatan bagi nelayan tersebut telah terjejas.
"Saya akan cuba bantu menampung sedikit kos baik pulih bot tersebut dan menghulurkan wang perbelanjaan memandangkan punca pendapatannya terjejas," ujarnya.
26 May 21
736
Terengganu Kutip RM4.7 Juta Untuk Rakyat Palestin
Tabung Kemanusiaan Palestin yang digerakkan kerajaan negeri Terengganu serta badan bukan kerajaan dan parti politik di negeri ini berjaya mengumpulkan RM4.7 juta dalam tempoh satu minggu.
25 May 21
265
Terengganu Terus Catat Tiga Angka COVID-19
Terengganu terus mencatat tiga angka bagi kes harian baharu COVID-19 apabila sebanyak 203 kes baharu dilaporkan, pada 19 Mei lalu.
25 May 21
183
Taman Awam Pantai Batu Burok Ditutup Hingga 7 Jun
Taman awam pantai Batu Burok, ditutup buat sementara waktu berkuatkuasa 15 Mei sehingga 7 Jun depan bertepatan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
25 May 21
115
Rantau Abang Kumpul RM122, 585 Untuk Dana Palestin
DUNGUN, 25 Mei- Sebanyak RM122, 585 telah berjaya dipunggut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, hasil sumbangan pelbagai kelompok masyarakat yang bersimpati dan prihatin dengan kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, punggutan yang dikumpulkan tidak sampai dua minggu itu mengambarkan mereka juga mempunyai rasa tanggungjawab untuk bersama-sama rakyat Palestin melawan Yahudi Zionis Laknatullah dengan menyumbangkan harta yang mereka ada.
"Terima kasih kepada penyumbang di DUN Rantau Abang yang terdiri daripada pelbagai kelompok bukan sahaja daripada PAS cawangan-cawangan tetapi juga masyarakat awam yang terpanggil apabila melihat dari media - media sosial, kekejaman Yahudi Zionis Laknatullah itu tiada berkesudahan, berpanjangan sekian lama.
"Sehingga bayi yang baru lahirpun, seawal kelahiranpun sudah mendengar bedilan dan tembakan peluru - peluru," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi ziarah beliau di Kampung Kuala Abang di dino, baru- baru ini.
Alias turut memaklumkan bahawa sumbangan masih diterima daripada orang ramai dan pihaknya akan terus mengumpulkan untuk fasa kedua dan seterusnya.
"Saya menyeru agar masyarakat ambil peluang untuk menyumbang kerana menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membela rakyat Palestin dan seterusnya membebaskan bumi Palestin kembali semula ke tangan orang-orang Islam," katanya lagi.
24 May 21
328
Mayat Nelayan Hilang Ditemui
Satu mayat dipercayai salah seorang mangsa yang dilaporkan terlibat dengan kejadian hilang di laut, ditemui terapung pada jarak lebih kurang 17 batu nautika dari Pulau Kapas pada Khamis lalu.
24 May 21
166