lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

40 Peratus Daftar Vaksin Di Dungun
40 Peratus Daftar Vaksin Di Dungun
DUNGUN, 16 Jun - Hanya 40 peratus individu yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Dungun sehingga kini. Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr Fathul Hakim Hamzah berkata, kesedaran orang ramai sangat penting kerana suntikan ini untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.  "Kerjasama orang ramai amat diperlukan memandangkan peratusan mereka yang mendaftar masih rendah di Dungun. "Sehingga kini 51,000 orang yang sudah mendaftar untuk suntikan vaksin dan hanya 40 peratus daripada sasaran kita, maksudnya masih ramai lagi di daerah ini yang belum mendaftar," jelasnya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Dungun yang diketuai Ab Hamid Ismail di pejabatnya di sini. Katanya, daripada jumlah yang mendaftar tersebut, seramai 9,000 telah menerima suntikan vaksin. "Jadi saya harap anak-anak bantu mak ayah dikampung untuk daftar vaksin, bantu orang-orang kampung untuk daftar kerana vaksin adalah ikhtiar kita untuk hentikan penularan wabak COVID-19, " ujarnya. Menurut beliau, terdapat dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ataupun Pusat Suntikan Vaksin Awam di daerah berkenaan iaitu di Dewan Aspirasi, Universiti  Teknologi MARA (UiTM) Dungun dan Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA). Beliau turut mengingatkan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan pelbagai khabar angin negatif tentang vaksinasi COVID-19. "Jika ada apa-apa persoalan boleh bertanya kepada mereka yang berautoriti dan bertanggungjawab, " katanya.  Katanya lagi, vaksinasi adalah salah satu cara di dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengurangkan seminima mungkin wabak tersebut. "Selain itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Sepenuhnya (Total Lockdown) yang dilanjutkan lagi selama dua minggu, jadi sama-sama kita patuhi untuk putuskan rantaian jangkitan sepanjang dua minggu ini, 'stay at home', hanya keluar jika ada keperluan mendesak, pakai pelitup muka dan kerap basuh tangan, " ujarnya. 
16 Jun 21
533
2,000 Penduduk Terima Bantuan BERKAT 3.0 Di Rantau Abang
2,000 Penduduk Terima Bantuan BERKAT 3.0 Di Rantau Abang
DUNGUN, 14 Jun- Seramai 2,000 penduduk terdiri daripada golongan yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan 'total lockdown' menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri Terengganu itu memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk setiap DUN.  "Terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas inisiatif membantu rakyat yang terkesan. "Dimana untuk fasa pertama, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN Rantau Abang telah selesai mengagihkannya," katanya ketika dihubungi di sini.  Menurut Alias, bantuan tersebut bernilai RM100 termasuk wang tunai dan barangan dapur. "Besar harapan saya agar rakyat berjimat  cermat dan berbelanja barangan perlu sahaja, jika masih ada yang belum menerima sebarang bantuan, berjumpalah dengan JPKK di tempat masing-masing, InsyaAllah, JPKK akan membantu, " ujarnya. 
14 Jun 21
445
Rumah Ditimpa Pokok Segera Dibaiki
Rumah Ditimpa Pokok Segera Dibaiki
DUNGUN, 14 Jun- Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan (JPKK) Pulau Serai mengambil tindakan segera dengan membaiki sebuah rumah penduduk yang ditimpa pokok. Salwana Abdul Halim, 40, terharu dengan kecaknaan JPKK Pulau Serai yang membantu membaiki rumahnya.  Katanya, apabila diberitahu kejadian tersebut masing-masing datang menolong. "Memandangkan hari Jumaat kedai 'hardware' tutup jadi kerja-kerja membaik pulih atap terpaksa ditangguhkan hingga keesokan hari," ceritanya katanya ketika dihubungi selepas kejadian Jumaat lalu.    Menurut ibu enam anak itu, sewaktu kejadian suaminya, Ahmad Maharan Mat Rani, seorang nelayan tiada di rumah dan dalam perjalanan pulang  setelah menangkap ikan.  "Masa tu saya sedang memasak di dapur, apabila saya mendengar bunyi di luar rumah, saya keluar untuk menjenguk, masa tu saya nampak pokok jatuh atas atap bahagian dapur, tempat saya berdiri sedang memasak tadi. "Alhamdulillah saya dan anak-anak selamat, tiada yang cedera dan JPKK kata YB akan tanggung baiki semua yang rosak, terima kasih banyak kepada YB Cikgu Alias dan semua yang membantu," katanya lagi.  Sementara itu Pengerusi JPKKnya, Abd. Halim Abd. Rahman, memberitahu pihak Pusat Khidmat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang  telah menghantar tukang rumah untuk melakukan kerja - kerja membaik pulih atap rumah tersebut. "Alhamdulillah semua dah selesai, maknanya tuan rumah tidak menunggu lama, YB urus selalu, hantar tukang mari pasang atap baru," katanya.   
13 Jun 21
342
'Gerobok Rezeki' Bantu Penduduk Terjejas
'Gerobok Rezeki' Bantu Penduduk Terjejas
SETIU, 11 Jun - Menyedari ramai individu yang terkesan ketika pandemik COVID-19, pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif melancarkan Projek Gerobok Rezeki. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, idea untuk memperkenalkan projek itu tercetus apabila ramai penduduk di Batu Rakit mahu memberikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan. "Antara barangan keperluan harian disediakan termasuk beras, minyak masak, tepung gandum, gula, bihun, serbuk tea, biskut serta susu pekat dan lain-lain lagi. "Gerobok Rezeki yang diletakkan di luar bangunan surau-surau di DUN ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran projek itu di Surau Tanjung Kedepan, Batu Rakit, di sini baru-baru ini Dalam pada itu, Mohd Shafizi berkata, pihaknya mengalu-alukan individu yang memerlukan untuk mengambil barang keperluan harian itu. “Mereka boleh mengambil barang tersebut namun berharap mengikut apa yang diperlukan sahaja. Sasaran kita ialah membantu sebanyak mungkin penduduk sekitar daerah ini yang berada dalam kesusahan. “Bagaimanapun, kami meminta mereka yang mengambil bahan makanan untuk mencatatkan butiran diri pada buku catatan yang disediakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya. Tambahnya, pihaknya juga mengalu-alukan orang ramai serta syarikat swasta untuk memberikan sumbangan bahan makanan kepada pihak JPKK. Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan wang tunai boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam, Batu Rakit Care (13062010005732).
11 Jun 21
669
Dua Pelajar Tinggal Sehelai Sepinggang Dibantu
Dua Pelajar Tinggal Sehelai Sepinggang Dibantu
DUNGUN, 8 Jun -Pengerusi Ahli Lembaga Pengurus Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin (SRABZA), Alias Harun memberi jaminan akan menghulurkan bantuan kepada dua pelajar sekolah terbabit yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka di Kampung Che Lijah hangus terbakar Jumaat lalu. Katanya, pihak sekolah akan membantu menyediakan pakaian dan peralatan sekolah serta mengecualikan yuran kepada Nur Alya Dalili Mohd Nizam,10, dan adiknya Muhd. Aziq Azril, 9. "Yuran bulanan persekolahan mereka dikecualikan selama tiga bulan iaitu Jun, Julai dan Ogos," katanya ketika dihubungi pemberita. Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berharap, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung setelah rumah yang  diduduki sekeluarga bersama nenek mereka musnah terbakar.  Sementara itu, Guru Besar SRABZA, Norzadiha Ibrahim bersama-sama ADUN  Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Khas Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid dan  Zakaria Tahir yang juga Ahli Lembaga Pengurusan SRABZA  turut berkunjung bertemu keluarga Alya dan Aziq yang kini  menumpang di rumah nenek mereka serta menyampaikan sumbangan kewangan. "Pihak sekolah sangat bersimpati dengan musibah yang menimpa mereka, kami cuba membantu semampu mungkin," ujarnya.   
08 Jun 21
1141
50 Penduduk Terima Bantuan Keperluan Asas
50 Penduduk Terima Bantuan Keperluan Asas
Oleh : Bintu Lutfi  KUALA NERUS, 6 Jun- Seramai 50 penduduk Taman Perumahan Gong Badak mendapat manfaat Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) taman perumahan tersebut, Mohd Sidek Abdullah berkata, mereka terdiri daripada ibu tunggal dan golongan B40 yang terjejas pendapatan setelah perintah 'Total Lockdown' dilaksanakan di seluruh negara.  "Penerima agihan fasa pertama BERKAT 3.0 ini menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, teh dan pelbagai lagi. "InsyaAllah, pihak kami akan berusaha untuk membantu meringankan beban golongan terjejas dalam masyarakat terutamanya penduduk taman ini sebaik mungkin dengan kadar segera," katanya.  Sidek berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan tersebut di Balairaya Taman Perumahan Gong Badak di sini, kelmarin. Beliau turut mengajak masyarakat bekerjasama dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) agar pandemik COVID-19 dapat dibendung.  "Usaha kita mestilah bersama bekerjasama memutuskan rangkaian COVID-19 ini. Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT melindungi semua lapisan masyarakat kita," ujarnya. 
06 Jun 21
206
ADUN Batu Buruk Agih 2000 Kg Ikan Segar
ADUN Batu Buruk Agih 2000 Kg Ikan Segar
KUALA TERENGGANU, 5 Jun – Sebanyak 2000 kilogram ikan segar diagihkan kepada mereka yang terjejas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam. Agihan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) yang diumumkan oleh kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini bagi meringankan bebanan mereka yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dijalankan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan secara berperingkat. “Peringkat awal ini kita adakan agihan ikan sebanyak 2000 kilogram dan selepas ini kita akan agihkan bantuan makanan asas kira-kira 900 pek. “Terima kasih juga saya ucapkan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Datuk Ahmad Amzad Hashim yang turut memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada warga DUN Batu Buruk,” katanya lagi. Menurutnya, separuh daripada jumlah agihan ikan tersebut ialah sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, manakala separuh lagi merupakan peruntukan daripada DUN Batu Buruk.  
05 Jun 21
343
Lagi PPV Mega Dibuka Di Terengganu Ahad Ini
Lagi PPV Mega Dibuka Di Terengganu Ahad Ini
KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega akan dibuka di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, mulai 6 Jun depan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tambahan PPV di universiti awam (UA) itu akan membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan lebih cepat. “Langkah kerajaan menjadikan sebahagian IPT (institusi pengajian tinggi) sebagai PPV adalah bagi membantu PICK dalam menyediakan akses lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin," katanya ketika bersiaran secara langsung di Tv Darul Iman, hari ini. Menurutnya, sehingga 31 Mei lalu, rakyat di negeri berkenaan yang mendapat suntikan dos pertama adalah sebanyak 13.8 peratus ataupun seramai 41,770 orang. Manakala yang mendapat suntikan lengkap dua dos hanya 4.9 peratus iaitu seramai 14,881 orang. Beliau menyifatkan kadar tersebut masih rendah sambil menambah, kerajaan negeri melakukan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesemua rakyat mendapat suntikan vaksinasi. “Bagi mengatasi masalah suntikan yang rendah ini, kerajaan telah menambah pusat vaksinasi sedia ada. Setakat ini kapasiti bagi kesemua PPV yang ada di Terengganu adalah sebanyak 3,308 hingga 5,380 vaksin sehari. “Dan kita juga akan buka suntikan pada hari Sabtu dan terbaru adalah dengan kerjasama bersama UniSZA. UniSZA akan buka PPV mega dan dijangka akan beroperasi bermula 6 Jun (Ahad) ini. “Bagi suntikan mega di UniSZA kita anggarkan mampu memberi suntikan kepada 1,500 orang dalam masa sehari. “Selain itu, mereka juga ingin membantu kakitangan hospital yang kekurangan tenaga kerja dengan menggerakkan ‘mobile team’ untuk pergi ke kampung-kampung pedalaman yang melibatkan 50 pakar klinikal bagi membntu masyarakat yang sukar hendak pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya. Dalam pada itu, tambah Alias, beberapa klinik swasta, turut memberi kerjasama dalam membendung masalah tersebut. “Pejabat Hal Ehwal Agama Terengganu dan badan bukan kerajaan (NGO) juga terlibat dalam usaha sama untuk kita buka juga pusat vaksin ini di masjid-masjid. “Ini semua usaha-usaha kerajaan supaya mencapai target pada akhir tahun ini untuk memberi vaksinasi kepada 70 hingga 80 peratus rakyat negeri Terengganu, insya-Allah,” ujarnya.
04 Jun 21
1199
4 Tan Ikan Diagih Kepada Penduduk
4 Tan Ikan Diagih Kepada Penduduk
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Sebanyak empat tan ikan cencaru diagih kepada penduduk di daerah ini khususnya golongan B40 dan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sumbangan kepada lebih 4,000 keluarga itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya bagi mengurangkan beban rakyat. “Setiap golongan sasar akan menerima satu kilogram ikan tersebut yang telah diagihkan melalui wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), saya anggarkan 16,000 orang akan menerima manfaat itu. “Untuk tempoh seminggu ini kita telah membelanjakan sekitar RM200,000 untuk daerah, sebelum ini kita turut agihkan barangan keperluan harian kira-kira 1,200 bakul makanan berisi beras, minyak masak, tepung dan lain-lain lagi kepada golongan memerlukan,” katanya selepas Program Bantuan Bekalan Basah di Flat Ladang, hari ini. JPKK sedang membungkus ikan untuk diagihkan kepada penduduk. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi. Menurut Ahmad Amzad, sebelum ini pihaknya turut mengagihkan 10,000 keping roti canai kepada penduduk dan ia dapat membantu menjana ekonomi lebih 30 peniaga roti canai sekitar Kuala Terengganu. Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, selepas ini pihaknya juga akan mengagihkan bahan mentah seperti ayam kepada golongan memerlukan selain sumbangan 1,200 bakul makanan. "Keutamaan sumbangan bakul makanan kali ini adalah mereka yang belum terima bantuan yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK). Seiring dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dan PKPD, mereka akan hantar sumbangan terus ke rumah penerima,” katanya. Tambah Ahmad Amzad lagi, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan kerjasama setiap DUN turut bersedia jika ada sebarang keciciran dalam agihan bantuan yang berlaku. “Kita juga membuat persiapan jika ada yang tercicir, jika ada orang keputusan bekalan makanan di rumah tolong beritahu kepada wakil rakyat masing-masing, kita akan bantu,” katanya.  
04 Jun 21
817
Penduduk Dungun Patuh SOP
Penduduk Dungun Patuh SOP
DUNGUN, 2 Jun - Tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) oleh penduduk Dungun melebihi 95 peratus. Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pematuhan SOP dengan memakai pelitup muka, pendaftaran melalui MySejahtera ketika memasuki premis, penjarakan sosial dan mencuci tangan menggunakan hand sanitizer.  "Kita dapati sepanjang Sekatan Jalan Raya (SJR) semuanya ada borang rentas daerah, surat daripada majikan ataupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," ujarnya. Beliau menyatakan demikian ketika kunjungan hormat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Dungun yang diketuai Pegawai Koordinatornya, Ab Hamid Ismail ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, di sini kelmarin. Katanya,  untuk PKP 3.0, MKN menetapkan pergerakan yang dihadkan daripada 8 pagi hingga 8 malam dengan radius 10 kilometer dari kediaman tetapi jika mempunyai urusan penting kebenaran akan diberikan.  "Jika sekiranya ada urusan penting, urusan bank, contohnya, bank tidak ada di kawasan Bukit Besi, Kuala Jengai dan Jerangau walaupun melebihi 10 kilometer, kita benarkanlah," katanya.     
02 Jun 21
253