Artikel "Komuniti" Terkini
320 Ekor Ayam Diagih Kepada Penduduk Terlibat PKPD
DUNGUN, 19 Julai- Sebanyak 320 ekor ayam telah diagihkan kepada penduduk Gong Pasir yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) sebagai usaha menjaga kebajikan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, inisiatif tersebut dilakukan kerana menyedari mereka menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan dalam meneruskan kehidupan seharian setelah dikenakan PKPD sejak 10 Julai lalu.
"Agihan ayam pada hari ini adalah mengira kesukaran untuk mendapatkan bekalan untuk lauk pauk memandangkan pergerakan mereka yang terhad, walaupun seorang dari satu keluarga dibenarkan keluar, itu pun kalau di kawasan ini tiada barang yang amat diperlukan dan perlu mendapat kebenaran pegawai bertugas di pondok sekatan," katanya selepas agihan tersebut dilakukan, semalam.
Menurutnya, PKPD yang akan berakhir pada 23 Julai itu, melibatkan 120 orang sebahagian penduduk di Kampung Gong Pasir, 130 orang Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, 40 orang yang berada di Taman MAIDAM dan selebihnya yang tinggal di sekitar ketiga-tiga tempat tersebut.
"Jadi diharapkan mereka banyak bersabar apatah lagi terpaksa berhari raya di dalam tempoh PKPD kerana ini adalah kebaikan kita bersama untuk mencegah penularan pandemik COVID-19," ujarnya lagi.
18 Jul 21
170
Komited Tunai Janji
DUNGUN, 17 Julai- Kerajaan negeri dibawah pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) komited melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) yang lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, ini membuktikan kerajaan hari ini, apabila berjanji, mengotakannya bukan hanya janji-janji manis.
"Saya melihat kepimpinan hari ini dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, kejayaan - kejayaan selain manifesto terlalu banyak untuk kesejahteraan rakyat Terengganu terutama semasa menangani pandemik COVID-19 dengan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Program Bual Bicara Manifesto 'Kata DiKota' yang disiar secara langsung di TV Dungun.
Program anjuran Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Dungun itu turut menampilkan Pegawai Penyelidik (Hal Ehwal Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda sebagai ahli panel dan dikendalikan oleh peguam muda, Hafizul Faris Che Razlan.
Ujarnya lagi, kerjasama erat kepimpinan sekarang sehingga ke peringkat kepimpinan paling bawah yang sentiasa prihatin dan cakna kepada rakyat.
"Bukan di peringkat atasan sahaja malah sehinggalah kepada peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut bekerja keras untuk memastikan rakyat hidup selesa," katanya lagi.
16 Jul 21
121
Tiga Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang
Oleh: Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
DUNGUN, 15 Julai - Tiga beranak hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di Kampung Bukit Besi di sini musnah dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 10.30 malam pada 11 Julai lepas, keluarga terbabit dianggarkan mengalami kerugian lebih RM85,000 apabila semua barangan di dalam rumah tidak sempat untuk diselamatkan.
Mangsa, Muhammad Nasril Haqim Mohtar, 23, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta anak tiada di rumah.
"Masa tu saya keluar ke Kampung Jerangau kerana ada urusan penting, isteri dan anak pula berada di rumah ayahnya. Dapat panggilan dari jiran dia beritahu rumah saya terbakar," ujarnya kepada pemberita.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Zul Husni Abdul Rahman berkata, dua buah jentera bomba dari Balai Bomba AMBS dan Balai Bomba Dungun dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 16 anggota termasuk bantuan daripada penduduk kampung setempat, sebaik menerima panggilan jam 11.41 malam.
Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak membakar rumah berkenaan dan kerja pemadaman dilakukan dalam kedaan hujan.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Musibah yang menimpa keluarga mangsa mendapat perhatian Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli Dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut menziarahi mereka pada keesokan hari kejadian berlaku.
Dalam kunjungan tersebut, Wan Hassan turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai untuk meringankan beban keluarga terbabit.
15 Jul 21
575
318 Terlibat PKPD Terima Bantuan
DUNGUN, 14 Julai- Seramai 318 ketua isi rumah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Sura menerima bantuan barang keperluan seharian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, agihan bantuan dari rumah ke rumah yang terlibat dengan PKPD itu melibatkan tiga lokaliti iaitu Kampung Gong Pasir, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir dan Taman MAIDAM.
"Agihan terpaksa dilakukan secara berperingkat memandangkan kita menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan," katanya yang ditemui selepas agihan tersebut.
Katanya, kerja-kerja pengagihan sumbangan yang bermula Ahad lalu, diadakan selama tiga hari tetapi mereka akan terus dibantu sehingga berakhir PKPD.
"PKPD yang bermula pada 10 Julai sehingga 23 Julai itu telah menghadkan pergerakkan penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan seharian mereka.
"Terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) PAS Cawangan, i-MiTS, Unit Amal serta agensi keselamatan Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang banyak membantu," katanya.
13 Jul 21
270
“Terap Semangat Kerjasama Hadapi Musibah” – ADUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Komuniti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah mengadakan program gotong-royong untuk membaik pulih rumah mangsa yang dilanda bencana ribut pada 6 Julai lalu.
“Alhamdulillah, nilai dan semangat kerjasama ini sangat penting untuk kita terapkan dalam menghadapi situasi musibah seperti ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penduduk setempat yang turut sama berganding bahu menghulurkan bantuan,” kata ADUN Batu Buruk,
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut sama menyertai program gotong-royong tersebut.
Muhammad Khalil memasang atap rumah mangsa.
Menurut Ustaz Muhammad Khalil lagi, sebanyak 392 aduan kerosakan rumah dalam DUN Batu Buruk telah dilaporkan akibat bencana ribut berkenaan dan kerja-kerja membaik pulih rumah telah dijalankan.
Sementara itu, Pemuda PAS DUN Batu Buruk juga telah mengadakan gotong-royong untuk membaik pulih rumah di beberapa kawasan dalam DUN Batu Buruk.
“Alhamdulillah, hari ini kami telah membaik pulih sebanyak lima buah rumah yang telah rosak akibat bencana ribut yang melanda baru-baru ini,” kata Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Batu Buruk, Ustaz Ahmad Firdaus Mohd ketika ditemu bual pemberita.
“Gotong-royong ini kami mulakan pada pukul 3 petang di Jalan Kenanga sebanyak dua buah rumah dan seterusnya di Kg. Gong Tok Nasek sebanyak tiga buah rumah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk di sini kerana sudi menerima kehadiran kami untuk mengadakan gotong-royong membaik pulih atap rumah mereka,” katanya lagi.
12 Jul 21
125
320 Penduduk Disuntik Di PPV Masjid Makmur Losong Dato' Amar
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Seramai 320 penduduk setempat telah berjaya disuntik sempena inisiatif Program ‘Outreach’ Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Masjid Makmur Losong Dato' Amar, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut yang mendapat suntikan Vaksin Sinovac, 200 orang menerima dos pertama dan 120 orang untuk dos kedua.
“Menariknya dalam program outreach anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) ini ialah kesemua doktor terlibat merupakan doktor-doktor pakar dikalangan hospital kerajaan dan juga swasta.
“Mewakili Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah buat semua petugas yang telah terlibat dalam menjayakan program outreach PPV ini,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.
Turut hadir tadi ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah, Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr Muhammad Zuraizi Jaafar dan wakilP ejabat Agama Kuala Terengganu.
Berdasarkan laporan terkini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 9 Julai, Terengganu mencatatkan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 sebanyak 201,040 orang (16 peratus daripada populasi) manakala dos kedua 111,665 orang telah menerima (8.9 peratus).
11 Jul 21
650
Sumbang Perangkap Kepada JPKK Atasi Masalah Haiwan Perosak
Oleh: Naim Fadhilah Kamaruddin
DUNGUN, 8 Julai - Empat unit perangkap disumbangkan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura kepada wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN tersebut bagi menghindari gangguan haiwan perosak yang mengganggu hasil tanaman penduduk kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau menerima aduan serta rungutan daripada penduduk kampung mengenai haiwan perosak termasuk khinzir sering mengganggu dan merosakkan tanaman.
"Saya mendapat aduan daripada penduduk kampung, masalah khinzir ini banyak kali masuk ke kebun dan mengganggu tanaman penduduk kampung mengakibatkan hasil tanaman penduduk kampung rosak.
" Justeru, kami mengambil inisiatif dengan menyediakan empat unit perangkap khinzir yang sangat berkualiti dan berketahanan tinggi berharga RM1000 bagi setiap unit dan diserahkan kepada wakil JPKK untuk digunakan secara bergilir-gilir di sekitar DUN Sura.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita.
Katanya, dengan sumbangan perangkap tersebut diharapkan tiada lagi masalah haiwan perosak berkeliaran mengganggu penduduk kampung.
08 Jul 21
313
JPJ Kumpul Dana Sumbang Makanan Untuk Gelandangan
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu telah menjalankan satu inisiatif dan pendekatan cakna dalam membantu golongan gelandangan di bandar raya itu, baru-baru ini.
Menurut kenyataan di Facebook rasminya, unit operasi melalui Team Bravo mengagihkan pek makanan kepada 10 orang golongan tersebut di Terminal Bas Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT).
“Bantuan ini bertujuan membantu mereka yang memerlukan dalam bentuk makanan terutama ketika pandemik COVID-19.
“Sumbangan ini adalah hasil daripada program Gerobok Rezeki yang dilancarkan sebelum ini oleh Pengarah JPJ Negeri melalui sumbangan kakitangan JPJ sendiri.
“Selain dari program CAKNA gelandangan, hasil bantuan turut disalurkan di sekitar Kuala Terengganu berupa bahan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, susu dan gula,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut mengingati orang awam tentang rezeki kita ada hak orang lain.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak untuk berkongsi buah fikiran dalam membantu golongan gelandangan di sini.
“Insya-Allah, jika usaha ini digembleng bersama, saya cukup yakin kita mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik,” jelasnya.
08 Jul 21
302
'Ingat Demam Biasa' - Bekas Pesakit COVID-19
KUALA NERUS, 8 Julai – "Bermula daripada rasa tak sedap badan," luah seorang bekas pesakit COVID-19, Mohd Nazeli Abd Jalil, 38 menceritakan saat mulanya dia mengesyaki dirinya menghidap virus tersebut, baru-baru ini.
Menurutnya yang tinggal di Tok Jembal, dia mengambil langkah sewajarnya dengan menamakan kontak rapat dan diarahkan menjalani saringan COVID-19 bersama empat rakan sekerja lain.
“Ingatkan cuma demam biasa, memang tak terfikir langsung bahawa akan positif.
"Sewaktu mula simptom awal tersebut, saya dan isteri terus segera ke klinik berdekatan untuk mendapat rawatan lanjut.
“Kemudian, bila mandi pula, deria bau saya hilang dengan wangian yang saya guna,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Katanya yang juga seorang Pembantu Logistik, isteri dan anak-anak turut diarahkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk menjalani ujian calitan dengan menunjukkan keputusan negatif.
"Ketika dalam kuarantin, hanya panggilan video menghubungkan kita sekeluarga bersama di samping mendengar kuliah agama di Facebook.
"Selain itu, banyak membaca al-Quran dan berzikir juga membantu memberi ketenangan dan menghilangkan tekanan ketika menghadapi cabaran getir ini," luahnya.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab bersyukur warganya tamat tempoh kuarantin dan pulang ke pangkuan keluarga.
“Alhamdulillah saudara Nazeli dibenarkan pulang dan kita berbesar hati dapat membantunya melalui perkhidmatan yang kita sediakan.
“Kami di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir ada menyediakan pengangkutan kepada mereka yang diarahkan kuarantin dan perkhidmatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” Ujarnya lagi
"Sedia maklum, virus ini benar wujud. Kesan jangka panjang masih belum diketahui dengan jelas. Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab untuk memutuskan rantaian dan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi SOP serta mendapat vaksin," nasihatnya.
08 Jul 21
650
Lebih 30 Buah Rumah Dilanda Ribut
Oleh: Shahril Aswad
HULU TERENGGANU, 7 Julai- Lebih 30 buah rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong rosak akibat dilanda ribut yang berlaku kira-kira pukul 6:30 petang semalam.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan dan tindakan segera akan diambil untuk membantu meringankan beban penduduk yang terlibat dengan bencana itu.
“Kita sempat meninjau beberapa rumah yang terlibat dengan ribut kencang yang berlaku lewat petang semalam dan kita dimaklumkan lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan atap.
“InsyaAllah kita akan bagi khidmat yang terbaik untuk rakyat khususnya di DUN Telemong ini.
"Kita turut mengarahkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya terus memantau jika masih terdapat rumah yang dilanda ribut bagi memastikan rumah yang ditimpa bencana ini tidak terlepas pandang,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Menurut beliau, antara kampung yang terkesan teruk ialah Kampung Kuala Dura, Pasir Nering, Pauh dan beberapa buah kampung lagi.
“Kebanyakan kampung yang terlibat ialah di Mukim Jenagor dan yang paling teruk Kampung Kuala Dura sebanyak 10 buah rumah disusuli Kampung Pasir Nering, Kampung Pauh dan kampung disekitarnya,” ujarnya.
06 Jul 21
211