lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

3,000 Bakul Makanan Untuk Warga Dungun
3,000 Bakul Makanan Untuk Warga Dungun
Oleh : Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris DUNGUN, 5 Julai- Kira-kira 3,000 bakul makanan akan diagihkan kepada golongan sasar terutamanya yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di daerah Dungun. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, pengagihan bantuan berkenaan menggunakan peruntukan disediakan kerajaan Pusat sebanyak RM300,000 dan kerajaan negeri. "Selain sumbangan dari beberapa NGO untuk bantuan bakul makanan di kawasan masing-masing. "Hari ini kita bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan peruntukan sebanyak RM300,000 dan dapat lagi kita agih kepada 3,000 penerima. "Setakat ini kita sudah mengenal pasti 1,000 penduduk yang layak menerima bantuan ini dan kita jangka keseluruhan bantuan ini akan diselesaikan dalam tempoh tiga minggu," katanya kepada pemberita.
05 Jul 21
1418
500 Penduduk Jabi Selesai Disuntik Sinovac
500 Penduduk Jabi Selesai Disuntik Sinovac
SETIU, 4 Julai - Seramai 500 orang penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima suntikan vaksinasi Sinovac bagi ikhtiar menangani virus Covid-19. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata walaupun kuota yang disediakan agak terhad namun ia diagihkan di setiap  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Alhamdulillah, program berjalan dengan sempurna dan baik. Permintaan rakyat kita melebihi bekalan. Kita cuma diperuntukkan sebanyak 500 dos Sinovac sahaja untuk program hari ini. "Saya agih agar setiap 37 kampung dalam DUN Jabi dapat bahagian masing-masing walaupun tak banyak. Tentunya ramai lagi yang hampa kerana jumlah 500 dos sebenarnya sangat terhad. Pengundi DUN Jabi sahaja kira-kira 20 ribu orang," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Suntikan Vaksin di Sekolah Kebangsaan Jabi, Jabi, semalam. Sementara itu kata Dr Azman, sesi perbincangan  bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan diadakan untuk mendapatkan lagi peruntukan sejumlah dos bagi mengadakan lagi program seperti itu. "Dapat saja bekalan vaksin, kita jalan terus. Tak perlu lagi kempen jom vaksin sebab rakyat kita memang nak vaksin. Isunya bekalan vaksin sahaja. "Penghargaan kami atas kerjasama yang terpuji dari Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Pejabat Daerah Besut, Guru Besar dan warga Sekolah Kebangsaan Jabi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi, Unit Amal Jabi dan Ameerah Dun Jabi. "Tidak lupa juga kepada Angkatan Pertahanan Awam, Penghulu Mukim, JPKK, para sukarelawan serta semua yang terlibat," jelasnya.
04 Jul 21
386
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Kerjasama antara pelbagai pihak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat memberi peranan dalam menjayakan inisiatif Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid ketiga di Kampung Banggol Karah. ADUN kawasan itu, Ariffin Deraman berkata, antara bentuk kolaborasi adalah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid dalam memenuhi kuota 300 orang untuk disuntik. “Melalui pengerusi JPKK, kita keluar dan cari warga komuniti disini dan membantu proses pendaftaran. “Dari segi pengangkutan, Pusat Khidmat Masyarakat Alor Limbat dan wakil rakyat kampung masing-masing juga bersedia dengan van bagi menolong mereka yang ada temu janji suntikan tapi tiada kenderaan. “Kita turut menyumbang sebanyak 400 beg cenderahati buat penerima dan petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV Masjid di Sekolah Menengah Komuniti Imtiaz Kuala Terengganu, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar. Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, beliau mengharapkan agar seluruh masyarakat dalam negeri dan negara untuk memenuhi syarat pemvaksinan dos kedua sebanyak 10 peratus. “Manakala penduduk Alor Limbat yang berumur 18 tahun keatas, sebahagian mereka merupakan petani dan peniaga yang banyak bertemu dengan masyarakat, saya nasihatkan supaya ambil suntikan vaksin untuk keselamatan dan kesihatan semua,” jelasnya.
04 Jul 21
171
Keluarga Mangsa Panahan Petir Dapat Pembelaan
Keluarga Mangsa Panahan Petir Dapat Pembelaan
Oleh : Anis Zakaria HULU TERENGGANU, 2 Julai - Nasib sebuah keluarga di Kampung Kuala Por, Kuala Berang di sini yang trauma akibat tragedi panahan petir baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Dalam kejadian pada 28 Jun itu, tujuh beranak terbabit sedang berada di dalam rumah dan panahan itu menyebabkan berlaku renjatan elektrik di rumah mereka. Lebih parah, kata Dr Mamad, tiga anak Zamil Zakaria, 42, isteri serta anak saudaranya mengalami cedera ringan dan trauma sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan. Katanya lagi, pendawaian elektrik baharu juga terpaksa dilakukan setelah ia rosak sepenuhnya akibat peristiwa itu dan ia menelan kos ratusan ringgit. "Barangan elektrik seperti peti sejuk, kipas angin dan penapis air turut rosak. "Saya difahamkan, isterinya, Suhasniza Sahaimi, 39, Nur Anis Nabihah Mohd Zamil, 17 , Adam Rifqi Mohd Zamil, 10, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zamil, 7 dan anak saudaranya, Nur Salwana Najihah Abdullah, 16, ada di dalam rumah ketika kilat berlaku. "Empat yang bersekolah sedang tekun mengulang kaji pelajaran di meja masing-masing menggunakan beberapa telefon pintar, renjatan elektrik yang berlaku menjejaskan mereka. “Mereka berlima dihantar ke Hospital Hulu Terengganu selepas kejadian renjatan itu, alhamdulillah kesemua mereka sudah boleh pulang ke rumah mereka dan tiada kemalangan serius dilaporkan," katanya. Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri hadir ke rumah keluarga itu dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban serta membaiki kerosakan yang berlaku. “Saya harap semoga ujian yang menimpa keluarga ini akan memberi lebih kekuatan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan ini,” ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Zamil menyatakan rasa terharu apabila seorang wakil rakyat yang sibuk dengan pelbagai tugasan sudi untuk ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan. "Sewaktu kejadian, isteri saya sedang memasak di dapur untuk hidangan makan malam keluarga, sementara tiga anak saya dan seorang sepupu mereka sedang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). “Kejadian kilat menyambar berlaku dalam sekelip mata sahaja menyebabkan isteri saya tiba-tiba jatuh terduduk dan mengalami kekejangan badan. “Pada mulanya, saya risau anak bongsu, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zammil mengalami pening dan muntah-muntah akibat terkena renjatan kilat berkenaan,” tambahnya.  
02 Jul 21
451
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
SETIU, 2 Julai - Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jeti sedia ada di pengkalan nelayan kampung tersebut adalah terhad buat penggiat lautan tempatan. “Hasil perbincangan dengan warga laut tempatan, kita telah memohon peruntukan daripada pihak kewangan negeri dan ia telah diluluskan untuk dilaksanakan pihak Pejabat Daerah Setiu. “Insya-Allah, permintaan lain kita terima dan cuba untuk laksanakan satu demi satu, peringkat demi peringkat,” katanya. Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi. Turut hadir, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif. Menurut Dr Azman, proses seterusnya akan dilangsungkan segera mungkin dan akan memberi manfaat buat komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang dan juga dari Daerah Besut. Terdahulu, inisiatif pemasangan lampu limpah juga dijalankan bagi mencerahkan laluan di kawasan jeti, kini telah siap dibina hasil penerimaan aduan warga setempat.
02 Jul 21
606
292 Asnaf Terima Sumbangan Bekalan Makanan
292 Asnaf Terima Sumbangan Bekalan Makanan
Oleh : Amiruddin Zamri DUNGUN, 2 Julai- Seramai 292 asnaf di Hulu Dungun menerima sumbangan bekalan makanan daripada 23 penyumbang seluruh negara. Pengawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sumbangan berupa barangan keperluan harian itu disumbangkan oleh syarikat, badan korporat kepada Bank Makanan sebelum diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 di sekitar Hulu Dungun. "Tidak dilupakan juga kepada para 'frontliner' KKM yang bertungkus lumus dalam memastikan gerak kerja mengekang penularan wabak COVID-19 berjalan dengan lancar. "Kami juga ada bagi kepada PDRM, Rela  sebagai tanda menghargai usaha mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengagihan barangan tersebut kepada keluarga terkesan di Dewan Orang Ramai Pasir Raja, semalam. Sementara itu katanya, semua Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JPKK) di peringkat DUN Bukit Besi dikehendaki mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan melalui pelbagai medium. "Salah satu usaha yang dilakukan adalah dengan menyebarkan nombor telefon masing-masing melalui aplikasi WhatsApp supaya mudah untuk dihubungi penduduk terkesan. "Dengan cara ini mereka dapat berhubung terus dengan Pengerusi JPKK agar mudahkan bantuan sepatutnya disalur," ujarnya.
02 Jul 21
187
Masalah Internet Di Kampung Kuala Por Bakal Berakhir
Masalah Internet Di Kampung Kuala Por Bakal Berakhir
Oleh : Anis Marzuki HULU TERENGGANU, 1 Julai – Masalah capaian internet yang kritikal di Kampung Kuala Por kini menemui jalan penyelesaian apabila kerja-kerja menaiktaraf menara telekomunikasi daripada rangkaian 3G kepada 4G bakal dijalankan. Susulan aduan daripada penduduk setempat, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Mohd Fairus Muhamad telah melawat kawasan terbabit baru-baru untuk melihat tindakan yang perlu dilakukan. Menurut Mohd Fairus, segala masalah menghantui penduduk sejak sekian lama itu bakal berakhir apabila proses tender untuk projek itu sedang berjalan. “Untuk makluman, Suruhanjaya Komunikasi di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam peringkat untuk menaiktaraf menara telekomunikasi tersebut. “Menjelang hujung tahun ini, keseluruhan penduduk di Kampung Kuala Por dan kawasan sekitarnya akan menikmati perkhidmatan 4G,” ujarnya ketika ditemubual oleh pegawai media Dun Kuala Berang kelmarin. Turut hadir ke lapangan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau merangkap Ahli Dewan Undangan Dun (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.  Tambahnya, situasi norma baharu yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, mesyuarat dan bekerja dari rumah memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi dengan rangkaian minima 4G. “Setelah projek ini disiapkan, masalah capaian internet tersebut akan dapat diatasi dan kualiti liputan akan bertambah lebih baik, kita harap pengguna di seluruh kawasan ini akan menggunakan perkhidmatan internet dengan baik,” katanya. Dr Mamad berkata, di bawah program Jendela fasa 1, sebanyak 65 menara baru dalam perancangan untuk dibina di seluruh negeri Terengganu di mana ia sedang dalam peringkat tender. “Selain itu, di bawah projek yang sama, 9 menara baru dan sebanyak 409 lokasi naik taraf daripada liputan 3G kepada 4G sedang dalam pelaksanaan di seluruh negeri Terengganu. “Kita sedang berbincang untuk menambah ‘fiber optic’ di kawasan Hulu Terengganu supaya kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai mempunyai unifi di kawasan rumah masing-masing,” jelas beliau.
01 Jul 21
622
Di Sebalik Senyuman, Suraya Derita Kanser Tahap 4
Di Sebalik Senyuman, Suraya Derita Kanser Tahap 4
Oleh : Khatijah Alias HULU TERENGGANU, 1 Julai – Tiada siapa yang menyangka, di sebalik wajah ceria dan tenang Suraya Abdullah menyimpan pelbagai kisah duka kerana sedang menderita kanser payudara tahap 4. Wanita yang tinggal Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang itu berkata, penyakit itu tidak melemahkan semangatnya untuk hidup seperti biasa dan dia menganggap kanser tersebut sebgai ujian. Suraya Abdullah atau Kak Aya, 46, berkata, dia mula mengidap penyakit barah payudara ini sejak tahun 2018 lalu. "Masa itu tahun 2018, saya dapat tahu yang saya diserang kanser payudara dan dah berada pada tahap 2. "Saya masih lagi bekerja seperti biasa sebagai guru di Madrasah Darul Iman (MDI), Marang, sehinggalah tahun lepas sakit saya semakin serius dan terpaksa menjalani pembedahan. "Bermula itu saya tidak lagi dapat bekerja dan hanya duduk dirumah,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam. Kak Aya ketika menerima kunjungan Dr Mamad. Disebabkan itu, bekas guru MDI itu memaklumkan, pendapatan keluarganya sekarang hanya bergantung kepada kerja suaminya dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada MDI. “Suami bekerja sebagai guru di sekolah agama di Kampung Laut. Dulu, sumber pendapatan daripada kami berdua, tapi sekarang ini bergantung kepada suami sahajalah. “Suami pun tidak berapa sihat juga kerana menghidap penyakit sendi Charkot di bahagian kaki akibat diabetes. “Dia berjalan menggunakan tongkat bagi membantu pergerakan. Kadang-kadang pakai kasut khas bila perlu berjalan lama dan jauh,” tambahnya. Kesukaran hidup Kak Aya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah. Prihatin dengan nasib Kak Aya, Dr Mamad ditemani Mohamed turun menziarahi Kak Aya di kediamannya di sini. “Hari ini (kelmarin) saya hadir untuk bertemu mata dengan Puan Suraya ini dan keluarganya untuk bertanya khabar sekali lagi dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapinya. “Tahun lepas, saya juga menziarahinya dan sentiasa mengambil tahu perkembangan dari semasa ke semasa dengan harapan semoga urusan Puan Suraya dipermudah dan diberi kesembuhan hendaknya,” ujar beliau.
01 Jul 21
728
‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan
‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - ‘Food Bank’ masjid merupakan salah satu inisiatif untuk membantu rakyat yang kesempitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Setiausaha Masjid Kg. Gong Tok Nasek, Mohd Shahrul Affendy Omar, 27, ketika ditemu bual oleh pemberita. “Bermula ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek pada awal tahun lalu di mana setakat ini kira-kira seramai 50 orang yang telah datang ke masjid ini untuk mendapatkan sumbangan. “Manakala sebanyak 95 pek bantuan makanan asas telah kita keluarkan daripada ‘food bank’ ini dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui 2 fasa sepanjang tempoh PKP ini. “Alhamdulillah, setakat ini sambutan orang ramai untuk menderma juga sangat menggalakkan di mana ada yang menghantar barang-barang secara terus dan ada juga yang ‘bank in’ ke akaun bank masjid,” kata Mohd Shahrul. Menurut beliau lagi, ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis bermula jam 9.00 pagi jam 12.00 tengah hari.  “Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam menyalurkan segala maklumat dan menjadi pusat komuniti dalam menjaga perihal kebajikan masyarakat setempat,” tambahnya lagi. Beliau juga turut berharap agar mereka yang memerlukan bantuan tidak berasa segan untuk mendapatkan sumbangan ini kerana pihak masjid akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan. Selain Masjid Kg. Gong Tok Nasek, terdapat beberapa buah masjid lagi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang menyediakan khidmat ‘food bank’ seperti berikut : 1. Masjid Tengku Tengah Zaharah 2. Masjid Taman Permin Jaya 3. Masjid Kg. Kubang Ikan 4. Masjid Al-Furqan Chendering  
30 Jun 21
544
Warga Emas Tidak Takut Suntikan Vaksin
Warga Emas Tidak Takut Suntikan Vaksin
DUNGUN, 28 Jun- Rata-rata warga emas di Dungun tidak takut untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha mencegah diri daripada dijangkiti virus yang telah membunuh ramai manusia di seluruh dunia. Hatijah Ali, 80 berkata ini adalah ikhtiar yang kerajaan sarankan kepada rakyat oleh itu tidak perlu usaha baik ini dipertikaikan. "Hidup mati ini ketentuan Allah SWT, kita hanya mampu berikhtiar, cucuk vaksin ini adalah salah satu ikhtiar kita, Allahkan suruh kita berikhtiar," ujarnya yang ditemui di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.  Manakala seorang lagi warga emas, Halimah Ali, 80, berharap masyarakat tidak perlu bimbang untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19. " Sejak di sekolah  selepas kita disuntik, tidak ada apa-apa kesan buruk berlaku, jadi tidak payahlah kita takut, mati itukan hak Allah taala," katanya. .  Manakala Ahmad Tajudin Ismail, 56, menggesa penghidap kencing manis agar mengambil suntikan vaksin COVID-19 untuk mengelakkan daripada dijangkiti kerana apabila dijangkiti virus COVID-19, mereka berisiko tinggi untuk mati.  " Orang yang menghidap kencing manis sepatutnya tidak mengelakkan untuk mendaftar dan mendapatkan suntikan ini kerana, insya-Allah dapat mengelakkan daripada dijangkiti dan kalaupun positif COVID-19 selepas disuntik, ianya tidak bergejala, " katanya yang ditemui di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini. Sementara itu, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang berkata, sambutan masyarakat Dungun terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin meningkat sehingga kini 50 peratus daripada mereka sudah mendaftar dan seramai 11,000 orang telah menerima suntikan.  "Kalau di PPV (Outreach) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya dan  SMK Bukit Besi memang mendapat sambutan, sehingga melimpah kehadiran terutama warga emas untuk mendapatkan suntikan. "Sehingga kini tiga kali dibuka, dua kali Outreach di SMK  Ketengah Jaya dan sekali SMK Bukit Besi sebanyak 1,500 dos telah dikeluarkan," jelasnya.  Beliau ditemui selepas meninjau perjalanan PICK di dua PPV di UiTM dan PSMZA bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun. Di dalam kunjungan tersebut, Alias turut menyampaikan sumbangan juadah  tengah hari untuk' frontliners' kesihatan dan keselamatan yang sedang bertugas.  Menurut Anuar lagi, dua PPV di UiTM dan PSMZA seramai 500 hingga 700 orang  menerima suntikan vaksin berkenaan setiap sehari. 
28 Jun 21
165