Artikel "Komuniti" Terkini
PKPD 12 Lokaliti Kemaman, Dungun Dilanjutkan Sehingga 17 Ogos
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan berkuat kuasa esok sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu.
"Antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2. Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga.
"KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 12 lokaliti di Dungun dan Kemaman bermula esok," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu mencatatkan kes positif Covid-19 harian sebanyak 425 kes semalam manakala kes di seluruh negara melebihi 15,000 kes iaitu 15,764 kes.
03 Aug 21
1492
Dungun Sedia Terima Tambahan Bekalan Vaksin
Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 2 Julai- Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang mengalu-alukan sekiranya kerajaan negeri menambah bekalan vaksin untuk membolehkan lebih ramai penduduk di daerah itu menerima suntikan vaksin COVID-19.
Menurutnya, setakat ini, hanya 14 peratus warga Dungun yang disuntik vaksin dan menyebabkan ramai yang masih menunggu.
"Kita sentiasa bersiap sedia sekiranya kerajaan negeri bersetuju menambah PPV di daerah ini, tetapi yang menjadi masalahnya sekarang adalah kekurangan bekalan vaksin,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun meninjau Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, di sini.
Program Outreach tersebut dibuka buat pertama kalinya pada 30 dan 31 Julai lepas dengan memperuntukkan sebanyak 1,000 dos di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu.
Menurutnya, beliau sangat mengharapkan tambahan vaksin diberi keutamaan kepada daerah Dungun memandangkan kes positif di daerah berkenaan telah melebihi angka 100.
Sementara itu, Alias berharap penambahan vaksin tersebut perlu dipercepatkan memandangkan Dungun dilihat sebagai kawasan kritikal ketika ini dengan penularan COVID-19 meningkat setiap hari.
"Memanglah tiada jaminan selepas suntikan vaksin kita tidak dijangkiti virus COVID-19, tetapi mereka yang telah menerima, insyaAllah tidak bergejala," katanya.
02 Aug 21
377
Wartawan 'TvSepuluh Kini' Tarik Perhatian Warga Kemaman
KEMAMAN, 31 Julai - Kemunculan seorang lelaki berperwatakan dan berketerampilan luar kebiasaan, kini menjadi perhatian serta tumpuan masyarakat komuniti di sini.
Beliau dengan gaya dan cara tersendiri hampir setiap hari membuat siaran langsung di 'Facebook' miliknya iaitu Wartawan 'TvSepuluh Kini'.
Beliau akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mempromosikan perniagaan komuniti setempat tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Kini, apa yang dilakukannya itu mula menjadi 'viral' sejak awal tahun ini.
"Sebelum ini, saya mengadakan siaran langsung tanpa menunjukkan diri sendiri. Namun, saya menerima banyak permintaan dari penonton yang ingin melihat diri saya.
"Selepas itu, saya mula mendapat idea untuk menonjolkan diri tetapi dengan hanya menyamar seperti ini.
"Memandangkan saya juga seorang peniaga, saya amat memahami perasaan peniaga-peniaga lain yang sedang bersedih kerana terjejas pendapatan ketika negara ini masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Oleh yang demikian, saya mula mengadakan siaran langsung secara amal. Kebanyakannya, saya turun mempromosikan perniagaan penjaja-penjaja kecil di tepi jalan," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Beliau yang lebih suka tidak mendedahkan identiti sebenar menerima apa jua tanggapan orang ramai terhadapnya sama ada positif atau pun negatif.
"Dunia hari ini sedang bersedih. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menghiburkan hati mereka terutamanya peniaga-peniaga.
"Ini semua hanyalah watak penghayatan sebagai wartawan tv sepuluh sahaja. Perwatakan sebenar saya sama sahaja seperti orang lain," jelasnya.
Beliau turut menghargai sokongon daripada penonton-penonton yang kebanyakannya bukan sahaja dari negeri Terengganu ini, bahkan ada juga penonton dari negeri Pahang, Kedah, Johor dan lain-lain.
"Saya tumpang gembira apabila ada sebahagian peniaga semakin laris jualannya selepas dipromosikan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT.
"Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya," ujarnya yang turut mempunyai perniagaan kedai makan iaitu 'Fahmi Hotlenz dan mobile spa bergerak 'Fahmi EBclusive Men'," katanya.
31 Jul 21
2401
753 Penduduk Pulau Redang Terima Suntikan Vaksin
KUALA NERUS, 31 Julai – Seramai 753 orang penduduk Pulau Redang menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama menerusi program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK).
Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak berkata, pejabat daerahnya yang berperanan sebagai urus setia Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi daerah tersebut berkampung di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang selama dua hari.
“Seramai lebih 700 orang pada hari ini akan disuntik dos pertama vaksin jenis Pfizer manakala selebihnya iaitu terdiri daripada penggiat pelancongan pada hari esok.
“Program PPV Outreach ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah Kuala Nerus, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta 11 lagi agensi lain.
“Seramai 110 orang petugas termasuk daripada Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya juga memainkan peranan dalam menjayakan PPV selama dua hari ini,” katanya ketika ditemubual pemberita di sini, semalam.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.
Sementara itu, Mohd Shafizi berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan semua penduduk di sini divaksin.
“Antara usaha dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat seperti turun ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan setiap orang mendaftar untuk divaksin.
“Di samping itu, kita juga menghantar nama-nama penerima kepada pihak Kesihatan Daerah,” jelasnya.
31 Jul 21
439
Bantuan Segera Untuk Penduduk PKPD Kubang Palas
HULU TERENGGANU, 27 Julai - Seramai 236 keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong menerima bantuan segera berupa pek bakul makanan, baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat PKPD.
Katanya, pelaksanaan PKPD Pentadbiran di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk yang terlibat tidak dapat keluar untuk bekerja dan membeli barangan keperluan.
"Dalam tempoh begini, kita perlu memastikan penduduk terlibat mempunyai bekalan makanan mencukupi.
"Saya juga memohon kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk melihat keperluan penduduk di kawasan PKPD tersebut," katanya selepas pengagihkan bantuan berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Pauzi Yusoff, Penyelia i-MiTS DUN Telemong, Ustaz Mohamad Yusuf Abdullah, Penghulu Kanan Hisham Talib dan Penghulu Mukim Kuala Telemong, Mohd Fadhli Ramli.
Tambahnya lagi, beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Rosol Wahid kerana turut menyumbang sebanyak 120 pek bakul makanan keperluan dapur dalam bantuan tersebut.
"Saya berharap, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan, agihan secara berperingkat-peringkat turut dilaksanakan untuk memastikan penduduk terlibat sentiasa mempunyai bekalan makanan mencukupi," katanya.
29 Jul 21
332
PKPD : 545 Pek Sumbangan Diagih Kepada Peneroka Felda Neram 2
KEMAMAN, 27 Julai - Sebanyak 545 pek sumbangan berupa barangan keperluan makanan diagihkan kepada semua peneroka Felda Neram 2 yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda berkata, sumbangan tersebut bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan ekoran peningkatan kes positif Covid-19 yang masih membimbangkan di sini.
"Hari ini saya bersama Pengurus Besar Wilayah FELDA Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab menyerahkan 545 pek sumbangan daripada FELDA kepada semua peneroka Felda Neram 2 .
"Semalam saya dimaklumkan pihak Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Hamid juga ada menyalurkan sumbangan segera melalui JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) untuk mereka yang menghadapi kerumitan terputus bekalan makanan.
"JPKK juga memaklumkan dalam masa terdekat barangan basah juga akan diagihkan," katanya ketika dihubungi pemberita.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan terlibat dalam agihan berkenaan.
"Terima kasih semua, pihak FELDA, Ahli Parlimen Kemaman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih atas sumbangan segera bagi meringankan bebanan warga peneroka Felda di sini yang terpaksa mematuhi arahan pihak berwajib dalam usaha mengawal penularan Covid 19.
"Terima kasih juga kepada 'frontliner' yang bertugas, pihak polis, Rela, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan semua pihak yang terlibat.
"Sama-sama kita doakan agar segera diangkat musibah ini yang sudah meragut ribuan nyawa di Malaysia," ujarnya.
Felda Wilayah Terengganu memperuntukkan lebih 60 ribu ringgit bagi pengagihan bakul makanan di empat kawasan Felda yang dikenakan PKPD sejak Febuari lalu.
Pengurus Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab berkata setakat ini, 1230 bakul makanan telah diagihkan kepada setiap ketua isi rumah dan pekerja yang dikenakan PKPD.
27 Jul 21
561
KETENGAH Peruntuk RM22,000, Sembelih 10 Ekor Lembu Untuk Diagih Kepada Asnaf
KUALA TERENGGANU, 22 Julai- KETENGAH memperuntuk sebanyak RM22,000 untuk pelaksanaan ibadah korban tahun ini.
Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 10 ekor lembu disembelih untuk diagihkan dagingnya kepada asnaf zakat dan tujuan akikah.
"Setiap tahun KETENGAH menganjurkan program korban dan akikah tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
"Pelaksanaan ibadah korban dan akikah kali ini diadakan dengan kerjasama dengan Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS)," ujarnya.
Katanya, KETENGAH melaksanakan korban pada kali ini sepanjang dua hari (20 dan 21Julai 2021) bagi membolehkan pengamalan SOP sempurna dilaksanakan.
"Program melibatkan 20 orang petugas yang terdiri daripada kakitangan KETENGAH dan ahli jawatankuasa masjid secara sukalera bagi langkah-langkah mengekang penularan wabak COVID-19.
"Agihan diserahkan kepada wakil iaitu melalui lima JPKK Bandar AMBS untuk menyempurnakan agihan kepada seramai 250 orang asnaf," ujarnya.
22 Jul 21
210
DUN Batu Buruk Agih 1,200 Kilogram Daging Korban
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Sebanyak 1,200kg daging korban telah diagihkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebanyak tujuh ekor lembu 'ditumbangkan' termasuklah sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
"Dianggarkan kira-kira 2400 orang dalam DUN ini akan menerima agihan daging korban ini.
“Semoga urusan ini dipermudahkan dan diterima amalan oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sewaktu turun ke Program Korban Perdana DUN Batu Buruk yang diadakan di Kg. Bukit Depu dan Kg. Raja Baran, Chendering, semalam.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Program tersebut telah dijalankan dengan jumlah petugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
22 Jul 21
598
2 Lembu Sado Antara Korban Buat Rakyat Kuala Nerus
KUALA NERUS, 22 Julai - Musim perayaan Aidiladha bagi penduduk sekitar Parlimen Kuala Nerus meriah dengan sumbangan dua ekor lembu baka Charolais, dikenali sebagai lembu sado untuk dijadikan korban.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengharapkan, bantuan disalurkannya itu mampu memberi keceriaan kepada komuniti setempat meskipun menyambutnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Melalui program korban ini, daging daripada lembu yang beratnya sekitar 500 kilogram dapat diagihkan kepada lebih kurang 4,000 orang di sekitar parlimen ini.
“Kesemua lembu yang dikorban berjumlah 17 ekor adalah sebagai inisiatif menyantuni penduduk dan pelbagai agensi di sini serta menjalani ibadah korban.
“Melalui wadah ini, ia dapat memupuk nilai kasih sayang dengan memberi serta berkongsi rezeki kepada semua, sama ada mereka yang kurang berkemampuan, ataupun golongan berada,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Menurut beliau, tumpuan utamanya adalah usaha meringankan beban penduduk terjejas terutamanya golongan B40 yang perlu diberi perhatian terutamanya semasa musim pandemik.
“Kita fokus kepada golongan terkesan teruk, kerana ini adalah sebahagian daripada program bantuan kepada komuniti bagi membantu mereka mengharungi kekangan semasa.
“Sebagai contohnya pada Jun lalu, kita telah mengagihkan bakul makanan sekitar lebih kurang 8,000 unit kepada keluarga yang memerlukan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, bagi mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP), agihan daging korban berkenaan diagihkan secara pandu lalu, di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.
21 Jul 21
432
Bomba Salur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Kebakaran
KUALA NERUS, 18 Julai – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu terus membela mangsa kebakaran walaupun selepas tragedi itu berakhir melalui penyaluran bantuan kelengkapan rumah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, sumbangan pihaknya berupa barangan elektronik dan wang tunai hasil derma semua anggota balainya sebagai tanda prihatin kepada mangsa.
Katanya, terbaru pihaknya mengambil inisiatif itu bagi membantu penduduk yang terlibat kebakaran di Kampung Kesom, Manir.
“Tabung bantuan buat mangsa Semek Mamat, 62, telah dilancarkan 14 julai lalu, ia merupakan satu manifestasi komitmen tanggungjawab sosial sesebuah jabatan terhadap masyarakat.
"Justeru itu, program ini dijalankan bagi menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan di kalangan anggota dan juga masyarakat selaras dengan konsep 'Kebajikan Tanggungjawab Bersama', jelasnya ketika ditemubual pemberita.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menziarahi dan menyalurkan bantuan kewangan kepada Semek Mamat selepas ditimpa kejadian yang memusnahkan 80 peratus bahagian rumahnya.
Menurut Setiausaha Politik beliau, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, pembinaan rumah baharu akan digerakkan secepat mungkin sebaik sahaja mendapat persetujuan tuan rumah.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu dan Tabung Darul Iman telah mengambil bertanggungjawab membantu mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini,” jelasnya.
18 Jul 21
252