Artikel "Komuniti" Terkini
700 Jalur Gemilang Diagih Kepada Penerima Vaksin
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 19 Ogos - Sebanyak 700 Jalur Gemilang dan pamplet Rukun Negara diagih kepada penerima suntikan vaksin COVID-19 bersempena Program Kempen Kibar Jalur Gemilang : Drive Through.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kempen anjuran Jabatan Perpaduan Negara itu bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Rakyat perlu menghargai perjuangan generasi dahulu di dalam berjuang menentang penjajah, gabungan tenaga dan buah fikiran ulama - ulama dahulu, negara kita berjaya dibebaskan daripada terus dijajah," katanya.
Alias berkata demikian selepas majlis tersebut yang diadakan di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) di sini.
Pemilihan SMKAKA adalah kerana mengambil peluang orang ramai yang hadir untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sempena Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK).
Turut hadir, Pengarah Perpaduan Negeri Terengganu, Rosli Alias, Pegawai Perpaduan Negara Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Muhamad dan Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar.
Alias turut menyeru agar rakyat sentiasa menjaga perpaduan tanpa mengira perbezaan kaum, agama, dan bangsa.
"Dengan menonjolkan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tidak di cengkam penjajah dalam bentuk baharu iaitu dengan menjajah minda rakyat supaya menetang kerajaan yang ada hari ini," ujarnya.
19 Aug 21
209
Pelbagai Pihak Tampil Bantu Lancarkan Proses Pemberian Vaksin
Oleh :Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 18 Ogos- Pelbagai pihak tampil memainkan peranan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sebelum ini prosesnya agak perlahan sehingga merisaukan orang ramai.
"Alhamdulillah dengan usaha yang diambil oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda Dungun (PADAT) di Masjid Serdang ini memberi peluang masyarakat yang tinggal berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, ini sudah tentu memberi kemudahan kepada mereka.
"Manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) pula, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengadakan Program Jejak Vaksin UniSZA selama dua hari dan seramai 1,400 orang disuntik vaksin dos pertama dari seluruh DUN Rantau Abang," katanya ketika ditemui di SMKAKA di sini.
Sementara itu, Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar memberitahu bertempat di SMKAKA juga akan diteruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dibawah Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bermula 17 sehingga 21 Ogos ini.
"Dimana selama lima hari sebanyak 700 dos pertama disediakan, menjadikan jumlah keseluruhan penerima seramai 3,500 orang,"jelasnya.
Setiausaha PAPISMA Cawangan Dungun, Dr Mardziah Mohamad, menjelaskan PAPISMA cuba membantu kerajaan untuk merancakkan pemberian vaksin setelah melihat prosesnya agak perlahan di Daerah Dungun.
"Sehingga kini, Masjid Serdang adalah 'Outreach' ketiga, selepas dua di Paka dan tumpuan kita adalah di kawasannya jauh daripada PPV utama," ujarnya lagi.
Manakala seorang warga emas, Tengah Abdul Rahman, 74 yang ditemui, bersyukur telah selesai dos pertama tanpa perlu ke bandar Dungun.
"Alhamdulillah, buat program cucuk vaksin di Masjid Serdang ni, tidak perlu gi jauh-jauh, " katanya yang tinggal di Delong.
18 Aug 21
411
Komuniti Kampung Sambut Baik Pengumuman Air Percuma
KUALA NERUS, 10 Ogos – Setelah diumumkan bahawa mereka terjejas di dua daerah mendapat air percuma selama dua bulan sebaik proses membaik pulih bekalan selesai, tinjauan mendapati rata-rata reaksi positif antaranya daripada Kampung Pak Tijah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini, Zainal Lasim berkata, hampir seribu buah rumah yang terkesan dalam komunitinya sejak gangguan berlaku 2 Ogos lalu.
Katanya, beliau sangat berbesar hati dengan pengecualian bayaran bil air yang diumumkan Menteri Besar Terengganu itu.
“Rata-rata saya temui gembira dengan pengumuman tersebut dan berpuas hati dengan keprihatinan Menteri Besar kita,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Seorang penduduk, Rohaya Abd. Karim mengucapkan terima kasih terhadap pengecualian tersebut yang dapat meringankan beban keluarganya.
“Sekurang-kurangnya ia dapat melegakan penduduk disini, Alhamdullilah setakat ini bantuan bekalan air bersih dan penyediaan tangki air sedikit sebanyak mengekalkan keperluan asas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pengumuman itu tepat pada waktunya ekoran ada keluhan rakyat mempersoalkan jika bil akan berjalan seperti biasa sedangkan air tidak dapat digunakan.
“Keluhan itu juga banyak diterima oleh Pengerusi JPKK yang terlibat dalam bantuan air rumah ke rumah sekarang.
“Air tak boleh pakai tapi bil macam mana? Harap bil air nanti tak payah la kira dan Alhamdulllilah, jawapan sudah diberi oleh pemimpin negeri,” jelasnya semasa kerja mengagih air rumah ke rumah.
Pada Selasa lalu, pengguna yang terjejas dijangka akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat pada jam 12 pagi 14 Ogos ini menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
13 Aug 21
565
Lagi 5,700 Liter Bekalan Air Bersih Disumbang
KUALA NERUS, 11 Ogos - Sebanyak 5,700 liter bekalan air bersih telah diagihkan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Batu Rakit yang terjejas akibat terputus bekalan air baru-baru ini.
Bekas Ahli Dewan Negara Terengganu, Dato' Husain Awang berkata, sumbangan peribadi beliau tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka di lebih 600 buah rumah.
“Dengan kekuatan tujuh buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) daripada Besut berperanan membawa 1,800 botol air 1.5 liter dan 6,048 botol air 0.5 liter.
“Saya juga mengambil kesempatan menasihati komuniti terkesan bahawa ini adalah satu ujian daripada Allah, tanggungjawab kita untuk bersabar manakala pihak kerajaan dan sukarelawan juga bertanggungjawab mengagihkan bekalan asas ini,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.
Beliau berkata demikian selepas misi pengagihan air bersih di Bukit Tunggal, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.
Sementara itu, ADUN Rantau Abang, Alias Harun turut menyumbang RM10,000 kepada DUN Bukit Tunggal bagi pengagihan bantuan air bersih buat komuniti di sini.
“Pada peringkat awal, kita ingin menderma dalam bentuk air, namun stok bekalan sudah habis setelah berbincang dengan pembekal.
“Oleh itu, diharapkan peruntukan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban sementara menunggu kerja pembaikian selesai dijangka Sabtu ini,” jelanya.
11 Aug 21
135
Mayat Pemancing Ditemui Di Tebing Sungai
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Mayat lelaki ditemukan dalam keadaan berbau di tepi tebing sungai di Kampung Sungai Rengas semalam.
Difahamkan lelaki terbabit dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian hasil panggilan kecemasan melalui talian Perkhidmatan Keselamatan Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 9.57 malam oleh orang awam, semalam.
"Hasil siasatan di lokasi didapati mayat seorang lelaki berusia 39 tahun berada dalam keadaan tertiarap di tebing sungai.
"Berdasarkan keadaan mayat, dipercayai lelaki terbabit telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari.
"Pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarga dan kita dimaklumkan oleh mereka (ahli keluarga) lelaki berkenaan bahawa mangsa telah keluar dari rumah selepas waktu Asar pada Khamis lepas untuk pergi memancing dan tidak balik sehingga mayatnya ditemui," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya lagi, ahli keluarga tidak membuat laporan polis di atas kehilangan mangsa berikutan lelaki terbabit sering keluar memancing dan pernah tidak balik dalam tempoh beberapa hari.
Katanya, kereta mangsa turut dijumpai terletak kira-kira 200 meter dari tempat mayat ditemui.
"Punca kematian belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
"Siasatan buat masa ini adalah di bawah laporan mati mengejut," jelasnya.
10 Aug 21
672
Bersatu Dalam Ringankan Masalah Rakyat Semasa Krisis Air
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Pemimpin, masyarakat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam negeri harus berganding bahu dalam menghadapi masalah khususnya mendepani masalah bekalan air yang berlaku di Kuala Nerusndan Kuala Terengganu.
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muafakat Sejahtera, Dato' Yahaya Ali berkata, ia sedikit sebanyak membantu memastikan sumber asas bagi komuniti di daerah itu dapat diteruskan.
"Alhamdulillah, saya dapat turut sama hadir bersama NGO Muafakat Sejahtera menyampaikan sumbangan air kepada rakyat terkesan di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Takir dan Batu Rakit.
"Sumbangan ini tidaklah besar berbanding dengan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat, namun ia diharapkan dapat memudahkan mereka yang keputusan sumber air sejak isnin lalu," jelasnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program mengagihkan sumbangan tersebut di Pusat Operasi bekalan air bersih di DUN Batu Rakit, pada semalam.
Turut hadir sama ialah Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Timbalan Pengerusi NGO Muafakat Sejahtera, Sulong Abd Rashid serta Pegawai Penyelidik pejabat DUN Terengganu, Khairul Nizam Suhaimin
Menurutnya, masalah air akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah merupakan satu ujian Allah swt, namun pentingnya adalah bagaimana tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh kepimpinan.
'Kepimpinan turun bersama dengan jentera untuk mengurangkan krisis ini, saya nampak ada satu bentuk kerjasama yang baik di kalangan semua pihak samada daripada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sendiri," ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut meninjau sendiri kerja-kerja membaik pulih kerosakan paip air yang dimulakan pada Rabu lalu di Losong.
"Dalam taklimat yang diberikan tadi, dimaklumkan bahawa masalah air ini akan pulih semula dijangka selesai pada rabu ini, insya-Allah," katanya.
Justeru itu, beliau berharap rakyat di kawasan terjejas ketiadaan air agar dapat bersabar dan terus berdoa agar tugas jurutera dan penyelam dapat dipermudahkan.
09 Aug 21
126
4,000 Penduduk Sura Terima Vaksin Dos Pertama
Oleh: Naim Fadhilah Kamaruddin
Dungun, 9 Ogos - Seramai 4,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menerima suntikan dos pertama vaksinasi COVID-19 dalam pelaksanaan Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bermula 1 Ogos lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, pelaksanaan program MOVAK dibawah Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu diteruskan memandangkan peratusan penduduk di Dungun yang telah menerima vaksin masih lagi rendah.
"Program vaksinasi ini merupakan satu langkah yang sangat baik dan perlu digiatkan lagi memandangkan kadar pencapaian PICK Dos 1 terkini, Dungun masih lagi mencatatkan peratusan yang terendah.
"Langkah awal perlu diambil melalui pencapaian imunisasi kelompok di kalangan masyarakat ini memandangkan Dungun adalah kawasan yang kritikal dengan catatan kes harian yang tinggi," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Sivik Bijangga.
Wan Hapandi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi tersebut terutamanya kepada petugas daripada Komuniti Rukun Tetangga dan juga Jabatan Amal Dungun.
09 Aug 21
489
Sokongan, Solat Hajat Keluarga Iringi Kejayaan Azizulhasni
DUNGUN, 8 Ogos – Walaupun dipisahkan lebih 5,000 kilometer, sorakan dan solat hajat keluarga jaguh trek negara, Dato' Muhammad Azizulhasni Awang di Dungun tidak putus sekali gus ia menjadi pencetus kejayaan di Olimpik Tokyo 2020.
Abang iparnya, Mohd. Razman Mohamad, 36, meluahkan rasa bangga dengan pencapaian 'The Pocket Rocketman' dalam acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrom Izu, Tokyo pagi tadi.
“Meskipun tidak membawa pulang pingat emas, namun kita tetap bangga atas prestasi terbaik terutamanya selepas pingat gangsa pada olimpik Rio 2016 lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Nibong Stesen, hari ini.
Menurutnya, Azizulhasni sempat menghubungi keluarga sebelum beraksi bagi bertanya khabar dan meminta keluarganya untuk mendoakan kejayaannya.
“Setiap kali sebelum kejohanan memang dia akan selalu telefon, tidak kira kesibukannya ketika melakukan persiapan sebelum bertanding, dan keluarga Awang sentiasa berada dibelakangnya sejak permulaan kariernya.
“Pingat perak itu juga dilihat sebagai hadiah buat ayah beliau, Awang @ Muda Embong, 72, yang terlantar sakit akibat strok namun masih menonton perlawanannya menerusi telefon pintar,” katanya lagi.
Hasrat jaguh kelahiran Dungun itu untuk meraih pingat emas terhalang apabila taktik pemenang pingat emas di Rio 2016 yang berasal dari Great Britain, Jason Kenny mengelirukan pelumba lain.
Kenny yang memecut menggunakan teknik 'senko' dari 750 meter terakhir meninggalkan pesaing lain untuk memenangi perlumbaan tersebut.
08 Aug 21
245
20 Tangki Statik Elakkan Terputus Bekalan Air Di Seberang Takir
KUALA NERUS, 7 Ogos – Kerja membekalkan sumber air kepada penduduk terjejas di daerah Kuala Nerus diteruskan dengan mengerahkan jentera lori dan tangki statik di Seberang Takir.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya melancarkan bilik gerakan bagi menghantar bantuan air ke tujuh buah kampung di kawasannya, sebaik sahaja berlaku krisis masalah gangguan bekalan asas itu sejak Isnin lepas,
“Alhamdulillah, setakat ini 20 tangki statik berjaya diletakkan di lokasi yang dikenalpasti supaya sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan asas masyarakat, atau kira-kira 3745 buah rumah terkesan.
“Antaranya ialah Kampung Kubang Badak, Kampung Tok Jembal, Kampung Pak Tijah, Kampung Tanjung Jaafar, Kampung Telaga Batin, Kampung Jati dan Kampung Wakaf Baru,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.
Tambah Mohd Fadhil lagi, 10 buah lori termasuk trak pikap menjadi pengangkutan bagi menghantar sumber air kepada penduduk terkesan.
"Kita turut menerima ramai sukarelawan yang bersedia berkhidmat dalam menyampaikan keperluan asas itu kepada mana-mana keluarga yang memerlukan di sini” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Ahmad Afini Ahmad, 32 berkata, dia merasa terpanggil apabila mendengar isu dan kesusahan dihadapi komunitinya itu.
"Pada hari biasa saya bekerja seperti biasa, tetapi buat masa ini saya ambil keputusan untuk berkhidmat dari siang hingga malam in sehingga kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu selesai," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sedang diatasi dengan kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijangka siap pada Rabu depan.
06 Aug 21
462
Misi Bantuan Air Diperluaskan, 8 Lori Persendirian Diguna
SETIU, 5 Ogos - Susulan rumah penduduk yang terputus bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit bertambah, pihak Pusat Khidmat Masyarakat telah memperluaskan misi agihan bantuan air.
Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebanyak lapan lori tambahan milik persendirian telah diguna bagi mengagihkan air ke kawasan yang masih terjejas.
“Alhamdulillah, setiap malam sejak krisis air melanda, kerjasama Jabatan Amal Malaysia dan Pemuda Pas Batu Rakit berjaya mengagihkan air ke 20 kampung (kg) antaranyan,Taman Perumahan Wakaf Tengah, Taman Perumahan Mengabang Lekor, Kg Bukit Cempaka, Pasir Puteh, Lingai, Gong Lingai, Bukit Wan, Darat Batu Rakit.
“Melihat daripada keperluan semasa PKM Batu Rakit, telah meluaskan misi bantuan air ke 3 Mukim iaitu Mukim Bukit Cempaka yang bertempat di Gong Lingai, Masjid Bukit Cempaka dan Wakaf Catur.
"Seterusnya, Mukim Wakaf Cagak di lokasi Balai Raya Pancur Sejuk, Masjid Darat Batu Rakit, Kubur Timah dan Wakaf Cagak. Akhir sekali, di Mukim Mengabang Telipot bertempat di Taman Melor dan Banggol," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memohon agar masyarakat yang terkesan dengan masalah bersabar kerana ia dijangka selesai esok.
"Baru-baru ini dalam kenyataan rasmi Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) memaklumkan ganguan air akan berlaku akibat kerosakan paip yang berlaku di dasar Sungai Terengganu.
"Difahamkan, kerosakan paip itu turut menyebabkan lebih 31,522 penduduk Dun Batu Rakit menghadapi gangguan bekalan air," katanya.
Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit turut memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada JPKK kawasan masing-masing.
05 Aug 21
798