lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

'Terengganu Turtle Camp 2022' Didik Pelajar Kepentingan Ekosistem
'Terengganu Turtle Camp 2022' Didik Pelajar Kepentingan Ekosistem
KEMAMAN, 17 Jun- Program 'Turtle Camp 2022' mampu memupuk kesedaran kalangan pelajar tentang kepentingan menjaga ekosistem marin yang akan memberi manfaat kepada seluruh kehidupan. Ketua Pegawai Eksekutif WWF, Sophia Lim berkata, di Terengganu acara terbabit melibatkan seramai 30 mahasiswa membabitkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Universiti TATI, Institut Latihan Pendidikan (RANACO) dan Universiti Zainal Abidin (UniSZA). "Ia telah diadakan sejak tahun 2015 untuk mendidik para pelajar ini bahawa penyu bukan sahaja merupakan warisan semula jadi dan ikon negeri Terengganu tetapi juga mempunyai peranan penting dalam ekosistem marin. Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara penutup program berkenaan. Kem itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar neger, Dr Azman Ibrahim, di Santuari Penyu Ma'daerah sini, pada semalam  Ujar Sophia, pewartaan pantai Ma'daerah sepanjang 1.7 kilometer dan tanah pamah bersebelahan sebagai santuari penyu adalah penting. "Keunikan yang ada di sini seharusnya dipelihara dan dilindungi, dan kepelbagaian biodiversitinya dihayati melalui program-program strategik seperti 'Terengganu Turtle Camp' ini," katanya. Dalam pada itu WWF turut mengiktiraf Geng Plastik Ija (GPI) sebagai pejuang baru komuniti di Terengganu dalam kempen mengutamakan kebersihan pantai.  
17 Jun 22
661
Keunikan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh
Keunikan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh
KUALA TERENGGANU, 16 Jun- Pemuda ini tidak mempelajari kaedah khusus untuk membuat bot, sebaliknya memperoleh kepakaran melalui pemerhatian bagi menghasilkan pengangkutan air itu dalam saiz mini. Apa yang menarik, replika bot nelayan yang dibuat Mohd Asrol Gulam Mohd, 36, mempunyai alat kawalan jauh yang mampu berfungsi di dalam air seperti bot nelayan sebenar. Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau Panjang di sini, Mohd Asrol berkata, dibesarkan sebagai anak nelayan membuatkan dirinya sudah sebati dengan bot-bot nelayan. “Sebab minat tengok model bot nelayan yang digunakan untuk menangkap ikan dan selalu tengok abang-abang buat bot masa kecil, saya pun ikut sama buat secara suka-suka dan tidak sangka ianya berhasil,” ujarnya yang serius membuat replika bot nelayan sejak berusia belasan tahun lagi. Katanya, bot nelayan itu dibuat sebagai replika untuk hiasan pada awalnya sebelum mendapat idea untuk menjadikan ia bot nelayan kawalan jauh. "Pembuatan bot ini memerlukan penelitian yang tinggi kerana kita mahu memastikan ia dapat terapung di permukaan air dan bergerak dengan baik tanpa sebarang masalah. "Kos membuat bot nelayan kawalan jauh ini pula tidak terlalu besar, tetapi memandangkan ia sukar dibuat selain dilengkapi enjin dan alat kawalan jauh, ia dijual pada harga RM3,500," katanya yang bekerja sebagai mekanik. Mohd Asrul mengakui, pembuatan bot nelayan kawalan jauh itu mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana ia rumit dan perlu dibuat dengan penuh ketelitian. “Nak buat bot nie perlu sabar, tenang, biasanya kalau tumpu betul-betul dalam sebulan dapat siapkan sebiji bot,” ujar bapa kepada tiga anak itu yang ‘menghadiahkan’ sebuah bot buat permata hati setiap kali kelahiran anaknya.  
16 Jun 22
1302
ADUN Segera Bantu Mangsa Kebakaran
ADUN Segera Bantu Mangsa Kebakaran
DUNGUN, 15 Jun- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun turun padang menziarahi mangsa kebakaran rumah dalam kejadian di Kampung Baru, disini, kelmarin. Dalam lawatannya, Alias turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan. Pada masa sama, beliau turut meminta pihak berkaitan untuk menyegerakan sumbangan bencana kepada keluarga itu. “Kita akan segera membaik pulih bahagian rumah yang musnah. "Saya juga telah menghubungi agensi-agensi terlibat untuk membantu," ujarnya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga mangsa. Sementara itu, mangsa kebakaran Jaafar Muhammad, 67, berkata kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu hanya disedari isterinya, Zuraini Ismail, 58 yang terhidu bau hangit. "Masa tu saya berada di dapur, jadi sayapun keluar dapur, nampak api dalam bilik yang berpunca dari papan suis, anak perempuan saya hanya sempat mengambil barang-barang penting," katanya. Jaafar yang menghidap penyakit buah pinggang bagaimanapun bersyukur mereka empat sekeluarga terselamat dalam bencana tersebut. "Saya sepatutnya ada temu janji untuk 'cuci buah pinggang' hari ni (kelmarin), tapi nok buah macamana," katanya yang masih terkejut dengan apa yang berlaku.        
14 Jun 22
123
Kajian Polisi Awam Mampu Tingkat Inovasi Pentadbiran
Kajian Polisi Awam Mampu Tingkat Inovasi Pentadbiran
KUALA TERENGGANu, 15 Jun- Kajian polisi awam yang dijalankan oleh institusi-institusi penyelidikan berupaya meningkatkan inovasi pemikiran dan kecekapan penyampaian di peringkat pentadbiran kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik serta selaras dengan kehendak rakyat di negeri ini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (YDP) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, barisan pentadbir di Terengganu perlu sentiasa peka dan bersedia dengan perubahan yang begitu cepat yang berlaku pada dunia hari ini. "Kita perlu lebih mesra dengan kajian-kajian atau penemuan baharu yang dijalankan, dalam masa yang sama kita juga mesti proaktif menjalinkan hubungan dengan institusi penyelidikan untuk penambahbaikan yang berterusan. "Pelaksanaan penyelidikan dan inovasi tidak semestinya kerana ingin menerokai sesuatu yang 'totally new frontier' yang memungkinkan kita untuk menulis dalam jurnal 'nature', tetapi apa yang lebih utama ialah ahli akademik perlu menjalankan penyelidikan untuk memperkaya kajian berbentuk 'policy recommendation' yang sesuai dengan keperluan dan data kerajaan negeri. "Ia penting supaya pelaksanaan polisi itu mampu menjejak ke bumi dan dirasai impaknya oleh rakyat," katanya. Jelasnya, atas dasar itu, geran-geran penyelidikan dikeluarkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai penganjur dan pemudah cara bagi kajian-kajian yang akan dibentangkan dalam seminar pada hari ini," katanya. Yahaya Ali berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan perasmian Seminar Polisi Awam 2022, dianjurkan TSIS bertempat di Duyong Marina & Resort, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Ketua Pegawai TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman. Sebanyak tujuh daripada 13 kertas kajian yang dijalankan para pengkaji merangkumi pelbagai bidang membabitkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dibentangkan dalam seminar berkenaan. Universiti Sains Islam Malysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Universiti Teknologi Mara (UITM), dan Institus Perguruan Guru (IPG) turut terlibat yang mana kesemua institusi ini telah memperolehi geran kerajaan negeri melalui TSIS dan berjaya menyelesaikan kajian yang diharap akan memberi impak serta manfaat yang besar kepada rakyat apabila ia dipolisikan di peringkat pentadbiran sehingga kepada masyarakat awam di negeri ini.  
14 Jun 22
295
Menteri Besar Tunaikan Hasrat Ibu Tunggal Miliki Kediaman Sendiri
Menteri Besar Tunaikan Hasrat Ibu Tunggal Miliki Kediaman Sendiri
MARANG, 9 Jun - Tiada kata mampu diungkapkan oleh seorang ibu tunggal selain menzahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunaikan hajatnya untuk memilki kediamannya sendiri. Pemberian rumah terbabit menamatkan penantian Ramlah Ma'at, 54, beserta tujuh anaknya yang selama ini menyewa dan tinggal di rumah yang kecil dan usang. Kata Ramlah, dia turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan dan bantuan 'one-off' daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM 2,500 setahun. "Daripada duit ini saya menyara kami sekeluarga setelah kehilangan arwah suami pada tahun 2012, saya pada awalnya mengambil upah mengurut namun tidak dapat meneruskannya kerana terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan saya mengalami sakit saraf," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Kelulut semalam. Menurutnya, selama ini dia hanya menyimpan hasrat untuk menduduki rumah sendiri ketika membuat permohonan bagi mendapatkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melalui MB yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang. "Akhirnya impian saya tertunai pada tahun ini. "Lebih membuatkan saya sekeluarga teruja ia diserahkan sendiri oleh MB, detik ini sangat bersejarah bagi kami sekeluarga dapat memiliki rumah yang lebih baik daripada sebelum ini. "Malah kami tidak lagi perlu menyewa sebagaimana sebelum ini, dan tidak perlu lagi berpindah banyak kali, cuma apabila terkenang arwah suami terdetik perasaan sedih, kerana memiliki rumah sendiri merupakan hajat kami bersama suatu ketika dahulu,"ujarnya. Ramlah menerima rumah bernilai RM65,000 yang berkeluasan 600 meter kaki persegi serta mempunyai tiga bilik itu.  
09 Jun 22
351
Noor Arfa Batik Sasar 300 Ribu ‘Reseller’ Menjelang 2025
Noor Arfa Batik Sasar 300 Ribu ‘Reseller’ Menjelang 2025
KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Noor Arfa Holding Sdn. Bhd. mensasarkan seramai 300,000 orang pengedar rasmi produk berasaskan batik itu menjelang tahun 2025. Menurut Pengarah Noor Arfa, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin setakat ini Noor Arfa mempunyai seramai lebih 4,000 orang pengedar dan menjangkakan akan mencapai 10,000 hingga 15,000 orang pada akhir tahun ini.  “Orang ramai yang ingin menyertai kami boleh mengisi borang di laman sesawang kami dan kami akan memilih mereka yang betul-betul komited untuk berniaga. Barisan penerima anugerah Noor Arfa Stylist “Kita berniat untuk membantu mereka yang berminat untuk menjana pendapatan di samping sama-sama memartabatkan industri batik ini,” kata Wan Mohd Hafiz ketika ditemui pemberita dalam Majlis Anugerah Noor Arfa Stylist yang diadakan di Hotel Permai.  Turut hadir dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. Mengulas berkenaan program tersebut, beliau berkata program tersebut merupakan julung kalinya diadakan bagi meraikan kejayaan para pengedar rasmi Noor Arfa atas jualan yang dilakukan sepanjang tahun 2021 yang lalu. Majlis tersebut juga diisi dengan perkongsian berkenaan sejarah penubuhan syarikat tersebut oleh Pengasas Noor Arfa iaitu Wan Mohd Ariffin Wan Long dan pasangannya, Noor Hijerah Hanafiah. Penerima anugerah utama Master Leader Achiever 2021  
08 Jun 22
815
454 Individu Mendapat Pekerjaan Di Program JAKM
454 Individu Mendapat Pekerjaan Di Program JAKM
KUALA NERUS, 5 Jun- Seramai 454 orang daripada 2,771 rakyat negeri ini yang berjaya ditemuduga mendapat pekerjaan di 89 syarikat berdaftar melalui Program Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan. Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahmam berkata, dalam tempoh tiga hari program tersebut diadakan seramai 3,245 orang telah mendaftar untuk ditemuduga. "Ini merupakan satu rekod pencapaian yang sangat baik dicatatkan dalam negara di mana menerusi karnival dianjurkan ini ramai yang berjaya mendapatkan pekerjaan masing-masing. "Ada antara mereka yang hadir baru sahaja diberhentikan kerja dan terus datang ke program ini untuk merebut peluang, jadi saya rasa ini satu mekanisme yang sangat baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada program JAKM , di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam. Menurutnya, bagi mereka yang masih belum berjaya dinasihatkan agar tidak berputus asa serta sentiasa mendapatkan maklumat semasa di 38 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) kerana peluang pekerjaan sentiasa dikemaskini. "Sejak kita hebahkan mengenai Pembangunan Sumber Manausia Terengganu (THRDC) bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) ramai syarikat yang menghubungi kita untuk turut berdaftar bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. "Jadi ia bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang mencari pekerjaan tetapi untuk majikan yang memerlukan tambahan pekerja,"ujarnya lagi. Dalam pada itu, Ketua Eksekutif PERKESO, Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Dato' Aziz Mohammed berkata, pihaknya sangat menghargai atas kerjasama baik yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri. "Maklumat baik ini telah disalurkan kepada akar umbi untuk memastikan ramai rakyat mengetahui program ini yang merupakan kerjasama diantara Kementerian Sumber Mansusia dan kerajaan negeri. "Pada peralihan fasa pandemik ini makin banyak peluang pekerjaan yang telah didaftarkan melalui portal 'my future job' jadi orang ramai perlu mendaftar dan melihat sendiri akan bidang kerja yang ditawarkan," ujarnya. Salah seorang yang berjaya mendapat kerja, Abdullah Syukri Hassan,22, berkata, dia sangat bersyukur kerana terus mendapat pekerjaan dalam bidang elektrik melalui syarikat Perkem Serumpun (M) Sdn, BHD. "Saya  bersedia untuk pergi ke Subang Selangor, di tempat saya akan memulakan kerja saya setelah tamat pengajian dalam bidang Diploma Komputer di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum Ramadan baru-baru ini. "Keluarga saya turut bersama datang ke program ini serta berkongsi kegembiraan ini, tidak sangka dalam masa tidak sampai satu jam proses ditemuduga saya telah berjaya mendapatkan kerja ini," ujarnya.
05 Jun 22
592
Penerima I-Perantau Gembira, Prosedur Permohonan Tidak Rumit
Penerima I-Perantau Gembira, Prosedur Permohonan Tidak Rumit
Penerima i-Perantau menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri serta gembira kerana prosedur permohonan yang tidak terlalu rumit .
05 Jun 22
323
Mursyied Mahu SImpan Duit Bantuan, Berhasrat Jadi Ulama
Mursyied Mahu SImpan Duit Bantuan, Berhasrat Jadi Ulama
KUALA NERUS, 6 Jun- Penerima 'one-off' Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Muhammad Mursyied Islamie Mayuddin, 13, mahu menyimpan bantuan yang diterimanya bagi tujuan pembelajaran demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang ulama. Katanya, duit RM2,500 itu akan dimanfaatkan bagi memenuhi dan mengikuti jejak keluarganya. "Selama ini saya telah mendapat biasiswa sebanyak RM70 sebulan di sekolah, apa yang diterima ini untuk mencapai cita-cita saya ini untuk mengikuti jejak langkah Allahyarham ayah saya yang juga merupakan seorang guru agama,"ujarnya. Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Terengganu, di Komplkes Sukan Gong Badak di sini baru-baru ini. Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, pemberian berkenaan sangat membantu meringankan bebanan keluarga dalam menguruskan persekolahannya sejak kehilangan bapa akibat Covid-19. "Selain saya, seorang lagi yang masih bersekolah ialah Muhammad Muqtasied Mayuddin, 16, yang mana setelah bapa pergi yang mengambil alih tugas dan tanggungjawab ayah ialah abang saya Muhammad Mujadidul Islam, 28, yang merupakan seorang pendakwah bebas,"ujarnya yang merupakan antara 10 penerima sumbanga daripada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob. Antara yang turut menerima sumbangan tersebut ialah seorang bayi berusia dua tahun, Aisyah Amani Harun yang menerima sumbangan sebanyak RM 2,000. Menurut ibu kepada bayi berkenaan, Noraziah Adam, 36, bantuan itu akan dimanfaatkan untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak selepas kematian suami pada November tahun lalu akibat Covid-19.
05 Jun 22
96
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.
02 Jun 22
5