Artikel "Komuniti" Terkini
125 Sertai Kursus Penyembelihan Patuh Syarak
KEMAMAN, 4 Julai- Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal telah menganjurkan Kursus Penyembelihan Patuh Syarak, baru-baru ini.
Program yang diadakan di Masjid Meraga Beris itu bertujuan memberi pendedahan ilmu berkaitan kaedah sembelihan yang betul mengikut hukum syarak.
Seramai 125 peserta menyertai program tersebut yang memberi ruang dan peluang kepada mereka memahami dengan lebih jelas berkaitan ilmu sembelihan.
Program julung kali diadakan itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh.
"Syabas dan tahniah diucapkan kepada DUAT Kijal dan semua yang terlibat termasuk Pejabat Perkhidmatan Veterinar Kemaman, Pejabat Agama Kemaman, Masjid Meraga Beris dan JPKK Meraga Beris.
"InsyaAllah, di masa akan datang kita cadangkan agar diadakan kursus merebah dan melapahkan lembu pula," katanya.
Sementara itu, Pegawai DUAT DUN Kijal, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata, daripada jumlah peserta yang mengambil bahagian, dua darinya adalah wanita.
"Di samping teori, kita juga menyediakan sebanyak 54 ekor ayam dan dua ekor kambing bagi melengkapkan program ini yang turut membabitkan slot praktikal di lapangan.
"Terima kasih dengan sokongan daripada kesemua agensi kerajaan yang terlibat," katanya.
03 Jul 22
1208
Aktifkan Alumni Sekolah
DUNGUN, 26 Jun- Pihak sekolah termasuk di peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) disaran mengaktifkan alumni masing-masing untuk memperkasa sekolah melalui sumbangan bekas pelajar terutamanya yang terdiri daripada golongan profesional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, penglibatan lepasan pelajar sangat penting supaya kepakaran dan kemahiran mereka dapat dimanfaatkan oleh sekolah serta masyarakat setempat.
"Kejayaan yang mereka capai adalah hasil daripada tunjuk ajar guru-guru sejak di bangku sekolah rendah.
"Saya yakin bahawa sudah ramai alumni yang berjaya menjadi insan berguna pada masyarakat di luar sana, lahirnya mereka juga hasil didikan guru-guru.
"Buktinya hari ini ramai bekas murid yang turut serta dalam Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ini diharapkan lebih ramai lagi dapat melibatkan diri," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Kebangsaan Padang Pulut di sini, semalam.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Guru Besar sekolah, Che Rozali Che Mat dan Pengerusi PIBG, Mohd Yusni Yusof.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihati para ibu bapa supaya mengambil berat pengajian Al-Quran anak-anak mereka.
"Jangan ada antara anak-anak yang buta Al-Quran kerana biasanya anak-anak yang mahir membaca Al-Quran tidak ketinggalan dalam pelajaran," ujarnya.
26 Jun 22
344
87 Usahawan Terima Pinjaman Pembiayaan Modal
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Seramai 87 orang usahawan telah menerima pinjaman Pembiayaan Modal Program Jaya Diri yang berjumlah RM795 ribu daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Para usahawan tersebut juga akan diberikan kursus sepanjang tempoh pinjaman pembiayaan tersebut bagi meningkatkan kemahiran serta memajukan perniagaan mereka.
Menurut Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, pinjaman pembiayaan tersebut akan sentiasa berjalan dan terbuka kepada semua yang berkelayakan untuk memohon.
“Yayasan Pembangunan Keluarga telah menganjurkan pelbagai program di seluruh Negeri Terengganu bagi membangunkan kehidupan keluarga dan rakyat dengan lebih baik.
“Kita sebenarnya telah mengatasi beberapa masalah kekeluargaan di Negeri Terengganu seperti masalah kemiskinan, pendidikan kanak-kanak, kesihatan dan hubungan kekeluargaan,” kata Wan Mohd Zaki dalam ucapannya.
Ucapan perasmian oleh ADUN Batu Buruk
Majlis yang diadakan di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Menurut Ustaz Muhammad Khalil, Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi sangat penting kerana ia merupakan punca kepada pembinaan masyarakat sejagat.
“Justeru, kerajaan Negeri Terengganu telah telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi membantu rakyat membina keluarga yang sejahtera,” kata beliau.
Beliau turut berharap agar inisiatif pinjaman pembiayaan ini dapat membantu meningkatkan lagi daya usaha dan kemampuan yang ada pada para usahawan tersebut.
23 Jun 22
220
ADUN Chukai Serah Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang SPM
KEMAMAN, 23 Jun – Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di daerah ini, Alya Sofea Shukor, 18, yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi menerima sumbangan sebanyak RM2,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai.
ADUN Chukai, Hanafiah Mat menyampaikan sumbangan berkenaan kepada bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai itu ketika berkunjung ke rumah pelajar terbabit di Kampung Geliga Besar, baru-baru ini.
"Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik Alya yang telah mendapat keputusan SPM yang cemerlang ini. Saya mendoakan agar dia akan berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburinya nanti.
“Semoga kejayaannya ini menjadi pemangkin semangat untuk pelajar lain berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya pada masa akan datang," ujarnya kepada pemberita.
Katanya, diharapkan sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat menampung keperluan pelajar cemerlang terbabit untuk menyambung pelajaran.
Sementara itu, Alya Sofea yang mendapat keputusan 9A+ menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan ADUN Chukai itu.
Beliau turut memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan keputusan SPM yang diperolehi itu dan turut berkongsi beberapa tips untuk berjaya di dalam peperiksaan.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Apabila ditanya tips kejayaan, bagi saya yang paling penting kita perlu memberi sepenuh tumpuan ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Selain daripada itu, kita perlu pastikan setiap kerja sekolah yang guru beri disiapkan tepat pada masanya.
Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor turut berkongsi, sebagai seorang pelajar menghormati guru-guru dan rakan di sekolah adalah suatu perbuatan yang mulia.
23 Jun 22
485
Masalah Air di Marang Bakal Berakhir
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Pemasangan saluran paip baharu dari Sungai Rengas ke Tangki Gondang bakal menyelesaikan masalah air di daerah Marang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat , Ariffin Deraman berkata, projek tersebut bakal menyelesaikan masalah air sekitar kawasan Marang termasuk di DUN beliau
"Saya amat bersyukur kerana gangguan air yang dihadapi masyarakat setempat bakal pulih dengan projek pemasangan paip baharu ini termasuklah isu tekanan air rendah di DUN Alur Limbat.
“Perkara ini mustahil menjadi kenyataan sekiranya tiada kesungguhan dan komitmen yang diusahakan oleh kerajaan negeri," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman.
Beliau turut mengingatkan penduduk yang terlibat jajaran Sungai Rengas ke Gondang tentang gangguan bekalan sepanjang pembinaan.
“Gangguan seperti bekalan air, debu bertebangan dan trafik bakal berlaku gangguan akibat pemasangan yang berlaku.
“Ini adalah makluman awal sebagai persediaan kita menghadapi gangguan tersebut,” ujarnya lagi.
Projek di bawah kerajaan ini akan melibatkan pemasangan paip air mentah dan paip air bersih serta ‘retrofitting’ sepanjang 24km dari LRA Kepong 2 ke daerah Marang.
21 Jun 22
357
'Larangan Jual Telur Penyu Tepat Pada Masa'
Langkah kerajaan negeri mengharamkan penjualan telur penyu di Terengganu dianggap tepat pada masanya kerana reptilia itu semakin diancam kepupusan.
20 Jun 22
274
Jualan Hari Pertama PJKM Cecah RM82,358.30
Oleh : Mohd Fauzi Mat Adam
MARANG, 20 Jun - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) mendapat sambutan hangat dengan mencatatkan hasil jualan hampir RM82,358.30 pada hari pertama diadakan disini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Shaharuddin Mohd Kia berkata, jumlah kehadiran direkodkan ke PJKM semalam pula hampir 1,200 pengunjung.
"PJKM ini merupakan satu inisiatif kerajaan menerusi KPDNHEP Terengganu dengan kerjasama Pejabat Daerah Marang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pejabat Parlimen Marang untuk membantu pengguna atau rakyat yang berhadapan situasi kenaikkan harga barang, " katanya.
Beliau ditemui oleh wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Parlimen Marang di tapak program yang diadakan di kampung Sena Rendang, Bukit Payong di sini, semalam.
Menurutnya, perlaksanaan program ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang juga Exco kerajaan Negeri telah memberi sedikit insentif untuk menurunkan lagi sedikit harga terutama barang keperluan permintaan tinggi seperti daging dan ayam.
"Jualan ini memfokuskan kepada kegunaan isi rumah sahaja dan bukan untuk golongan peniaga. Justeru, pengguna disaran mengambil peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan potongan harga sehingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa," katanya lagi
20 Jun 22
121
PSMZA Bina Jam Matahari Pertama
DUNGUN, 20 Jun- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah membina Jam Matahari merupakan instrumen untuk mengukur peredaran masa menerusi pergerakan matahari.
Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporatnya, PSMZA merupakan politeknik yang pertama membina jam demikian.
"Projek tersebut adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini.
Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Presiden Royal Institute of Surveyor Malaysia (RISM), Dato' Sr Dr Azhari Mohamed di perkarangan Dewan Serbaguna PSMZA, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail.
Sementara itu Mohd Fikri berkata, program ini mendapat kerjasama RISM yang telah lama menjalinkan hubungan kolaborasi bersama PSMZA.
Katanya, pembuatan jam matahari adalah secara umumnya menggunakan bayang yang menimpa permukaan rata yang ditandakan dengan jam-jam dalam satu hari.
Tambahnya lagi, pada asasnya, jam matahari dapat dibuat menggunakan segala jenis permukaan yang ditimpa bayang yang dapat tentukan kedudukannya.
"Waktu jam matahari adalah sama dengan jam biasa yang kita gunakan seharian.
" Kepentingannya untuk mendidik para pelajar dan juga staf untuk memahami kaedah pengiraan waktu seperti yang digunakan dahulu kala, "jelasnya.
19 Jun 22
479
1,300 Peserta Meriahkan 'Family Fun Ride'
KUALA TERENGGANU, 18 Jun- Seramai 1,300 peserta melibatkan belia, beliawanis dan keluarga menyertai program 'Family Fun Ride' pagi ini.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan majlis pelepasan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Program yang dianjurkan Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu melibatkan jarak sepanjang 35 kilometer dan menjadikan Muzium Negeri Terengganu sebagai perhentian pertama sebelum kembali semula ke Dataran Awam Batu Burok.
Dalam program itu pihak urus setia turut menyediakan empat buah basikal, dua buah motorsikal 'Honda Beat' kepada peserta bertuah juga pelbagai hadiah lain seperti barangan elektrik dan hamper.
18 Jun 22
600
'Larangan Jual Telur Penyu Tepat Pada Masa'
KEMAMAN, 17 Jun - Langkah kerajaan negeri mengharamkan penjualan telur penyu di Terengganu dianggap tepat pada masanya kerana reptilia itu semakin diancam kepupusan.
Pelajar fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nabilah Abdul Rahim berkata, rata-rata generasi muda pada hari ini tidak tergamak untuk memakan telur penyu kerana bimbang generasi akan datang tidak kenal binatang terbabit.
"Sewajarnya langkah ini disokong oleh semua pihak. Saya rasa pengharaman jualan telur ini tidak akan mendatangkan kerugian sebaliknya kita akan lebih menghargai usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri ini kerana berjaya melindungi haiwan ini daripada mengalami kepupusan.
"Kebanyakkan pelancong yang datang ke negeri ini pun setuju dengan langkah ini kerana mereka datang ke sini untuk melihat penyu ini dan tengok bagaimana ia bertelur," ujarnya yang juga peserta Terengganu Turtle Camp 2022.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Terengganu Turtle Camp 2022, di Ma'Daerah Santuari Penyu, di sini, pada semalam.
Sementara itu seorang lagi peserta kem berkenaan, Ahmad Arif Aiman Ghazali, 20, berkata kempen yang dijalankan oleh kerajaan negeri sangat wajar dilaksanakan dalam menjaga haiwan ikonik Terengganu itu.
"Ini suatu inisiatif yang baik terhadap membina kesedaran dalam kalangan kami generasi muda ini untuk turut sama berjuang memulihara penyu.
Sementara itu, Pegawai Konservasi Marin Tabung Alam Sedunia (WWF), Nor Azariyah Mohtar, berharap tiada pihak yang menjual telur berkenaan di pasaran gelap.
"Selama ini kita telah berkerja keras dalam memastikan haiwan ini dilindungi dengan sebaiknya-baiknya, kita menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam melindungi telur penyu.
"Dengan adanya enakmen mengharamkan penjualan telur penyu ini kita dapat mendidik rakyat agar jangan makan telur penyu dan membelinya secara haram," ujarnya.
17 Jun 22
500