Artikel "Komuniti" Terkini
KOPERAT Tiup Semangat Rakyat Terengganu Sambut Merdeka
Anak syarikat kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT) telah mengagihkan 3,000 jalur gemilang kepada rakyat Terengganu bagi meniupkan semangat patriotisme kalangan mereka sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini.
29 Aug 22
238
Minum Pagi Dekati Rakyat
Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Mendekati rakyat dengan minum pagi di kedai makan terpilih adalah salah satu aktiviti dalam diari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Sempena Karnival Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS) DUN Bandar yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, Ahmad Shah mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk sekitar menerusi aktiviti tersebut.
Beliau bersama beberapa pegawai Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar pagi tadi berkunjung ke Kedai Makan milik Mohamad Omar yang dikenali sebagai Mamat Jepun untuk menikmati pelbagai sarapan pagi sambil bertanya khabar penduduk sekitar Kampung Masjid Tok Ku yang berada di kedai tersebut.
Kira-kira sejam Ustaz Ahmad Shah berada di situ sebelum beredar ke Karnival TMBS di Taman Shah Bandar, di sini.
Sempena karnival tersebut, Mazila Mohd diisytiharkan menang seutas gelang emas ditaja Ahmad Shah dalam sesi cabutan bertuah, selesai Forum Suara Hati Wanita bertajuk 'Bawa Aku ke Syurga' pagi tadi.
Hadiah istimewa tersebut disampaikan oleh isteri ADUN Bandar itu, Norizan Ngah.
Dato' Dr Norhafizah Musa menjadi panel forum tersebut.
26 Aug 22
216
Kemudahan Infrastruktur Rakyat Jadi Keutamaan
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 25 Ogos - Kerajaan Negeri ketika ini lebih memberi tumpuan kepada projek yang lebih melibatkan kemudahan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kerajaan hari ini melihat kemudahan infrastruktur rakyat amat perlu diberikan perhatian.
"Projek - projek yang melibatkan P02 iaitu seperti menaik taraf jalan baru, isu longkang, tanah perkuburan yang hampir penuh perlu diperbesarkan dan sebagainya kita cuba selesaikan
"Dan selama empat tahun menyiapkan projek P02, kita telah membelanjakan sebanyak RM4 juta, ini adalah belanja yang sangat besar," jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui di Warung Sarapan Pagi di sini.
Menurut Ariffin lagi, pihaknya cuba menyelesaikan segala masalah dihadapi rakyat.
"Contohnya di Telaga Mengkudu, ianya memerlukan longkang yang agak besar, kita usaha dalam masa tiga tahun kerana melibatkan tanah orang dan memerlukan bajet yang besar, alhamdulillah projek itu sedang berjalan sekarang ini," jelasnya.
25 Aug 22
178
Regu Pelam Galas Cabaran Terengganu Ke Sepak Takraw MSL 2022
DUNGUN, 25 Ogos - Regu sepak takraw Pelam dari Kampung Sura Tengah membawa cabaran Negeri Terengganu ke Pertandingan Sepak Takraw Liga Sukan Malaysia (MSL) 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur selama empat hari bermula hari ini.
Pengurusnya, Azman Senik berkata pasukan itu berjaya mewakili Terengganu setelah mengalahkan regu 'Daddy Cool' di perlawanan akhir sekaligus menjuarai Pertandingan MSL Negeri Terengganu baru - baru ini.
"Harapan kami agar berjaya menempatkan diri ke tempat tertinggi, sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir, memandangkan regu kami masih baharu," katanya ketika dihubungi di sini.
Sebelum itu beliau telah hadir ke Pejabat Parlimen Dungun di sini untuk menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Mengulas lanjut, beliau yang juga pembimbing dan pengerusi Pelam Takraw Club berkata sumbangan tersebut menjadi perangsang untuk pasukannya melakukan yang terbaik di pertandingan tersebut.
"Segala sokongan, kata-kata semangat, doa dan harapan daripada Ustaz serta warga Dungun seboleh-bolehnya tidak akan kami hampakan," ujarnya.
25 Aug 22
469
Dadah Perosak Institusi Keluarga
DUNGUN, 22 Ogos - Penyalahgunaan dadah telah banyak merosakkan institusi keluarga dan masyarakat seharusnya menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing agar ahli keluarga terutamanya tidak terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, beliau merasa kecewa kerana masih ada lagi manyarakat yang tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini.
"Dulu abang mati kesan daripada dadah, hidup tidak terurus, kurus kering, tapi bila abang mati, adik pula yang ambil dadah, langsung tidak mengambil pengajaran," katanya ketika berucap di Program Sekampit Beras Seekor Ayam di Balai Raya Kampung Rantau Abang, di sini.
Seramai 50 orang penerima daripada empat buah kampung iaitu Kampung Baru Kuala Abang, Rhu Batil, Rantau Abang dan Kuala Abang menerima bantuan pada program yang diadakan sempena 'YB ADUN Rantau Abang Bersama Rakyat di UDM Kuala Abang itu.
Seterusnya, beliau turut mengajak agar masyarakat setempat bersama-sama membendung dan mengawasi anak-anak dengan sentiasa mengambil tahu aktiviti seharian anak-anak.
"Kenali kawan anak-anak kita, pastikan anak kita sembahyang, jangan tinggal sembahyang,'sesungguhnya solat itu mencegah mungkar', sama-samalah kita berdoa supaya bala ini tidak kena kepada keluarga kita, " katanya.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena program yang bertujuan mendekati masyarakat di keempat-empat komuniti tersebut iaitu solat dan tazkirah subuh, sembang kedai kopi, menziarahi sebanyak 60 buah rumah terpilih , tukar minyak hitam motosikal untuk 50 buah motosikal terawal dan Majlis Bacaan Yasin untuk muslimat di rumah salah seorang penduduk kampung.
22 Aug 22
366
Kerajaan Rancak Adakan Program Tiada Kaitan PRU
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Lambakan program dilakukan oleh kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setiap program yang dijayakan itu merupakan komitmen PAS untuk dijadikan platform berdakwah bagi meningkatkan lagi syiar Islam di negeri ini.
Katanya, dakwaan segelintir pihak bahawa program diadakan itu hanya ketika hendak meghadapi PRU semata-mata langsung tidak tepat dan merupakan suara nakal yang cuba mengalih perhatian rakyat.
"Saya rasa rakyat pun dapat melihat selepas kemenangan PRU Ke-14, sepanjang empat tahun kita mengerakkan pelbagai agenda dan usaha di mana ini merupakan perjuangan kita yang berterusan dalam mengajak masyarakat di negeri ini untuk menghayati 'keindahan Islam' serta menyampaikan mesej Rasulullah kepada umat agar memartabatkan ajaran Islam untuk kesejahteraan seluruh rakyat.
"Kerana itu setiap tahun kita anjurkan pelbagai program yang penuh dengan pengisian yang bermanfaat mengajak rakyat menghayati nilai-nilai Islam untuk diamalkan dalam kehidupan.
"Menunjukkan bahawa kerajaan hari ini komited dengan perjuangan meninggikan syiar Islam secara berterusan untuk menterjemahkan matlamat yang ingin dicapai selama ini untuk menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Peneragan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Karnival Penghayatan Islam TDM Berhad, bertempat di Dataran Khairunnisa, Jalan Sultan Omar, di sini kelmarin.
Mengulas mengenai program tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, sambutan baik telah diberikan oleh rakyat di negeri ini khusunya daripada masyarakat Kuala Terengganu.
"Ini menunjukkan rakyat memberikan sokongan dan dokongan yang kuat kepada program-program penghayatan Islam yang memberikan kefahaman yang jelas mengenai kehidupan beragama.
"Sambutan meriah ini juga adalah kerana selama ini rakyat rindu untuk menghadiri program secara fizikal sebegini yang mula kembali diadakan setelah kita baru sahaja mula keluar dari era pandemik dan berada dalam fasa transisi endemik, dengan kehadiran yang ramai ini menujukkan rakyat Terengganu memang cintakan kepada program-program penghayatan Islam yang memberikan ilmu yang bermanfaat.
"Gelombang yang sama juga dapat diperhatikan dengan keadaan masjid dan surau-surau, saya sendiri melalui Pejabat Parlimen Kuala Terengganu sedang merangka pelbagai program keagamaan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meneruskan usaha meningkatkan syiar Islam di negeri ini," ujarnya lagi.
Terdahulu, pada program tersebut, TDM telah menyampaikan bantuan RM80,000 kepada seramai 400 penerima dari Kuala Terengganu yang merupakan golongan B40.
21 Aug 22
387
Polis Dan Masyarakat Jalin Hubungan Kacau Bubur Asyura
DUNGUN, 19 Ogos - Mengambil peluang kedatangan bulan Muharam, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dungun dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menganjurkan aktiviti mengacau bubur Asyura bagi menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun memuji inisiatif yang dilakukan oleh pasukan PDRM mewujudkan kesejahteraan negara.
"Dengan slogan" Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada ' sewajarnya masyarakat menjadi mata kepada anggota polis, tambahan JPKK pula lebih mengenali penduduk kampung mereka, " ujarnya.
Beliau berkata demikian di dalam ucapan ringkas di Program Kacau Bubur Asyura Masyarakat bersama Polis Pondok Rantau Abang.
Turut hadir, Ketua Balai Dungun, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, ASP Mohd Nawawi Mat.
Orang ramai yang hadir juga berpeluang membawa pulang hamper setelah berjaya menjawab soalan kuiz mudah.
Menurut ASP Nawawi dengan keterlibatan empat JPKK iaitu JPKK Rantau Abang, Kuala Abang, Rhu Batil dan Kampung Baru Kuala Abang telah memeriahkan program yang sebelum ini hanya buat di kawasan IPD sahaja.
"Bukannya nak kacau syura sangat, tetapi hendak bersama - sama orang kampung, jadi kita adakan program ini dengan sumbangan anggota polis IPD sikit sorang untuk menyediakan dua kawah bubur Asyura dan makan tengah hari ini," katanya.
19 Aug 22
337
52 Rumah Di Bukit Besi Rosak Dipukul Ribut
DUNGUN, 17 Ogos- Kira-kira 52 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi rosak akibat dipukul ribut yang melanda kawasan terbabit kelmarin.
Antara rumah yang terlibat di Al Muktafi Billah Shah ialah Taman Mulia (6 buah), Taman Indah (13 buah), Taman Abadi (13 buah), Taman Setia (7 buah), Taman Madani (11 buah) dan di Kampung Besol, Bukit Besi (2 buah).
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian yang berlaku dalam tempoh lebih kurang setengah jam itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk diterbangkan angin kuat.
“Angin kencang yang disertai hujan lebat itu juga mengakibatkan banyak pokok tumbang, namun tiada rumah penduduk yang dihempap pokok," ujarnya selepas dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ghazali berkata, beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing untuk menilai kerosakan rumah-rumah yang dilanda musibah itu.
"Kita juga telah menghulurkan bantuan atap kepada penduduk terlibat,”katanya.
16 Aug 22
1191
Lebih 1,270 Ikan Nemo Dilepaskan
Lebih 1,270 ekor ikan nemo dilepaskan ke perairan Pulau Bidong sebagai simbolik 'pembebasan' sesuai dengan tema penganjuran Program Selaman Skuba Merdeka Bidong iaitu meyelam untuk kebebasan.
16 Aug 22
203
Perintah Khidmat Masyarakat Peluang Baiki Diri
DUNGUN, 14 Ogos- Pesalah muda dibawah Perintah Khidmat Masyarakat masih berpeluang membaiki diri diatas kesilapan masa lalu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun berkata, mereka sepatutnya membuang rasa rendah diri dan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dengan ikhlas.
"Program sebegini diatur oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu anak-anak semua menjadi anggota masyarakat yang berguna dan bermanfaat," katanya.
Alias berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Khidmat Bakti Jabatan Kebajikan Masyarakat Bersama Majlis Perbandaran Dungun dan Komuniti Setempat Tahun 2022 di Pantai Teluk Bidara di sini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak Dan Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Rodziah Abdol Razak dan Penghulu Mukim Abang, Ahmad Khairullizan Alias.
Sementara itu, Rodziah berkata, seramai 30 orang Pelatih Khidmat Masyarakat daripada seluruh daerah dalam Negeri Terengganu kecuali Besut dan Setiu menyertai program tersebut.
"Perintah Khidmat Masyarakat adalah alternatif pemenjaraan kepada pesalah-pesalah muda yang berumur di bawah 21 tahun dan diklafikasikan kesalahan ringan, jadi untuk mengelakkan mereka di penjara, pesalah - pesalah ini diarahkan untuk mengikuti Khidmat Masyarakat berdasarkan jumlah jam serta tempoh yang ditentu oleh mahkamah.
"Jadi mereka ini perlu menyertai program - program Khidmat Masyarakat seperti gotong royong, menghadiri program yang diadakan di masjid dan pelbagai lagi aktiviti tanpa dikenakan upah dan ianya menjadi satu pengalaman yang berguna supaya berkhidmat kepada masyarakat, " jelasnya lagi.
14 Aug 22
555