lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Dasar Wanita Perkasa Kaum Hawa Dengan Ilmu
Dasar Wanita Perkasa Kaum Hawa Dengan Ilmu
Dasar Wanita Terengganu yang dilancarkan pada sambutan Hari Sayyidatina Aishah bakal memperkasa kaum wanita dengan ilmu dan menjamin hak mereka dilindungi.
04 Oct 22
249
Warga Emas Dua Kali Menang Motosikal
Warga Emas Dua Kali Menang Motosikal
DUNGUN, 2 Oktober- Seorang warga emas menganggap motosikal yang diperolehi selepas memenangi hadiah cabutan bertuah hadiah utama Modenas Kris 110 sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) DUN Bukit Besi baru-baru ini sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka. Zainon Mohamad, 63 yang berasal dari Kampung Tepus terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang ketika menghadiri ceramah pada malam perasmian karnival tersebut. "Rezeki tidak pernah salah alamat, mak cik bersyukur kerana Allah telah memilih mak cik dapat hadiah cabutan bertuah. "Mak cik suka dengar ceramah dan tidak pernah ketinggalan untuk hadir walaupun diadakan di mana sahaja, kalau tidak sakit demam, sampailah mak cik," katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman. Lebih mengujakan itu adalah kemenangan kali kedua Zainon memenangi hadiah cabutan motosikal kerana sebelum ini dia turut terpilih memenangi motosikal SYM Sport 110E pada  Sambutan 70 Tahun PAS Peringkat Kawasan Dungun. Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera merupakan medan untuk rakyat berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Karnival ini juga merupakan ruang terbaik bagi kerajaan negeri untuk menyampaikan dan memaklumkan tentang apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sepanjang tempoh empat tahun mentadbir negeri.
01 Oct 22
409
Pengusaha Aiskrim Terima Peralatan Perniagaan
Pengusaha Aiskrim Terima Peralatan Perniagaan
KUALA TERENGGANU, 26 September – Empat unit peralatan perniagaan dengan anggaran kos RM20,000 telah disumbangkan kepada seorang pengusaha perniagaan aiskrim melalui Geran Agropreneur Muda daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi diiringi oleh Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Nukman Hashim dan Ketua Unit Agropreneur Muda FAMA Negeri Terengganu, Azizie Mohd. Pengusaha Aiskrim Harmoni, Muhammad Mohd Rosle, 24, menzahirkan rasa syukur setelah menerima sumbangan itu kerana ia dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan tersebut.  “Sebelum ini saya hanya menggunakan modal duit sendiri, jadi untuk mengembangkan perniagaan ini agak susah dengan modal yang terhad. “Saya rasa bersyukur dengan sumbangan yang saya terima ini dan insya Allah akan dimanfaatkan sebaiknya,” kata Muhammad ketika ditemui pemberita.  Beliau yang mengusahakan perniagaan aiskrim berjenama Aiskrim Harmoni telah memulakan perniagaan tersebut sejak tahun 2019. Menurutnya lagi, produk aiskrim tersebut setakat ini hanya dipasarkan ke 3 buah kedai dan sebuah pasaraya yang terletak di Losong.  Antara hasil produk Aiskrim Harmoni “Selain itu juga, saya ada menyediakan perkhidmatan katering untuk sebarang majlis seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.  “Perancangan saya pada masa akan datang ingin meluaskan lagi pasaran perniagaan ini dan membuka sebuah kafe aiskrim,” katanya. Muhammad menerangkan sebagian proses pembuatan aiskrim  
26 Sep 22
620
Atlet PSMZA Menyinar Di SUKMA 2022
Atlet PSMZA Menyinar Di SUKMA 2022
DUNGUN, 25 September - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin ( PSMZA) antara individu yang melakar sejarah tersendiri di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dengan turut menyumbang pingat kepada Kontijen Negeri Terengganu.  Dua pelajar institusi pengajian itu, Ahmad Arif Hakimi Mohd Hanizan dan Muhammad Amir Hilmi Burhan Shahidi dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah berjaya menambah pingat emas menerusi acara Petanque Berpasukan Lelaki yang berlangsung di Arena Petanque Pudu Ulu, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pengarah PSMZA Mohd Fikri Ismail berkata, pihak PSMZA merakamkan setinggi penghargaan kepada pelajar terlibat. "Tahniah kerana berjaya menambah pingat emas kontinjen Terengganu setelah empat tahun menjalani latihan, penyertaan SUKMA kali ini merupakan yang terakhir buat mereka berdua bersama PSMZA," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) PSMZA, hari ini.   Menurut kenyataan tersebut, seorang lagi pelajar, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik berjaya memungut pingat Perak dalam acara Muaythai bagi kategori 57 kg - 60 kg  yang diadakan di South City Plaza, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.  "Tahniah dan sekalung penghargaan daripada pengarah dan seluruh Ahli Mesyuarat Pengurusan serta warga PSMZA kerana pelajar-pelajar ini telah mengharumkan nama PSMZA di persada tanah air," ujar jurucakap UKK dalam kenyataan tersebut.  
25 Sep 22
437
Muay Thai Tepati Sasaran Dua Emas
Muay Thai Tepati Sasaran Dua Emas
KUALA LUMPUR, 22 September -  Muay Thai tepati sasaran awal untuk mengondol dua pingat emas di Temasya Sukan Malaysia 2022 (SUKMA 2022) selain menyumbang  tiga perak dan satu gangsa untuk Kontijen Terengganu  Dua pingat itu dipungut oleh Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dalam kategori 55-57 kg dan Ahmad Nor Iman Hakim kategori 63.5-67 kg dalam acara yang diadakan di South City Plaza, Seri Kembangan di sini.  Bapa Angkat Muay Thai, Alias Harun menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet dan juga pegawai-pegawai sukan tersebut yang berjaya menepati sasaran awal.  "Sukan ini kalau kita tengok luarannya ganas dan kasar, tetapi sebaliknya sangat berdisiplin dan menghormati lawan dimana bila tamatnya perlawanan mereka berpelukan serta bersalaman," katanya.   
22 Sep 22
293
Wanita Marang Banjiri Masjid Rhu Muda
Wanita Marang Banjiri Masjid Rhu Muda
Gambar :  Aslam Wira Oleh : Fatimah Din MARANG, 21 September - Lebih 1,000 wanita daerah Marang membanjiri Masjid Kampung Rhu Muda di sini untuk mendengar kuliah dhuha oleh Pendakwah Selebriti,  Asma Harun. Penolong Pengarah Perancangan Strategik Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mist) Negeri Terengganu, Faridah Omar berkata, kunjungan tersebut adalah kali kedua penceramah terkenal itu ke Marang selepas di Pustaka Marang. "Tahniah saya ucapkan kepada wanita Marang, sambutan begitu mengujakan." katanya yang ditemui selepas program tersebut.   Sementara itu, Ustazah Asma di dalam kuliahnya " Wanita Dambaan Syurga, Wanita Akhir Zaman", berkata bukan ramai yang hendak hadir majlis ilmu sekarang ini, dengan berbagai tuntutan hidup yang menjadi  halangan luaran atau dalaman.   "Sedar kamu wanita sesibuk mana pun kamu dengan tuntutan hidup (kena taat) selepas Allah, Rasulullah, suami dan ibumu, jaga betul-betul. " Wanita, kita perlu redha dengan kekurangan yang banyak, cari contoh yang jelas sayyidatina Khadijah, Sayyidatina Asiah, Sayyidatina Maryam dan Sayyidatina Fatimah," jelasnya lagi.    
21 Sep 22
1112
212 Pelajar Politeknik Terima Tauliah APM
212 Pelajar Politeknik Terima Tauliah APM
DUNGUN, 21 September - Seramai 212 pelajar daripada 12 buah Politeknik Malaysia telah menerima pertauliahan sebagai Pasukan Institusi Pertahanan Awam Malaysia (PISPA). Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata, latihan dan kursus yang dijalankan bersama pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu mencakupi aspek kognitif serta psikomotor.  katanya, antara objektif PISPA adalah untuk menyebar dan mendidik pelajar mengenai langkah-langkah keselamatan diri dan orang awam serta membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang individu yang berpengetahuan dalam ilmu Pertahanan Awam. "Kursus yang diadakan terbukti berjaya menaikkan lagi elemen kemahiran insaniah, kepimpinan, tanggungjawab dan disiplin dalam kalangan anggota PISPA," ujarnya ketika berucap di Majlis Pentauliahan PISPA Politeknik Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), baru-baru ini. Sementara itu katanya, pihak JPPKK sentiasa membuka ruang dan peluang kepada pihak APM untuk mengadakan kolaborasi berbentuk penyelidikan inovasi secara bersama.  "Kami juga mengalu-alukan dan mempelawa anggota APM untuk mengikuti kursus-kursus Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) di mana-mana Politeknik atau Kolej Komuniti di seluruh Malaysia.  Katanya, melalui platform tersebut, ianya dapat menjadi salah satu faktor pemangkin kepada pembinaan kredibiliti dan imej Politeknik juga APM.  " Melalui platform ini juga akan mampu menjadikan kedua-dua institusi untuk kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik seiring dengan keperluan pembangunan negara kita," katanya lagi  "Besar harapan kami di JPPKK agar pendekatan ini mampu melahirkan graduan holistik seimbang yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kebolehpasaran graduan politeknik saban tahun," ujarnya.  
20 Sep 22
669
10 Ribu Langkah Untuk Gaya Hidup Lebih Sihat
10 Ribu Langkah Untuk Gaya Hidup Lebih Sihat
KUALA TERENGGANU, 19 September – Aktiviti 10 ribu langkah antara yang menarik dalam Karnival Kolam Sejahtera anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kolam baru-baru ini.  Kira-kira 100 orang penduduk Kampung Kolam telah hadir menyertai aktiviti tersebut berjalan mengelilingi kawasan kampung tersebut.  “Banyakkan berjalan perlu dijadikan satu amalan untuk gaya hidup yang lebih sihat. “Saya ucap tahniah kepada JPKK Kolam dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam ucapan perasmiannya.  Karnival Kolam Sejahtera yang diadakan selama dua hari ini turut mengadakan pertandingan bola sepak 8 sebelah, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan lain-lain lagi. Turut hadir dalam karnival tersebut ialah Penghulu Mukim Kuala Ibai, Raah @ Razman Ismail. Pelepasan peserta jalan kaki 10 ribu langkah oleh ADUN Batu Buruk  
19 Sep 22
573
Replika Kepala Kereta Api Singkap Sejarah Dungun
Replika Kepala Kereta Api Singkap Sejarah Dungun
DUNGUN, 19 September - Replika kepala kereta api yang dipertaruhkan daerah Dungun pada Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, baru-baru ini bertujuan menyingkap kembali lembaran sejarah yang daerah itu pernah mempunyai perkhidmatan kereta api. Pegawai Daerah Dungun, Yusman Ibrahim berkata, idea tersebut diketengahkan untuk mengembalikan nostalgia bahawa Dungun, daerah yang  sinonim dengan bijih besi dan menjadi tumpuan penduduk seluruh negara satu masa dahulu di mana kereta api menjadi pengangkutan penting kepada pekerja lombong, peniaga serta orang ramai untuk berulang-alik dari Bukit Besi ke pekan Dungun ketika itu. "Replika kita adalah bentuk sebenar kepala kereta api wap yang terakhir digunakan dimana arkitek kita ke Muzium Negeri Terengganu untuk mengambil gambar objek tersebut," katanya.  Beliau berbesar hati kerana Dungun telah diumumkan sebagai Naib Juara  Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.  Dengan kemenangan tersebut pasukan yang disertai oleh Majlis Perbandaran Dungun, Pejabat Daerah Dungun, Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun dan KETENGAH telah berjaya membolot hadiah RM 15,000. Menurut Jusman, kerja - kerja menyiapkan kereta berhias itu telah mengambil masa dua minggu.  "Saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dan sanggup bersekang mata hingga lewat malam, dan hari yang terakhir sehingga 5 pagi masih lagi bertungkus lumus semata - mata hendak memastikan lampu - lampu yang menghiasi replika kami itu bercahaya di malam pertandingan, "katanya.  
19 Sep 22
1292
Konvoi Kemerdekaan YADIM Terengganu Santuni Masyarakat
Konvoi Kemerdekaan YADIM Terengganu Santuni Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 17 September – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu telah menganjurkan Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022 bersempena Hari Malaysia, semalam.  Menurut Penyelaras Program, Nor Mazila Mohd Zin, konvoi tersebut berlangsung secara serentak oleh pihak YADIM di seluruh Malaysia pada hari itu.  “Konvoi kita pada hari ini akan ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga untuk menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sana. Rider Grab Food antara yang menyertai Konvoi Kemerdekaan Keluarga Malaysia 2022 “Selain itu, kita juga mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Taman Rahmat dan ziarah di sekitar kawasan tersebut,” kata Nor Mazila ketika ditemu bual pemberita. Tambahnya lagi, antara kelainan pada program kali ini ialah penglibatan penghantar makanan Grab Food yang dikumpulkan untuk menghantar makanan ke rumah-rumah di taman tersebut.  “Pada sebelah petang pula kita adakan aktiviti ‘street dakwah’ di Pantai Kelulut dan program ini akan berakhir di sana,” katanya lagi.  Pelepasan konvoi tersebut telah dirasmikan dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah.  Kira-kira 80 orang peserta telah menyertai konvoi  ini yang terdiri daripada ‘rider’ Grab Food, Sukarelawan YADIM dan para mahasiswa.  
18 Sep 22
297